Posts

Image
Siapa antara susuk peribadi yang mengesankan di mata saudara? ini antara soalan saya untuk mahasiswa penulisan kreatif kami. mereka harus membentang susuk itu dengan kewajaran. dan tidak semestinya dia nama yang masyhur. mungkin sahaja dia anak kecil yang pernah mengungkap doa buat seluruh alam. barangkali memang dia seorang negarawan yang mempertimbangkan banyak sisi. saya terbaca ini tentang tujuh dosa besar pembawa kehancuran oleh Gandhi ~ kekayaan tanpa bekerja ~ kesenangan tanpa hati nurani ~ ilmu tanpa watak ~ perniagaan tanpa etika ~ sains tanpa kemanusiaan ~ agama tanpa pengorbanan ~ politik tanpa prinsip. saya meneka-neka siapa pilihan mahasiswa saya yang berjumlah empat puluh enam orang itu. 
Image
Blog ini, selepas takdir gelapnya, masih terus dibaiki. gambar-gambar lama masih dalam kerja menampal semula.  sehingga hari ini baru selesai untuk tahun 2012... memang ia bukan kerja mudah :-(
Image
Saya tidak menulis pengalaman melihat pokok besar yang tumbang sejurus ribut menyerang kampus kami beberapa minggu lalu; sewaktu mahasiswa bercuti. saya berhampiran tapak takdir itu. begitu juga saya sempat melihat akar pokok selepas hujan lebat di muka jalan dekat lorong sekolah Mohican. sebahagiannya akar itu mirip arca yang sangat berseni. bagaimana pokok dan akar itu bercantum dalam tidur. dalam mimpi. saya melihat banyak sekali pohon besar yang tewas di tangan seorang lelaki yang persis susuk mahasiswa saya. ya, saya jadi kagum separuh hairan apabila begitu banyak pohon gergasi yang terbaring di sebuah hutan. oh mimpi rapsodik! adakah ia datang dari jalan siang yang akhir-akhir ini sering dengan hujan ribut  atau dari hati saya yang banyak angin taufannya...
Image
Tahu-tahu saja saya memberikan contoh drama bersiri lama ini dalam kuliah. kami membincangkan kerja eksperimen pengarang dalam garapan cerpen futuristik.  Space 1999 . ya, bagi yang hidup pada dekad 70-an, ini antara tontotan kita. sebuah cereka sains yang mengujakan waktu saya kanak-kanak, membayangkan bumi dalam dua dekad mendatang.  sebagai yang dicipta, tentunya banyak yang kita tidak tahu, apalagi untuk membayangkan apa yang belum berlaku. dan ia tentunya jauh daripada apa yang kita mampu bayangkan. Maha Suci Allah yang Maha Mengetahui.
Image
Sesungguhnya, menjelang tua, semakin banyak perkara baru menjadi pelajaran. daripada sekecil-kecil hal kepada mungkin sahaja yang melibatkan nama maruah. saya menganuti kepercayaan bahawa untuk belajar perkara baru setiap hari dan dengannya saya mahu menjadi manusia yang lebih baik, walau sering juga saya kandas. antara perkara kecil itu ialah cara mengenakan krim muka. ya, krim muka!  ini soal kesihatan wajah (sudah tua begini, makna kecantikan sudah sangat terpecah-pecah). rupanya kebanyakan krim muka, sangat tidak boleh menyentuh kawasan sekitar mata (sesekali kita akan berjumpa kenyataan amaran ini, namun dalam banyak suasana, ia dipadamkan). akibatnya, jika ia melewati kawasan halus itu, sejurus bangun tidur dan melihat cermin, saudara akan kelihatan menjadi tua dengan tiba-tiba. seribu kedutan dengan serangan ketakutan akan memecahkan sebuah pagi yang aman. benar! krim muka tidak harus memasuki daerah mata . waspada. cermat. kita boleh jadi tua tiba-...
Image
Zahar jarang menyatakan kesedihannya. suami saya itu tidak selalu menahan airmata di hadapan saya. semalam, pulang dari kedai membaiki tayar basikal Alif Matiin yang bocor, selalu bocor, inilah kisah yang dibawa. kedai baik pulih basikal itu tatausahanya adalah mereka yang istimewa. hampir semua tidak berkaki dan jika ada tangan juga masih dengan rupa yang kurang. ketiga-tiga pekerja itu dalam usia 40-an atau mungkin mencecah 50-an. Zahar membawa saya untuk mengenang sekian banyak tahun mereka meneruskan hidup. nah, kita melihat mereka sangat begitu diuji. sedang bagaimanakah dalam hati mereka? saya menekup muka menahan sedu. dan ketikanya saya sebenarnya menahan malu. saya juga diuji dengan bagaimana manusia lain melihat saya. apakah dalam fikiran dan hati orang lain melihat saya. adakah mereka melihat seperti mana saya mahu melihat mereka. ya Allah, kisah yang dibawa Zahar sangat memberi bekas. saya banyak bertanya diri sendiri, adakah saya malu, sedih dan kecewa dengan pandangan ...
