jalan pulang
 

Semalam, sebelum ke pejabat, saya bergegas menziarahi tetangga yang meninggal dunia. masih ingat entri tentang solat hajat selepas subuh (entri Ogos 9 2012)? ya, ahli kariah kami itu meneruskan perjalanannya. apa sebaik adab ziarah kematian? tiba-tiba saya jadi dungu lagi. saya mulakan dengan  merakam takziah yang dalam saat bersalaman dengan anak arwah. saya duduk hampir dengan jasad tanpa roh yang dirapikan di ruang tamu itu. saya membaca berkali kali al fatehah. saya sebutkan namanya. begini antara doa saya. semoga perjalanan kembalinya sejahtera. semoga diampun segala kesalahannya. dia diterima Allah dengan segala reda. ditenteramkan hati anak-anak dan suami yang ditinggalkan. semoga bacaan kami diterima Allah. saya melihat kebanyakan yang datang membaca yassin. saya juga. ada beberapa kitab yassin yang disediakan. saya sengaja memilih untuk membaca terjemahannya. ya Allah, saya cuba untuk tidak menangis saat membaca ayat, dan apakah manusia tidak memerhatikan bahawa Kami menciptakannya dari setitik air, maka tiba-tiba ia menjadi penentang yang nyata! saya sedar saya membaca yassin untuk mengingatkan diri sendiri. Allah, bukankah antara hikmah ziarah orang yang pulang, adalah pelajaran untuk kami yang datang. maka Maha Suci Allah yang di tangan-Nya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepada-Nya kamu dikembalikan! al fatehah saya lagi buat makcik Zainab Ali.

Comments

Anonymous said…
Semoga pulang seputih datang. Al Fateha
Mawar said…
Anonymous,
Amin. Al fatehah.
RayyanZilfi said…
al fatehah.
namanya sama nama dengan emak saudara yang sudah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu.al fatehah.masa begitu pantas meninggalkan saya.hanya dia satu-satunya adik beradik cek yang pernah saya jumpa sebelum semuanya telah meninggal dunia.bagaikan baru berlalu saat kali pertama saya bertentang mata dengannya, dia menghulurkan beberapa ringgit, saya terkesima dan hanya ketawa.ketika itu saya berumur sekitar 10 tahun.ya, dia cuba menjejaki anak saudaranya ini yang dipelihara orang.hmm..masing2 ada sejarah dan putaran hidup yang tersendiri.
Mawar said…
Rayyan
seperti selalu kita banyak mengenang orang yang meninggalkan...ya, mereka adalah sejarah.