Sejak kecil saya suka menulis, termasuk surat. Saya pernah dimarah abah kerana menulis surat kepada guru mengaji kami, seorang haji yang boleh dipanggil yayi. Saya menulis surat kerana saya merasakan kami diperlakukan tidak adil di dalam kelas al-Qur'annya. Saya juga kerap berutus surat dan mempunyai sejumlah sahabat pena. Kami berutus warkah hampir berselang minggu. Ya, melalui jalan pos. Hingga kini saya senang menulis. Saya percaya ia membangun kemahiran menulis saya. Dan di sini, saya menulis entri blog lebih sebagai jurnal harian yang banyak kemudiannya saya pindahkan menjadi cerpen. Ternyata inilah jalan perhubungan saya dengan bermacam pihak; dengan pemimpin, cuaca, kesenjangan, al-Qur'an malah kerinduan. Ia ternyata juga jalan yang saya gunakan untuk bercakap saat berjarak, saat meninggalkan atau ketika aksara mahupun baris sudah hilang makna.
Comments
Membaca kenangan Sdr menulis warkah kepada Bonda dalam baris jawi juga satu ilham yang indah. Resah, pilu dan kekosongan mungkin juga menjadi bunyi yang meyelinap di antaranya.