Image
Alhamdulillahi rabbil alamin, akhirnya anak saya naik ke pentas untuk acara graduasi! januari nanti, insya Allah Alif Matiin akan memasuki alam persekolahan sebenar. cepat masa berlalu dan cepat juga tahun baru tiba. terima kasih kepada guru-guru Nasyrah yang banyak bersabar dan sangat tulus mendidik anak-anak kami!semoga guru-guru terus dirahmati.
Image
Hari ini kuliah penulisan kreatif saya bermula lagi untuk semester ini. seperti biasa, saya senang sekali bertemu pelajar dengan mendera mereka untuk berani berimaginasi, berjalan di  lorong yang tidak biasa mereka ikut selama ini. saya ingat sesi lepas kumpulan kursus ini saya minta menulis cerpen berasaskan dunia masakan. kali ini, mereka dicabar mengemukakan tokoh yang menarik perhatian. tidak kira siapa. mungkin sahaja seorang tua yang selalu berulang alik ke musala. atau dia seorang pemain piano yang dikenali  di lobi hotel. atau dia seorang perempuan yang menyediakan sajean dalam kembara ke Pulau Dewata. yang penting tokoh itu memberikan ilham untuk menumbuhkan cerita. di hujung kuliah saya mengemukakan sedutan persembahan Yanni di Acropolis. saya uji ketajaman mahasiswa saya untuk menyaring. mengapa Yanni ? saya tidak pasti sama ada deraan saya kali ini lebih zalim. mahasiswa saya masih harus memuatkan rakaman tokoh itu dalam entri blog masing-masing sebel...
Image
doa yang dimakbul Pernahkah saudara duduk, berdiam seketika dan tiba-tiba menyedari bahawa ada perkara yang terjadi dalam jalan hidup saudara dan ia ternyata sehaluan dengan keinginan hati, sebenarnya adalah doa yang pernah dipohon sebelum ini. ketika itu segenap kepercayaan seakan mahu merangkul kecintaan pada Allah.  betapa Allah mendengar doa yang dibisikkan. begitu Allah sangat dekat mengetahui apa yang melintas antara rasa, hasrat mahupun penafian. ia pasti membawa kita kepada tafsiran Qutb bahawa Allah itu lebih dekat daripada urat leher kita sendiri. makanya, tidak mungkin ada yang dapat menyelinap sembunyi daripada Ilmu-Nya. Allah Maha Agung!
Image
Ini konsert terakhir Alif Matiin sebelum meninggalkan Nasyrah. kali ini persembahan solonya adalah sebagai Mr Pantun. anak saya akan menggayakan pantun tiga rangkap ciptaan Teacher Mun. merah warna si biji saga, hari rabu pergi ke pekan; sedari kecil ibu jaga, jasa ibu jangan lupakan.   atas para ada beras, untuk dibuat tepung pelita; ayah kita bekerja keras, untuk sara keluarga tercinta.   simpan duit dalam peti, untuk diguna bayar zakat; pada guru kita hormati, agar ilmu bawa berkat.    
Image
Cerpen terbaru saya di Mingguan Malaysia , 4 november 2012. antara tikungan yang aneh . ia sebuah cerita sedih. terima kasih kepada sdr Ku Seman Ku Hussein, editor yang menyiarkan cerpen tersebut. kenangan di Arafah dan rakaman kisah seseorang yang banyak kehilangan dalam hidupnya.
Image
  Dua buah buku baru untuk Alif Matiin, hadiah istimewa dari penulisnya sendiri. ternyata anak saya ini sangat suka membacanya apatah lagi mendengar dendangan dari cd yang dipasang dalam kereta. burung kenek-kenek! dan kisah anak perempuan di sebuah perkampungan. merentas isu gender, ternyata Alif Matiin tidak melihat wataknya, tetapi seronok menjelajah pohon, bunga dan serangga. ah, anak lelaki! terima kasih mahaguruku, Prof Madya Dr Hadijah Rahmat, dengan pemberian ini. semoga kita bersua lagi.  
Image
Alhamdulillahi rabbil alamin, setelah beberapa hari tersedak dengan petaka ke atas blog yang saya sayangi ini, sempena jumaat yang mulia saya bahagia untuk meneruskan catatan di sini. ya, memang ini hanya blog. ia hanya ruang kecil. namun di sini saya banyak belajar erti kesementaraan apabila hampir semua gambar yang ada, hilang. sekarang saya sedang menampal semula gambar-gambar yang sempat ditemui kembali. perlahan-lahan.  inilah tempat saya menumpahkan rasa dan kesan, berbahagi lelah. di sini juga saya melatih diri mengucapkan kata-kata yang baik. kind word. terima kasih kepada teman-teman dan semua kenalan baru yang berbahagi sama masa petaka itu. Allah sahaja memulangkan kebaikan itu kepada saudara. terima kasih!
