Posts

Image
Penganjuran oleh mahasiswa tahun dua kami. Ia merupakan tugasan semester ini. Mudah mudahan ia membawa manfaat yang banyak.  Silakan datang!
Image
Jadual yang padat masih berlangsung hingga ke hujung minggu dengan undangan makan malam rasmi (kelaziman menuju hujung sesi pengajian) dan saya yang jarang mahu menghadirkan diri pada sebarang majlis apabila hari sudah gelap, memaksa diri. Dan ternyata ia agak menyiksa juga. Apalagi sebelumnya seharian mata dan minda yang lelah dengan penyeliaan mahasiswa, memeriksa tulisan tugasan mereka yang bahasanya tunggang langgang. Sebelumnya juga memastikan projek hujung semester mengikut perancangan. Segalanya melarat ke hujung minggu dengan pembentangan tugasan mahasiswa kursus universiti. Kemudian berlari ke undangan perkahwinan musim cuti sekolah pula. Aduhai, ramainya yang menjadi pengantin sebelum ramadhan menjengah kita! Dan cuti sekolah, hah? Saya terus teringatkan hak AM untuk dua minggu ini.... Selalukah kita tiba-tiba jadi lupa untuk kekal dengan rasa kerendahan hati? Tiba-tiba kita mahu kewujudan itu diabsahkan atau keberadaan itu diperakukan. Nama  harus ada gelaran kh...
Image
Minggu ini sangat terasa meletusnya masa. Hari Isnin yang padat dengan kuliah dan mesyuarat. Ya, begitu juga Selasa, Rabu dan hari ini.  Berselang seli dengan kerja penyelidikan. Perbincangan dengan mahasiswa untuk projek minggu akhir semester ini. Ya, semester hampir berakhir sebelum minggu ujian. Semakin banyak masa bergerak dan sering pula rasa terhenyak, menangisi sia-sia yang seperti mentertawakan saya. Begitulah saya ditewaskan masa yang tiba-tiba menjadi sangat perkasa. Awal pagi di meja kerja saya mendahulukan al Ma'arij: 8-10: Pada hari langit menjadi seperti luluhan perak. Dan gunung-gunung menjadi seperti bulu yang berterbangan. Dan tidak ada seorang teman akrab pun menanyakan temannya. Benar saya masih menerima pesanan lewat bulan penuh di hujung jendela. Kadangkala ia datang dalam rakaman foto yang meminta saya menterjemah makna. Sedang saya sering juga kelu menafsir, sehingga saya tidak tahu adakah tepat masanya untuk saya mengujar kata atau sebaliknya te...
Image
Hilang lagi! Beberapa tahun lalu himpunan gambar di blog ini hilang apabila ada gangguan aplikasi dalam telefon tangan ( rupanya ada hubungan antara talian-talian maya. Luar biasa. ) Kali ini semua gambar dalam folder yang dirakam terus dalam telefon tangan pula yang hilang. Semua. Ya, seingat saya ada hampir 800 ( betulkah angka itu dilihat mata tua saya ini? ) Memang banyak dan tidak sempat saya tapis untuk menyimpan yang benar-benar perlu. Antaranya adalah gambar ulangtahun AM yang kesembilan ( saya simpan setiap tahun meraikannya ). Aduhai. Saya pula tidak dapat mengingat, bagaimana semua kepingan itu lenyap.   Kehilangan. Kekosongan. Ia membawa saya jauh masuk ke dalam sebuah gua, ya gelitanya bagai si jelaga di malam kelam. Hanya ada kandil kecil yang menampakkan bayang pada tembok gua. Dan saya sangat meyakini akan kewujudan pada dinding gua yang saya tidak pernah tahu keluk mahupun garis rupanya. Namun saya sangat percaya ada kehidupan padanya. Sedang sa...
Image
Bulan dari Tanah Selandia Baru Saya pernah diminta untuk berdiam. Senyap itu lebih baik daripada memperlihatkan kewujudan. Begitulah kira-kira. Ya, elok juga bersunyi di penjuru gua.  Ia akan selalu ajari saya untuk lebih dalam menaakul.
Image
Masya Allah tabarakallah... sejak beberapa minggu ini saya dengar seruan azan setiap waktu zohor dan asar di fakulti kami. Ya Allah. Besarnya hati saya untuk pertama kali azan dilaung tanda masuk waktu. Azan dari Masjid Universiti kadangkala  agak sayup  walaupun  bangunan kami antara yang terhampir. Saya teringatkan Bilal bin Rabah. Saya teringat si Bilal di rumah. Saya rindukan azan dan iqamahnya. Saya kian diasuh untuk menyahut panggilan Allah yang Maha Besar, dan bersegera menafikan selain itu. Lepaskan apa sahaja yang sedang di tangan. Tinggalkan apa sahaja yang bernama dunia ketika itu untuk meraikan kebesaran-Nya. Nasihat seorang sahabat lama dahulu, malah bersedia menjawab azan dengan wudhu di sajadah. Ya, bersiap lebih awal sebagai tanda kita benar-benar senantiasa diingatkan dan kita ingat. Allah! Pernah saya beritahu si Bilal cilik di rumah, dahulukan Allah dan Allah akan dahulukan kita. Insya-Allah.
