Posts

Image
Alhamdulillah syukur. Anugerah ini untuk mahasiswa saya. Saya jarang mahu papar foto sendiri. Ini sekadar kenangan.
Image
Alhamdulillah syukur
Image
Menanti di pintu halimunan.
Image
Apabila Dr Halim menyebut novel ini dan mencarinya sekian tahun, saya teringat saya punya satu naskah di rumah. Saya menitipnya kelmarin, bukan hanya sebagai tanda terima kasih dan persahabatan, ia juga membawa kehalusan rasa Leman (baca Usman) sebagai lelaki berpakaian seragam polis. Kemanusiannya. Terima kasih Prof Madya Dr Abdul Halim Abd Rashid menyantuni kami sekeluarga, khasnya AM yang menjalani pembedahan tulang di bawah kendalian Prof yang dirahmati. Terima kasih juga atas penghormatan terhadap kesusasteraan dan falsafah Melayu.
Image
Ternyata dia masih mencari. Berjalan, berlari dan tidak jarang dia sampai jauh ke hujung gunung, merentasi jalan panjang. Apa yang di hadapan, kiri dan kanannya adalah fatamorgana, dan dia terus memburunya. Dan ternyata dia tidak akan berhenti menemukannya. Benar, selagi belum dia kenali rukun pencarian ini. 
Image
Saya kehilangan lagi sahabat yang baik. Kami sering menahan ketawa sampai keluar airmata sebab gelihati. Ya, kami serasi sebab sama-sama penggeli. Selain menjadi sahabat mesyuarat di kementerian, kami banyak berbahagi perihal masakan, kosmetik, buku dan al-Qur'an. Terakhir janjinya untuk menulis di JM hingga pulang daripada ibadah haji, saya masih bertanya. Ternyata sejak pulang kesihatannya tidak menentu dan kian gawat. Saya memaksa diri membaca kembali titipannya di wa lebih sebulan lalu: barah endrometrium tahap empat sudah melarat ke hati dan paru-paru. Saya sebenarnya sedang mencari-cari foto kami, iya banyak yang lucu. Tapi segera saya sudahkan mencari kerana saya tahu nantinya saya akan menangis tak henti-henti kerana mengenang  kehalusan hati dan budinya. Al fatihah tulus saya buat kekanda Rahimah Abd Hamid. Berpulangnya, menjelang Isya' tadi dirai yang di sana atas segala kebaikannya buat kami. Saya tidak berdaya memperaga fotonya yang indah. Cukup dia selamanya ...
Image
Gua juga boleh menjadi ruang penyembuhan. Waktu muda dulu, saya ada menulis sebuah cerpen berjudul Uzlah. Saya fikir saya pernah dirawat sepanjang perjalanan itu. Dan kemudian saya sakit semula. Lalu sihat kembali. Ya, persis hilang dan jumpa dan hilang lagi. Nanti, tunggu pada titik terakhir itu. Saya akan berhenti sakit, sihat, hilang dan jumpa.
Image
Hilang dan jumpa dan hilang lagi.  Saya mahu berdiam dalam gua paling jauh di banjaran dan belantara. Biar saya yang dungu ini belajar lagi. Belajar bersabar lagi, katanya.  Tambahan 12 Rabiul Awal. Memang bagus saya beruzlah mengenang Rasulullah. 
Image
Dalam acara  Himpunan Penulis Malaysia minggu sudah, saya sempat bertemu dengan Prof Umi Kalthum Ngah , sarjana kejuruteraan yang menulis novel. Saya merakam terima kasih buatnya kerana membantu tugasan mahasiswa semester lepas. Saya teringat novel yang dihadiahkan buat saya, Hilang dan Jumpa. Begitulah saya yang kerap hilang, jumpa semula dan cepat sekali hilang lagi. Saya tidak tahu bila semuanya ini akan berakhir. Tenyata hilang, jumpa, hilang dan jumpa ini melelahkan saya yang sudah tua. Pasti sekali memerihkan juga. Semuanya tidak akan jadi begini jika saya tidak menjumpainya setelah lama menghilang tahun. 
Image
Saya belajar satu perihal kesakitan ini daripada kuliah dhuha siang tadi. Saat kita sakit hati melihat orang lain yang kita anggap menyakiti kita, kita harus duduk dan bertanya. Siapa sebenarnya yang sakit ? Subhanallah. 
