Aduhai. AM patah tangan lagi. Ini kali ketiga. Jatuh basikal. Jatuh di padang bola. Jatuh basikal. Allah ya Allah. Terima kasih kepada beberapa sahabat rapat yang saya hubungi khusus untuk mendoakan AM. Saya menjunjung tinggi doa yang dipohon. Dr Azaiddin yang sekali lagi menangangi AM di dewan bedah hanya menggeleng. Astaghfirullah. Saya semakin nyeri memasuki tahun baru. Hari lahir AM dalam bulan Januari menjadi titik yang sering mendebarkan saban tahun sejak 2013. Mudah mudahan AM lebih berhati-hati...
Posts
- Get link
- X
- Other Apps
TSI Sudah ada kawan-kawan yang bertanya harga. Saya mengaku saja, saya sangat malu untuk bercerita jual buku. Ikutkan hati, saya mahu hadiahkan kepada mereka yang bertanya dan berminat untuk mendapatkannya. Namun pendirian kami bertiga adalah membantu Penerbit UPM. Jadi terpaksa saya maklumkan butiran ini. Harga di kedai buku UPM adalah RM58.00. Harga kami adalah RM45.00 dan jika perlu menggunakan perkhidmatan pos adalah RM50.00. Aduhai. Boleh hubungi saya lanjut. Saya dahului dengan ungkapan ini: dengan kerendahan hati saya dan dua sahabat mengucapkan terima kasih atas perhatian Sdr.
- Get link
- X
- Other Apps
Ya, masih tentang penyerahan dan keikhlasan. Sambil mengenang A n A, saya benar-benar berada di tikungan yang aneh. Walau namanya penyerahan, saya masih terkial-kial. Sama ada benar-benar melepaskan atau ada masih berbaki perasaan mahu memiliki. Halobakah saya? Ini perihal penyerahan dan melepaskan. Saya memperhitung, memang sangat dahsyat narasi petualangan kali ini. Perihal keikhlasan menurut Imam Mawlud atau Hamza Yusuf adalah antara keperihan hati yang berhadapan dengan harapan palsu. Delusi ini menuntun saya dalam lelah dan kepungan debu ke titik yang satu: keikhlasan. Benar, sukar untuk berikhlas hati. Bagaimana menyukatnya. Bagaimana mahu menghitungnya. Dalam mencongak-congak, mata kalbu saya mengenang A n A, rindunya saya walau dia masih di sini, manalagi jika dia menghilang tahun...
- Get link
- X
- Other Apps
Saya tidak ada fb. Akaun fb saya sudah terkubur lama. Saya hampir tidak meyakini wilayah fb. Saya sering memberitahu yang bertanya mengapa saya menutup fb, inilah jawapan saya: ia lubuk fitnah. Saya dimaklumkan fb ini (lihat foto) didakwa sebagai fb saya. Untuk makluman sdr, ia bukan fb saya ; walau ejaan yang persis apalagi dengan pilihan bunga mawar sebagai gambar profil. Mudah mudahan saya dapat bertemu dengan pemilik akaun tersebut. Saya suka bertemu dengan yang lain bernama Mawar. Sehingga ini saya pernah bertemu dengan nama Mawar Seri, Ani Mawar, Mawarni dan Mawar Fareeda. Sama sekali saya tidak pernah terbayangkan ada nama yang persis ejaan nama saya. Subhanallah.
- Get link
- X
- Other Apps
Perempuan Bulan Penuh Dia adalah watak dalam beberapa cerpen saya akhir-akhir ini. Bermula dengan Perempuan si Pemetik Harpa . Kelmarin dia memasuki wilayah narasi saya dan melakukan pendakian di Tongariro. Dia memerihalkan petikan pada tali tipis harpa dan kerja pendakiannya adalah sebuah penyerahan. Ternyata penyerahan yang mahu diperbuat merupakan seribu jalan keasingan. Dalam kepungan debu dia melangkah dengan payah. Dia bertemu dengan detik kononnya itulah titik yang membebaskan dirinya daripada pemilikan. Dia kononnya melihat jalan yang membentang harapan dengan jiwa baru. Namun jauh daripada nyata, dia bertanya sendiri, benar-benarkah dia berikhlas hati dalam penyerahan ini.