Image
Salah seorang pelajar sarjana saya, Kamrul , rupanya seorang penggesek rebab, pemain gendang ibu, gendang anak, gong, kesi, canang di panggung antarabangsa. banyak persembahan luar negara. luar biasa! dan ini gambar cd yang dihadiahkan. ternyata kami suka mendengar segala rentak dan dengung menyatakan makna dan seni bunyi, setiap kali ia dipasang dalam kereta. kadangkala bunyi-bunyian itu datang memberi tenaga dan sekali sekala ia menyelinap masuk dengan susuk misteri. saya takjub pada mereka yang mempunyai kecintaan pada warisan; apalagi yang mahu belajar untuk melanjutkan kecintaan itu. syabas Kamrul!
Image
Ya Allah. saya masih mencongak-congak jurus yang Allah mahu pandu saya apabila petaka ini terjadi. lihatlah rupa rumah saya ini. hampir semua gambar entri saya hilang. puncanya saya memadam folder di galeri gambar dari telefon tangan saya yang mengandungi kesemua foto dalam blog ini termasuk header. saya memadam dengan dua andaian. pertama, adakah virus, tiba-tiba ada folder gambar-gambar blog dalam simpanan telefon pintar saya. kedua, ditakuti jumlah bilangan yang banyak (kira-kira 900 keping) mengganggu ruang telefon. maka saya padam folder berkenaan. akibatnya, pagi ini saya melihat wajah petaka tersebut. ya seperti yang sdr lihat sekarang! saya mohon budi baik, kepintaran mana-mana teman yang bijak memanggil semula folder tersebut. saya sedar adanya hubungan blog ini dengan telefon pintar apabila telefon menjadi tempat saya menyemak entri hampir setiap hari. ada jaringan. ada jalinan antara mereka. saya masih berharap, folder itu dapat dipanggil pulang dan saya tidak perlu m...
Image
Aku memenuhi panggilan-Mu ya Allah, aku memenuhi panggilan-Mu. Aku memenuhi panggilan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu, aku memenuhi panggilan-Mu. Sesungguhnya pujian dan nikmat adalah milik-Mu begitu juga kerajaan,  tiada sekutu bagi-Mu.  antara catatan sms kepada teman-teman, pada hari ini susuk arafah begitu mengepung saya! Salam eidul adha buat semua.
Image
Sering percutian dianggap sebagai pelarian; sama ada daripada tekanan atau keletihan dengan garis monotonous hidup. yang manis, jika ia untuk  meraikan sesuatu yang istimewa.  saya pernah menanggap ketiga-tiganya. pernah saya merasakan  mahu meninggalkan kelelahan jauh di belakang, sementara enak menghirup angin laut china selatan di hadapan saya. namun rupanya saya ditemukan dengan kelelahan lain di ruang percutian itu. heh! ini rakaman gambar yang saya sempat simpan di penjuru ruang makan tempat percutian yang lalu. penjuru yang berseni. di sinilah bermulanya tragedi atau seorang sahabat saya, Rebecca Ilham menyebutnya sebagai takdir lewat cerpennya, "Anatomi Sekeping Hati" ( Mingguan Malaysia , 30 september 2012). ya, ia adalah takdir.
Image
Kami meraikan tiga orang dalam kuliah terakhir saya bersama pelajar sarjana. dua daripadanya naik pentas untuk menerima ijazah sarjana muda mereka hari ini. syabas buat Safwan dan Izzudin. kemudian,  tahniah buat Haizal yang selamat menjadi suami pada hujung minggu lalu. saya jadi tukang baca doa. antaranya saya bermohon agar kami terus bersyukur dengan nikmat yang dianugerahkan, menerimanya dengan segala kerendahan hati, jauhkan kami daripada keangkuhan  (apalah makna segulung ijazah sedang kami bermegah-megah dengannya. apalah ada dengan kedudukan kami berijazah sedang peribadi kami sangat tidak bermaruah ). dan semoga dengannya Allah terus mengasihani semua yang turut berdoa sungguh-sungguh dalam acara kecil kami itu. TAHNIAH juga buat semua pelajar saya yang bergembira di dewan besar universiti hari ini. doa saya sdr terus dirahmati dan dijuruskan Allah jalan ke syurga.
