Posts

Image
  Si pengirim karungan cokelat datang lagi. apa lagi yang mampu saya lakukan selain terima kasih dan  mendoakan kesejahteraannya dunia akhirat.
Image
Kaki bonda saya teragak-agak untuk melangkah  masuk ke ruang tamu yang sepi. saya seperti mendengar suara hatinya. Zahar sempat menyatakan  betapa ruang nenda ini tidak berseri lagi. saya tidak dapat menahan sebak apabila melintasi kamar tidur nenda yang sudah lapang. pembaringannya sudah dipindahkan. yang tinggal ialah pelbagai milik nenda yang mahu diagih-agihkan untuk memanjangkan sadaqah. usai acara mengingati nenda dengan yassin dan doa, kami bercerita kembali tentang nenda dan kenangan. saya akan selalu ingat betapa pemurahnya nenda. dan ia terus hidup dalam hati Matiin. sewaktu di pusara, Matiin mengeluarkan not sgd10 dari dompetnya seraya berbisik sendiri yang dia mahu memberikan kepada moyang. saya mengusap rambut lebat anak saya itu dan tahu ketika itu nenda tidak mahu apa-apa selain doa dan doa buat kehidupan barunya di bawah sana...al fatehah.
Image
Saya gayat. sama ada berdiri di paras paling atas sebuah bangunan, apatah lagi berada dalam sebuah kereta yang bergantung hanya pada satu tali. tapi demi kenangan bersama almarhum nenda dan datuk, saya gagahi kaki memasuki kereta kabel ini. ya, saya masih sangat ingat kereta ini pernah tergantung agak lama di tengah-tengah laluan dan di bawah tapak kaki adalah air laut yang terbentang. Allah Allah Allah. itu kenangan bersama nenda lebih tiga puluh tahun lalu... dan kebetulan sahaja malam tadi, pulang dari lawatan ke Sentosa, kami menonton rancangan Terbit menyiarkan wawancara dengan mangsa tragedi kereta kabel yang pernah berlaku pada tahun 1983.
Image
Saya akan menziarahi nenda lagi. kali ini ia sama sekali ziarah yang berbeza. nenda tidak akan berdiri menyambut saya di bingkai pintu rumah pangsa tingkat lima itu. saya tidak dapat mendakap bahu nenda lagi. saya tidak tahu pula di mana harus saya duduk, sedang penjuru pembaringan nenda pasti sudah berubah kedudukannya. ya, kali ini ziarah nenda akan saya lanjutkan ke Pusara Abadi, kebetulan sahaja di jalan masuk yang sama ke kampus Nanyang tempat saya menyiapkan ijazah ketiga hampir sepuluh tahun lalu. semoga saya tidak menangis lagi. semoga saya kuat saat tiba di pintu rumah nenda nanti ...
Image
Saya memanggil nama untuk semakan kehadiran dalam kuliah. ia peluang untuk saya lebih mengenali setiap pelajar yang mendaftar kursus saya; sekurang-kurangnya tahu dan ingat nama mereka. dalam kuliah minggu ini saya mengejutkan mahasiswa dengan susulan soalan selepas memanggil nama,  bilakah kali terakhir mereka melakukan sujud syukur. maka saya dapat mengumpulkan lebih tiga puluh jawapan. dua daripada mereka tidak pernah melakukan sujud syukur sama sekali. dua daripada mereka melakukannya kurang daripada tiga bulan. dan selebihnya melebihi enam bulan lalu. kebanyakan mereka, mahasiswa tahun satu, merakam rasa syukur setelah lulus peperiksaan dan mendapat tempat di universiti. saya bertanya sendiri, apakah makna bersyukur dalam hati mahasiswa saya. adakah hanya dengan makna kegembiraan mendapat keputusan peperiksaan. adakah bersyukur itu kerana beroleh suatu yang menggembirakan hati. seperti yang pernah saya tanya diri  sendiri, adakah juga...
Image
Zahar sudah lama khatam Syamail . rupa-rupanya saya terhenti lama di halaman kewafatan Rasulullah. pilunya apabila membaca saat terakhir Anas Malik memandang wajah Rasulullah seperti melihat lembaran mashaf. dan bagaimana mereka tidak mahu membuang debu kubur Rasulullah sehingga mereka mengingkari hati mereka. Allah. saya mahu menyambung Syamail dengan Empat Puluh Hadis Penawar Hati . mudah-mudahan hati saya menjadi sihat.  mudah-mudahan semakin dalam cinta yang datang ini. in sya Allah. terima kasih kanda Majura yang menghadiahkan Penawar Hati .
