Posts

Image
Negara kelahiran saya melalui sejarah besarnya hari ini apabila Halimah Yaacob secara rasmi merupakan Presiden baru Singapura. Beberapa perihal menarik terkait dengan sejarah ini,  beliau adalah Presiden ke-8 ~ Presiden wanita pertama ~ Presiden Melayu kedua selepas Yusof Ishak ~ Menetap di flat HDB Yishun dan merupakan ahli Parlimen GRC Jurong. Syabas Puan Presiden. 
Image
Sdr tentu banyak melalui kisah hujan. Dan ia kemudian menyeret Sdr ke capahan ruang sendiri dan sangat rahsia. Saya pernah kehujanan pada sebuah malam Ramadhan. Kami berjanji untuk berjumpa di ruang iftar. Ya, saya menunggu dan menanti hingga azan berbunyi dan semua pelanggan di rumah makan itu mula menikmati hidangan yang dipesan. Saya masih menunggu dan menanti di penjuru itu dengan segelas air suam ihsan dari pemilik kedai. Ternyata dia terus sepi sedang saya yang masih menanti. Perasaan dungu dan malu hingga saat ini masih saya dapat rasakan. Kemudian saya membelah dingin malam, hujan yang bersatu dengan hawa dalam gerabak mrt (ya, kenangan teman yang mungkir dan tidak peduli akan janji ini berlaku di Temasek), membawa langkah sebak saya pulang ke apartment. Anehnya saya tidak menangis seperti selalu apabila ditinggalkan. Namun hingga sedekad ia berlalu, babak kehujanan, tidak berpayungan, apalagi dengan tiada kepedulian pada janji dan kata maaf, semuanya berhimpun lama. Sesek...
Image
Masih dengan cerita korban. Semasa meladeni Mak yang demam, kami berjanji untuk mula menabung bagi korban tahun depan. Satu hari RM2.00 selama setahun dari sekarang. Bunyinya kami seperti anak kecil yang seronok mahu mengumpul duit bagi mendapatkan sesuatu yang diimpikan. Subhanallah, mata Mak yang kelabu jernih seperti bintang yang cantik cuba untuk menyatakan sesuatu. Saya tahu saat itulah kebahagiaan menyertai sukma kami. Dan saya mahu menangis sebenarnya, separuh mengelus garis-garis halus di tangan Mak dan sebahagiannya lagi berdoa sungguh-sungguh tabungan kami penuh menuju Idul Adha tahun 1439, insya-Allah. 
Image
Salam Idul Adha. Kita masih dalam untaian takbir. Dapat pulang bertemu Mak kali ini rupa-rupanya kian menghangatkan keakraban kami. Itu yang paling saya syukuri walau dalam risau panas demam Emak yang lambat kebahnya. Alhamdulillah syukur, jalan takdir yang indah, dalam rutinitas tadabbur, saya singgah di surah al Anbiya: 69: Wahai api. Jadilah kamu dingin dan penyelamat bagi Ibrahim. Sebelumnya saya bacakan al Fatihah (40 atau 10 kali atau sekali), surah al Ikhlas, surah an-Nas dan surah al-Falaq dalam air untuk Mak. Saya memohon doa penyembuhan. Dalam pengharapan yang panjang saya tahu doanya yang turut mengiringi buat Mak, sangat ikhlas, sangat tulus. Alhamdulillah syukur, suhu Mak turun senja hari kedua. Dan saya selalu yakini Allah Maha Mendengar dan Menyembuhkan Mak. Allahu akbar.
Image
Salam Arafah. Terus berdoa dalam berjarak.
Image
Lama dahulu sewaktu  di Temasek, saya mengaji al-Qur'an di surau kampung kecil kami di penjuru Bukit Timah. Masih ingat, saya mempunyai seorang dua sahabat anak jiran yang saling menemani ke surau usai Maghrib, walau ia hanya sepelaung jauh. Walau dekat kami masih beriringan. Dalam beberapa cerpen mengenangnya, saya juga pernah menulis sekembali dari kelas mengaji, pada musim kuih bulan dan tanglung tiba, sahabat Tionghua kami akan sedia menunggu. Bahagia dengan cahaya tanglung dalam jelaga malam, menebar riang, kami menjamah manisnya kuih bulan dan persahabatan. Begitulah antara pecahan ingatan dan kenangan. Alangkah sepi sebenarnya tanpa sahabat mengaji, sahabat al-Qur'an, mahupun sahabat solah. Biarlah saya kehilangan seribu sahabat lain, asal saja dia masih ada, walau sebenarnya jauh daripada nyata. Ya, saya rindukan sahabat al-Qur'an dan sahabat solah saya. 