Image
Mo Yan  @ Guan Moye Masih dengan rumus yang sama, kemenangan China akhirnya mempunyai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2012 menerusi Mo Yan: hallucinatory realism of his works, which mix surreal plots with folk tales and modern history. novel mutakhirnya Wa , adalah perlambangan banyaknya janin yang digugurkan akibat dasar pemilikan seorang anak di China. tangisan ribuan bayi merayap dalam rayanan bidan yang menjadi peneraju cerita. tangisan ribuan katak adalah tangisan ribuan bayi yang menjadi korban.     Katak ( Wa )
Image
    Rupanya banyak yang berlaku dalam hidup tidak berupaya dirakam dalam kata. apalagi untuk saya catat di ruang kecil ini. dari kisah angin laut china selatan yang ramah memujuk, sekembali ke kampus saya didatangi mahasiswa yang mahu berhenti daripada pengajian! o Allah. berdayakah saya memujuk hatinya sepertimana gerak si angin laut itu menyelinap masuk di celah keresahan dan kesakitan saya?  dalam sedikit masa lagi, saya bakal menyelesaikan tugas rasmi di bahagian pentadbiran. urusan harian mahasiswa yang selama lima tahun ini didepani dengan pelbagai suasana, kali ini saya benar-benar merintih, hasbunallahu wani'mal wakeel! (al Imraan: 173). cukuplah  Allah bagiku dan Dia sebaik-baik pelindung. kasihanilah masa hadapan pelajar saya itu, ya Allah. Engkaulah sebaik-baik pelindung bagi dia.
Image
Enaknya berlari antara pasir pantai dengan riak basah ombak yang datang berganti-ganti. ramahnya angin  laut china selatan bergentayangan membelah rutin yang sekian masa menakluk kesaksamaan waktu yang sepatutnya berdiri di samping. dan saya sekarang begitu rasakan betapa kasihan Allah terhadap saya. maka diturunkan ruang dan kesempatan ini. alhamdulillahi rabbil alamin!
Image
Buah pauh buah bacang, Buah pinang di dalam puan; Angkat sauh, lipatlah kajang, Pulau Pinang tinggallah tuan. Pucuk pauh berulam pauh, Petang-petang kacau inti; Sayang saya berkasih jauh, Petang-petang hancur hati. Kuliah yang menarik, memancing mahasiswa saya bercakap tentang kepekaan deria halus manusia Melayu dengan alamnya. bagaimana buah pauh, buah bacang membawakan kenangan dan rindu. aduhai pantun Melayu, cantiknya! begitu juga rapatnya Melayu dengan ragam cuaca atau gerak masa. bagaimana kemudian puisi lama bersahabat dengan  sajak rakaman Usman Awang, Firdaus Abdullah mahupun Zaihasra. saya tahu ada mahasiswa yang senyum sinis dengan  pensyarahnya yang keliru antara pauh dengan bacang. saudara, tahu? mangga, mempelam, kuini? ini kuliah sastera bandingan. banyak yang kami temukan garis yang serupa dan banyak juga bezanya gaya. 
Image
Antara tabiat kejam saya terhadap mahasiswa adalah, saya akan mengunci pintu setelah lima belas minit kuliah dimulakan. berdosakah saya? ya Allah ampuni saya jika ia kekhilafan yang sehingga kini saya tidak rasakan. kewajaran yang dijangka, saya hanya mahu mahasiswa saya menghormati ilmu, bijak mengurus masa dan saksama terhadap teman-teman lain dan saya juga ketika kami sedang khusyuk membincangkan mauduk kuliah. pada minggu berikutnya saya perhatikan ruang kuliah sedia penuh seawal saya melangkah masuk. alhamdulillahi rabbil alamin. saya akan bertanya, mengapa lewat minggu lepas. ya, jawapan yang dijangka juga, bangun lewat. Allah! tahukah sdr rata-rata jadual tidur mahasiswa sangat aneh. mereka mula tidur jam 4 pagi atau ada yang mengaku pernah tidak tidur sama sekali pada malam berkenaan. aneh sekali! saya teringat narasi orang-orang yang mendiami gua dan raqim yang merupakan tanda-tanda kekuasaan Allah yang menakjubkan (al kahf: 9).
Image
Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu ; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui (al baqarah: 216 ). hari ini bermula satu ketentuan. dan saya belajar untuk akur dan selalu akan bersetuju dengan apa yang menjadi kepercayaan saya selama ini. ya benar, tidak semua yang saya suka merupakan apa yang Allah reda, mahupun yang Rasulullah sabdakan. mahukah saya masih bertegas dengan kehendak hati atau tidak jarang saya kononnya menanggap bahawa ia datang dari dasar keimanan saya. ya Allah, semoga keputusan yang ditetapkan ini hanya kerana-Mu, kerana kata-kata Rasul-Mu. juruskan hati dan iman saya untuk jalan ke syurga.
Image
  Alhamdulillahi rabbil alamin. hadiah kali ini saya hulurkan kepada mahasiswa saya. doa saya agar mereka juga akan banyak dihadiahkan Allah dengan iman dan ilmu. sehingga dengannya mereka akan lebih bersyukur. tulisan saya yang pernah disiarkan dalam Jurnal Pemikir (jan-mac 2011), diangkat sebagai pemenang tunggal kategori kajian sastera dalam HSKU 2011. judulnya ialah Tradisi dalam Novel Remaja Sri Rahayu. dan yang manis, dalam acara malam tadi, saya duduk bersebelahan dengan novelis kajian saya itu, Cikgu Sri Rahayu Mohd Yusop . saya senang dengan susuk peribadi guru bahasa Inggeris yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam penghasilan novel berbahasa Melayu. tahniah Cikgu Sri!