Image
Aneh membuka rujukan biologi untuk kuliah sastera? kerja ini mengimbas sewaktu duduk di bangku tinggi makmal sains sekolah menengah. biologi antara mata pelajaran kegemaran saya. hari ini dalam kuliah sastera bandingan, saya membawa mahasiswa kembali merenung asal kejadian. dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari saripati yang (berasal) dari tanah. kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami balut dengan daging. kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. maka Mahasucilah Allah, Pencipta yang paling baik (al mu'minun: 12-14).       dari janin menjadi kanak-kanak. kami membincangkan kanak-kanak, kreativiti dan penciptaan karya. Allah Allah Allah, dan apakah manusia tidak memerhatikan bahawa ...
Image
Benar, kata seorang sahabat saya, antara cara Allah mengingatkan adalah dengan mengambil kembali haknya. misalnya soal kesihatan. kita mula menghargai sihat apabila ia dikeluarkan dari ruangnya. maka bermulalah riwayat  sakit.  saya baru sahaja pulang dari sesi pertama program  wellness. bermula dengan ujian darah, jantung dan air seni :-)  dan saya menanti penuh debar dalam seminggu ini keputusannya! dengan sekian banyak isyarat menjadi sakit dan tua , saya insaf masanya sudah kian dekat. ya Allah kekalkan kami dalam nikmat islam dan iman. rahmati kami dengan ehsan-Mu, ya Allah.   pulang     Kebetulan juga, saya baru mendapat warta belasungkawa, kekanda saya, Asmah Bee Mohd Nor baru kehilangan suami tercintanya, Iran Herman. kedua-duanya pensyarah psikologi yang saling menyayangi. kekanda Iran meninggal dalam ihram di pusingan tawaf wajib umrahnya yang ketiga. Allah, Allah, Allah. semoga perjalanan pulangnya disambut para malaikat...
Image
Beberapa hari lalu saya menziarahi perempuan tua itu. dia adalah perempuan yang hilang jalan pulang dalam cerpen saya Antara Tikungan yang Aneh . dia ternyata kian lupa bukan hanya beluk ke lorong rumah, tapi nama teman-teman dan akan mengulang-ulang soalan yang sama sedang ia baru dijawab. saya terpinga separuh mahu menangis. bukankah nenda juga dengan tanda yang sama. lupa. sebulan selepas itu nenda menuju jalan pulang yang abadi. keesokan harinya, saya bertemu pula susuk lelaki tua yang akan masuk ke ruang kreativiti saya dalam sedikit masa lagi. dia adalah lelaki yang antara lain menyatakan, jika mahu punya hati yang aman, harus sering bersama al Qur'an dan tahajud. ini foto cantik dari taman kecil perempuan tua yang banyak kehilangan dalam hidupnya itu. o Allah, mereka merupakan tamsilan buat saya yang kononnya masih muda namun masa pulang saya sebenarnya semakin hampir dan  bila-bila masa sahaja...ampuni saya ya Allah.   
Image
  DAN guruh itu bertasbih dengan memuji Allah, demikian pula malaikat kerana takut kepada-Nya dan Allah melepaskan halilintar lalu menimpakannya ke atas sesiapa yang Dia kehendaki dan mereka berbantah-bantah tentang Allah dan Dialah Tuhan yang Maha keras siksanya (ar Rad: 13). inilah ayat terakhir yang kami sempat baca sebelum nenda berangkat pulang. seperti yang saya catatkan sebelum ini, ketika saya sedang menyimak baris makna, saya melihat nenda berpindah ke ruang baru. rupanya, ia firman yang sangat mengesankan bila masa itu tiba...
Image
Saya bertanya kepada seorang dua sahabat penulis sama ada mereka menerima surat berdaftar, emel malah panggilan telefon dari Jordan. hanya untuk bertanyakan antara lain, apakah dan siapakah sumber ilham dalam menulis. The literary world has so many great authors as it does great characters. Whose legacy, author or character, inspired you to take up writing?  saya tidak pasti berapa seriusnya pihak ini bertanya. namun dalam senyap saya mula mencatat jawapan... pernah suatu ketika, saya menjadikan beberapa sasterawan sebagai sumur ilham saya. tapi sejak akhir-akhir ini saya sedari bukan hanya hasil kerja beberapa nama itu yang menjuruskan lorong penukangan seni saya. ternyata saya semakin melihat susuk peribadinya juga yang menawarkan semangat. maka, catatan jawapan lama itu saya padam, dan mengubah ayatnya begini, bahawa kepercayaan saya dan al Quran akan selalu menjadi daya batin yang luar biasa bagi saya terus menulis, dengan izin-Nya ...
