Tidak jarang puisi mempunyai lorong takdirnya sendiri. Daripada kata yang tersaring dan rima yang mengiring. Saya sering terpukau dengan tamsilan dan makna rahsia yang disimpan penyairnya. Mungkin sahaja pena'akulan batin sang penyair tersimpang daripada apa yang saya maknakan, namun begitulah misterinya mengapung dan menebar banyaknya suara yang tak terdengarkan. Puisi dan takdirnya itu barangkali juga mewakili keta'ajuban waktu kecil saya (malah hingga kini) ketika melihat bulan penuh. Masih dengan tamsilan dan pena'akulan batin. Lingkungan bulan penuh itu menawarkan bukan sekadar cahaya yang menyilau seperti mantera pujukan tetapi jauh mengheret saya memasuki lorong kejadian dan mengakui jalan penciptaan. Benar, ia jalan yang Allah bawakan untuk saya agar sentiasa bahagia dengan bersyukur. Ini bunyinya catatan peribadi, entah siapa yang mengerti.




Comments