Image
Kerap saya mengulang baris Rumi, dalam kesenyapan kita akan mendengar dengan lebih larut. Enak juga berdiam. Seperti melangkah masuk ke ruang tengah kutubkhanah, kita bertembung aksara yang membariskan maksud akan ingatan. Atau saat kita menyertai galeri lukisan dan arca, kita berpapasan dengan keping-keping kenangan. Benar, sunyi sering membentangkan keluasan agar kita lebih menjadi saksama. Saya yakini juga ia menawarkan pengertian. Dan ia sama sekali tidak bererti adanya jarak.
Image
Semakin kita menuju hari besar Zulhijjah. Kian kita mahu membenarkan apa yang dimaksudkan dengan pengorbanan. Saya memetik baris Sister Yasmin Mogahed, apa yang dikorbankan sebenarnya adalah ikatan. Seperti Nabi Allah Ibrahim yang diminta mengorbankan puteranya, bukanlah sebenar leher Ismail yang menjadi sasaran. Apa yang mahu dirungkai adalah ikatan. Apa yang mahu direngkuh adalah pembebasan akan sesuatu yang sangat dicintai. Subhanallah. Saya sedang belajar akan perihal melerai, merungkai, membebaskan ikatan yang beberapa waktu ini dengannya saya jadi menggenap, bahkan berpaut dan larut. Ternyata jauh sekali jalan saya menjadi pintar.
Image
Saya berdusta jika saya katakan saya tidak pernah sekali berbohong dalam hidup. Sering juga saya berdalih untuk mententeramkan jiwa  sendiri atau orang lain. Ada seorang sahabat yang menyatakan perkataan dan perkara yang paling tidak disukainya dalam seluruh hidup adalah bohong . Saya fikir dalam keadaan tertentu, saya harus berdalih kerana untuk menjaga hati. Saya harus melapisi alasan saya dengan tidak menjawab benar. Ketikanya,  diyakini jika saya mengambil pilihan sebagai orang jujur, ia akan menumbuhkan jarak dan ada yang akan berasa hati. Aneh sekali bunyi entri ini. Aneh memang. Saya seperti mahu berlari membawa diri ke wilayah sunyi yang hanya saya sendiri mendengar talun kelurusan,ya bunyi ketulusan. 
Image
Dua  Zulhijjah, yang menurut Ustaz, ini adalah peluang kedua sepuluh hari selepas kesempatan sepuluh malam dalam Ramadhan lalu yang mungkin dibazirkan. Subhanallah. Saya mencongak-congak apa yang luar biasa harus saya lakukan sepanjang sepuluh hari istimewa ini. Seperti di fakulti dan kampus kami yang giat bersiap meraikan kedatangan mahasiswa baru hujung minggu ini, begitulah bernyala-nyala juga iltizam Zulhijjah kita. Sekali lagi bukan perihal 700 kali ganda hadiah yang mahu diraih, tapi bagaimana jalan Zulhijjah ini mahu ditempuh dengan indah. Saya terus mencongak dan membilang seraya memaknakan berhujungnya langit petang.
Image
Ustaz Dhuha kami menjelaskan tiga alasan lazim seseorang tidak melakukan qurban. Pertama, menganggap ia tidak diwajibkan; sedang ibadah qurban bukan hanya tersandar pada isu fiqh, ia turut terkait dengan mauduk tasawuf atau akhlak. Kedua, qurban tidak perlu dilakukan setiap tahun; usahlah berkira-kira dengan Allah; usahlah bercatu-catu dalam urusan ibadah, sedang Allah terus memberi tanpa kita harus meminta-minta. Ketiga, kekangan kewangan yang sebenarnya dapat diatasi awal dengan mengurus tabungan bagi membolehkan qurban dilakukan tanpa rasa tertekan. Lebih dasar daripada itu perihal qurban membentuk diri kita menjadi lebih bertaqwa (al Haj: 37). Qurban yang dijalankan menjadikan kita lebih baik. Ia bukan sahaja soal berkorban, penyembelihan atau agihan daging haiwan kepada faqir. Qurban  membawa kita ke jalan taat.
Image
Tak 'kan dilupa yang ini  Ternyata saya semakin pelupa. Pernah saya tertinggal pesawat kerana terlupa (atau lalai). Saya pernah terlupa acara rasmi yang saya berjanji untuk hadir. Saya pernah terlupa (atau lalai lagi) kuliah hujung minggu. Sering terlupa bagaimana saya harus berwatak dengan seseorang di hadapan saya. Sama ada saya harus berdiri sebagai sahabat yang tidak banyak pantang larang atau saya bukan menjadi diri saya yang sebenarnya. Saya pernah terlupa bahawa saya tidak harus berjauh hati dengan ketua yang saya harus hormati di tempat kerja. Ya, begitu juga di rumah. Saya kerap terlupa bahawa AM masih anak yang perlu difahami. Saya tidak jarang memohon maaf daripada Z apabila saya terlupa kedudukan saya. Begitu saya lupa menutup suis. Saya lupa memadam api dapur. Saya terlupa merapatkan pintu  almari dan laci kembali. Dan saya lupa banyak yang lain lagi. Dan, ya, ternyata saya semakin tua. 