Image
  Dalam sebulan ini saya menerima hadiah yang sangat mengilhamkan. coklat! bukan sekali tetapi dua. dan bukan sekarung tapi lebih daripada itu! ya Allah. saya bertanya-tanya mengapakah si budiman ini terus memberi dan ia tidak menghentikan beberapa buah perenungan. saya mengibaratkan hadiah-hadiah ini sebagai rezeki Allah buat kita yang juga tidak putus-putus. seperti yang pernah saya luahkan kepada mahasiswa lewat kuliah semalam, kita terlalu banyak diberi nikmat dan anehnya kita ditenggelaminya; langsung lupa untuk berterima kasih. ya Allah, bilakah kali terakhir saudara berteleku dan benar-benar berterima kasih kepada Allah?
Image
Saya gemar membaca puisi, pasti sahaja puisi  Melayu sejak dari pantun, syair mahupun puisi moden yang dipanggil sajak. saya gembira mengutip susunan rangkap, pasangan kata atau sering tergoda dengan bijaksananya penyair menyaring bunyi. saya menyambung baca Syamail ; dan Zahar juga membacanya kemudian kami saling bercerita tentang setiap hadis berkenaan keperibadian Rasulullah, kekasih Allah. ternyata Muhammad yang Mulia, turut bersyair dan ia adalah baris yang indah dirakam Jundub Sufyan al Bajali, saat darah mengalir keluar dari jemari Rasulullah, antara baris syair inilah yang bergema sama, engkau hanyalah jari-jemari yang berdarah, dan engkau terluka di jalan Allah.  ya Rasulullah! salawat dan salam buat baginda.
Image
Apa yang dikenang pada hari kita dilahirkan, selain turut mengingat hari kita akan dipanggil pulang. jarang saya tertambat dengan pengalaman kematian yang adatnya disambut dengan kehibaan dan disusuli dengan kenangan demi kenangan bersama arwah. saya masih menangis setiap kali nenek menjenguk di pintu rindu yang akan selalu terkuak itu. mengapa saya menangis? ternyata nenda masih terus menumbuhkan cinta, nenda masih terus meninggalkan semangatnya saat saya mengeluh lelah dengan manusia. dan di sebuah subuh yang hening, saya seperti mendakap bahu nenda dan mahu mengucapkan terima kasih kerana ketika nenda sudah tiada begini, saya masih diasuh untuk selalu mengingat jalan pulang apabila meraikan hari kelahiran...
Image
Saya semakin teruja menghimpun perasaan untuk mencintai Rasulullah; walau pernah kesal kerana begitu lewat untuk saya menumbuhkan cinta ini. dari  kuliah pagi ini tentang agungnya cinta Rasulullah kepada kita. mengapa hanya Nabi Muhammad yang diberikan kuasa syafa'at. ternyata doa istijab yang diberikan Allah belum lagi digunakan Muhammad berbanding nabi-nabi lain. Muhammad yang Mulia hanya akan menggunakannya di akhirat nanti untuk kita, menyelamatkan umatnya. Allah, Allah, Allah. Syamail Muhammadiyah ini antara lorong untuk membangunkan kecintaan kepada Kekasih Allah. kenal Rasulullah dan cintakan Rasulullah.
Image
Laman saya ini pernah kacau. tiba-tiba gambar entri hilang. ada beberapa mahasiswa cuba membantu. setelah beberapa masa berlalu, saya menyimak kembali catatan lama. ternyata masih banyak yang masih lopong. malah untuk tahun 2011 sangat mengecewakan. sekali lagi saya memujuk diri. tidak ada yang kekal. hidup ini jangan disandarkan kepada rumus matematika. yang malang tidak selalu merugikan. Allah, Allah, Allah. ternyata saya masih dungu dan tidak banyak belajar...
Image
Takdir. ia datang dalam pelbagai kejutan. atau kadangkala ia mengalir seumpama sungai yang selalu kami berpapasan setiap kali mahu keluar masuk ke lapang halaman rumah omak mertuo den. ia akan mengalir terus  seperti firman-Nya, sehingga tibanya hari yang tidak ada lagi jual beli, tiada lagi persahabatan yang akrab atau tiada lagi syafa'at (al baqarah: 254) . takdir nenda pulang adalah seperti jalannya sungai tohor itu. ia terus akan terjadi kepada saya dan saudara. hanya masanya yang sering diisyaratkan takdir namun selalu pula ia tidak dapat ditelah. doa. ya, itu antara pedoman agar kita selalu bersedia dan menunggu-nunggu bila ketikanya. dan pada saat itu, mudah-mudahan kita  sudah siap. mudah-mudahan.
Image
Esok bermula kuliah untuk semester kedua sesi 2012/2013. litar hidup, saya teruskan lagi dan saya tidak tahu sama sekali lekuk atau selekoh yang bakal saya depani. sesungguhnya, untuk empat belas minggu saya merancang sekian jadual untuk pengkuliahan. namun, saya semakin diasuh makna penyerahan. saya mula untuk mengasihi takdir. saya mohon Allah aturkan segala buat saya tanpa sedetik pun tangan saya sendiri menentukannya. Allah, Allah, Allah.  