Image
Ini tetangga kami. Sepanjang hari ini berada di kampus Serdang untuk acara puisi dan penyelidikan. Saya masih suka dengan nama asalnya, sangat akrab dengan kehijauan yang mengamankan. Lebih penting daripada itu, kemudahan letak kereta yang jauh lebih baik daripada kampus Bangi kami. Aduhai (tidak pandai pandai bersyukur!)  Banyak juga kenangan yang tersimpan dengan beberapa sahabat penulis mahupun akademik di sini. Salah seorangnya yang pernah mengungkap begini dalam watak cerita pendeknya, aku mengenalimu dalam sekejap. dalam sekejap itu aku mengenalimu. Memang, beberapa susuk yang kita kenali pada saat-saat akhir. Ya, ia sangat sekejap. Tetapi rupanya dalam sebentar itu, banyak yang kita tahu kisah panjangnya. Sering juga, dalam sebentar dan kisah panjang itu, saya berdoa mudah mudahan persaudaraan kerana Allah itu kekal sampai bila-bila.   
Image
Kuliah Sastera Islam kami masih bersisa tiga minggu. Saya ingin abadikan  minggu ini dengan membawa Rahimidin Zahari  masuk ke kuliah. Saya mahu mahasiswa  mengenali susuk penulis muda yang kemudiannya tumbuh sebagai penyair yang dihormati gurunya. Semalam juga, dalam kuliah sarjana Sastera Bandingan, saya memerihalkan kerendahan hati seorang guru yang namanya tidak mahu disebut-sebut atas jasa mendidik almarhum sahabat saya yang semakin jauh itu. Saya sering melihat wajah guru dalam diri anak didiknya. Maka saya mohon mahasiswa saya selalu menyimpan rasa berikhlas dalam menuntut ilmu dan selalu dengan kerendahan hati menginsafi akan keagungan ilmu Ilahi.  Kugenggam sekepal tanah yang bakal bersatu dengan diriku. Nenda Ismail, benar seperti kata akhirmu: kita sentiasa dekat cuma terpisah oleh ruang yang lain. Burung terbang pulang ke sarang nafas kembara pulang ke rongga Kau pergi menuju...
Image
Seusai forum semalam, saya dapat bercakap dengan guru almarhum Rahimidin Zahari, Cikgu Mohd Rosli Nik Mat (Rosli K. Matari). Beberapa keping cerita kasih sayang seorang guru terhadap anak muridnya. Juga bagaimana rasa takzim murid terhadap guru kesayangan. Bersama hujan petang di Rumah GAPENA, saya sedikit sebak meninjau hubungan mereka. Membaca catatan dalam Matahari itu Jauh yang dikirim awal penyairnya, Apakah makna bayang yang diberikan oleh matahari kepadaku? Adakah untuk menyuluh usia yang harus kuseret setiap hari? Dan mengapa, hujung senja usiaku terkikis, berdebu melayang ke maghrib? (Apakah Makna Bayang, 113). Kebetulan, Hari Guru. Kebetulan Hari Isra' Mi'raj. Betapa Rasulullah akan selalu menjadi guru kita. 
Image
Jarang sekali saya menjadi moderator dalam sebarang acara forum; apalagi forum puisi di hadapan penyair hebat. Insya-Allah jumpa esok, Sabtu, 16 Mei ( ya, Hari Guru ) di Rumah GAPENA ( rupanya sudah berpindah, masih dekat dengan rumah lama. Di hujung lorong masuk Puspanita depan DBP ) dalam acara Wanita dan Sastera , 2.30 petang. Saya akan bersama teman penyair Datuk Dr Zurinah Hassan, Sdr Hani Salwah Yaakup, Sdr Rosli K. Matari dan Sdr Mohamad Shahidan. Penyertaan percuma dan terbuka kepada semua.  GAPENA yang banyak sejarahnya. Antara sekolah penulisan saya. Saya selalu meminta mahasiswa membaca puisi untuk menulis cerpen. Belajar menulis dengan kata-kata yang disaring. Kata-kata terpilih. Kata-kata terbaik. Puisi juga sering menjadi  ruang mengungkap fikiran yang kejap. Maka saya selalu melihat penyair sebagai manusia bijaksana yang dapat memanfaatkan  kata-kata... manusia berwatak yang kita tahu daripada susun bahasanya. 
Image
Saya sedang membaca halaman ali Imran sementara menanti azan asar, sangat kebetulan, apabila pesanan Dr Kay masuk, Rahimidin sudah pergi. Allah, akhirnya masa itu tiba juga.  Almarhum Rahimidin Zahari 23 Mac 1968 - 14 Mei 2015 Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya...(ali Imran: 145). Al fatehah buat saudara kami yang budiman.... sabar dan solat buat isteri, anak-anak dan ahli keluarga yang ditinggalkan. 