- Get link
- X
- Other Apps
Cerpen Terkini Alhamdulillah. Terima kasih kepada Sdr Nazmi Yaakub, Editor Sastera Berita Harian atas penyiaran cerpen terbaru saya, Narasi Tongariro dari Penjuru Disember Lalu hari ini, 22 Januari 2017. Terima kasih buat Hariaty Abu Hassan, sahabat yang mengilhamkan cerpen ini dan membaca draf awalnya. Ia ternyata sebuah dialog tentang pendakian dan jalan turun usai menuju puncak; ia dialog antara nurani tentang membebaskan pemilikan apa yang kita cinta. Subhanallah. Hariaty dan Tasik Biru Tongariro
- Get link
- X
- Other Apps
Antara kenyerian saya adalah kehilangan. Ternyata dalam mencongak-congak, banyak kehilangan yang sudah saya lalui sepanjang hampir setengah abad ini. Ternyata ia bukanlah satu keanehan. Namun kehilangan sering membentangkan kehibaan yang bukan sedikit. Dalam jalan takdir saya, sudah serik rasanya untuk mempunyai sebarang haiwan peliharaan. Pernah mempunyai kucing kesayangan (kucing pertama saya, si putih bermata biru), saya pernah berjanji untuk tidak memiliki mana-mana haiwan peliharaan selepas si putih menghilangkan diri hingga ke akhirnya. Kebetulan juga Zahar adalah ahli kelab anti kucing. A dan A Namun pintu takdir yang tidak dapat dikunci, Ali dan Ahmad hadir dalam hidup saya sejak 2016. AM yang kononnya mahu belajar untuk bertanggungjawab, akhirnya menyerahkan kerja merapi kotak A dan A kepada saya. Malah A dan A saya letakkan di penjuru belakang rumah berhampiran ruang saya memasak setiap hari. Mereka teman saya berbual dan menuang perasaan juga. P...
- Get link
- X
- Other Apps
Berapa banyak nama dalam doa sdr yang sama sekali tidak pernah sdr berjumpa, bercakap-cakap usahkan bersahabat baik. Selalu kita diingatkan berdoa tanpa diketahui sesiapa dan doa itu akan diaminkan malaikat yang bersama-sama kita. Subhanallah. Malah apa yang didoakan akan menjadi seperti lantunan bola ke dinding, ia akan kembali kepada yang mendoakan. Subhanallah. Saya melihat ia suatu keindahan apabila kita tidak pernah bertemu atau mengenali seseorang, namun kita bertemu dengannya dalam doa. Walaupun jauh daripada nyata, dalam baris doa itu kita seperti saling bersahabat baik malah bersaudara. Kita mahukan seluruh kebaikan yang ada buat dia. Kita mahu dia sihat untuk menggandakan taat buat Allah. Bagaimana pula nama dalam doa kita itu kepada seseorang yang sudah berpulang ke jalan datang dan semasa hidupnya juga kita tidak pernah tahu siapa dia. Apa yang membuat namanya terbit dalam senarai panjang doa kita? Mungkin sahaja warisnya yang kita kenali atau lorong takdir Allah menem...
- Get link
- X
- Other Apps
Masjid Jami' Baitul Muttaqin, Bukit Saree, Aceh Besar Allah amat cemburu. Ya, jika amalan kita harus perlu berbahagi dengan yang lain, ia akan ditolak dan tempat akhirnya adalah kawah api yang menjulang. Begitulah Allah tidak mahu berbahagi akan penyerahan kita. Ustaz Tuan Syed Mohd Nazli Syed Ahmad dalam kuliah mingguan kami membacakan pantun ini, Kolam bijih airnya tenang, Tempat minum hidupan di rimba; Berbuat bakti kalau dicanang, Ibarat air bocor ditimba. Allah ya Allah. Bagaimana mahu dibuang naluri alami berasa asyik dengan amalan sendiri yang kononnya paling cantik dan paling tulus. Ujub, sum'ah, ta'ajub, riya' dan takabur adalah perkataan-perkataan yang amat ngeri dan nyeri dalam mengejap makna keikhlasan. Kata-kata ustaz yang mungkin memujuk tangis kita adalah, jangan disimpan apabila rasa itu datang, lepaskan segera. Lalu mohon keampunan-Nya. Allah ya Allah.
- Get link
- X
- Other Apps
Saya sudah menjadi nenek. Dan saya sangat suka apabila mendapat gelaran baru, Wan Teh Mawar. Manis sekali bunyinya. Sebagai satu satunya anak dalam keluarga kecil, tidak mungkin saya mempunyai apa apa gelaran selain daripada Auntie Mawar atau Auntie Mama. Tetapi syukurnya menyertai keluarga besar Zahar, saya diberi nama khas. Kak Teh Mawar atau Mak Teh Mawar. Semalam, apabila menziarahi anak saudara Zahar yang baru melahirkan, bermakna kami sudah mendapat cucu saudara. Maka berubahlah status kami kepada Atuk dan Wan. Aduhai. Alangkah bahagianya bersaudara ramai. Saya meninjau AM yang mengacah acah mata bulat Alisha, cucu kami itu. Kelihatannya jauh lagi untuk saya mempunyai cucu sendiri.
