Pernahkah ketika hati sedang gundah atau risi, kita mencapai penawar terbaik dalam seluruh hidup iaitu al Qur'an, lalu halaman atau surah yang diselak ternyata menjawab segala gundah dan risi itu. Pernahkah? Ya Allah, bukankah ketika itu al Qur'an menjadi tabib yang begitu dekat, ada dalam dada kita. Tabib yang selalu tahu tampang cuaca yang menyelubungi hati kita. Lalu dia datang pada detik yang sangat membantu dan langsung kita rasa dilindung. Maha Suci Allah yang menjadikan al Qur'an sebaik-baik ubat yang sangat sakti untuk setiap kesakitan yang dialami. Kita akan menangis semahunya, apabila sedar betapa Allah begitu mengerti apa sahaja lintasan hati, perasaan paling dalam yang bersembunyi. Bukankah Allah mengingatkan, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan hatinya dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya (Qaf: 16).
Comments