Image
Buku mentol Dijalaninya cerita yang aneh. Dari kerja penyuntingan yang beralih editor (asalnya di tangan Sdr Khairul, terima kasih! ). Proses kelulusannya membawa si penyelenggara melangkah masuk ke bilik mesyuarat ITBM. Akhirnya ia berada di rak buku jualan tiga hari sebelum PBKL 2015 menutup pintu. Ini foto yang dikirim editornya, Sdr Ainunl yang cekal ( terima kasih! ). Hingga hari ini saya belum memegangnya. Terima kasih kepada 11 sahabat penulis buku ini yang sabar. Alhamdulillahi rabbil alamin. Mudah-mudahan ada manfaatnya. 
Image
Azam Ramadhan Zahar adalah untuk menggenapkan bacaan al Qur'annya. Rumusnya mudah, membaca sekian bilangan halaman setiap usai solat ( Z memang kalkulatif dalam banyak perkara ). Masya-Allah tabarakallah.  AM belum berikrar. Mummynya juga. Allah. Dahulu, antara tabiat saya untuk menyarung mukena baru setiap kali meraikan Ramadhan. Allah, malunya saya. Cukupkah dengan pakaian solat baru? Bagaimana pakaian iman saya? Bagaimana dengan solat saya, adakah ia akan diperbaharui ? Tabiat saya juga membersihkan rumah seminggu sebelum Ramadhan menjengah dan bukan seminggu sebelum Syawal. Bagaimana dengan  hati yang perlu dibersihkan sebelum  1 Ramadhan mengetuk pintu rumah? Betapa banyak yang kotor perlu saya sapu keluar. Bagaimana pula iltizam saudara menuju Ramadhan yang sedang dinanti-nanti? Allahu akbar!  Ketukan di pintu Orang soleh mohon bertemu dengan Ramadhan enam bulan sebelum. Dan enam bulan selepasnya, orang soleh masih mengharap agar Ramadhannya yang l...
Image
Bersahabat dengan orang soleh, doa dan harapan yang selalu dibaca. Untuk bersahabat dan dekat dengan orang soleh, sebenarnya harus juga mereka ini dicari. Mereka ini dukungan. Orang soleh adalah nyalaan semangat untuk kita turut jadi seperti mereka. Malah dalam kuliah dhuha TGHD Ahad lalu diingatkan, kita memberi salam kepada orang soleh setiap hari lewat bacaan tahiyat. Begitulah Allah selalu membantu kita untuk dekat dengan mereka....Allah. Orang soleh yang datang dengan pesan (seperti selalu menerusi bulan penuh di jendela) akan sering membawa saya dari lorong rahasia itu kepada sebuah padang yang mengamankan pernafasan. Ia sangat mengilhamkan. Ia sangat menganjur untuk banyak capahan kebaikan. Ia menyenangkan hati antaranya apabila dinasihat kita untuk bersangka baik atas apa yang Allah kurniakan dan bersyukur dengannya. Bersangka baik dan bersyukur. Amalan yang mudah disebut, tapi banyak hati kita perlu dilunakkan untuknya. Mudah-mudahan.
Image
Tinggal kenangan .... Sebuah petaka apabila akan berjiran dengan sebuah taman perumahan agam di daerah ini. Saya yang tidak tahu apa-apa kerja orang pembangunan bandar (walau pernah berguru dengan Dr Katiman Rostam , profesor Geografi Bandar), melihat adalah satu kesilapan sebuah syarikat pemaju apabila mendakwa dan mengiklan di papan gergasi hampir di mana-mana bahawa mereka akan membangunkan sebuah taman perumahan terbesar. Panjangnya ayat saya! Panjangnya kegusaran saya! Malangnya ia bersebelahan dengan kediaman kecil kami. Allah.... saya tidak dapat membayangkan kesesakan di lorong utama  yang menjadi jalan pergi-balik ke kampus setiap hari. Jam berapa harus saya keluar rumah agar tidak perlu beratur panjang menuju jalan utama. Jam berapa pula saya dapat tiba di perkarangan fakulti dan mula berebut kotak letak kereta.  Allah! Di samping taman perumahan terbesar "TH" (bukan Tabung Haji !) itu juga banyak lagi taman perumahan lain di sekelilingnya. Rumah jutaan ...
Image
Berapa jarak antara kita dengan doa yang diharap. Adakah ia hampir tidak berjurang dengan apa yang dimaksudkan. Misalnya bagaimana saat AM demam panas, saya menyelak halaman salawat syifa dan mula menjadi tabib untuk anak sendiri. Ya, Allah betapa kita benar-benar menggantungkan permintaan. Sangat bersungguh-sungguh. Memang tidak ada tempat sangkutan lain yang lebih agung daripada Allah. Sungguh. Saya menerima pesanan bulan penuh lewat WA dari Tanah Selandia Baru. Ia banyak mengheret saya kepada beberapa pesanan bulan penuh yang masih disimpan. Ya, bulan penuh masih menjadi lorong rahasia, membawa khabar yang mahu dikirim. Bulan penuh yang dapat dilihat dari kotak jendela. Hubungkanlah hati ini dengan orang-orang soleh, ya Allah.