Image
Tulisan saya yang dimaksudkan iaitu  Tradisi dalam Novel Remaja Sri Rahayu, dihimpunkan dalam antologi Istimewa ini. istimewa merupakan cerpen yang memenangi hadiah utama kategori cerpen. sebuah cerpen yang istimewa garapan Hafizah Iszahanid . begitu juga novel beliau Deru Angin mendapat tempat yang sama untuk kategori novel remaja. hebat! hey, HSKU 2011 dikuasai perempuan. istimewanya!
Image
  Kerap juga saya ditegur Zahar, mengapa suka sms daripada bercakap terus di telefon. mengapa pilih emel daripada berjumpa. boleh sahaja saya menjawab: sejak ada kegemaran berkenalan zaman kanak-kanak, saya sangat suka berutus surat. saya pernah dimarahi abah kerana saya menulis surat kepada guru mengaji, seorang haji yang kami gelar atuk. saya menulis surat kerana tidak berpuas hati cara atuk menyusun giliran kami membaca muqadam/al qur'an. waktu itu saya berusia lebih kurang lapan atau sembilan tahun. saya mempunyai sahabat pena sejak berumur sepuluh tahun dan kami bertemu kembali di fb selepas puluhan tahun terpisah. anehnya, menulis emel, sms atau pm terasa lebih selesa daripada saya mahu berjumpa dengannya. pada zaman percintaan,  (alahai...) saya menulis surat hampir setiap hari dan dalam masa seminggu akan mengirim lebih daripada satu surat dengan kaedah pos ekspres (ya, kepada Zahar). ...
Image
Allah. seharian ini banyak doa untuk mahasiswa saya. belum pernah rasanya, banyak ingatan saya seharian dengan doa lewat sujud panjang buat mereka. ya Allah kasihanilah mahasiswaku. peliharalah mereka. berilah mereka kekuatan iman, ketaatan kepada-Mu, selalu mencintai-Mu dan Rasulullah. kasihani mereka kerana terlalu besar gelombang dugaan dan godaan yang harus didepani, sedang mereka begitu rapuh. perindahkan mereka dengan ilmu dan fikiran yang jernih, agar ia membawa mereka melihat bahawa reda  Allah itulah yang dimahukan dalam seluruh hidup. hanya jika masa muda dapat bercerita tentang masa hadapan ! alangkah. begitu Rasulullah dalam kesedihan, Allah memujuk. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan (dhuha: 7-8). Allahu akhbar! benarkan doa saya ini, ya Allah.
Image
Al-Baqarah: 186, Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. Saya tidak pasti sama ada itu mahu memujuk seorang sahabat. saya kirim lewat sms. memang banyak dalam hidup, tidak semua yang dirancang akan menjadi takdir. sedang perancangan Allah itu maha menguasai segala-galanya. sahabat saya itu sendiri pernah memerangkap saya menerusi smsnya, apa yang disukai manusia, tidak semestinya dalam jurus yang sama seperti apa yang Allah kehendaki. lebih kurang begitu bunyinya. saya selalu juga memujuk sesiapa yang dalam kesedihan untuk sabar dan solat. itu saya fikir sebaik-baik jalan kerana Allah itu sahabat.
Image
  Sedang mengenalpasti surah-surah yang elok dihayati maknanya setiap jumaat (mengapa jumaat? bukankah jumaat itu istimewa dan banyak barakahnya). sebelum ini saya tuliskan tentang surah al waqi'ah, al kahfi, ad dukhan, yaasiin dan as sajdah . saya juga ingin sekali membaca surah ringkas sebelas ayat, surah al jumu'ah . antaranya surah ini menyatakan kewajipan meninggalkan  jual beli  saat imam naik ke mimbar  dan apabila selesai solat, bertebaranlah mencari kurnia Allah sebanyak-banyaknya untuk keuntungan (ayat 9-10). kemudian saya menyelak surah seterusnya, al munaafiquun yang mengingatkan agar harta benda dan anak tidak sekali-kali melalaikan kita daripada mengingati Allah; supaya kita tidak menjadi orang yang dalam kerugian (ayat 9). Allah! begitulah al Qur'an dengan  susun lapis-lapis ingatan buat kita yang selalu lupa!