Image
Mungkin sahaja ada yang hairan, mengapa saya begitu terasa kehilangan nenda Saronah. pernah saya tanyakan pada Zahar, adakah peritnya seperti yang saya rasakan sekarang saat kehilangan seorang nenek. saya melihat perbezaan kami. keluarga saya kecil bilangannya, berbanding Zahar. keluarga saya sangat akrab kerana jumlah angka itu. nenek sangat mengenali bukan hanya tabiat, tetapi hati dan perasaan kami. dan saya merupakan cucu sulung daripada anaknya yang pertama. nama saya dihadiahkan nenek. sijil kelahiran saya tercatat nama nenek di ruang  informant .  pernah saya catat di sini, nenek selalu menghulur tangan saat saya mahu jatuh. nenek tempat saya mengadu  ketika saya mahu menangis. nenek saya rujuk untuk resepi lama. pernah kami bernyanyi lagu kegemaran bersama.  dan siapa yang dapat meneka, nenek menutup hidupnya di hadapan saya isnin lalu...
Image
  Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia mengkehendaki sesuatu, hanyalah berkata kepadanya, "Jadilah!" Maka terjadilah ia. Maka Maha Suci Allah yang di tangan-Nya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepada-Nya lah kamu dikembalikan. akhirnya masa nenda tiba jua. nenda Saronah Masiman kembali semula ke jalan datang pada februari 11 lalu menjelang isya'. dalam mukena dan al Qur'an di tangan, saya menemani nenda kesayangan kami itu. Allah bimbing dan gerakkan hati saya untuk  terus ke kamar nenda, saat saya duduk membaca terjemahan, saya melihat nenda kembali...
Image
Berapa banyak permintaan sdr yang Allah penuhi? Saya sedang membaca ayat 186 dari al Baqarah dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan  permohonan orang yang berdoa apabila ia bermohon kepada-Ku maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu berada dalam kebenaran . Saya juga pernah diberitahu, bermohonlah dengan adab seorang hamba. perhatikan dengung suara, getar harap dalam dada atau seluruh perhatian yang dipusatkan. adakah kita benar-benar meminta atau ia hanya satu upacara  merakam perasaan. ya Allah, siapalah saya di hadapan-Mu kerana saat meminta-minta itu pun saya tidak merasa bahawa saya ini adalah hamba!
Image
Janji untuk berada di samping nenda pada setiap hujung minggu. dan setiap kali berada di kampung halaman , saya lebih senang  mengambil mrt ( foto ). elak laluan lampu isyarat yang banyak dan lebih selesa. nenda sudah hampir tidak dapat bertutur. hanya anggukan dan gerak wajah  sebagai tanda percakapan. sedih memang. apalagi bila saya tahu, nenda cuba menyatakan sesuatu. Allah!
Image
Dua minggu ini nenda ditempatkan di aras 8 Hospital Khoo Teck Puat , yang menurut Zahar hospital terpermai pernah dilawatinya. dengan kehijauan, aliran air yang menghuni bersama para pesakit serta angin yang keras namun seperti mahu meloloskan lara, kepedihan mahupun kesendirian di katil yang hanya bertemankan misi dan ubat. berselang seli kadang kala ada sekumpulan anak muda dengan cello dan biola, datang mengalunkan muzik di tubir kolam aras bawah. getarnya dibawa angin sampai ke paras atas. untuk sebulan ini hilang ingatan nenda dan kami mengandai-andai bahawa ia petaka alzheimer atau dementia . rupanya isyarat Tuhan yang selalu mahu membantu, kami diberitahu nenda berdepan dengan brain tumour . ia sudah lama bersarang dan ternyata nenda begitu dapat bertahan tanpa apa-apa tanda. ya Allah, nenda ternyata sudah tidak dapat menyebut nama saya. namun suatu pagi sewaktu giliran saya mengawasi nenda, saya bacakan ad dhuha berkali-kali tanpa jemu di bahu nenda....
Image
  12 Rabiul awal, kami meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad  dengan memperbanyakkan salawat. saya memberi tugasan pagi kepada Alif Matiin untuk menulis nama "Muhammad Abdullah"  dan selalu menyebutnya agar Rasulullah juga tidak lupa pada nama Alif Matiin. saya juga mengirim kawat kepada beberapa sahabat, dengan rakaman ucapan agar kita memperoleh syafaat Rasulullah dengan menggandakan ingatan kepada baginda yang kita rindu dan cinta. saya turut membacakan sisipan bab Rubu' Ihya Ulumiddin tentang akhlak dan adab Rasulullah kepada Alif Matiin dan Zahar. mereka  ternyata teruja apabila saya bacakan, Rasulullah seorang yang pemalu, berhidung mancung dan kulitnya kemerahan. Rasulullah punya kerendahan hati. apabila ada yang gementar dengan kehebatannya, baginda akan menyapa, aku hanya seorang anak perempuan Quraisy yang makan daging kering.    
