Jadual yang padat masih berlangsung hingga ke hujung minggu dengan undangan makan malam rasmi (kelaziman menuju hujung sesi pengajian) dan saya yang jarang mahu menghadirkan diri pada sebarang majlis apabila hari sudah gelap, memaksa diri. Dan ternyata ia agak menyiksa juga. Apalagi sebelumnya seharian mata dan minda yang lelah dengan penyeliaan mahasiswa, memeriksa tulisan tugasan mereka yang bahasanya tunggang langgang. Sebelumnya juga memastikan projek hujung semester mengikut perancangan. Segalanya melarat ke hujung minggu dengan pembentangan tugasan mahasiswa kursus universiti. Kemudian berlari ke undangan perkahwinan musim cuti sekolah pula. Aduhai, ramainya yang menjadi pengantin sebelum ramadhan menjengah kita! Dan cuti sekolah, hah? Saya terus teringatkan hak AM untuk dua minggu ini....


Selalukah kita tiba-tiba jadi lupa untuk kekal dengan rasa kerendahan hati? Tiba-tiba kita mahu kewujudan itu diabsahkan atau keberadaan itu diperakukan. Nama  harus ada gelaran khas. Nama harus disebut-sebut di hadapan semua orang. Allah.  Allah. Allah. Alangkah kewujudan, keberadaan dan nama kita disebut-sebut Allah. Alangkah! Selalukah pula kita tiba-tiba jadi tidak peduli dengan pengiktirafan manusia? Apa sebenarnya nilai pandangan mereka yang juga Dicipta? Sedang apa yang kita mahukan hanya kepedulian Allah. Lihat saya Allah. Absah, peraku dan sebut-sebutlah nama saya Allah! Betapa saya hanya mahukan pandangan-Mu, ya Rabb. Alangkah!

Comments