Image
Sendiri Namun  Saat bersamamu,  segalanya  menjadi doa Rumi
Image
Sudah berapa kali saya menjalani laluan ini. Ia sangat sepi dan kosong. Banyak pula tidak ditemukan sebarang bujukan bahawa ini sebenarnya adalah jalur menuju Allah. Ya, tidak ada pemimpin di tempat saya bekerja mengajukan apa yang kita lalui saban hari ini adalah lakuan paling dicinta untuk Allah. Usai meninggalkan ruang bercakap soal tuntutan kerja yang bernyala-nyala, saya mahu segera memujuk kesedihan sendiri dengan menyambung bacaan surah. Saat yang sama teman dari jurus agama berdenting-denting mengiklan kerja penerbitan dan sebutan-sebutan. Saya tiba-tiba bertukar menjadi si unggas kecil yang sangat keliru dan tidak tahu mahu hinggap di mana lagi. Ya, terus wilayah kami menjadi sangat sepi dan kosong sekali. 
Image
Sekian kali dalam bengkel baru lalu di JPA, saya menganjur peserta untuk membaca puisi setiap hari (setiap pagi), ya usai membaca al-Qur'an. Puisi selain menuntun bahasa dalam penulisan cereka seperti cerpen, ia menjadi satu kebahagiaan jiwa. Puisi menawarkan kekayaan kata-kata yang membawa bersama-samanya pena'akulan. Kata-kata yang sering menyeret kita ke ruang makna yang lebih besar dari kotak rangkapnya yang minimal.  Benar seperti lewat baris Sapardi JD lagi  Karena Kata, Karena tak dapat kutemukan Kata yang paling sepi Kutelantarkan hati sendiri Karena tak dapat kuucapkan Kata yang paling rindu Kubiarkan hasrat membelenggu Karena tak dapat kuungkapkan Kata yang paling cinta Kupasrahkan saja dalam doa
Image
Prof Sapardi Djoko Damono Saya mengenali susuk sarjana dan sasterawan ini lama dulu, seingat saya sebelum secara rasmi sewaktu kami mengikuti Mastera di Bogor 2000. Ya kenangan manis saya bersama-sama Jasni M, Faisal T dan Hizairi O. Acara yang sama kami dituntun Bapak Budi Darma juga. Membaca tulisan ilmiahnya, cerita pendek mahupun puisi, sangat menghibur kecerdasan kita. Dalam perjalanan lalu saya mendapatkan Kolam dan Ayat-ayat Api nya. Tapi tak akan dapat terlupakan Hujan Bulan Juni . Dari puisi ke novel ke lagu dan kelmarin Pak Sapardi menitip pesan di wa, Hujan Bulan Juni sudah di bioskop. Luar biasa sekali takdir kreativitinya. Saya jadi sangat berbahagia saat merasa dia selalu ada  dalam dada.  Hujan Bulan Juni tak ada yang lebih tabah dari hujan bulan juni dirahasiakannya rintik rindunya kepada pohon berbunga itu tak ada yang lebih bijak dari hujan bulan juni dihapuskannya jejak-jejak kakinya yang ragu-ragu di jalan itu tak ada yan...
Image
Sejak kecil saya suka menulis, termasuk surat. Saya pernah dimarah abah kerana menulis surat kepada guru mengaji kami, seorang haji yang boleh dipanggil yayi. Saya menulis surat kerana saya merasakan kami diperlakukan tidak adil di dalam kelas al-Qur'annya. Saya juga kerap berutus surat dan mempunyai sejumlah sahabat pena. Kami berutus warkah hampir  berselang minggu. Ya, melalui jalan pos. Hingga kini saya senang menulis. Saya percaya ia membangun kemahiran menulis saya. Dan di sini, saya menulis entri blog lebih  sebagai jurnal harian yang banyak kemudiannya saya pindahkan menjadi cerpen. Ternyata inilah jalan perhubungan saya dengan bermacam pihak; dengan pemimpin, cuaca, kesenjangan, al-Qur'an malah kerinduan. Ia ternyata juga jalan yang saya gunakan untuk bercakap saat berjarak, saat meninggalkan atau ketika aksara mahupun baris sudah hilang makna.                                  ...
Image
Beberapa hari dan minggu terkini, Sdr pasti berfikir-fikir untuk melakukan ibadah qurban sempena kedatangan 9 Zulhijjah. Sdr akan melakukan qurban tahun ini? Tahun lepas juga? Tahun hadapan? Menurut Ustaz Dhuha kami hukum berqurban adalah sunat mu'akad iaitu sunat yang sangat dianjurkan kepada mereka yang berkemampuan. Hukumnya wajib bagi yang berkecukupan mengikut Hanafi. Maka asuhan Ustaz, berazamlah untuk berqurban setiap tahun dan ia merupakan salah satu jalan kita bersama-sama si faqir. Juga bersama-sama keindahan ibadah ini adalah hasrat berqurban dalam lapangan lain juga. Apakah itu? Adakah kita bersedia berqurban untuk benar-benar melindungi aurat? Adakah kita sanggup berqurban masa untuk al-Qur'an dalam kesibukan kita melebihi 24 jam sehari? Adakah kita siap berqurban untuk mengawal solah dalam himpitan kerja yang tidak kenal garis keupayaan? Adakah kita sebetulnya mahu berqurban meninggalkan keseronokan dunia yang berkali-kali dikatakan al-Qur'an, penuh tipu d...