Image
    Pak Samad Said akan kata, kulit buku ini sangat memujuk. ya, besar kemungkinan begitu. judulnya, bagi saya juga begitu menyeru. tahniah buat adinda Dr Kamariah Kamarudin . terima kasih atas hadiah istimewa ini. Catatan Cinta Anakanda Bonda , terbitan ITBM 2013. 
Image
  Saya sudah beralih tanggungjawab rasmi di pejabat. daripada menjaga hal ehwal akademik dan pentadbiran program, sekarang saya diberikan tugas menjaga jurnal. Jurnal Melayu . oh, ternyata ia bukan kerja mudah. saya menyelak buku panduan, kamus dan mencari perkakas sendiri, untuk memulakan kerja berat ini. ya, saya seperti pekerja baru di hari pertama. kepada sdr yang berminat, silalah mengirim makalah. antara panduan penulisannya ada di sini ; sementara ia dikemaskinikan... semoga saya dikasihani Allah dengan sabar dan solat, untuk melunaskan amanah ini.  
Image
Banyak rupa nikmat yang Allah berikan untuk setiap kita. manusia selalu berfikir dalam rumus matematika atau logika. maksud saya, nikmat itu dilihat sering dilihat dalam susuk yang baik sahaja. sekiranya ditimpa musibah, datangnya sekali-kali tidak diraikan sebagai nikmat. saya dalam kesedihan apabila mengenangkan nenda yang saya kasihi mula mengalami sindrom lupa. saya sebak saat memperkenalkan diri, siapa saya kepadanya, kerana nenda sudah mula lupa banyak perkara. sekejap saya terjaga, mengapa nenda saya jadi begitu. alangkah jika dalam usia 83 tahun, diingatnya banyak peristiwa, mungkin sahaja ia merupakan satu petaka yang sangat mendera untuk si pikun sepertinya. maka saya pun menadah tangan, alhamdulillahi rabbil alamin . terima kasih Allah kerana ada yang terlupakan oleh nenda kami itu!
Image
Sekian banyak yang saya rakam dalam ruang blog ini, saya sedar saya tidak menyaring sama ada ia kisah yang menyukakan hati atau sebaliknya. kali ini termasuklah yang akan saya berbahagi juga adalah cerita pendek Alif Matiin dalam waktu kurang lebih seminggu memulakan persekolahannya. di sebalik kisah dia happy mendapat bilik darjah (sehingga tidak mahu pulang sewaktu menduduki ujian saringan), anak saya itu juga menyimpan sejarah sendiri. antaranya pipi kiri berparut kerana jatuh di kantin, seluar sekolah agama berlubang kerana diseret, kotak pensil patah (isinya entah di mana), tali beg sekolah yang mula haus kerana bergeser dengan roda, tertukar tali leher, tali botol air putus dan pulang dengan baju yang comot hampir setiap hari! ya, semua berlaku dalam seminggu ini. dan saya mahu bercerita kepada sdr kerana ia bukan rahasia untuk saya simpan sendiri.
Image
Alif Matiin atau ejaan sebenarnya Aliif Matiin, sudah mula buat sujud syukur seusai solat. kami mengasuhnya untuk selalu berterima kasih kepada Allah atas segala yang diberikan melalui sujud syukur. sepatah kata bapaknya, walau dapat musibah pun kita harus buat sujud syukur kerana kita lebih dekat dengan-Nya. semalam selepas solat maghrib saya bertanya untuk apa sujud syukurnya kali ini. anak saya dengan riang menjawab sebab Alif happy, sebab Alif pandai buat kerja sekolah, sebab baju sekolah Alif tak kotor.... saya suka gambar ini. ia pernah saya gunakan dalam entri september 7, 2012.
Image
Cuti saya berakhir hari ini sempena anak mula persekolahan. hari pertama, kami perhatikan tiap masa: masuk darjah, waktu rehat dan waktu pulang. rupa-rupanya sangatlah meriah di pintu pagar sekolah waktu keluar masuk. pada masa-masanya, van dan bas sekolah menderu-deru! kami mendapatkan pemandu dan pengasuh Alif Matiin, seorang yang mengambil berat soal binaan peribadi dan ruhani. banyak yang dipelajarinya tiga hari ini. tidak putus-putus saya mendoakan khusus lewat sujud untuk Alif Matiin diterangkan hati belajar, disenangi, dikasihi dan diterima guru-guru dan teman-temannya. semoga Allah menggerakkan tutur kata dan tingkah laku yang terpuji dalam diri anak kami itu. amin!
