Antara kegeraman saya pada AM setiap hari ialah tidak ada sikap bertindak segera. Masa bagi AM seperti angin sepoi-sepoi bahasa di pohon kelapa yang melambai-lambai (ini cliche yang selalu digunakan mahasiswa saya). Saya dan Zahar sedang mencari strategi untuk AM faham makna masa itu emas (dia tahu peribahasa itu). Saya selalu mengingatkan, kalau terus lambat dan berlengah, AM akan ditinggalkan. Dan anak tunggal saya itu bersedia dengan jawapan. Kawan baik saya akan tunggu. Itu kawan baik yang baik. Penjelasan itu membuat kegeraman saya seperti naik hingga ke bumbung rumah! Seperti biasa melihat mummy sudah mahu jadi ribut taufan, AM akan memujuk saya dengan ayat clichenya pula, sabar itu separuh daripada iman. Mummy jangan stress. Relax.



Hujung minggu ini kami menuju selatan yang dirindu. Kononnya mahu meninggalkan kerja yang masih bertingkat-tingkat dalam kepala, namun saya masih mengheret komputer riba dan sebuah buku dalam bagasi. Selamat berhujung minggu. Mudah-mudahan saudara dipayungi Rahmat Ilahi ...

Comments