- Get link
- X
- Other Apps
Saya pernah digelar anti-sosial hanya kerana saya selalu lambat hadir dan cepat pulangnya dalam satu-satu acara. Juga kerana saya mengelak minum bersama-sama usai acara. Atau hanya kerana saya memilih duduk di kerusi paling hujung. Bukankah wilayah maya hari ini begitu juga. Diam dalam berjarak atau diam walau hampir sekali. Di dalam ruang yang sama kita juga menjadi warga anti-sosial. Saya sering memilih WA apabila konfrantasi berlaku antara saya dengan Zahar atau AM. Dari tingkat atas rumah, saya akan mengirim geram atau kesedihan lewat WA. Apabila tidak muncul dua garis biru di kotak pesanan, suara saya akan melantun di tingkat bawah, minta Zahar menjawab segera. Dan itulah yang menjadi titik kami berdamai semula. Anehnya, saya menulis cerita yang sangat domestik ini.
- Get link
- X
- Other Apps
Hari ini genap usianya 47 tahun. Hanya jika dia masih ada. Luar biasa dirinya yang menumbuhkan persahabatan kami yang tinggal ini, walau sebelumnya saling tidak mengenali. Setiap kali menyebut namanya, apa kebaikan yang tidak dilakukan. Memelihara solah, puasa sunat mingguan, tahajjud, rutinitas al-Qur'annya, kegilaannya pada memberi dan memberi dan cintanya terhadap kanak-kanak. Allah ya Allah. Begitu juga dia bahagia meraikan hari ulang tahun teman-temannya. Saya tahu dalam hatinya bukan untuk bersuka ria sebaliknya, mengingati baki hari yang ada menuju saat yang satu itu. Waktu dini ini saya mengirimnya doa khusus. Hasratnya semoga diterima kembali ke jalan penciptaan tanpa perlu dikira-kira, mudah-mudahan dilalui dengan aman dan penuh redha Allah. Al Fatihah buat sahabat syurga kami, Wan Azreena Wan Jaafar.
- Get link
- X
- Other Apps
Sahabat baru Antara keindahan hujung minggu adalah dapat bersama-sama mahaguru di taman miliknya. Dia akan memperkenalkan tiap nama pohon, kembang, daun atau unggas yang hinggap tiba-tiba di ranting yang mempunyai tamsilan yang erat dengan cabang takdir yang sedang tumbuh. Semenjak menjadi tua, saya sudah jarang mahu memandu sendiri di hujung minggu apatah lagi masuk ke taman atau kebun. Namun menziarahi mahaguru dengan kuliah alami di anjung rumahnya yang permai menghadap tasik kecil dengan angin petang yang membawa banyak kenangan genap dua puluh lima tahun lalu, manis sekali untuk disimpan. Si Cantik Merah ini dibekal pulang untuk saya gandingkan dengan Si Kemboja Jepun seludupan Bali. Mudah mudahan nanti kedua-duanya bersahabat seperti dalam pantun mahaguru yang selalu dikenang akan budinya, Buah markisa buah nangka, Buah berangan dalam pinggan; Hari ini kita ketawa, Besok semua bayang kenangan. Pura ini pura gunung, Angin bertiup udaranya getir; ...
- Get link
- X
- Other Apps
Kemuning dari taman kecilku Bersahabat dengan si penjual haruman, sama seperti bersahabat dengan si Cantik dalam foto ini. Si Cantik ini apabila datang musimnya akan menyelinap masuk ke setiap penjuru rumah kecil kami. Angin tipis wangi dari taman di hadapan rumah akan singgah di mana-mana termasuk nurani saya. Ternyata senang sekali menjadi sahabatnya. Ya, memiliki sahabat atau saudara yang harum hatinya sama seperti si Cantik ini, turut membawa keindahan dirinya untuk hinggap di tubuh dan jiwa kemanusiaan saya. Pernah saya berdiri dan berbisik di bahunya, wahai Cantik, terima kasih mengiringi rutinitas dan monotonous saya yang sekian lama kering. Terima kasih sedalamnya atas ketulusan ini.
- Get link
- X
- Other Apps
Titipan buat Sahabat Mudah-mudahan Allah ampuni saya dan kekalkan saya dengan rasa cinta ini. Saya sangat percaya ia adalah kerana cahaya mukjizatnya. Ia juga kerana saya sangat didorong rasa malu setiap kali Zahar mencapai al-Qur'an lamanya, duduk di sofa merah dan asyik membaca. Saya mula merapikan al-Qur'an yang saya ada. Di atas meja kerja di rumah. Di atas meja kerja di pejabat. Di dalam kereta. Sebuah lagi versi digital dalam telefon tangan. Saya membacanya secara bersambungan dan mencatat setiap 'ain dalam kotak takwim telefon tangan. Ia membolehkan saya menyambung bacaan di mana-mana walau dalam kembara panjang. Saya sering bertanya sahabat yang rapat akan jadual bacaan mereka. Surah apa yang sedang ditekuni. Saya mahukan rasa terus mencintai al-Qur'an dengan berbuat demikian. Sekali lagi ya Allah, ampuni saya. Segala ini saya catatkan untuk saya berbahagi sama rasa mencintai al-Qur'an dengan tulus. Saya sangat memerlukan al-Qur'an kerana saya seri...