Image
Prof A Latiff Kalau ditanya perkataan yang paling saya junjung selain memberi, ia adalah rendah hati. Saya sangat senang mengenal susuk yang walau dia terhormat, walau dia berusia, walau dia punya segalanya, namun dia punya kerendahan hati. Senang sekali. Dan pasti bukan saya sahaja yang berasa aman dapat duduk dan mendengar kisahnya. Dan tidak pula dengan semua orang yang punya segalanya, dapat kita berbahagi perasaan sebegitu. Ini kisah yang membijaksana dan melentur keluhuran.
Image
Cerpen terkini ... Berada di sesebuah daerah asing agak banyak menawarkan ilham kepada saya untuk menulis. Daerah asing itu sama ada saya menziarahi tempat itu secara lahiriah, mahupun daerah yang sangat batiniah sifatnya seperti memasuki sempadan pengalaman  atau mimpi orang lain. Ya, cerpen terbaru saya, "Bulan di Gifford Avenue" (Ogos 2017, Dewan Siswa ) mengambil sepotong daerah di Wellington ketika saya ke sana beberapa tahun sudah. Selebihnya, saya membawa kaki kecil saya melewati daerah kanak-kanak dan remaja seorang sahabat yang sangat dekat dengan bulan. Ya, bulan. Di situ tempat dia menggantungkan rindu sebenarnya, saya percaya, terhadap ibunya yang sangat dikasihi. Bujukan ibu tentang kucing kesayangan yang berpulang, justeru bulan dijadikan tempat terbaik untuk sahabat saya itu menterjemahkan kasih sayang dan rindu yang sangat dalam rawannya. Subhanallah. Saya juga pernah menyediakan ruang khayalan yang indah buat anak saya sebagai bujukan. Namun di dasar h...
Image
Saya membaca sebuah perenungan yang menghampiri rangkap puisi kerana keindahan perlambangan dan tataan bahasanya (asli Inggeris). Antaranya berbunyi,  kita ini seperti seorang yang hilang arah dalam belantara yang tidak diketahui mana pangkal dan jalan hujungnya kerana semua pohon yang berbaris begitu persis sehingga kita menjadi sangat keliru. Kita tidak ada sebarang pemilikan, apalagi sandaran; yang berdiri bersama-sama kita ketika itu hanyalah harapan. Ya, kita mahu diselamatkan daripada ketakutan kesendirian. Saat itu tidak ada yang dapat melindungi selain perasaan memiliki kasih sayang Sang Penyelamat. Detik itu munculnya harapan dan rasa betapa syukurnya apabila memiliki.  Sesungguhnya tiada upaya melainkan dengan Penyelamatan ini. Lindungi saya.
Image
Antara pesan asuhan Ustaz Dhuha kami bahawa hidup ini bukan hanya tentang diri. Hidup adalah untuk memberi dan bermanfaat kepada yang lain. Persis itu kata-katanya; yang selama ini sangat menyalakan sukma. Ia juga akhirnya membuat rasa kasih dan kasihan seperti garis laut yang kelihatannya sangat tidak bertepi. 
Image
Subhanallah. Benar, saat rawan atau kekosongan yang mengisi, pada detik yang sama dia mampir persis tahu apa yang sedang berulang alik di dalam sana. Kembali bermohon dengan Allah. Pertajamkan salawat. Rapikan rasa keindahan terhadap Rasulullah. Cuba dibawa dalam kehidupanmu akan permulaan Iftitah. Allah yang Maha Besar. Lagi sempurna kebesaran-Nya. Maha Suci Allah sepanjang pagi dan petang. Mudah mudahan ia bujukan sakti untuk pilu dan resahmu pergi.
Image
Beberapa kali bekalan yang saya siapkan untuk AM ke sekolah, akhirnya terbiar di atas meja. Sama ada AM terlupa atau sengaja tidak mahu bawa. Saya pernah menangis dan berjanji kononnya tidak mahu siapkan lagi bekalannya. Bapak juga ada memberikan duit belanja; jika perlu digunakan. Jadi saya tidak begitu berasa bersalah. Kemudian janji saya cepat berubah apabila kecintaan saya menyediakan makan pagi untuk keluarga, masih terus ada. Ikrar yang boleh saya patuh dan leraikan juga. Ia sangat mewakili hati saya yang selalu juga berubah. Ya, ia datang dan pergi seperti angin ribut taufan. Saya selalu mengharapkan orang lain akan bahagia dengan apa yang saya sandarkan di bahu mereka. Bukankah enak rasanya apabila kita dipercaya. Bukankah satu keberuntungan apabila kita menjadi tempat berlindung. Saya teringatkan selendang merah magis yang masih tersangkut di tempatnya. Mahupun si mawar merah. Saya selalu mahu kembali mendapatkan lunak dan hangatnya.