Image
Tidak sedarkan diri. Pendarahan dalam otak. Saluran darah pecah. Bacaan darah naik mendadak. Allah! Sejak semalam kami menerima berita mendebarkan ini. Saudara kami, Rahimidin Zahari, sahabat   penyair yang saya hormati, menjalani pembedahan pagi ini. Hanya Allah menjaganya. Mudah-mudahan Allah memelihara hati isteri dan anak-anaknya agar sabar dan tenang. Pesanan yang masih saya simpan, Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan wafatkanlah kami dalam keadaan berserah diri kepada-Mu  (al a'raf: 126). Saya terus membaca al Falaq sejak petang semalam, memujuk kepala yang semakin berat. Masuk bilik mesyuarat dari pagi hingga petang diikuti kuliah hingga lewat senja. Tepat suara bilal saat maghrib dari surau, saya tiba di pintu pagar rumah. Allah, ya Allah. Bila waktunya tiba, semua tiada apa-apa walau hanya debu... 
Image
Mengenang sahabat yang pergi (saya selalu gunakan istilah  pulang ), mengingat akan kata ulama yang saya sayangi, nyawa kita umpama api pelita yang boleh padam bila-bila masa. Ya, bila-bila sahaja kereta yang dipandu tenang boleh ditabrak. Bila-bila juga dalam sujud panjang, itulah saat akhirnya. Entah bila-bila juga tidur yang kelihatan aman adalah perjalanan pulang yang panjang. Allah. Saya mula mengasuh AM, sebelum tidur selain bersama al Mulk, harus mohon maaf dari bapak dan mummy. Mohon maaf untuk bersihkan hati dan memaafkan agar kita pulang dalam tenteram kerana... AM menyudahkan ayat saya,   tidur itu kematian sementara. Allah, anakku. Saya mendakap AM sepenuh hati malam tadi. ..
Image
Almarhum Sulaiman Ibrahim, sahabat akademik di Fakulti Pengajian Islam, UKM.  Saya baru membaca warta kepulangan ini di website universiti.  Kepada-Nya jalan kembali. Al fatehah. 
Image
Sahabat KEPEZI, saya diminta menyelenggara antologi KEPEZI terbaru. Mohon sahabat mengirim saya dua cerpen (yang baru, belum terbit, sudah terbit atau memenangi anugerah/sayembara) untuk tujuan penerbitan antologi tersebut. Mudah-mudahan Allah membantu usaha kita. Terima kasih. 
Image
Membara Cuti hujung minggu yang panjang! Tentu sdr bercuti ke pulau, ke gunung atau pulang ke kampung halaman dan menikmati pemandangan  lebuhraya yang sesak! Saya hanya mahu berdiam dalam gua. Banyak kerja yang dituntut sebaik cuti berakhir nanti. Namun mungkin molek juga masa untuk acara memanggang ayam atau kambing yang sudah diperap rempah lebih awal, di penjuru dapur. Saya ada pembantu di rumah. Dua lelaki yang setia memasang bara dan memastikan ayam dan kambing tidak hangus,  Z dan AM. Sementara saya menyediakan semangkuk salad. Selamat beristirehat sambil membersihkan hati! Hirisan kasar Entri yang sedikit  panjang sempena cuti bersambungan. Tatkala melihat bara api sebelum meletak jaring pengalas, sebuah madah penyair soleh yang baru dibaca menyertai kami, aku diuji dengan empat perkara yang dihala kepadaku, dengan panah daripada busurnya yang begitu tegang tarikannya. Iblis, dunia, nafsuku dan sekalian makhluk. Wahai Tuhanku, Engkaulah tempat penyer...
Image
Sejauhmana kita berikhlas hati, tidak kira dalam hubungan dengan Allah atau sesama makhluk. Zahar selalu memujuk agar berikhlas dalam menyediakan juadah makan malam ketika saya menyingsing lengan di dapur sebaik sahaja pulang dari pejabat. Begitu juga AM yang melihat saya geram mendengar bacaan Inggerisnya yang mengikut ejaan bahasa Melayu. Mummy tak ikhlaskah mengajar saya? Pernah AM menyoal ketulusan saya begitu. Berapa kali sehari pula kita berdoa agar berikhlas hati untuk setiap amalan fardhu mahupun sunat. Saya pernah membaca satu cerita bagaimana seorang tuan pada siang hari, menjadi hamba pada malamnya semata-mata untuk mencari keikhlasan. Dia yang merupakan presiden di sebuah syarikat ternama negaranya, mengatur selipar dan kasut jemaah masjid menjelang maghrib dan isya'. Dia menyua minuman malam jemaah solat. Bila ditanya ketika dia pulang bersama pemandu kereta mewahnya, mengapa dia bertukar rupa pada waktu malam, jawabnya, saya mahu menjadi manusia yang selayaknya. B...
Image
Sejak telefon  saya (yang sudah mula dianggap purba oleh generasi 6)  meragam dan dibaiki, seperti kebanyakan kejadian, banyak nombor yang disimpan hilang. Maaf jika saya tidak lagi bertanya khabar, sahabat. Insya-Allah, kita bertemu lewat doa. Waktu itu bicara hati saya ternyata lebih dalam dan banyak yang dipohon agar Allah perkenankan buatmu. Insya-Allah. Ada yang menanggap apabila satu bahagian daripada teknologi komunikasi ditanggalkan daripada perut telefon seperti fb, wa atau tg bermakna s atu perihal dunia sudah ditinggalkan.  Mungkin juga. Mungkin juga ia latihan untuk kita menerima kenyataan potongan surah al Baqarah: 254 ... hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi persahabatan yang akrab dan tidak ada lagi syafaat....
