Beberapa minggu ini halaman surah yang dibaca seperti banyak menunjuk arah tentang kemuliaan infaq. Subhanallah, sehingga malam tadi, surah al Ma'arij masih menumpukan kisah orang yang mengumpul harta dan menyimpannya. Begitu sebaliknya orang yang menyediakan bahagian tertentu daripada hartanya untuk mereka yang meminta atau tidak. Sebelumnya dalam ayat akhir al Munafiquun yang mengingatkan lagi bahawa jika Allah mahu menundakan kematian, betapa yang manusia mahu lakukan adalah sadaqah. Allah ya Allah. Tangan kecil saya masih memohon. Kaki tua saya masih cuba melangkah bagi mendapatkan sahabat sejiwa yang mahu mendukung upaya kami menyantuni anak-anak yatim. Dalam saya menahan sebak, tiada yang menyahut, saya didatangi kekuatan ini daripada seorang sahabat yang memujuk. Dibawakannya tafsiran al Hajj: 27, saat Nabi Ibrahim berdiri di Bukit Qubais, ragu ragu akan seruan hajinya sama ada didengar atau tidak, justeru Allah meyakinkan bahawa Dia yang akan menyampaikan. Maka benar sekali, perihal infaq dan sadaqah ini adalah pilihan Allah.  

Comments

Anonymous said…
Catatan sdr mengingatkan saya kepada catatan seorang teman lewat kartu atas taliannya bersempena EidulFitri baru-baru ini. Sebagai seorang yang sering terkesima dengan kemilau dunia, saya berasa tersindir dengan ungkapannya betapa kedekutnya saya kepada yang meminta. Saya berasa terhempuk dengan sindirannya lagi betapa kita sering lupa bahawa dimiliki hanyalah pinjaman oleh Yang Maha Memiliki. Semoga sindirannya itu adalah rahmat buat kita
Mawar said…
Sdr Anonymous
Benar. Kita tidak ada pemilikan. Semuanya punya DIA. Terima kasih.