Image
Kotak pintu baru rumah kami ini antara kehendak dan impian Zahar yang banyak mengingat surau zaman anak-anaknya. saya juga suka dengan citarasa ini. namun masih ada yang belum lengkap, antaranya rangka jendela kaca yang mengapit. pintu separuh kaca dan kayu ini melatih Alif Matiin untuk hati-hati sama ada membuka atau merapatkannya kembali. begitu juga dengan sikap hati-hati yang setiap ketika saya ingatkan anak bujang saya yang baru mula ke sekolah. antara pesan neneknya juga, jalan hati-hati, jangan berlari di sekolah! saya terus berdoa semoga pintu ini juga lambang bukaan rezeki buat kami, buat kita di tahun baru!
Image
Hari terakhir 2012, saya masih bekerja dengan menyemak  penulisan mahasiswa. ia juga hari terakhir mereka menghantar tugasan sebelum minggu ujian. saya teringatkan rumah yang masih perlu dibersihkan selepas kerja pengubahsuaian berjalan lebih sebulan. rasanya inilah kali pertama dan terakhir rumah kami digubah setelah lebih dua belas tahun dihuni. ia kerja yang sangat melelahkan dan memedihkan hati. semoga tahun baru masihi yang datang esok banyak memujuk saya yang semakin tua ini...
Image
    Hari ini, pertama kali Alif Matiin ke sekolah untuk sesi orientasi. menghadiri perhimpunan, ujian saringan, mendapatkan buku teks dan membeli buku lainnya. aduhai, bersejarahnya!
Image
Alhamdulillahi rabbil alamin. kesyukuran yang paling dalam sempena jumaat yang mulia. kali ini cerpen Benarlah Kata Angin itu, dan Saya  Meneruskan Perjalanan (Mingguan Malaysia, 7 november 2010) dan esei Hubungan Melayu-Cina dalam Cerpen Melayu (Dewan Sastera, Jun 2010) memenangi tempat dalam HSPM 2010/2011. terima kasih kepada panel penilai! terima kasih kepada kawan-kawan yang mengirim kawat tahniah. terima kasih kepada dua sahabat yang turut menemani saya ke Hilton. memang jumaat yang bersejarah.
Image
Esok hari natal, saya memujuk hati untuk ke pejabat hari ini. begitu juga saya memujuk si Mohican untuk bangun di pagi yang mendung. kami menghentikan perkhidmatan air panas  Mohican untuk dia tahu segarnya air apabila bermulanya hari. banyak cerita harus disusun untuk menggerakkan anak mandi di pagi yang dingin.  antara plot cerita itu ialah tentang hari natal dan dengannya saya mengingat sahabat yang akan meraikan seperti Susana, Stefanie, WC, Eskay, Sis G, Gloria K Estafan ... dan Alif Matiin bertanya,  adakah salji akan turun esok, seraya melihat langit di luar jendela. selain mahu meluncur, katanya mahu memancing di rekahan ais. aduhai, anakku ...
Image
Allah, betapa jumaat datang lagi. baru sepagi ini banyak yang saya lalui. dalam lalu lintas urusan di rumah, di bengkel kereta, di pejabat, ya seen dan as sajda,   sempat saya ikuti di dalam kereta. saya masih berhutang dengan al waqia . semalam petang saya menyudahkan al kahf. begitulah terlalu banyak yang mahu dilakukan sedang entah sedikit masa yang tinggal. dan saya bergegas mendoakan agar kita dijauhkan daripada gangguan syaitan dan nafsu jahat. saya mohon diampunkan Allah sesiapa yang berbuat nista dan sesiapa yang bersilang faham terhadap saya.
Image
saya tidak lagi ke fb. dengan rendah hati saya memaklumkan. saya melihat ruang bermasyarakat itu dengan mata yang kosong. ini rakaman foto semalam. sewaktu makan tengahari di sebuah rumah makan yang mengilhamkan. ruang makan yang kosong saat kami masuk, lalu meriah bila hari semakin panas. 
Image
Sudah lama saya tidak keluar makan dengan kawan-kawan. makan tengahari saya selalu di bilik kerja dengan bekalan dari rumah atau jika Zahar kelapangan, akan hantar nasi dan lauk kegemaran isterinya ke pejabat. tengahari tadi saya dibelanja makan tengahari di sebuah restoran yang cantik. makan tengahari yang bukan sahaja meraikan kejayaan teman tetapi meraikan persahabatan yang sering terpenggal-penggal. enak juga makan siang di luar rupanya. terima kasih kawan! 
Image
Sekali lagi saya bertugas di luar daerah dan latarnya menghadap pantai. resort kali ini sangat mengilhamkan dengan reka hias tradisional tempatan. saya menjengah banyak sudut, antara yang menarik adalah ruang ini. saya sedang mengarang dan ia memasuki perlahan-lahan ruang imaginasi saya.  