- Get link
- X
- Other Apps
Foto yang berulang Tahun baru lagi. Sekian lama saya tidak meraikan tahun baru. Namun semuanya mengharap tahun baru ini lebih baik daripada sebelumnya. Ya, ikrar saban tahun dipasang, mungkin juga saban bulan atau minggu atau setiap hari kita perbaharui ikrar untuk jadi lebih baik. Sedang kenyataannya, banyak yang dilanggar. Apa agaknya pesanan al-Qur'an untuk istiqomah dalam perjalanan menjadi lebih baik sedang kita selalu mungkir. Saya menemukan Fushilat: 6: Aku ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu tetaplah kamu beribadah kepada-Nya dan mohonlah ampunan kepada-Nya. Subhanallah . Sedang orang lain membuka kertas takwim baru, saya masih menyelak helaian Disember, apa yang saya pernah abaikan. Dengan usia lelah, menuju hari baru ini saya dengan tekad mahu tetap dalam ibadah dan pengampunan. Sedang saya ini tidak lebih daripada hanya debu yang berterbangan.
- Get link
- X
- Other Apps
Dari penjuru kembara Saat saya mahu sekali diasuh agar menghormati sesama, saya diperlihat akan banyak pelanggaran. Saat saya belajar dengan tekun erti kerendahan hati, saya diperaga akan segala perihal keangkuhan. Saat saya mena'akul makna setia, saya turut membaca ayat mungkir. Allah ya Allah. Betapa Engkau Maha Mengetahui apa yang berjalan dalam lorong darah dan akal fikir kami; apa yang tersembunyi dan apa yang terlihat. Engkau juga yang kami mohon agar selalu menyuluh jalan terhadap banyaknya soal dan jawab yang bertelingkah. Antaranya melalui rutinitas al-Qur'an, ketika ini saya bersama-sama Surah Ibrahim: 24. Ia sesungguhnya mukjizat yang menunjuk arah dan ajaib dalam urusan penyembuhan jiwa. Saya membaca tentang kalimah thoyyibah itu seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya menjulang ke langit. Subhanallah. Allah ya Allah, bagaimana kata-kata yang baik, dapat mengubah jiwa, mengganti keliru dan segala sangka.
- Get link
- X
- Other Apps
Sejauhmana Sdr bersahabat kerana cinta? Membaca riwayat hidupnya yang mahu menebar risalah insani, menumbuhkan dalam hati Sdr hasrat yang sama. Memahami dirinya yang mencintai para murba, membawa Sdr untuk ikut serta. Sepertinya Sdr mahu sekali bersahabat kerana atas hubungan itu Sdr tidak diabaikan dalam setiap doanya. Dia akan bermohon agar Allah memperlihatkan Sdr yang benar dan diberikan jalan mudah mengikutinya atau sebaliknya melepaskan tiap yang salah untuk Sdr menjauhi. Bukankah janji Allah kepada dua sahabat yang saling mencintai kerana-Nya. Persahabatan itu pula tidak dituntut untuk harus dekat, sebaliknya dalam kadar berjarak juga yang dapat memperkenalkan jiwa. Subhanallah, luar biasanya persahabatan itu, ta'ajubnya persaudaraan sedemikian. Saya membaca pengakuan Imam al-Ghazali itu ketika mahu bersahabat dengan Syeikh az Zahid dalam halaman Bidayatul Hidayah. Subhanallah. Alangkah jika saya menemukan ketulusan itu. Bersahabat tanpa syarat. Bersaudara untuk s...
- Get link
- X
- Other Apps
Lukisan jalan ke Canselori oleh Azman Nor Saya temukan di tangga dewan utama universiti Kampus sudah mula sunyi. Meletusnya masa. Begitulah satu semester sudah menuju penghujungnya, sementara anak-anak mahasiswa mendepani ujian akhir. Hari ini saya mengurus dua kertas ujian mereka di dewan utama universiti. Mudah-mudahan bukan hanya mahukan gred yang baik tetapi seperti selalu yang saya ujarkan saat menutup kuliah, ingatan agar berikhlas hati dalam perihal ilmu. Melaksanakan tugasan bukan dengan hati yang terdera sebaliknya ia adalah latihan dan persiapan mendepani tikungan dan jalan yang tidak lurus nanti. Ya, kampus kian sunyi sedang saya sudah mulai rindukan rutinitas kami.