Image
Zahar membawa pulang kisah dari kuliah subuh Haji Amin alias si Faqir. Cerita Rasulullah tentang seorang ahli syurga yang sederhana amalannya tetapi memiliki satu sifat yang dikagumi. Dia selalu berusaha untuk membersihkan hatinya. Memaafkan orang yang menyakitinya. Maka dia tidak pernah berhasad. Dia membuang segala benci dan iri  terhadap orang lain.  Dia tidak pernah berkata buruk tentang mereka.  Allahu Rabbi. Bagaimana dia boleh menyimpan hati yang semulia itu. Zahar membalas soalan saya dengan kenyataan yang semua orang tahu, tidak mudah jalan untuk ke syurga. Malunya saya di hadapan suami sendiri.  Saya baru membaca kembali tafsiran  al Falaq  Ibnu Kathir, saat Rasulullah disihir Labid al A'syam, si Yahudi munafik dari Bani Zuraiq. Walaupun banyak yang memberi tafsiran lain bahawa Rasulullah dilindungi daripada sebarang perbuatan sihir. Saya hanya memetik ungkapan mengharukan Rasulullah di sumur Dzi Auran tempat si Labid menyimpan r...
Image
Maaf, hanya untuk makluman sahabat. Saya tidak dapat dihubungi di wassap dan telegram. Mohon sms atau panggilan jika perlu. Maaf, beberapa pesanan sebelumnya yang mungkin saya tidak dapat terima dan tidak sempat menjawab. Hingga jumpa. 
Image
Pernahkah ketika hati sedang gundah atau risi, kita mencapai penawar terbaik dalam seluruh hidup iaitu al Qur'an, lalu halaman atau surah yang diselak ternyata menjawab segala gundah dan risi itu. Pernahkah? Ya Allah, bukankah ketika itu al Qur'an menjadi tabib yang begitu dekat, ada dalam dada kita. Tabib yang selalu tahu tampang cuaca yang menyelubungi hati kita. Lalu dia datang pada detik yang sangat membantu dan langsung kita rasa dilindung.  Maha Suci Allah yang menjadikan al Qur'an sebaik-baik ubat yang sangat sakti untuk setiap kesakitan yang dialami. Kita akan menangis semahunya, apabila sedar betapa Allah begitu mengerti apa sahaja lintasan hati, perasaan paling dalam yang bersembunyi. Bukankah Allah mengingatkan, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan hatinya dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya (Qaf: 16).
Image
Banyaknya doa yang diharap agar menjadi lebih baik daripada semalam. Sekian hasrat yang dipahat agar Allah bantu membaiki akhlak. Dalam harap dan hasrat itu, masih banyak pula hati saya terkumuh dengan kebencian, marah dan kecewa. Ya Allah, seperti senandung Opick, ajari aku mencintai-Mu dalam lelah, ajari aku mencintai-Mu dalam duka, kerana jiwa kadang rapuh bosan tak setia, ajari aku mencintai-Mu . Benar Allah, ajari saya untuk jadi hamba-Mu yang Engkau redha....  
Image
Bercerminlah, apakah wajah paling indah yang mahu dikenang sepanjang hari ini atau sepanjang usiamu. Dan wajah itu mahu kau persembahkan saat andainya Rasulullah mengetuk pintu rumahmu. Allah, ya Allah. Wahai Rasulullah kekasih Allah. Itu antara dentingan yang didatangkan Opick sebelum beberapa lagu memuliakan Rasulullah memenuhi senarai persembahannya. Tiap narasi dalam lingkungan lagu-lagunya sangat mengilhamkan.  Narasi bersambungan dalam perjalanan pulang bersama L dan H yang menjadi teman konsert. Saya seperti Cinderella tua yang kelewatan. Kasihankan Zahar yang membukakan pintu, alunan ini menyertai saya saat jam satu dinihari.... andai bisa ku mengulang waktu hilang dan terbuang. Andai bisa perbaiki segala yang terjadi. Tapi waktu tak berhenti. Tapi detik tak kembali. Harap ampunkan hamba-Mu ini.  Ujar al Ghazali, muzik yang tidak berlebih-lebihan, membawa kerehatan jiwa  malah dengannya kita merasa dekat dengan Allah. Alhamdulillah, kami terhibur sebagai ...
Image
Sejauh manakah hubungan hati saudara dengan sahabat? Mengenangnya dalam doa setiap usai solat. Menyebut selalu kesejahteraan buatnya sekeluarga. Mohon kelapangan urusan pekerjaannya. Sungguh-sungguh berharap dia diberi kesihatan untuk mengurus ibadah khususnya. Berharap selalu agar Allah memberi hadiah akhir hidupnya yang sangat indah. Meminta agar perjalanan seterusnya nanti tanpa dihisab mahupun dicela. Menyimpan hasrat untuk bersamanya di negeri abadi. O Allah, beruntungnya jika saya mendapat ingatan dan bacaan doa yang begitu cantik lalu diaminkan malaikat yang berada di samping.  Bukankah itu ternyata jauh lebih baik daripada sebarang pertemuan? 