Image
TAHNIAH kepada semua mahasiswa saya yang terlibat dalam projek tugasan kursus SKMM6013 Kesusasteraan dan Falsafah Melayu, SKMM3013 Sastera Bandingan dan SKMM1063 Pengenalan Persuratan Melayu. dari kerja pengurusan kepada pengisian dengan penghasilan dokumentari kepengarangan Melayu, cd promosi genre sastera, pembentangan, pidato, persembahan puisi dan lagu puisi serta pameran tokoh. semoga banyak yang dipelajari dan dimanfaatkan.
Image
Beberapa projek mahasiswa yang berlaku serentak minggu ini. bermula dari sesi pemerhatian kuliah Penulisan Kreatif, bersambung ke persediaan Hari Persuratan Melayu. melihat perkembangan pengurusan projek, mutu pengisian di samping terus memahat ingatan bahawa ini bukan sekadar tugasan dan markah. perjalanan membelah malam, menonton langit yang berselang awan, sesekali meninjau saf isya' seraya mengamin doa. ia adalah rakaman betapa saya bersyukur. sebaik mahasiswa yang saya sayangi berada dalam bas untuk dihantar pulang, hujan luruh dengan nada yang damai. sms saya kepada Rai, ketua kumpulan, sesungguhnya cuaca sangat mahu bersahabat. cuaca putrajaya menyambut kita dengan azan isya' antara angin separuh dingin, kemudian menghantar kita pulang dengan hujan rahmat-Nya. hari ini saya akan berada di dalam dewan dan tapak pameran/jualan untuk persiapan akhir Hari Persuratan Melayu kami. terima kasih Allah!
Image
Hari ini merupakan kali terakhir saya berjumpa Shila di pejabat. awal pagi, dia seperti biasa membersihkan ruang kerja saya dan mula bercerita yang akhirnya tiba di titik, saya harus berhenti kerja kerana ... saya baru sedar antara banyak yang saya jumpa dan kenal, Shila  mudah buat airmata saya tumpah. melihat mata, susuknya yang pipih namun sangat kelihatan ikhlas bekerja, semuanya itu buat saya sebak. baru-baru ini rumahnya dipukul bah setinggi bahu. anak keduanya yang masih bayi diusung ke dewan orang ramai dengan suami yang uzur. saya mendoakan Shila sekeluarga dikasihani Allah.saat kami erat berdakapan, Shila tidak henti-henti mendoakan saya, Zahar dan Alif Matiin. dan jumaat yang mulia ini saya membaca, sesungguhnya orang yang benar-benar percaya kepada ayat-ayat kami adalah mereka  yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat itu mereka segera bersujud seraya bertasbih dan memuji Rabbnya, dan lagi pula mereka tidaklah sombong (as sajda: 15). hingga jumpa Shila...
Image
masjid putrajaya Ada beberapa acara yang akan diikuti pelajar Penulisan Kreatif saya; sebahagian kerja pemerhatian mereka sebelum berakhirnya kuliah semester ini.   10 disember: ke Masjid Putrajaya  untuk   meneroka penciptaan hari (7.30 malam)   12 disember: diundang ke Hari Persuratan Melayu di auditorium siswa (8.30 pagi)   21 disember:  menyaksikan tayangan filem di Balai Busana Melayu (2 petang)      semoga mereka menanggap dengan mata dan fikiran yang berbeza.
Image
Menyalin  puisi sahabat saya, Rahimidin Zahari , "mawar" ( dewan sastera , disember 2012).   Sewaktu sekolah rendah kegemaranku menanam mawar sehingga berbunga dan berkembang mawar di lembah hatiku.   Sewaktu sekolah menengah seorang teman baik menghadiah perfume mawar dan berbekaskan mawar sehingga tubuhku berbau mawar.   Setelah menjadi bapa seorang teman pelukis Abu Bakar Idris menghadiah catan sekuntum mawar hitam yang disamarkan putih dengan judul puitis 'Bisikan Misteri' dan setiap hari aku seperti mendengar bisik misteri itu.   Dari KLIA ke Ghuangzau aku menghabiskan tiga jam 50 minit dengan membaca 'Mawar yang Hilang' karya Serdar Ozkan terbitan ITNM di Beijing Lu satu malam aku tertarik pada headgear dan kostum penjual aku membeli sebentuk cincin perak berbungakan mawar tanpa menawarnya.   Di tengah sesak manusia aku menyusur pulang ke hot...
