Sejauhmana kita berikhlas hati, tidak kira dalam hubungan dengan Allah atau sesama makhluk. Zahar selalu memujuk agar berikhlas dalam menyediakan juadah makan malam ketika saya menyingsing lengan di dapur sebaik sahaja pulang dari pejabat. Begitu juga AM yang melihat saya geram mendengar bacaan Inggerisnya yang mengikut ejaan bahasa Melayu. Mummy tak ikhlaskah mengajar saya? Pernah AM menyoal ketulusan saya begitu. Berapa kali sehari pula kita berdoa agar berikhlas hati untuk setiap amalan fardhu mahupun sunat. Saya pernah membaca satu cerita bagaimana seorang tuan pada siang hari, menjadi hamba pada malamnya semata-mata untuk mencari keikhlasan. Dia yang merupakan presiden di sebuah syarikat ternama negaranya, mengatur selipar dan kasut jemaah masjid menjelang maghrib dan isya'. Dia menyua minuman malam jemaah solat. Bila ditanya ketika dia pulang bersama pemandu kereta mewahnya, mengapa dia bertukar rupa pada waktu malam, jawabnya, saya mahu menjadi manusia yang selayaknya. Bukankah saya seorang hamba. Allah ya Allah!



Saya pernah bertanya kepada mahasiswa sewaktu kuliah, siapakah Sdr ketika berhadapan dengan Makcik yang menyapu beranda fakulti? Siapa pula mereka di hadapan Sdr yang kononnya orang cerdik pandai di kampus hijau ini? Ikhlaskah kita memberi salam atau menyapa khabar setiap kali mereka mendongak sambil cuba mencipta senyum terbaik buat Sdr? Di mana letak kerendahan hati kita ketika itu?

Comments