Image
Apakah jadual membaca al Qur'an saudara? Sering juga saya tanyakan soalan yang sama kepada mahasiswa sebelum memulakan kuliah. Kebanyakannya menjawab, antara maghrib dengan isya'. Ada yang menjawab tidak tentu; bila-bila masa. Saya suka melihat ketekalan Zahar membaca al Qur'an seusai kembali daripada solat subuh di surau atau, ya, antara maghrib dengan isya' juga. Sementara AM mengikuti kelas al-Qur'annya setiap Selasa, Khamis dan Jumaat. Saya pernah memberitahu mahasiswa, indahnya melihat seseorang membaca al Qur'an di perhentian bas, ketika menunggu giliran di pejabat pos atau semasa menghabiskan secangkir kopi. Sekarang pasti sahaja pembacaan itu dipermudahkan menerusi telefon pintar atau tab . Saya teringatkan Stefanie, sahabat PhD yang merupakan anak paderi. Setiap hari sebelum menulis tesis, dia akan menikmati kopi pagi sambil menyelak kitab sucinya. Begitulah bertahun-tahun, bacaan Injil Stefanie di samping kopi pekat dari kafe kampus, dan ia sangat...
Image
Amannya minggu ini apabila mahasiswa (yang suka pulang ke kampung) bercuti seminggu di pertengahan semester. Tiba-tiba jalan jadi lengang (iyakah?) Tidak perlu berlaga di tempat letak kereta. Konsep letak kereta di kampus tidak bersifat terbuka. Ia bermakna, hampir setiap kotak dipunyai nama yang berada dalam carta pentadbiran. Walau saya tiba di ruang masuk fakulti beberapa minit sebelum jam lapan, selalunya kotak yang tidak bernama sudah dihuni.  Ya, suatu waktu dahulu saya juga mempunyai kotak sendiri untuk sepanjang lima tahun. Ia nikmat yang sangat besar. Saya berdoa mudah-mudahan saya sudah memanfaatkan kotak itu sebaiknya. Kemudahan untuk keluar masuk kawasan fakulti yang padat pada bila-bila masa sahaja. Sesekali meminjamkan kepada yang memerlukan. Allah, ya Allah. Ternyata kotak itu bukan milik hakiki dan peribadi. Teduhan di hadapan kotak-kotak Saya sebenarnya bercakap soal sabar dan penyerahan (lagi). Dentingan yang datang semalam, tentang dua mauduk besar ...
Image
Ia riwayat tentang angin. Ya, angin. Sedang siangnya saya sempat merakam detik indah cinta dia terhadap perempuan pikun itu. Berlari sekejap meninggalkan tugas pejabat, saya mendapatkan dia, sahabat sejak kecil; sahabat yang bermata sayu sejak dahulu. Kuatnya hati saya mendesak untuk datang menyatakan kesedihan, dan rupanya perempuan pikun itu menuju jalan pulang lewat malam tadi. Saya sebak saat menerima perutusan diniharinya. Allah, ya Allah kepada-Mu tempat kembali. Al fatihah buat bonda Mariam Abu Bakar . Mudah-mudahan perjalanan pulangnya diraikan semua yang di langit. Nasihat al Qur'an yang terbaik saat pedih ini ialah sabar dan solat,  duhai sahabat. Riwayat Angin dari album lama Benarlah Kata Angin itu, dan Saya Meneruskan Perjalanan . Kebetulan sahaja dentingan yang datang semalam juga membawa narasi tentang angin dan perasaan. Ah, kuatnya simpulan hati...
Image
Aneh, dia yang tidak pernah dikenali wajahnya boleh muncul dan memperkenalkan diri dalam mimpi. Kewujudannya sangat misteri, antara ada dengan keraguan. Namun hati mengujar, itulah dia yang selama ini membawa dentingan-dentingan lewat surah pilihan. Dia yang antara menghilang dan kemudian mengetuk lawang kembali. Ada antara plot mimpi, saya pindahkan ke dalam karya. Barangkali nanti yang ini juga. Dan saya akan selalu menunggu dentingan surah seterusnya dalam diam. Kata Rumi yang diingat lelaki dalam Perempuan si Pemetik Harpa,  dalam diam kita mampu mendengar dengan lebih larut lagi .    
Image
Hujung minggu yang panjang antara penerimaan dengan penafian. Sepotong keputusan yang sangat menuntut kesaksamaan antara mencintai masa lalu dengan apa yang dikehendaki sekarang. Kasihannya saya mengenang masa yang tinggal sedikit, sedang banyak isi dunia yang mahu dirangkul. Senja kelmarin, baris ali Imran: 160 menyelinap dalam pertelingkahan sebuah keputusan. Jika Allah membantu, tak kan ada yang dapat mengalahkan. Saya menangis melihat keangkuhan diri masih membusungkan dadanya. Allah, ya Allah, ampuni kami.  
