Antara rasa bersyukur dengan ketakutan sebenarnya, apabila saya didatangi banyak sekali peringatan. Subhanallah. Dan saya tidak pernah meminta (atau saya meminta di bawah sedar) untuk sering diperingatkan. Subhanallah ia datang dari setiap penjuru mata angin yang ada. Semuanya datang mengetuk pintu kesedaran tanpa saya sangka sama sekali. Ya Allah, bagaimana saya didatangkan sahabat yang  menuntun saya setiap hari  dengan postings untuk lebih dekat dengan kebaikan. Bagaimana saya mengenali sosok yang mencintai anak yatim dalam seluruh hidupnya. Bagaimana saya bertemu dengan sahabat pesawat yang mengasuh saya untuk berikhlas hati. Bagaimana dengan tiba-tiba yayi yang muncul untuk selalu mengingatkan saya tentang ilmu solah. Ada juga yang menitip risalah tentang mencintai Rasulullah. Allah ya Allah. Setiap waktu dini saya disapa sahabat al-Qur'an yang seperti bunyi penggera, di mana tempat berjeda bacaan surah kami. Apa lagi yang saya tunggu untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik. Sedangkan saya sebenarnya dinantikan angkatan peringatan itu untuk saya bertindak. Saya bersyukur kerana rasa terpilih. Namun tangan tua saya terketar ketakutan kerana apa yang sudah saya perbuat semenjak diperingatkan. Allah ya Allah. 

Comments

Anonymous said…
Allah menganugerahkan sdr dengan kehebatan menjadi pilihanNya untuk diimbau dengan segala kebaikan. Ramai orang tidak menyedari bahawa kehadiran segala yang sdr lalui adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya. Alangkah berbahagia seandainya saya turut dianugerahkan sedemikian dan saya menginsafi bahawa itu adalah anugerah dari langit. Subhanallah.
Mawar said…
Sdr Anonymous,
Saya mohon pengampunan Allah. Saya rasa terpilih (dengan seluruh kerendahan hati dan kedunguan saya) kerana memang saya ini perlu diingatkan akibat selalu berdiri di jalan lupa dan lalai. Ternyata saya masih bersyukur dan masih ketakutan.