Image
Yang menghilang dan yang masih menempati
Image
Minggu anak-anak mahasiswa menaiki pentas dan menerima ijazah lagi tahun ini. Seperti selalu yang saya tanggap, ini adalah minggu menguji kerendahan hati dan bersyukur. Adakah keterikatan kita terhadap gulungan sijil yang diterima. Atau ia adalah tamsilan yang kita harus mula memberi dan memberi terus. Berapa banyak tangan yang masih menuntut. Harus saya rasa berdosa apabila mengetahui masih ada yang meminta-minta untuk melanjutkan hidup. Pasti ada yang tidak beres dengan garis ekonomi kita. Apa yang sudah kita lakukan dengan sijil yang diterima. Ada hak mereka yang belum terpenuh. Mungkin ia ada dalam gulungan  sijil itu. 
Image
Saat melihat kabut yang mengapung antara garis laut dengan bayang keyakinan, saya sebenarnya cuba menyelinap mahu sedayanya menyibak lapis hijab, dan ternyata saya belum menemukannya.
Image
Menyihir sekali.
Image
Benar, mereka terus merunuti saya! Subhanallah
Image
Pantai menuju dhuha. Dia belajar melerai keterikatan. Kelmarin, dia belajar lagi tidak semua mahu menerima sanjungan yang tulus. Dia menghitung apa lagi yang bersisa di garis pantai ini.
Image
Dia datang lagi. Dan saya tidak sabar mahu pergi, terbang lagi bersama samanya. 
Image
Saya membaca tulisan Yasmin M. Ada persamaan antara kami. Keterikatan. Ya, kami mudah rasa terikat. Dan kemalangan yang berlalu selepas keterikatan itu adalah kekecewaan berulang kali. Tapi Yasmin mendahului saya dengan keyakinan bahawa kekecewaan itu sebagai satu kurnia. Kekecewaan itu adalah rahmat. Kekecewaan itu jalan mendekat. Saya fikir, saya kian menuruti jalan tersebut. Untuk itu saya kembali menyertai Yasmin M. 
Image
Saya dan sahabat al Qur'an bakal mengulang baca lagi surah di lembar hadapan. Saya teringat panduan AM untuk saya mula melakukan hafalan. Menurutnya, harus ada hasrat yang tulus antara masa saya yang sempit. Mummy pasti ada sepuluh atau lima minit sehari untuk lakukan ini . Allah. Caranya menurut AM selepas ada hasrat, adalah mengulang-ulang baca ayat yang sama. Itu saja. Ulang dan ulang, mummy. Allah ya Allah. Saya mengenang lancarnya AM membaca juz amma, al Waqiah dan al Mulk. Betapa malunya saya, si tua ini. 
Image
pulang dan pergi. antara peduli dengan membiarkannya sendiri.  seperti riak dan pantai yang panjang, menjadi rutinitas dan inilah surat takdirnya. 
Image
Saya seharusnya tidak menjadi hairan dengan banyaknya yang menyakitkan, menghibakan atau membuat saya terus rasa perih. Bujukan Ibn 'Athaillah, memang dunia ini penuh dengan kekeruhan. Sehingga dicatatnya, kekeruhan tidaklah tampak, kecuali itu adalah sifat wajibnya. Maka saya tidak perlu sakit hati lagi. Inilah dunia. Semuanya kekeruhan. 
Image
Keliru memang. Antara bukaan sayap yang mahu melayah dengan hasrat mahu menghinggap. Berjeda  jujur atau sebenarnya celahan pura-pura sahaja. 
Image
Saya mahu terbang lagi.  Meninggalkan kabut yang sekian tahun ini rupa-rupanya mengepung kesadaran saya.
Image
Garuda? Saya senang sekali tahu makna sugeng tindak yang menggantikan bon voyage. Dan bagaimana si merah perkasa ini mengiringi saya untuk terbang semula.
Image
Saya ini aslinya Jawa. Bagaimana menjauh, saya rasa akarnya juga kian utuh sekali memegang sukma ini. Kembali menyelak lembar Babad Tanah Jawi. Kembali melintasi Rama dan Sinta di  Prambanan. Kembali dengan dentingan gending Jawa  yang sangat menyihir. Asyiknya seperti  kali pertama jatuh cinta, seraya melihat sekumpulan kupu-kupu biru  mengerumuni taman yang sebelum ini ditinjau dari tanah yang jauh. 
Image
Bagai kupu-kupu biru kelmarin, saya  terbang lagi. Tidak bermaksud sama sekali untuk meninggalkan. Sebaliknya mahu selalu melayah dan hinggap di dahan hari bersama-sama. Saya mengenang kembali lelaki dalam cerpen "Kupu-kupu Biru di Penjuru Qalbu." Saya antaranya merasakan tamsilan kupu-kupu yang menerpanya adalah saya. Kupu-kupu yang selalu mahu berada lama di dadanya. Itu hijab teduhannya. Benar, ia labuhan sukmanya. Dan kupu-kupu yang selalu berada di mana-mana juring sekalipun dia berada. Jadi ini bukan titipan nota selamat tinggal, sebelum saya menyibak sayap kecilku. 