Image
Saya mengagumi manusia yang berjiwa besar. mereka tidak jarang menularkan semangat itu kepada kita yang berada di samping. ia menjadi seperti pancaran matahari yang cantik pagi ini setelah beberapa hari hujan dan mendung.  Alif Matiin sempat membuat ulasan sewaktu melihat langit dari tingkap kereta, awan yang cantik, mummy.   namun manusia berjiwa besar begitu sangat jarang saya jumpa. yang saya temui adalah (anak muda) yang banyak mengalah sebelum mencuba. perlu berteman di mana-mana. selalu bertapi dan  berkalau . mahu semua sebelum berusaha. mahu segalanya datang dengan tidak perlu bersusah payah. aduhai. begitulah saya didatangi  mahasiswa baru  yang begitu risau kerana tidak punya teman untuk ke kuliah, ke perpustakaan mahupun ke kafe. benar, saya tidak berdusta! ia mengembalikan zaman mahasiswa kami; saya lebih suka sendiri kerana jika sebaliknya, saya ...
Image
Kerja rumah Alif Matiin saya minta lakukan antaranya dalam bentuk menyalin semula apa yang dibacanya dari buku. membaca, menulis dan membaca kembali apa yang ditulis. saya melihat ia adalah latihan selain daripada memfasihkan bacaan dan merapikan tulisan (aduhai rupa tulisan anak saya!), adalah amalan menumpukan perhatian, mengeja, memahami apa yang dibaca dan mula mengarang kisah sendiri. kemudiannya saya menyedari  bahawa kerja menyalin semula, memindah kata , diikuti mengarang kembali, menggubah, mengurang, menambah, menyimpang atau menyesuaikan, adalah tanggapan Muhammad Haji Salleh tentang dasar teori kepengarangan Melayu ( Puitika Sastera Melayu , 2000: 166-175). saya tidak pasti kaedah saya ini bagus dari sisi pedagogi untuk kanak-kanak. ini antara penelitian yang saya jadikan kerja rumah pelajar sarjana saya.
Image
kecintaanku  Ya Allah jadikan kami hamba-Mu yang mencintai al Quran. seikhlasnya! apa makna ikhlas itu? kecintaan tersebut hanya untuk Allah. jauhkan kami daripada keangkuhan, sedang kami hanya debu yang berterbangan (al waqi'ah: 6). beberapa waktu ini, saya diberitahu ada beberapa surah yang molek diamalkan pada hari jumaat seperti al waqi'ah dan al kahfi . malah di surau kecil kami, setiap subuh akan cuba saya hayati makna 30 ayat yang dibaca imam dari surah as sajdah . dan menjadi tabiat kebanyakan kita membaca surah yaasiin pada malam jumaat. sesungguhnya orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami, adalah orang-orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat Kami mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhan sedang mereka tidak menyombong diri (as sajdah: 15). Allah!
Image
Musim haji lagi.   haji kian menjadi subjek yang mengesankan secara peribadi buat kami. banyak peristiwa haji 2011 yang akan diingati semula; sejak awal persiapan, perjalanan dan hingga kembali ke pintu rumah. persediaan awal: saya hanya membawa beg tarik yang relatifnya kecil berbanding kepunyaan Zahar (antaranya faktor penyimpanan kain ihram). dengan empat helai telekung (hanya bahagian tudungnya dan tidak membawa kainnya), empat helai jubah dan celana panjang. itu sahaja pakaian utama saya sepanjang empat puluh hari. selainnya ruang beg adalah untuk keperluan peribadi. satu beg saya sandang antaranya dimuat dengan  al Quran terjemahan, sebuah buku catatan dan telefon tangan. banyak petua yang dapat dibaca dari pengalaman orang lain dan buku-buku. kami mahu berbahagi pengalaman ini: satu doa yang sering diingat-ingatkan Zahar setahun sebelum ke Tanah Suci adalah mendapat teman-teman sebilik yang sabar dan bertolak ansur. doa yang...
Image
Beberapa kenalan yang akan berangkat ke Mekah atau Madinah untuk memulakan kembara rohani. saya berbahagi rasa syukur yang dalam. ia membawa kembali pengalaman sendiri setahun yang lalu. saat yang mendebarkan. saat yang datang dengan beberapa sangkaan. ketidaktahuan. benar tulisan lagu Opick: kami meraba tanpa cahaya/ kami yang lupa hina dan papa/ di hadapan-Mu yang Maha Indah/ di hadapan-Mu yang Maha Mulia . kami doakan kesejahteraan kesihatan dan tumpuan beribadah sepanjang berada di Tanah Suci buat al Faqir & isteri, Prof Dr Badli & isteri, PM Dr Fadzeli & isteri, Sdr Amril & isteri, PM Dr Kamaruzaman & isteri serta PM Dr Norsimah. haji yang mabrur!  
