Amannya minggu ini apabila mahasiswa (yang suka pulang ke kampung) bercuti seminggu di pertengahan semester. Tiba-tiba jalan jadi lengang (iyakah?) Tidak perlu berlaga di tempat letak kereta. Konsep letak kereta di kampus tidak bersifat terbuka. Ia bermakna, hampir setiap kotak dipunyai nama yang berada dalam carta pentadbiran. Walau saya tiba di ruang masuk fakulti beberapa minit sebelum jam lapan, selalunya kotak yang tidak bernama sudah dihuni. Ya, suatu waktu dahulu saya juga mempunyai kotak sendiri untuk sepanjang lima tahun. Ia nikmat yang sangat besar. Saya berdoa mudah-mudahan saya sudah memanfaatkan kotak itu sebaiknya. Kemudahan untuk keluar masuk kawasan fakulti yang padat pada bila-bila masa sahaja. Sesekali meminjamkan kepada yang memerlukan. Allah, ya Allah. Ternyata kotak itu bukan milik hakiki dan peribadi.
Saya sebenarnya bercakap soal sabar dan penyerahan (lagi). Dentingan yang datang semalam, tentang dua mauduk besar ini (al A'raaf: 126). Saya percaya, soal letak kereta di tempat bekerja juga menuntut kesabaran dan penyerahan. Bersabar bahawa kita tidak pernah memiliki sebarang kotak pun dan penyerahan seluruhnya terhadap Allah saat mencari kotak yang kosong. Allah, betapa lemahnya saya!
Comments