Image
FB. Sekian kalinya, telah banyak tahun saya tidak lagi menghuni wilayah nyeri itu. Anehnya, sesekali datang dentingan yang menyatakan ada percubaan yang gagal untuk membuka pintu akaun saya. Adakah ia bermakna, ada yang mencuba-cuba? Kebetulan saja, saya diberitahu ada akaun yang menggunakan nama saya, ya ejaan yang persis dengan profil gambar bunga. Mohon maklum, ia bukan saya! Mungkin sahaja ada pemilik nama yang sama, dengan ejaan yang mirip nama saya. Sedang saya sudah menutup lama, melupakannya dan tidak mahu berpaling lagi. Ya, dentingan. Bukankah dalam hidup, sesekali atau sebaliknya akan ada dentingan yang menyentak. Beberapa minggu ini  dentingan yang berulang-ulang datang setiap kali saya lalui  jalan pergi dan pulang rumah-kampus-rumah. Di titik yang sama, ya di tikungan itu, dentingan dahsyat mengasak masuk. Di tikungan itu, saat saya melihat dengan tepat, seorang perempuan rebah ditabrak. Allah, begitulah dentingan itu memenuhi setiap lingkungan. Bagaima...
Image
Aroma kopi ( nesface ) memang akan selalu memikat khususnya ketika sedang berada di meja kerja. Sebelum ini saya akan menghabiskan satu bekas besar tahan panas  nescafe di pejabat. Namun sejak mengamalkan al-Falaq , saya berhenti daripada tabiat itu. Ada juga saya mendengar nasihat pakar kesihatan agar warga migraine berhenti daripada mengambil kafein. Dan sering saya akan tunduk dengan pedoman tabib. Menggantikannya dengan teh tanpa gula yang dibawa teman dari Tokyo dan Beijing, saya masih tidak pasti adakah ia pengganti yang lebih baik.   Bercakap soal pengganti, akan selalu dibandingkan dengan apa yang kita ada sebelum ini. Samada yang dahulu itu lebih baik atau yang menggantikan itu tidak pernah akan dapat menyamai segala yang kita pernah lalui. Kerja membanding ini juga yang berlaku dalam kuliah bersama pelajar sarjana setiap isnin. Kajian antara teks, menemukan tidak ada yang sempurna di tangan pengarang. Ia mewakili kehidupan yang perlu selalu diperiksa, di ma...
Image
Saya tidak berapa sihat sejak pulang daripada kerja rasmi hujung minggu lalu. Saya selalu percaya sakit menyampaikan banyak isyarat. Melihatnya dari sisi baik, saya jadi lebih banyak berdoa dan terasa pautan yang lebih kuat kepada Allah. Ya Allah mudahkan urusan kesihatan kami untuk tujuan ibadah kepada-Mu . Melihat dari sisi lain pula ia memberitahu, saya tidak muda lagi untuk bekerja lebih masa seperti dahulu. Saya masih mengamalkan pesan sahabat tabib, surah al-Falaq untuk kerja penyembuhan. Allah ya Allah. Foto lama: Dalam penyerahan Dalam kuliah semalam juga kami banyak bercakap soal doa. Ia sebagai sebuah penyerahan. Ia sebagai ruang ketaatan yang bulat. Banyak puisi Melayu yang menampilkan suara penyerahan ini. Seorang mahasiswa saya mahu mengkaji kepenyairan seorang doktor perubatan. Bagaimana sebagai tabib, doa sering menjadi kekuatan saat berhadapan dengan pesakit. Menerusi doa, dia mengakui bahawa tiada daya dan kuasa melainkan dengan pertolongan Allah. Doa membekal...
Image
Riuhnya apabila di mana-mana orang bercakap tentang GST; dari penjuru membeli roti untuk AM hingga ke kedai kasut jenama "B" yang kami kunjungi semalam (kasut sekolah AM sudah kecil ). Memerhati tingkah anak muda yang menjadi pembantu jualan, saya tiba-tiba boleh diserang ribut taufan yang maha dahsyat. Melayan pelanggan yang datang dengan air muka yang dingin, menjawab soalan orang yang mampir endah tak endah, memang bagi saya dia penjual yang tidak sopan. Saya terfikir-fikir, apakah nilai (good and) service tax yang mula dikenakan (atau sebenarnya bukankah dalam resit pembelian lama dulu pun sudah ada dinyatakan jenis cukai tersebut?). Sebagai pembeli atau pelanggan, kita dikenakan juga cukai perkhidmatan. Sejauhmanakah kita memperoleh perkhidmatan yang selayaknya daripada jurujual? Seingat saya beberapa kali saya menulis tentang betapa  hodohnya  perkhidmatan kaunter atau perkhidmatan jualan di negara ini. Berapa kali kita menerima ucapan terima kasih daripada jurujual d...