Image
Hari ini tazkirah subuh terakhir sebelum al faqir terbang ke Tanah Suci untuk ibadah haji. tazkirah kali ini sangat berbekas. tajuk yang sangat saya tunggu-tunggu dalam banyak tazkirah. makna tangisan sebagai manusia muslim . al faqir memujuk hati kami seusai subuh ini untuk mengenang dosa-dosa dan betapa ia menggunung. namun rahmat Allah maha luas. sehingga kita hampir dihumban ke jurang neraka yang dahsyat kawah apinya, kita masih terselamat dengan setitis air mata keinsafan. air mata itu malah dapat memadamkan julangan api neraka. Allahu akhbar! wahai saudaraku, usahlah menangis pada kekasih yang lari meninggalkan, usahlah menangis pada wang yang dicuri orang, usahlah menangis pada perkara dunia yang tiada apa-apa. menangislah kerana Allah,  mengakui kebesaran Allah dan betapa kecilnya kita.  semoga kita terus istiqamah dalam beribadah. ikhlas beribadah kerana taqwa. itu kata-kata akhir al faqir. kami doakan perjalanan panjang al faqir dan isteri dirahmati. m...
Image
Bagaimana perasaan sdr saat ditewaskan syaitan? malu. geram. kecewa. kesal. sedih. azam baru untuk bangkit. misalnya bunyi jam loceng untuk qiyamullail tapi mata minta bertangguh. akhirnya apabila sedar kembali, azan subuh sudah hampir selesai. berlalu masa untuk solat malam dan solat subuh berjemaah di musala. ya Allah, kesal datang  merempuh seperti ombak besar. adakah ia menjadi satu pengajaran untuk tidak akan berulang? atau malunya apabila marah tidak dapat dilunakkan. atau kecewanya apabila iman berkata bacalah sehalaman al Qur'an dan syaitan merayu nanti dulu. atau kita akan tenggelam dalam kesedihan mengenang betapa banyak masa syaitan menjuruskan nafsu, hati dan kewarasan kita sejak muda hinggalah sekarang. ah, bukankah sesungguhnya kamu (wahai iblis) diberi tangguh untuk mengganggu anak Adam hingga hari kiamat (sad: 81). maka ustaz menasihatkan, jangan ditinggal walau sehari solat taubatmu. sesungguhnya Allah Maha Mengampuni kejahilan, kekhilafan dan ke...
Image
Saya mempunyai teman-teman solat yang hampir serupa setiap hari. kecuali sewaktu minggu suai kenal minggu lalu, dewan solat dipenuhi mahasiswa baru. kemudian ia kembali reda. ya, ruang solat muslimah sekarang tidak sangat berlapis-lapis sepertimana minggu-minggu ramadan.  antara teman solat saya itu seorang tokoh sarjana bidang sains, yang dalam diam saya kagumi. pertama kali kami bersalaman usai solat, saya melihat air mukanya yang redup dan tenang. biasanya beliau akan membaca al Qur'an sebelum dan selepas solat. untuk sekian lama saya mencari-cari tokoh akademik yang mahu saya hormati kerana kebaikannya dalam mencintai solat, memujuk tekanan bekerja kami dengan al Qur'an atau sebaris kata dalam mesyuarat kita bekerja sebagai ibadah . maaf, saya belum berjumpa (atau semuanya itu terlalu peribadi, yang harus disimpan sendiri?). tapi saya menemui ketaatan itu pada teman solat saya yang seorang ini. siang tadi sebaik mengamin doa zohor, ka...
Image
silakan Saya sebenarnya kurang senang dengan konsep rumah terbuka. dan saya jarang mahu pergi. anti sosial? atau saya kurang selesa apabila datang hanya untuk bersalam, tanya khabar dan diminta makan. kemudian bersalam lagi dan pulang. maka saya tidak pernah mengadakan rumah terbuka di kediaman kami. silalah datang jika luang dan sudi. banyak ruang untuk kita lebih mengenali dan banyak perbezaan yang dapat kita fahami. siang tadi  saya menemani Zahar ke rumah teman sekerja di syarikat lama. akhirnya ia menjadi pertemuan kembali kawan-kawan sekerja. dalam diam saya bersyukur melihat suami saya bahagia kerana dapat bersalaman dengan teman-teman lamanya.   alhamdulillahi rabbil alamin.
Image
  Adat anak lelaki yang sedang membesar, nakalnya macam-macam. saya semakin kuat berdoa, Allah beri kesabaran kepada Zahar dan saya untuk mengasuh Mohican. nakal budak, ada yang kata itulah tanda bijak. saya masih bersyukur. dalam geram, saya sering  dikejutkan Mohican kami dengan senarai jawapan yang  membuat saya mahu memeluknya dengan kejap. semalam, sewaktu memandu pulang, ini antara dialog kami:   saya: dalam hidup kita takut kepada siapa? mohican: Allah. saya: kenapa kita takutkan Allah. mohican: sebab Allah Maha Besar.