Image
Cerpen terbaru saya di Dewan Sastera Oktober, "Kupu-kupu Biru di Penjuru Qalbu." Terima kasih Sdr Zaharahanum, Editor DS yang menerimanya.  Kupu-kupu biru yang mengilhamkan. Bersama-samanya kisah lelaki, didatangi kupu-kupu biru yang hinggap di dadanya yang sarat dengan harapan dan sejuta perih.
Image
Selamat SDD, diluncur hari ini!
Image
Benar, pengakhirannya begitulah. Hilang. Sudah tidak dapat dikesan melalui apa juga teknologi hatta oleh pasukan yang handal sekalipun. Ya, fail persidangan saya itu benar-benar diserang virus yang dahsyat sehingga tidak meninggalkan jejak. Saya dinasihatkan menulis dari mula dan tidak perlu lagi mengharap. Benar, saya masih tenang untuk belajar makna hilang. Saya belajar untuk tidak lagi menanti-nanti, apa lagi mengharap. Saya belajar untuk melepaskan. Benar, ia sangat perih. Benar, ia sangat tidak dapat saya lalui sendiri.
Image
Kehilangan. Ya, banyak yang saya hilang seminggu dua ini. Fail yang patut dititip segera ke panitia persidangan yang bakal saya hadiri, tiba-tiba tidak boleh dicapai. Aneh, daripada sekian banyak fail, hanya fail yang satu itu corrupted. Subhanallah. Sekian lama tidak bergantung kepada external drive, kali ini itu tempat saya menyimpan. Sekian lama saya pandai merapikan fail di emel atau di cloud,  namun kali ini itulah nasibnya. Letih. Remuk. Sedih. Mungkin sama letih, remuk, sedih dan perihnya apabila kehilangan teman yang sekian masa ada untuk bercerita. Teman yang selalu mahu mendengar kisah dungu saya. Aneh sekali apabila kita tercari-cari kepada siapa semua ini mahu dicurahkan. Sudah tidak ada lagi tempat untuk berbahagi doa malah solah. Tidak ada. Ya, semuanya sudah terbang. Persis si Putih yang sudah tidak  lagi pernah datang melayah dan hinggap di jendela senja saya. Mungkin saja dia sudah bosan. Mungkin saja dia sudah lupa.  
Image
Saya baru sedar negara saya tidak ada syarat "lulus bahasa" untuk berada di sini. Mengetahui negara jiran  meminta kami membantu menyediakan kertas peperiksaan "lulus bahasa Melayu" untuk mereka, ia sangat menghenyak harga diri sendiri. Betapa hormatnya mereka terhadap bahasa Melayu. Betapa kita pura-pura mengasihi, betapa kita sebenarnya tidak cinta. Semuanya datang seperti kabut.
Image
Kabut
Image
Berdiri di antara kering angin laut atau sahaja saat dikepung kabut bukit waktu dini, ia menjadi baris-baris puisi yang menambat aksara rasa dan kata sukma. Benar ia simpulan magis, enggan mahu dilerai, apalagi terputus. Benar, ia mahu diikat terus.  
Image
Saya jarang sekali mahu mengulang letak foto di sini, berselang hari. Tapi yang ini amat menyihir. Saya seperti menyertai sepinya. Saya mengiringi sendirinya. Saya ikut serta rusuhnya di ranting paling hujung, sepertinya ia mahu melingkari langit yang bukan biru mahupun ungu. Dalil obsesi, saya menampal foto magis ini di cermin telefon tangan dan cermin komputer riba dan komputer di kamar kerja, di rumah juga. Biar saya terus mendengar deru dan tala dari perbukitan, dari perahu, dari banir atau sukmanya yang bisu.  
Image
Mahu melepaskan dan ternyata ia bukan semudah berlalunya gerak angin.  Sedang saya sering melihatnya sebagai puisi. Benar, dia adalah puisi yang selalu mengisi pagi, senja dan saat berbaringan. Puisi yang menghantar sekian banyak perutusan dan kenangan. Dan sekarang rangkap dan bunyi bergentayangan melantun isyarat yang banyak untuk memperkukuh hati, memadam segala harapan. Di bawah jajaran warna langit dan nasib, saya tahu kami menjadi baris-baris puisi tentang sunyi.
Image
Ini Farid al Din Attar. Saya menamakannya begitu sebab datangnya pada hari Jumaat. Farid atau Attar pengganti AM yang sedang berada dalam pengajian al-Qur'an. Merangkulnya sama lunak  rasanya ketika AM seperti  enggan melepaskan saya saat perpisahan kami di pintu maahad. Aneh juga nama Farid al Din Attar yang saya pilih, yang sebenarnya lebih masyhur dengan Sidang Unggas, Mantiq al-Tayr. Narasi pengembaraan ribuan unggas menuju puncak istana Simurgh, raja segala unggas yang hinggap di Bukit Qaf. Sedang Farid al Din Attar saya ini menginap di wilayah pantai jauh dari perbukitan atau banjaran  dan kini saya cuba melindunginya. Begitulah kejadian jarak, ia memang terpisah dan terpecah. Usah ada yang mahu menafikan.   .
