Sahabat baru |
Antara keindahan hujung minggu adalah dapat bersama-sama mahaguru di taman miliknya. Dia akan memperkenalkan tiap nama pohon, kembang, daun atau unggas yang hinggap tiba-tiba di ranting yang mempunyai tamsilan yang erat dengan cabang takdir yang sedang tumbuh. Semenjak menjadi tua, saya sudah jarang mahu memandu sendiri di hujung minggu apatah lagi masuk ke taman atau kebun. Namun menziarahi mahaguru dengan kuliah alami di anjung rumahnya yang permai menghadap tasik kecil dengan angin petang yang membawa banyak kenangan genap dua puluh lima tahun lalu, manis sekali untuk disimpan. Si Cantik Merah ini dibekal pulang untuk saya gandingkan dengan Si Kemboja Jepun seludupan Bali. Mudah mudahan nanti kedua-duanya bersahabat seperti dalam pantun mahaguru yang selalu dikenang akan budinya,
Buah markisa buah nangka,
Buah berangan dalam pinggan;
Hari ini kita ketawa,
Besok semua bayang kenangan.
Pura ini pura gunung,
Angin bertiup udaranya getir;
Kepala tunduk hati merenung,
Tak sepatah tersebut di bibir.
Pantun dari Tujuh Gunung
Muhammad Haji Salleh, 2016
Comments
Tahniah kerana meletakkan guru setinggi itu.
Selamat meraikan Mr Lim di SJ.
Saya memahami keterujaan Sdr bertemu guru, dan benar, ia adalah anugerah.