- Get link
- X
- Other Apps
Ya, keluarga saya sangat kecil khasnya yang di pihak Temasek; berbanding wilayah persanakan Zahar. Maka saya sangat menghargai persaudaraan; walau pernah awalnya oleh kerana terlazim dengan bilangan yang kecil, saya rimas dengan ramai dan riuh. Menuju negeri tua dan sendiri, saya kian menyanjungi saudara yang mengasihi dan melindungi. Saudara yang saling memberi perhatian dan mendukung. Hingga mungkin kedunguan saya masih dibelah keliru. Kadangkala sukar untuk saya mengenal ketulusan. Akhirnya mungkin sahaja membawa saya ke sebuah penjuru, berdiam lagi, cuba merapikan apa sebenarnya yang sedang saya jalani. Adakah ini perhatian terhadap kewujudan saya. Atau ia sebenarnya hanya angin (sebuah cerpen lama saya, "Benarlah Kata Angin itu, dan Saya Meneruskan Perjalanan ") yang sekadar singgah. Ya, terkadang saya sangsi akan tulusnya nurani.
- Get link
- X
- Other Apps
Naluri juga bersahabat. Percayakah sdr? Pada detik yang sama antara kita punya ingatan yang sangat berhubungan. Ia sangat misteri. Ia sangat rahsia sehingga membuat kita saling terpinga-pinga dan akhirnya mahu sujud atas kebesaran kuasa Allah yang mencipta. Dan bagaimana naluri dan nurani itu tertambat apabila salah seorangnya sudah pulang ke jalan datang. Kelmarin saya menerima khabar seorang yang budiman membangunkan rumah anak-anak tahfiz kembali ke Rahmatullah sedang beberapa masa ini saya sangat dipanggil-panggil untuk menghubunginya. Subhanallah. Rupanya kami bersahabat antara dunia yang berjarak. Subhanallah. Rupanya dia menyapa saya dari negeri yang sangat jauh. Saya juga mempunyai grup wassap yang sangat bermakna terkait dengan naluri rahsia ini. Kami, hanya bertiga, kami bersaudara dengan diikat sahabat yang kini berada di negeri jauh. Setiap kali kami bertemu adalah untuk mengenang sahabat kami yang baik itu. Kami mengulang kata-kata dan peker...
- Get link
- X
- Other Apps
Dalam perjalanan pergi dan pulang, rumah ke kampus, hampir setiap hari saya dibentangkan pemandangan yang mengesankan. Ya, paginya saya melihat mereka yang memulakan langkah untuk meraih nafkah. Ya, mereka berjalan kaki. Petangnya, lebih membuat saya insaf dengan kotornya baju, lelahnya wajah yang entah dimarah majikan dan hampir tidak ada apa yang dibawa pulang selain menjinjing kepayahan. Saya menebak darjah kelesuan mereka melihat hari esok bermula malam nanti. Saya sebak mengenang sikap sendiri yang memberontak dengan kerja yang bertali arus saban hari. Bukankah saya sering mengingatkan diri sabar dan syukur, sabar dan solah . Bukankah itu pesan al-Qur'an yang mahu saya simpan serapinya. Catatan beberapa hari ini, mengheret saya untuk memasuki ruang berdiam. Saya terkadang percaya, dalam diam banyak bicara rahsia yang tersibak. Dalam diam saya dituntun untuk lebih mengerti misteri nurani. Ya, untuk sekian kali saya memilih jalan ini, menuju Negeri Sunyi.
- Get link
- X
- Other Apps
Allah ya Allah. Saya dimaklumkan gegantung ini berpindah randah dari ruang legar PTSL ke DECTAR dan hari ini di Canselori. Malunya saya bukan kepalang. Pernahkah dalam perjalanan pulang ke sarang usai seharian di ruang kerja, saat memandu atau duduk di tren, Sdr melakukan introspeksi apa yang dilalui sepanjang hari? Mungkin antara bacaannya, ada yang menjadikan kita lebih baik daripada kelmarin. Ada juga mungkin membuat kita menggeleng lama. Apa yang diikrarkan jarang sekali terlaksana. Berjanji untuk menjadi sebaik-baik manusia yang bermanfaat buat semua ; sering berada di tikungan (yang aneh). Saya belum sempat berdiri di hadapan gegantung yang berpindah randah ini. Ya, saya membayangkan nantinya saya berdiri di tikungan yang aneh itu dengan wajah dusta. Benarkah nurani saya mengujar ikhlas dalam memberi? Benarkah saya menjunjung kerendahan hati atau tanpa sedar, ia saya khianati? Allah ya Allah. Ampunilah apa yang saya tersalah dan terlupa. Mudah-mudahan Allah ...