Image
Melihat buku kira-kira AM di rumah yang banyak bertanda merah, membawa saya kembali ke kerusi sekolah. Saya juga seperti AM yang sering gagal dalam ujian matematik. Saya tidak tahu apa yang diajar guru, faedahnya untuk masa depan saya, ketika itu. Sekarang memikirkan dungunya saya terhadap kira-kira dalam kehidupan, saya menyesali pernah mengecam mata pelajaran itu malah selalu mencela kerja rumah yang tidak masuk akal. Ya, sekarang hampir usia  separuh abad atau mungkin saja tinggal sedikit bakinya, saya menebak saya akan jadi bijak menilai apa yang berlaku dalam masyarakat sekarang jika saya menguasai ilmu kira-kira di sekolah dahulu. Misalnya menjawab persoalan, mengapa wang yang diperoleh daripada hasil kerja harus saya berbahagi bukan sahaja untuk ibu bapa malah kerabat, sahabat, anak yatim, faqir, mereka yang meminta-minta atau  juga yang tidak. Dengan hukum matematika, mungkin saya lebih faham mengapa zakat yang sudah disalurkan, maka tidak akan ada lagi kesengsara...
Image
Saya tidak pernah akan melupakan wanita pikun ini. Usianya lanjut mencecah 80-an. Sepanjang bersama-samanya sejak kecil, saya melihat susuknya yang sangat melindungi. Suaranya lunak tapi pada ketika tertentu akan kedengaran mahu dimanjakan. Atau pada dentingan lain, saya seperti disergah untuk bangkit saat kaki terasa begitu lelah dan lengan rengsa saya berpaut pada semangatnya. Dia si pikun yang tidak pernah menyerah kecuali bulan terakhirnya. Saya banyak bercerita tentangnya khusus menerusi entri tahun 2013. Nenda Merah. Itu gelar saya buatnya. Merah juga sudah saya beritahu sebagai warna kecintaannya. Merah adalah ghairah, gelora, sukma, kuasa dan, malah cinta. Ya, dialah Nenda saya yang sudah berpulang, dan hari ini bukanlah tarikh akhirnya atau lahirnya. Bila-bila, malah setiap hari namanya tetap terisi dalam dada. Dia yang istimewa akan selalu ada. Nenda Merah berpulang tepat pada Tahun Baru Cina dengan baju merah yang merupakan pakaian terakhirnya. Malah doktor yang datang...
Image
Banyak cara Allah mahu mengasuh hati kita yang masih belum bersih bersih. Antaranya dengan dibawakan pancingan yang berupa hasutan, godaan mahupun sanjungan; saat diyakini kita sangat tulus. Dalam kita berdukacita, kecewa atau bungkam dengan jurus pandang orang lain terhadap ketulusan tadi, Allah membawa cahaya menuntun kesedaran. Ia merupakan kaedah mensaksamakan kembali antara niat dengan amal. Ya, di situlah kantung keikhlasan ditimbang. Dan, ternyata benar, memang sukar sekali untuk mengharungi jalan berikhlas hati. Ia tidak jarang membawa kita berdiri lama di tikungan atau pun paling tidak  kembali membawa kita mencongak congak akan apa yang sudah kita perbuat. Justeru takdir yang indah,  dibawakan dia doa ini: doa cahaya untuk kalbu. Cahaya di langit. Cahaya rahmah. Cahaya hikmah.
Image
Cerpen terkini Terima kasih kepada Editornya, Sdr Mohd. Nazmi Yaakub yang menyiarkan cerpen Rinai di Perkebunan,  16 Julai 2017, Berita Harian. Beberapa sahabat yang bertanyakan hubungan ilustrasi dengan kandungan cerpen. Tidak ada vespa dalam cerpen. Dan keseluruhan cerpen tidak diwakili gambarnya. Cerpen ini antara pengalaman saya mengenali satu susuk terindah di sebuah perkebunan teh di Ranau beberapa bulan sudah. Ya, sebuah ruang persujudan.  Masjid Nalapak, Ranau
Image
Alhamdulillahi Rabbil alamin. Saya tiba di halaman terakhir al-Qur'an usai Isya' malam tadi. Diajukan sahabat akan doa khatam al-Qur'an dan baru kali ini saya benar-benar memasuki tiap aksara dan baris maknanya, walau sebelum ini pernah mendengarnya berkali-kali. Allah ya Allah, mudah mudah al-Qur'an kian memimpin, sebagai cahaya, petunjuk dan rahmah buat hati saya yang masih belum bersih bersih. Ini bukan hanya kisah khatam, tetapi saya menerima al-Qur'an sebagai yang selalu menemani tanpa sebarang syarat mahupun pembatasan. 
