Hilang lagi! Beberapa tahun lalu himpunan gambar di blog ini hilang apabila ada gangguan aplikasi dalam telefon tangan (rupanya ada hubungan antara talian-talian maya. Luar biasa.) Kali ini semua gambar dalam folder yang dirakam terus dalam telefon tangan pula yang hilang. Semua. Ya, seingat saya ada hampir 800 (betulkah angka itu dilihat mata tua saya ini?) Memang banyak dan tidak sempat saya tapis untuk menyimpan yang benar-benar perlu. Antaranya adalah gambar ulangtahun AM yang kesembilan (saya simpan setiap tahun meraikannya). Aduhai. Saya pula tidak dapat mengingat, bagaimana semua kepingan itu lenyap.  




Kehilangan. Kekosongan. Ia membawa saya jauh masuk ke dalam sebuah gua, ya gelitanya bagai si jelaga di malam kelam. Hanya ada kandil kecil yang menampakkan bayang pada tembok gua. Dan saya sangat meyakini akan kewujudan pada dinding gua yang saya tidak pernah tahu keluk mahupun garis rupanya. Namun saya sangat percaya ada kehidupan padanya. Sedang saya pernah melihat sebelumnya di luar gua kelam ini, matahari yang menawarkan cahaya yang bukan kepalang hebatnya berbanding kandil yang hampir mencair. Allah, apa yang saya harapkan dari gambar-gambar yang lesap itu? Sedang saya tahu, kenangan dan ingatan, kesannya dalam hati, tidak akan pernah luntur. Tepatkah analogi gua, cahaya dan bayang itu dengan peristiwa kehilangan sejumlah foto bersejarah semalam? 

Comments

Nazhatulshima N said…
Mungkinkah kerana menukar telefon lain? Saya ada terbaca sepupu saya juga mengalami keadaan yang sama apabila bertukar ke telefon yang lain. Hilang beratus2 foto yang telah dirakam.
Mawar said…
Shima yang dikasihi Allah,
Entahlah. Atau saya diajari untuk tidak terikat dengan apa yang dilihat, sebaliknya belajar untuk lebih mencintai apa yang di sebaliknya. Terima kasih.
Nazhatulshima N said…
"Mencintai apa yang di sebaliknya"

Ya,ada keindahahan dan nikmat apabila berfikir begitu. Setelah berkali-kali melalui pelbagai 'kehilangan' bertubi-tubi,saya kini lebih mensyukuri dan menerima daripada menyesali.

Sewaktu foto album saya hampir kesemuanya musnah ketika banjir besar,Adib memujuk saya dengan berkata "kita boleh mencipta kenangan baru". Ada juga yang terselamat tidak terjejas. Lalu saya memutuskan,yang musnah itu adalah bahagian yang tidak perlu.
Mawar said…
Shima,
sesungguhnya!