- Get link
- X
- Other Apps
Tidak jarang puisi mempunyai lorong takdirnya sendiri. Daripada kata yang tersaring dan rima yang mengiring. Saya sering terpukau dengan tamsilan dan makna rahsia yang disimpan penyairnya. Mungkin sahaja pena'akulan batin sang penyair tersimpang daripada apa yang saya maknakan, namun begitulah misterinya mengapung dan menebar banyaknya suara yang tak terdengarkan. Puisi dan takdirnya itu barangkali juga mewakili keta'ajuban waktu kecil saya (malah hingga kini) ketika melihat bulan penuh. Masih dengan tamsilan dan pena'akulan batin. Lingkungan bulan penuh itu menawarkan bukan sekadar cahaya yang menyilau seperti mantera pujukan tetapi jauh mengheret saya memasuki lorong kejadian dan mengakui jalan penciptaan. Benar, ia jalan yang Allah bawakan untuk saya agar sentiasa bahagia dengan bersyukur. Ini bunyinya catatan peribadi, entah siapa yang mengerti.
- Get link
- X
- Other Apps
Duduk berhadapan dalam kuliahnya siang tadi, membawa saya hampir 25 tahun lalu. Ternyata masih begitu gayanya menyampaikan ilmu. Saya yang mencatat nota, ghairah sekali mengumpul kata yang cantik, metafora yang memukau. Semuanya itu seperti puisi yang sampai ke nurani. Itu antara jalan saya menjadi penulis awalnya. Ya, mendengar kata-kata yang terpilih. Pedomannya buat mahasiswa saya tentang keperluan berbilang bahasa dan membaca, sejak dulu juga kepada kami. Terlalu banyak himpunan kenangan saya sebagai mahasiswa di bawah bimbingannya dan begitulah banyak budinya yang tak akan pernah hilang kerana ia ternyata menumbuhkan saya sekarang...
- Get link
- X
- Other Apps
Benar. Setiap hari saya bersalawat. Dan setiap kali itu saya merindui Rasulullah. Saya pernah bertanya kepada dua lelaki di rumah, apa episod kehidupan Rasulullah yang membikin hati mereka sebak. Zahar akan kekal menjawab saat Aisyah melempar piring berisi kurma sebagai protes dan cemburu lalu Rasulullah mengutip kurma yang jatuh dan menggantikannya dengan piring yang baru. Subhanallah. AM pula mengingat kisah Rasulullah mohon agar bukit tidak menghempap penduduk Taif yang enggan beriman kepada Allah. Malah Rasulullah mohon petunjuk buat mereka dan berdoa agar baginda sendiri dapat terus bersabar. Subhanallah . Dan saya akan selalu mahu menangis apabila mengenang betapa pemaafnya Rasulullah. Saya teringat kisah bagaimana Rasulullah menyuap makanan kepada seorang pengemis yahudi buta yang sekian lama membenci baginda. Dia hanya tahu pemilik tangan yang memberinya makan selama ini adalah baginda Habibullah, setelah kewafatan baginda. Sejak semalam di masjid-masjid yang kami ...
- Get link
- X
- Other Apps
Tugasan cuti sekolah AM kali ini adalah hafazan surah al-Mulk. Saya bersyukur dengan keputusan Ustaz Lukman ini. Membaca al-Mulk bersama-sama al-Misyari hampir setiap malam sebelum tidur, menjanjikan harapan besar kami, AM akan menguasai surah ini dengan cepat. Sesekali saya memeriksa bacaan AM. Sesekali AM pula mahu menguji bacaan saya. Selaku orang tua, banyak yang saya lupa. Dan AM dengan sinis membantu saya mengingat dengan memberikan petunjuk ayat tertentu. Ternyata saya belum lancar, mummy..mummy..tak apa nanti AM ajar lagi. Allah ya Allah, saya berasa tua benar!
- Get link
- X
- Other Apps
Mesra, saya sering dipanggilnya kanda. Saya mengenali Azman Ahmad sebagai anak muda yang sangat cepat tumbuhnya dalam wilayah kami. Mengenali dia lama dulu dalam bengkel penulisan KEPEZI, saya percaya lingkungan tempat kerjanya di DBP, antara yang membantu dia tumbuh rancak. Baru hari ini saya tahu jarak umur kami tidaklah begitu jauh jurangnya. Ya, dia kelihatan jauh lebih muda daripada usianya, 42 tahun. Dan hari ini berakhirlah angka itu. Daripada sahabat KEPEZI juga, Dil Froz, saya menerima kiriman pesanan yang mendebarkan, Azman Ahmad pulang ke Rahmatullah di Lebuhraya Duke setelah dilanggar lari. Allah ya Allah! Tak akan siapa pernah tahu apa yang akan berlaku sedetik nanti. Al Fatehah buat Azman Ahmad, adinda sahabat yang baik buat kami.