Image
Sdr sedar, kita sudah memasuki hampir separuh Julai 2017 dan sudah melepasi setengah Syawal 1438. Allah ya Allah. Bacaan al-Qur'an saya juga kian melepasi Juz Amma lagi. Bermakna saya hampir dapat menamatkan bacaan sebulan sekali; yang kali terakhir semasa Ramadhan. Subhanallah. Ia tidak pernah dapat saya lakukan sebelum ini. Saya bersyukur sekali kerana masih diberi ruang menumpang kemuliaan Ramadhan untuk terus dengan al-Qur'an.  Begitu juga bersama-sama sahabat al-Qur'an yang sering penuh mengingat dan berpesan akan isyarat yang Allah sampaikan. Cuma soalan untuk hati saya yang masih kotor ini, sedalam mana saya mahu turut?   
Image
Beberapa minggu ini halaman surah yang dibaca seperti banyak menunjuk arah tentang kemuliaan infaq. Subhanallah, sehingga malam tadi, surah al Ma'arij masih menumpukan kisah orang yang mengumpul harta dan menyimpannya. Begitu sebaliknya orang yang menyediakan bahagian tertentu daripada hartanya untuk mereka yang meminta atau tidak. Sebelumnya dalam ayat akhir al Munafiquun yang mengingatkan lagi bahawa jika Allah mahu menundakan kematian, betapa yang manusia mahu lakukan adalah sadaqah. Allah ya Allah. Tangan kecil saya masih memohon. Kaki tua saya masih cuba melangkah bagi mendapatkan sahabat sejiwa yang mahu mendukung upaya kami menyantuni anak-anak yatim. Dalam saya menahan sebak, tiada yang menyahut, saya didatangi kekuatan ini daripada seorang sahabat yang memujuk. Dibawakannya tafsiran al Hajj: 27, saat Nabi Ibrahim berdiri di Bukit Qubais, ragu ragu akan seruan hajinya sama ada didengar atau tidak, justeru Allah meyakinkan bahawa Dia yang akan menyampaikan. Maka benar se...
Image
Musim saling mengunjungi dan makan (lagi) sempena bulan Syawal ini, saya juga menerima tetamu syurga yang sudi mampir. Meraikan mereka turut bermakna saya harus memastikan pinggan mangkuk mencukupi. Saya mudah cemas jika bilangan yang datang lebih daripada lima kerana ia menuntut tampungan masakan yang sukar saya congak; mencukupi atau kurang. Dan saya pula bahagia menyambut mereka di meja makan dengan masakan sendiri. Bermakna ia melibatkan Z yang harus ke pasar. Z dan AM juga  risau dengan jumlah pinggan mangkuk dan sudu garfu kami yang sedikit. Saya meninjau rak, pinggan mangkuk yang tidak pernah bertambah sejak dua puluh tahun lalu. Saya tidak menyimpan set pinggan makan. Apa yang ada itu yang digunakan seharian malah masih yang turut jarang digunakan. Saya teringat zaman dahulu, kebanyakan surirumah mempunyai almari pinggan mangkuk khas untuk diperaga di penjuru ruang tamu termasuk Emak. Semua perhiasan itu hanya digunakan pada hari raya ataupun apabila menerima tetamu...
Image
Penjuru Sukma Hujung minggu yang padat. Seperti tahun-tahun lalu, harus meraikan sahabat dan kerabat yang mahu merakam kesyukuran dengan jamuan lebaran dan rumah terbuka. Allah ya Allah. Sebenarnya saya lebih berasa tidak selesa daripada gembira untuk acara makan dan makan. Jadi, saya berjanji hanya akan menjamah dan tidak mengambil air manis. Di samping ingatan seorang teman, jalinkan silaturrahmi. Justeru saya cuba akur. Dan pada saat yang sama saya menjamah pulut kuning dan rendang ayam, mencari kuih lama seperti bangkit, batang buruk atau biskut ma'amor, rindu saya jauh menyelinap ke penjuru sukma ini yang terkepung antara jalan gunung dengan berjaraknya kami. Alangkah saya dapat bersimpuh di ruang persujudan ketika angin dingin perkebunan membawa salam antara celahan dindingnya yang bersegi-segi. Saya mahu duduk berdiam, memaknakan sebenar akan Syawal. Kembali mengenang Ramadhan yang baru lalu dan yang diharapkan pada tahun mendatang. Ya, saya mahukan Syawal yang di lua...