Image
Kebaktian itu adalah menara ini. Ia keteguhan dan keyakinan juga.  Saya menyelinap lagi dan menemukan dia dalam jarak dan belantara kepercayaan ini. 
Image
Sendiri itu mungkin sepi. Sendiri itu mungkin dicari. Atau sendiri itu adalah latihan alami.  Sendiri itu ada magisnya. 
Image
Musim bunga di taman kecil kami. Dari kemuning, kemboja dan kenanga. Hanya kesidang yang terus melilit tiang dengan daun dan sulur yang subur. Kebetulan semuanya bunga "k".  Sangat kena meneduhkan hati orang tua.
Image
Saya jarang menulis kritikan atau ulasan puisi. Namun  Kemerdekaan Itu, menawarkan ruang yang tersendiri. Terima kasih SDD. Terima kasih Pendaftar UKM yang memberi sanjungannya terhadap kesusasteraan di kampus kami. Selain dicetak di BH 11 September 2018, ada juga versi BH Online.
Image
Bunga sering mengirim makna cinta. Apalagi kalau mawar.  Bunga juga tanda terima kasih. Apalagi sebagai mewakili kemaafan. Kelmarin si putih ini menyiram wangi taman kecil di hadapan rumah. Ia sangat merangkul saat saya pulang dengan memikul lelah dan perih menjelang azan dari surau.  Dulu AM sesekali memetiknya dan meletak di meja tulis saya. Sekarang saya sudah jarang menerima bunga. Apalagi untuk memujuk saya yang sudah tua dan selayaknya tidak lagi dititip apa jenis bunga sekalipun. 
Image
Kami kian berjarak. Saya sedar kabut tipis antaranya kian menjadi tabir hijab kenangan. Segala yang ada menjadi perca-perca delusi yang sangat remang. Saya akhirnya sendiri dan pasti merasakan ada yang hilang ketika saya menoleh ke luar tingkap kecil pesawat senja itu. Jalan berkeluk, tikungan di tanah beralun, angin yang ternyata membawa berita atau hawa yang bertukar nada. Semuanya berhimpun lama hingga kesedihan saya tumbuh menjadi gunung atau mungkin hiba saya merayap menjadi hutan belantara yang panjang. 
Image
Saya fikir rindu kami menggenap saat saya melebarkan bukaan pintunya. Kami seperti mahu saling merangkul setelah dia menghilang tahun. Dan saya tahu betapa hangat nanti saya jadinya antara dingin angin gunung dan perbukitan apabila berada dalam dadanya. Sekali lagi, saya fikir rindu kami menggenap saat saya menuruni tangga kecil menghala ke jalan pulang. Ya, benar ternyata ia belum terpenuh. Rindu kami masih tumbuh antara dahan, daun, kabut dan keliru yang mengepung. 
Image
Saya terbang lagi. Bagus sekali halanya ke perbukitan dingin. Nyaman dan memujuk. Banyak yang perlu diamankan sebelum kuliah dan rutinitas yang lebih mencengkam bermula pertengahan bulan nanti. Sebelum lebih banyak yang membuat saya menangis lagi. Sampai jumpa.
Image
Minggu ini saya seperti diberikan ilham. Melihat ragam di jalanraya dan karenah manusia, bagaimana saya mendepani mereka. Misalnya, melihat motorsikal yang memberi lampu isyarat ke kiri tapi  tiba-tiba membeluk ke kanan. Pasti saya geram dan mahu marah. Tapi dengan ilham , saya jadi ketawa sendiri. Aduhai lucunya! Atau geram dihubungi ketua setengah jam sebelum harus mewakilinya ke mesyuarat, saya berseloroh dan ketawa. Seraya memberitahu ketua saya mahu berdandan dahulu. Atau bagaimana saya dengan pihak yang asyik lupa setelah diperingat berkali-kali. Saya akan ketawa sendiri. Lucu sekali, bagaimana dia masih lupa. Ya, begitu cara menangani tekanan. Ketawa sendiri. Atau sebenarnya masih ada yang belum boleh saya ketawa sendiri, saat ada gurauan yang perih dan meremukkan. Canda yang tidak pernah sama sekali saya terfikirkan akan berbuat sedemikian. Ya, mungkin saya belum boleh ketawa sendiri untuk merawat hati dalam banyak hal lagi. Sebaliknya dengan kelucuan itu, saya beras...