- Get link
- X
- Other Apps
Rindu. Bilakah agaknya ia menjadi api yang liar. Adakah seperti bersyukur saat hujan lebat setelah musim kering yang sangat panjang. Atau adakah datangnya seperti melihat bulan penuh yang cantik di langit malam yang berjelaga dan ia sangat menyihir. Rindukah ini sedang dalam gundah yang lama, saya sering bermimpi. Alangkah dia yang sangat mengerti sebelum saya menyatakan kekeliruan yang bersarang di hati. Alangkah saya dinaungi kasih sayangnya walau kami tiada hubungan darah saudara. Alangkah dia sangat melindungi ketika orang lain hampir tidak mempeduli. Dia yang meyakini apabila banyaknya curiga berselerak di mana-mana. Ya, dia yang saya sanjung kerana banyak menuntun kedunguan saya tentang hakikat kejadian. Rindu sekali.
- Get link
- X
- Other Apps
Beberapa hari ini banyak sekali saya melihat pertelingkahan. Antara radius hasrat dengan takdir yang tertulis. Antara gelisah mengharap dengan kononnya memiliki. Ya persis kata Hamka, orang gelisah kerana mengharapkan yang baru, dia lupa keadaan kekayaan yang sedia ada. Apa lagi yang saya diajar, jika tidak untuk tahu bersyukur. Ya, syukur terus! Dalam musim hujan yang mulai panjang ini, saya suka sekali berdoa dan berdoa saat luruhnya.
- Get link
- X
- Other Apps
Melihat dari kotak kecil tingkap pesawat, sering menawarkan keterujaan. Selain awan yang membuat saya berteka teki, pulau-pulau kecil yang mungil atau jika melangkaui banjaran di Eropah, salju di puncaknya yang sangat memanggil-manggil. Dan enak sekali dalam perjalanan lepas, AM dapat melihat lengkungan pelangi antara lindung awan dengan sayap panjang burung raksasa yang sedang kami tumpang. Ya, Allah. Keindahan yang tiada tara selain melihat sinar mata sang anak yang gembira. Ia sebuah keta'ajuban juga. Maha Suci Allah.
- Get link
- X
- Other Apps
Saya pernah dihadiahkan kumpulan cerpen ini lama dulu. Pernah juga saya mengundang Gus tf Sakai menulis di Jurnal Melayu kami. Tujuan saya satu, melanjutkan persahabatan tradisi sastera Sumatera khususnya Sumatera Barat dengan sastera Melayu kita yang pernah dikemudi awal antaranya oleh Hamka, Marah Rusli, Idrus, A.A. Navis dan Taufik Ismail. Siapa pernah sangka, kami duduk semeja di Kubik Koffie menghala ke azan Maghrib yang dibawa angin dari Masjid Asra al-Bakrie. Ya, saya minum petang dengan Gustafrizal Busra, penerima Hadiah SEA Write 2004.
- Get link
- X
- Other Apps
Seingatnya, saya tidak pernah menjejak kaki ke mana-mana kafe ranggi yang menjadi ruang santai kebanyakan orang. Apalagi yang dengan jenama CB atau S. Tapi jadual yang diatur untuk saya di Kubik Koffie , memecahkan sejarah tersendiri. Walau saya bukanlah penikmat kopi, ya saya memesan coklat panas , duduk beberapa jam di sini ternyata mengilhamkan juga.
- Get link
- X
- Other Apps
Saya meninjau lagi perkampungan sasterawan besar, Hamka. Kali kedua ini, ia genap tahun yang ke-20. Ah, betapa masa pergi dan datang. Betapa saya sudah tua. Asyiknya, tidak ada yang berubah. Semuanya ternyata masih alami. Singgalang. Merapi. Sawah padi. Air dingin dari Lembah Anai masih deras. Semuanya masih seperti dulu. Keindahan ini adalah anugerah saat manusia sangat bersyukur, tidak kufur dan rakus dengan bukit, gunung dan tanah.
- Get link
- X
- Other Apps
AM jatuh lagi. Waktu digendong Bapak ( yang sudah tua ) ke poliklinik, staf yang menyantuni pun terkesima, jatuh lagi! Ya, tahun sudah AM patah tangan di padang bola. Ya, tahun sebelumnya basikalnya membeluk ke parit. Allah ya Allah. Kali ini tisu kakinya sedikit tercabik. Alhamdulillah, saat saya dididik sabar berdepan dengan hari-hari terakhir persekolahan tahun ini, bersyukurnya kami tidak berlaku yang lebih serius pada AM. Menurut AM kali ini sedihnya berganda sebab ternyata bukan silapnya. Saya memujuk berkali-kali anak saya yang menahan sakit dengan airmata, sabar dan syukur. Ini asuhan Allah untuk AM jadi anak soleh. Jangan derhaka pada Bapak dan Mummy. Saya memujuk, walau apa terjadi solah masih mesti. Maghrib dan Isya' AM di kerusi. Saya menoleh Zahar yang masih dengan wajah geram. Sabar dan syukur, Bapak!