Image
Foto lama Saya percaya Sdr akan bersetuju dengan saya. Kekuatan naluri dan kurniaan nurani itu seiring, apalagi apabila ia berkaitan dengan mauduk al-Qur'an yang menjadi kecintaan. Kelmarin saya diziarahi sahabat disertai kedua ibu bapanya yang saya turut kenal sejak lama. Ibunya yang memang mengajar al-Qur'an dan sekarang membangunkan Rumah Ngaji di Pagoh. Subhanallah. Saya juga mengenali seorang sahabat yang merupakan anak kepada guru ngaji (sejak kecil mengaji yang saya maksudkan adalah belajar al-Qur'an) yang masih sempat bertadabbur di mana juga dia berada dengan kedudukannya sebagai orang besar. Subhanallah. Ingat kisah saya bertemu watak pikun Syawal ini, pada usia hampir 100 tahun, dia masih memangku al-Qur'an. Sedang saya yang lalai dengan makna surah yang saya baca. Berkali-kali dalam al-Qamar yang baru usai, ditanya tidakkah diambil pengajaran daripada apa yang menjadi sejarah. Maka, sayalah itu. Saya yang lupa, keliru dan cuai dan segala kata khilaf. ...
Image
Foto yang mungkin ironi untuk mewakili perasaan saya. Kedudukan tempat tinggal mahupun kampus tempat saya mencari rezeki, sangat jauh dari garis pantai. Saya selalu mahu dekat dengan firus laut mahupun menerima sapaan angin kering yang asing namun mahu bersahabat. Ternyata ia seperti kasih sayang yang sangat rahsia sifatnya. Ia boleh sahaja beruntaian tanpa perlu bersua. Benar sekali apabila Syawal kali ini saya bertemu dengan dua susuk pikun yang sekian masa menyimpan rindu sejak saya baru kenal buku. Subhanallah. Kebetulan saja saya membaca baris Sonet 7 Sapardi, tulisnya,   ada jarak yang harus ditebas kalau kita mahu menerima pertemuan ini dengan ikhlas. Allah ya Allah. Suz, terima kasih lagi fotonya. 
Image
Surah Dhuha , membawa banyak terjemahan. Saat nenda terbaring di Hospital KTP, saya pernah menemaninya dengan surah pujukan ini (entri 28 Januari 2013) .  Dan lebih agung kisah bujukan ini adalah kesedihan Rasulullah yang berasa berjarak dan ditinggalkan, setelah sekian masa tidak menerima perutusan daripada Allah. Dan pasti hanya Dia Maha Tahu mengapa berlakunya jeda. Galaunya hati Rasulullah itu seperti dapat saya terjemahkan apabila ketika yang sama saya rasa berjarak dan ditinggalkan menunggu, ya pada saat Dhuha. Mahu memujuk sendiri, saya membaca berkali kali surah ini. Mahu belajar lebih lagi untuk bersyukur dengan setiap nikmat yang dikurnia kala saya bingung atau berasa kurang. Sedang bukankah sudah saya diberi sekian tuntunan dan kecukupan. Subhanallah. Saya mahu mula menghentikan segala rasa berjarak atau ditinggalkan pada setiap waktu Dhuha datang, dengan doa agar dilerai segala perihal menanti dan menunggu yang kian mengikat. Saya mahu seperti sebelumnya, bersimpu...
Image
Mahu terus dalam rangkulan Ramadhan. Maka ada yang sedang meneruskan puasa Syawal. Dengan kecintaan yang menyala-nyala, masih yang meneruskan bacaan dan tadabbur surah suci malah menjunjungnya dengan erti dan tafsiran yang terkait dengan pertelingkahan dalam diri. Subhanallah. Sangat mencintai malam al Qadr, hingga sepertiga malam masih dihidupkan dengan solah dan zikrullah. Mengingati Ramadhan adalah memberi, ada yang sudah mengatur rencana menyantuni si murba lagi. Allah ya Allah. Apa yang sudah saya perbuat sepanjang seminggu Syawal ini. Apa hadiah Syawal setelah sekian bulan kononnya saya berjuang?
Image
2011 2017 Sebuah lagi buku kami. Diulang cetak dengan sedikit pengemaskinian, khusus tentang para penulisnya. Mudah mudahan masih dapat dijadikan sahabat saat menulis. Moga ada manfaatnya. Ampun maaf atas segala kekurangan. Terima kasih atas dukungannya. 
Image
               Dua antologi kami 2017. Antaranya membentang dua buah cerpen saya. Benarlah Kata Angin itu, dan Saya Meneruskan Perjalanan. Cerpen bersejarah saya di Utusan Malaysia. Sementara cerpen Surat daripada Umar,   saya garap dari Tanah Selandia Baru.  Selamat menikmati.
Image
Bertemu dia dari ruang masa lalu, ternyata membawa masuk banyak perihal. Kami bercakap tentang pencarian, penantian dan pertemuan yang sekian masa diharap menjadi nyata. Tali halimunan penuh rahsia yang mengikat kami selama ini, di luar sedar, melingkarkan rindu yang sangat aneh. Dan ia bukan tentang kenangan atau bayangan mahupun sejarah yang pernah singgah seperti angin. Ia barakah Syawal yang saya sangat rasakan tahun ini. Pertemuan kami menjadi seperti duduk berdiang di tepi unggun Ramadhan kembali. Perenungan tentang khusyuknya solah dan al-Qur'an, terus mengiringi jalan takdir Syawal ini. Ya, saya sangat faham, ia bukan soal nostalgia, sebaliknya perihal daya untuk mempertahankan. Apatah lagi apabila berjarak, sedikit sebanyak ia seperti separuh terpisah. Allah ya Allah.