Image
Berapa kali kita merakam syukur setiap hari? adakah makna syukur dalam sebutan alhamdulillahi rabbil alamin ? adakah dengan perlaksanaan solah? adakah dengan berbahagi rezeki dengan orang lain? adakah dengan memberi apa yang kita ada? adakah dengan sujud syukur? banyak nikmat yang saya terima tanpa saya perlu meminta kepada Allah. masya Allah. dan banyak pula yang saya tidak mengerti mengapa saya diberikan, sedangkan datangnya ia seperti gunung permata yang mahu dimiliki banyak orang. ternyata ia membuat saya berfikir. saya tidak mahu jadi manusia haloba dan tidak tahu di mana letak diri.  akhirnya saya jadi malu sendiri dengan banyaknya tawaran dunia yang sebenarnya sangat memabukkan. Allahu Akhbar! 
Image
si cantik terbaru dari taman kami Saya banyakkan salawat buat Rasulullah, keluarga dan sahabat. beginilah perasaan apabila dilayan dengan cuti panjang bersambung-sambung. Zahar memujuk, harus cari mood sihat untuk bekerja hari ini. alhamdulillah, saya lapang dada menapak ke bilik kerja dengan salam dan salawat lagi. ya Allah, redhailah saya sebagai hamba-Mu yang menjalankan amanah, meneruskan nafas hidup yang Kau peruntukkan. esok mahasiswa baru tiba di fakulti. dan kami mahu ucapkan selamat datang. saya mahu ucapkan bersyukurlah dengan nikmat menuntut ilmu. taman syurga yang luas terbentang buat saudara!
Image
jalan pulang   Semalam, sebelum ke pejabat, saya bergegas menziarahi tetangga yang meninggal dunia. masih ingat entri tentang solat hajat selepas subuh (entri Ogos 9 2012)? ya, ahli kariah kami itu meneruskan perjalanannya. apa sebaik adab ziarah kematian? tiba-tiba saya jadi dungu lagi. saya mulakan dengan  merakam takziah yang dalam saat bersalaman dengan anak arwah. saya duduk hampir dengan jasad tanpa roh yang dirapikan di ruang tamu itu. saya membaca berkali kali al fatehah. saya sebutkan namanya. begini antara doa saya. semoga perjalanan kembalinya sejahtera. semoga diampun segala kesalahannya. dia diterima Allah dengan segala reda. ditenteramkan hati anak-anak dan suami yang ditinggalkan. semoga bacaan kami diterima Allah. saya melihat kebanyakan yang datang membaca yassin. saya juga. ada beberapa kitab yassin yang disediakan. saya sengaja memilih untuk membaca terjemahannya. ya Allah, saya cuba untuk tidak menangis saat ...
Image
    Cerpen saya, Tamsil Daun dalam Dewan Siswa Ogos 2012. sejak menjadi penulis pojok ulasan cerpen dari tahun 2007, inilah pertama kali saya mengajukan cerpen di majalah yang banyak memberikan kenangan dan sejarah kepada kebanyakan penulis (muda). Tamsil Daun, saya tujukan kepada anak-anak perempuan, khususnya. sudi membaca!
Image
Di surau kecil kami, setiap hari cuti hujung minggu, sabtu dan ahad, akan ada tazkirah subuh. biasanya berakhir jam tujuh. kami akan menunggu hingga selesai. pagi ini, ustaz yang saya senangi persembahan tazkirahnya bercakap soal iman. Allah, saya sangat rasa diasuh antara minggu pertama syawal ini. ingatnya dalam cermat, teratur dan kami yang mendengar seperti menelan nasihat dengan perasaan yang sangat aman. saya fikir itu antara hikmah solat subuh (apalagi berjemaah). ketika ketika begini saya sering membayangkan surau kecil yang kami bina daripada sumbangan banyak pihak, dilindungi sayap malaikat. Zahar pernah memberitahu, selagi kita berada di musala, malaikat akan terus mendoakan; dan antara doa mereka ialah semoga turunnya rahmat Allah buat kita. ya, selagi kita beriktikaf, selagi itu si makhluk nur itu akan terus berdoa. ya Allah! saya menangis! siapa lagi yang bersedia mendoakan saya berterus terusan begitu! maka sebaliknya, ustaz pernah meny...
Image
Tulisan saya tentang kesaksamaan dalam melihat dan menerima kesusasteraan Melayu di Tunas Cipta, September 2012.
Image
Semoga Allah ampunkan saya! baru saya disedarkan, TIDAK boleh disatukan niat puasa qadha dan sunat syawal! niatnya hanya satu - qadha (insya Allah semoga diberikan pahala sunat juga. amin!) dan niat inilah yang menjadi keutamaan sebelum dilaksanakan puasa sunat. meraikan puasa pertama dalam syawal kali ini, saya melepaskan geram menyediakan satu resepi yang selama ini kelihatan eksklusif. Allahu akhbar, rupanya ia masakan yang mudah dan murah! bahan dan penyediaannya saya letakkan seperti biasa di catatan tanggah. silalah manfaatkan resepi yang enak ini.   acar ikan masin