- Get link
- X
- Other Apps
Kelmarin saya menunggunya. Ya, dia kelihatan dalam samar. Berbalam antara awan yang perlahan. Sekejap saya meninjau. Sekejap saya seperti berjauh hati. Sebelum tidur, saya masih mendongak. AM dan Zahar menggeleng lagi. Sudahlah mummy, ahli sains meramal saja. Mereka adalah ahli sihir. Saya menebak, adakah lelaki berdua itu cuba mengujarkan ahli sains (kaji bintang) hanyalah ahli nujum. Saya berharap si bulan penuh berjaya menyelinap masuk ke dalam mimpi. Saya ternyata rindukan teduhan yang selalu dibawanya.
- Get link
- X
- Other Apps
Bulan Penuh Perigee Semasa kecil waktu didukung, saya selalu ditanya mana bulan, mana bintang . Dan saya akan menunjuk langit. Sehingga kini kesukaan saya mencari bintang dan bulan di langit Apatah lagi akan muncul esok bulan besar usai Maghrib Isnin 14 November , insya-Allah. Saya rindukan sahabat saya si bulan penuh. Dia juga tabib yang banyak meredakan.
- Get link
- X
- Other Apps
Naffi Mat Susuknya selalu mengingatkan saya kepada almarhum senior yang satu lagi, Talib Samat. Menuju Maghrib tadi, saya menerima pesanan masuk daripada sahabat di UPSI, PM Dr Halim Ali. Sahabat kita, Dr Naffi Mat telah kembali ke Rahmatullah. Saya tahu arwah memang tidak sihat. Malah kali terakhir sewaktu kami sama-sama menjadi ahli forum di UPSI, arwah sempat bercerita tentang keuzurannya. Sudah tiba detik itu. Seperti selalu mengenang nasib sendiri, detik saya kian hampir juga. Buat saudara kami, Naffi Mat, teriring al fatihah dan doa mudah-mudahan perjalanan pulangmu ditunggu semua yang di langit. Kepulangan yang diraikan, untuk insan sebaiknya.
- Get link
- X
- Other Apps
Cuti sekolah hampir bermula. Kami bercadang membawa AM bercuti walau pencapaian peperiksaannya sangat buruk. Ia satu hadiah yang tidak pernah saya dapat waktu kecil. Destinasi percutian yang dipilih Zahar sudah pernah saya jejaki, walau lama dahulu. Saya sebenarnya tidak suka mengulang pergi ke tempat yang sama; khususnya jika pilihannya luar negara. Pelbagai pelusuk lain yang belum sempat saya jengah. Tapi dalam banyak suasana, kita perlu selalu menghormati kesukaan orang lain. Apalagi mengenang AM. Apalagi mengenang diri yang sudah tua ini. Apalagi yang lebih baik selain daripada memberi kebahagiaan kepada orang lain.
- Get link
- X
- Other Apps
Dua karya saya ini mendapat tempat dalam senarai panjang Hadiah Sastera Darul Taazim @ Anugerah Sastera Johor ke X (2016). Hari besarnya pada 4 November di Johor Bahru. Alhamdulillah syukur. Malangnya saya berhalangan untuk hadir. Saya menyertai senarai HSDT sejak 1999. Ya, sangat lama. Dan sangat panjang juga saya diajar saban tahun untuk bersyukur. Belajar untuk terus menerima dengan kerendahan hati. Setiap kali saya memijak tangga pentas untuk menerima anugerah dan cek hadiah, saya kerap melakukan refleksi sebenarnya. Adakah ini yang saya mahu dalam kerja penulisan saya. Terbentang di hadapan adalah wajah para mahasiswa saya yang melihatnya sebagai perangsang untuk mereka turut berkarya. Lebih baik daripada saya. Dan ia menambah saya menadah tangan untuk melanjutkan syukur. Namun dalam pertelingkahan di beluk yang lain, saya merasakan, cukuplah. Saya menyimpulkan ini merupakan tahun terakhir saya menyertai senarai panjang HSDT @ ASJ. Saya berterima kasih kepa...
- Get link
- X
- Other Apps
Hujung minggu ini menghala ke awal minggu depan, kami meraikan mahasiswa yang menerima ijazah. Tahniah. Tiba di puncak kejayaan, ia ditamsilkan, membentangkan banyaknya makna. Mengukur sebenar-benar kejayaan pula menuntut syarat yang lebih panjang. Bersama-sama dalil di atas kertas, adakah ia benar-benar sebuah puncak? Mercu itu adakah didaki dengan kerendahan hati yang seluruh? Titik tumpu itu mahu diraih dengan inci langkah untuk mengakui kepuncakan yang sebenar. Ah, sukarnya menterjemah makna. Sulitnya mnjelaskan hikmah.