Image
Hujung minggu yang kebanyakan kita tidaklah menikmatinya sebagai cuti; termasuk saya. Rehat hanya bermakna tidak keluar rumah sebelum jam lapan pagi dan tidak perlu menghadiri acara rasmi: mesyuarat. Namun sebenarnya, (jumaat) sabtu-ahad kita masih bekerja. Hakikat kerjaya saya, terlibat sepanjang tujuh hari dalam seminggu. Malah selepas waktu pejabat juga banyak masa digunakan untuk tugas berkaitan. Bunyinya sangat dahsyat. Sepatah teguran almarhum ibu mertua saya, kerja tak  pernah habis. Benar, ia selagi setiap yang saya lakukan tidak kira hujung minggu atau waktu malam, dihubungkan dengan ruang kerja saya: membaca dan menulis. Maka saya percaya, kerja saya bernilai . Dan berkali-kali dalam solat atau sebelum memulakan kerja, saya berdoa agar Allah melihat apa yang saya lakukan sebagai ibadah. Saya mohon Allah bantu dalam setiap gerak dan keputusan. Mudah-mudahan apa yang kita kerjakan memberi manfaat dan bernilai dalam ketaqwaan kita kepada Allah. Insya-Allah. Saya beker...
Image
Saya senang mendengar senikata lagu-lagunya. Ia seperti menikmati puisi yang cantik, baris-baris yang tersaring mengirim pesanan untuk kian dekat dengan Allah dan Rasulullah dan kematian. Konsertnya 18 April ini di Shah Alam. Saya belum pernah masuk ke mana-mana dewan konsert seumur hidup.
Image
Bercakap selalu tentang proses kepengarangan di dalam dewan kuliah, sangat memujuk saya untuk tunduk terhadap pengkaryaan Allah iaitu kejadian manusia. Siang tadi dalam dewan kuliah saya membawa mahasiswa untuk menyedari apa yang dicipta para pengarang dari senarai panjang penerima Hadiah Nobel dunia, Sasterawan Negara atau pengarang yang novelnya sedang berada dalam tangan mereka. Menerusi video yang ditayangkan, saya sendiri sebak membaca baris-baris surah al Mu'minuun: 12-14. Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta yang Pa...
Image
Jumpa di UKM. Tidak perlu ke Amcorp Mall!
Image
Antara kegeraman saya pada AM setiap hari ialah tidak ada sikap bertindak segera . Masa bagi AM seperti angin sepoi-sepoi bahasa di pohon kelapa yang melambai-lambai  (ini cliche yang selalu digunakan mahasiswa saya). Saya dan Zahar sedang mencari strategi untuk AM faham makna masa itu emas (dia tahu peribahasa itu). Saya selalu mengingatkan, kalau terus lambat dan berlengah, AM akan ditinggalkan. Dan anak tunggal saya itu bersedia dengan jawapan. Kawan baik saya akan tunggu. Itu kawan baik yang baik. Penjelasan itu membuat kegeraman saya seperti naik hingga ke bumbung rumah! Seperti biasa melihat mummy sudah mahu jadi ribut taufan, AM akan memujuk saya dengan ayat cliche nya pula, sabar itu separuh daripada iman. Mummy jangan stress. Relax. Hujung minggu ini kami menuju selatan yang dirindu. Kononnya mahu meninggalkan kerja yang masih bertingkat-tingkat dalam kepala, namun saya masih mengheret komputer riba dan sebuah buku dalam bagasi. Selamat berhujung minggu. Muda...
Image
Jumaat lagi. Benar, terasa sangatlah pantas masa bergerak. Saya pernah menulis betapa masa itu sangat meletus. Perginya masa sering membawa kita ke ruang penyesalan akan apa yang sudah berlalu semalam, kelmarin dan hari-hari sebelumnya. Deras letusan itu sehingga Allah menyergah bahawa kita hidup di dunia hanya sebentar waktu; dan sekejapnya itu hanyalah satu hari atau separuh daripadanya sahaja (al Mu'minuun: 113-114). Saudara tahu, bukan?  Allah. Apa yang dipenuhi dalam waktu sesingkat itu? Dia mengatur urusan dari langit ke bumi, kemudian urusan itu naik kepada-Nya dalam satu hari yang kadarnya adalah seribu tahun menurut perhitunganmu (as Sajadah: 5) Bukan ahli matematika mudah sahaja menghitung angka-angka ini. 24 jam kiraan Allah bersamaan 1000 tahun kita. Ini yang Prof Kamil maksudkan kelmarin dengan relatifnya hidup kita yang sebentar. Relatif masa. Allah, rupa-rupanya kehidupan saya  hanya satu hari kurang lebih. Dan apa yang sudah saya perbuat dengannya? ...
Image
Buku baru sahabat saya, Dr Kay . Kami manfaatkannya dalam kuliah sarjana. Banyak yang dilihat dari sisi Islam dan dibandingkan antara tokoh, genre popular dengan pendidikan.  Maka membaca novel sesungguhnya, memberi peluang pengalaman kerohanian khalayak untuk lebih akrab dengan al Qur’an. Membaca kitab mukjizat itu dengan jiwa yang berakhlak dan menghadirkan rasa selalu hampir dengan Allah bukan hanya pada ketika hati kita gundah tetapi tetap bersama dalam apa juga suasana. Begitu surah Yunus: 57 membenarkan,   “Hai manusia, telah datang kepadamu kitab yang berisi pelajaran dari Tuhanmu dan sebagai ubat penyembuh jiwa, sebagai petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.” Ini pujukan al Qur’an melalui novel yang diperlihatkan untuk kita menjadi hamba Allah yang lebih tawaduk dan setia. Itu catatan saya di halaman kata pengantar.