Musim saling mengunjungi dan makan (lagi) sempena bulan Syawal ini, saya juga menerima tetamu syurga yang sudi mampir. Meraikan mereka turut bermakna saya harus memastikan pinggan mangkuk mencukupi. Saya mudah cemas jika bilangan yang datang lebih daripada lima kerana ia menuntut tampungan masakan yang sukar saya congak; mencukupi atau kurang. Dan saya pula bahagia menyambut mereka di meja makan dengan masakan sendiri. Bermakna ia melibatkan Z yang harus ke pasar. Z dan AM juga  risau dengan jumlah pinggan mangkuk dan sudu garfu kami yang sedikit. Saya meninjau rak, pinggan mangkuk yang tidak pernah bertambah sejak dua puluh tahun lalu. Saya tidak menyimpan set pinggan makan. Apa yang ada itu yang digunakan seharian malah masih yang turut jarang digunakan. Saya teringat zaman dahulu, kebanyakan surirumah mempunyai almari pinggan mangkuk khas untuk diperaga di penjuru ruang tamu termasuk Emak. Semua perhiasan itu hanya digunakan pada hari raya ataupun apabila menerima tetamu istimewa. Falsafah itu saya tolak setelah berkeluarga. Saya tidak ada konsep menyimpan apalagi memperaga. Malah di rumah tidak ada stor, ruang menyimpan barang tidak dipakai. Kewujudan stor, bermakna ada hak orang lain yang saya simpan. Dan ia harus segera dikembalikan. Subhanallah. Saya meninjau hari yang sedikit lapang untuk diketepikan perhiasan yang masih dapat  diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan. Siapa yang mahu? 

Comments

Anonymous said…
Rupa-rupanya amalan menjadikan pinggan mangkuk sebagai perhiasan di ruang tamu rumah masyarakat Melayu agak sama di pelbagai tempat. Tidak ketinggalan di kampung saya. Masih teringat sekitar 1960an hingga 1980an budaya itu agak tebal. Benar Dr. Mawar, tetamu yang dianggap istimewa dan pada hari kebesaran, baharulah dapat dilihat pinggan mangkuk itu dikeluarkan dan diguna dengan amat cermat. Apakah falsafah di sebalik menghias rumah dengan pinggan mangkuk yang tersusun di almari perhiasan itu? Kumpulan Akal Budi Melayulah seharusnya menyelidiki..
Mawar said…
Sdr Anonymous
Ya, banyak tafsiran tentang nilai dapat dibuat berkaitan dengan "almari perhiasan pinggan mangkuk." Selain ciri khas feminin Melayu yang terkait rapat dengan ruang domestiknya (dapur), adab meraikan tetamu ternyata sangat menjejak; tetamu dihargai dengan segala macam yang terbaik termasuk jenis atau jenama pinggan mangkuk. Malah mungkin juga semakin berjenama/mahal ia juga mewakili status sosial keluarga berkenaan yang lebih tinggi hirarkinya. Wallahu'alam.
Mawar said…
Sdr Anonymous
Kumpulan Akal Budi Melayu? Bermakna Sdr dalam kalangan warga UKM?