Image
Syawal ketiga. Sekali lagi dapat bertemu ahli keluarga dalam suasana lebaran, mesranya meresap lama. Hari ini masih dalam rencana ziarah, saya akan bertemu dengan susuk dari masa lampau. Dan hingga saat mengetik ini, saya masih belum dapat mengimbau ingatan tentang dia. Menurutnya, saya dicari sekian masa dan tahun. Subhanallah. Pernahkah Sdr tahu, sepanjang menjalani rutinitas, berdepan dengan pelbagai wajah pertelingkahan mahupun liku dalam peribadatan, rupa-rupanya Sdr sedang dinanti dan dijejaki. Dan Sdr sangat berada dalam ingatannya. Allah ya Allah, saya tidak pernah terfikir sama sekali bahawa saya sering dikenang. Mudah mudahan barakah Ramadhan yang baru lalu, terus mewangi dalam Syawal ini dengan jalinan silaturahmi.
Image
1 Syawal 1438 Buat semua yang mengikuti  catatan saya di sini, khas kepada Sdr Anonymous,  tetamu rahsia saya saban hari.
Image
Ramadhan kedua puluh sembilan. Allah ya Allah. Jarang  perasaan ini datang. Ia hanya akan tampil apabila ada isyarat selamat tinggal atau hingga jumpa atau keberangkatan. Saat itu bagai seribu gelombang merempuh dada dan ia pasti sangat menyakitkan. Siapa yang mampu bertahan dengan gempuran sebak serta keharuan akibat ditinggalkan. Saya antara yang seringkali tewas. Apalagi diajak berteka teki, apakah akan ada lagi pertemuan selepas ini.  Allah ya Allah. Begitu dia berlalu, mudah-mudahan dia kembali dan menuntun terus hati dan iman saya. Ya, ini hari terakhir kami. 
Image
Ramadhan kedua puluh lapan. Catatan ini sebenarnya saya bawakan daripada latar petang semalam. Menuju garis akhir Ramadhan kali ini, membentangkan saya dengan pelbagai capahan kesimpulan. Dalam perjuangan debu yang berterbangan ini, memang saya lelah, dengan segala kepincangan, walau saya mencuba. Dan ternyata di sekian banyak padang yuda, saya tewas. Terlihat markah saya masih rendah tahun ini. Dalam menebak ikhlas, ketulusan, kejujuran, saya sendiri tahu di mana kaki kecil saya berdiri. Allah ya Allah. Begitu ghairah saya merencana, begitulah segalanya tidak terpenuhkan. Berapa banyak jalan pembaikan yang mahu saya masuki sejak Ramadhan lalu. Akhirnya apa yang dapat saya perbuat adalah kembali ke ruang persujudan, memohon pengampunan dan melakukan penyerahan. Saat memandang separuh kubah masjid kampus dari jendela kamar kerja,  dan langit petang yang sangat redup, saya berdoa moga ada Ramadhan lagi buat kita. Insya-Allah.  
Image
Muslim yang mukhlis Ramadhan kedua puluh tujuh . Kami sudah memasuki an-Nur. Namun beberapa catatan dari al-Mu'minin sebelumnya, sangat menjejak. Ya, tentang ciri orang muslim yang mukhlis.  Subhanallah. Mereka adalah  ~ orang yang berhati-hati kerana takut akan azab Allah ~ orang yang beriman dengan ayat-ayat Allah ~ orang yang tidak mempersekutukan Allah ~ orang yang memberi sadaqah tapi takut segala amalan itu tidak diterima Allah. Ya, dalam solah hajat malam tadi usai tarawikh, antara ingatan imam, mohonlah agar setiap ibadah yang dilakukan khusus sepanjang Ramadhan ini, dijawab dan diterima Allah. Saya sangat sebak. Allahumma aamiin. 
Image
Ramadhan kedua puluh lima. Kartu ini diselit di pintu ruang kerja saya. Dan ia sangat membahagiakan. Terima kasih Sya. Ternyata ucapan yang tulus dari kalbu sangat mudah membekas di kalbu juga. Apatah lagi bertulis tangan. Ia mencair dengan sangat alami. Betapa saya rasakan keluhuran kasih sayang yang tidak dizahirkan pada setiap kali berkesempatan bertemunya. Dan saya tahu ia mengalir jernih. Ya, naluri adalah bahasa halimunan yang nyaring dan ia dapat hinggap lebih lama daripada kata-kata yang sengaja direka dan disusun dengan muluk. Subhanallah. Terima kasih ananda Sya , saya akan simpan rapi kartu ini dalam hati. Mungkin ini satu-satunya kartu idul fitri yang saya terima kali ini.