FB. Sekian kalinya, telah banyak tahun saya tidak lagi menghuni wilayah nyeri itu. Anehnya, sesekali datang dentingan yang menyatakan ada percubaan yang gagal untuk membuka pintu akaun saya. Adakah ia bermakna, ada yang mencuba-cuba? Kebetulan saja, saya diberitahu ada akaun yang menggunakan nama saya, ya ejaan yang persis dengan profil gambar bunga. Mohon maklum, ia bukan saya! Mungkin sahaja ada pemilik nama yang sama, dengan ejaan yang mirip nama saya. Sedang saya sudah menutup lama, melupakannya dan tidak mahu berpaling lagi.



Ya, dentingan. Bukankah dalam hidup, sesekali atau sebaliknya akan ada dentingan yang menyentak. Beberapa minggu ini  dentingan yang berulang-ulang datang setiap kali saya lalui  jalan pergi dan pulang rumah-kampus-rumah. Di titik yang sama, ya di tikungan itu, dentingan dahsyat mengasak masuk. Di tikungan itu, saat saya melihat dengan tepat, seorang perempuan rebah ditabrak. Allah, begitulah dentingan itu memenuhi setiap lingkungan. Bagaimana, apabila pada sebuah dinihari, surah ali Imran: 139 menjadi dentingan yang menyerbu. Ia menjeru bagai si tabib ikhlas yang mahu datang mengubat. Mahukah saya berpaling?


Comments