Image
Sejak konflik menjadi tua dengan tiba-tiba , minyak zaitun   menjadi  begitu istimewa. bukankah ia juga disebut-sebut dalam al Qur'an. at- tin: 1: demi buah tin dan zaitun.   al-mukminun: 20: dan pohon kayu keluar dari Thursina (pohon zaitun) yang menghasilkan minyak dan pemakan makanan bagi orang-orang yang makan. an-nur: 35: Allah adalah cahaya seluruh langit dan bumi. perumpamaan cahaya Allah adalah seperti sebuah tempat pelita di dalamnya ada pelita besar. pelita itu berada dalam kaca dan kaca itu seakan-akan bintang yang bercahaya seperti mutiara yang dinyalakan dengan minyak dari sepohon yang penuh barakah (pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak di sebelah barat), minyaknya hampir-hampir menerangi walaupun tidak disentuh api lantaran minyak itu sangat bening berkilau. cahaya di atas cahaya berlapis-lapis. Allah membimbing kepada cahaya-Nya yang Dia kehendaki dan Allah membuat perumpamaan  bagi manusia. dan Allah Maha Mengetahui seg...
Image
Siapa antara susuk peribadi yang mengesankan di mata saudara? ini antara soalan saya untuk mahasiswa penulisan kreatif kami. mereka harus membentang susuk itu dengan kewajaran. dan tidak semestinya dia nama yang masyhur. mungkin sahaja dia anak kecil yang pernah mengungkap doa buat seluruh alam. barangkali memang dia seorang negarawan yang mempertimbangkan banyak sisi. saya terbaca ini tentang tujuh dosa besar pembawa kehancuran oleh Gandhi ~ kekayaan tanpa bekerja ~ kesenangan tanpa hati nurani ~ ilmu tanpa watak ~ perniagaan tanpa etika ~ sains tanpa kemanusiaan ~ agama tanpa pengorbanan ~ politik tanpa prinsip. saya meneka-neka siapa pilihan mahasiswa saya yang berjumlah empat puluh enam orang itu. 
Image
Blog ini, selepas takdir gelapnya, masih terus dibaiki. gambar-gambar lama masih dalam kerja menampal semula.  sehingga hari ini baru selesai untuk tahun 2012... memang ia bukan kerja mudah :-(
Image
Saya tidak menulis pengalaman melihat pokok besar yang tumbang sejurus ribut menyerang kampus kami beberapa minggu lalu; sewaktu mahasiswa bercuti. saya berhampiran tapak takdir itu. begitu juga saya sempat melihat akar pokok selepas hujan lebat di muka jalan dekat lorong sekolah Mohican. sebahagiannya akar itu mirip arca yang sangat berseni. bagaimana pokok dan akar itu bercantum dalam tidur. dalam mimpi. saya melihat banyak sekali pohon besar yang tewas di tangan seorang lelaki yang persis susuk mahasiswa saya. ya, saya jadi kagum separuh hairan apabila begitu banyak pohon gergasi yang terbaring di sebuah hutan. oh mimpi rapsodik! adakah ia datang dari jalan siang yang akhir-akhir ini sering dengan hujan ribut  atau dari hati saya yang banyak angin taufannya...
Image
Tahu-tahu saja saya memberikan contoh drama bersiri lama ini dalam kuliah. kami membincangkan kerja eksperimen pengarang dalam garapan cerpen futuristik.  Space 1999 . ya, bagi yang hidup pada dekad 70-an, ini antara tontotan kita. sebuah cereka sains yang mengujakan waktu saya kanak-kanak, membayangkan bumi dalam dua dekad mendatang.  sebagai yang dicipta, tentunya banyak yang kita tidak tahu, apalagi untuk membayangkan apa yang belum berlaku. dan ia tentunya jauh daripada apa yang kita mampu bayangkan. Maha Suci Allah yang Maha Mengetahui.
Image
Sesungguhnya, menjelang tua, semakin banyak perkara baru menjadi pelajaran. daripada sekecil-kecil hal kepada mungkin sahaja yang melibatkan nama maruah. saya menganuti kepercayaan bahawa untuk belajar perkara baru setiap hari dan dengannya saya mahu menjadi manusia yang lebih baik, walau sering juga saya kandas. antara perkara kecil itu ialah cara mengenakan krim muka. ya, krim muka!  ini soal kesihatan wajah (sudah tua begini, makna kecantikan sudah sangat terpecah-pecah). rupanya kebanyakan krim muka, sangat tidak boleh menyentuh kawasan sekitar mata (sesekali kita akan berjumpa kenyataan amaran ini, namun dalam banyak suasana, ia dipadamkan). akibatnya, jika ia melewati kawasan halus itu, sejurus bangun tidur dan melihat cermin, saudara akan kelihatan menjadi tua dengan tiba-tiba. seribu kedutan dengan serangan ketakutan akan memecahkan sebuah pagi yang aman. benar! krim muka tidak harus memasuki daerah mata . waspada. cermat. kita boleh jadi tua tiba-...