Posts

Image
Saya baru tahu bahawa antara asuhan Rasulullah (salawat dan salam ke atas baginda dan keluarga!), menggantung rotan sebagai ingatan dalam mendidik anak-anak. saya melihat ia juga asuhan yang halus untuk ibu bapa menjalankan kewajiban yang selayaknya. Alif Matiin  pernah dihukum dengan rotan dan ia membuat saya tak mampu menahan air mata. sama juga saya menahan sebak setiap kali  si Mohican saya itu menjadi muazin  di ruang solat kami. menyusun sejadah di awal solat dan cepat cepat mahu  dapatkan bapaknya tasbih dan kitab sebaik seusai jemaah. oh! sekarang rumah sunyi. Alif Matiin sedang bersuka ria di kampung wan dan atuk. dan saya rindukan suara muazin kami!
Image
Saya semakin tua, dan rasanya naluri saya semakin cermat membaca perubahan  suasana atau rasa. saya mengambil satu keputusan yang aneh hari ini. tiba-tiba saya teringat puisi Ke Ruang Katarsis Zaen Kasturi. Kita tidak lagi pernah bertanya kenapa manusia harus jadi manusia tanpa menolak kebenaran untuk jadi manusia yang tegar meniup seruling kemanusiaan yang ligat memetik kecapi keluhuran kerana kita lupa apa yang tersimpan di album bangsa. tiba-tiba pula kemudiannya saya merasakan, enaknya  berlama-lama di spa, ya pada pertengahan minggu bekerja? idea yang menarik juga!
Image
Saya suka upaya pihak DBP ini. TAHNIAH Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP! poster comel ini saya tampal dari fb. suka suka suka!
Image
Saya jumpa kata-kata yang memukau ini di fb; saya tambahkan bunga kecil mewakili hati saya yang diamankan... alhamdulillahi rabbil alamin.
Image
Si comel Yaya Kuliah hanya berbaki seminggu lagi. selepas itu mahasiswa akan sibuk dengan ujian dan kemudian akan riang ria di kampung halaman masing-masing. minggu ini antara yang dibincangkan tentang harga sastera zaman ini menerusi sayembara yang dianjur. harga SN baru ditingkatkan ke RM60, 000. harga sebuah buku mengandungi 20 cerpen atau sebuah buku akademik yang jadi juara ialah RM10, 000. nilai cerpen yang menang ialah RM1000 (atau RM800). mata saya berpinar-pinar bila diberitahu hadiah besar artis mania (?) bernilai setengah juta. mahasiswa berbahas isu  popular lwn serius . saya rasa mahu pitam! mahu pengsan seperti baru menjamah biskut Yaya.
Image
  Ada sahabat saya yang hidup sendiri, mahu berbahagi kesepiannya. saya melihat kesendiriannya adalah jalan untuk dia (dan saya juga) diasuh untuk menyedari bahawa suatu saat nanti, kami juga akan sendiri. ya, kita akan sendiri nanti. dan saya juga melihat betapa indahnya banyak waktu dia dapat berbuat kebaikan tanpa gangguan. saya teringat isi firman Allah, at taghaabun: 14, ... isteri dan anak menjadi musuh.. . saya doakan semoga Allah meriangkan hatinya dalam sunyi yang panjang itu...
Image
Selamat menikmati bulan-bulan yang indah!
Image
Hujung minggu yang riang! saya sempat tenang-tenangkan diri di salon Ozie dan kemudian ke kelas masakan. oh, apa yang lebih meriangkan hati setelah sepanjang minggu duduk lama di bilik kerja; membaca kerja mahasiswa, membaca minit mesyuarat, membaca bahan audit, membaca emel rasmi, membaca manuskrip yang tidak siap-siap, membaca bahan penyelidikan, bahan kuliah,  di samping  membaca sama marah, rajuk, kecil hati, salah faham manusia juga...  
Image
Saya akhirnya bertemu dengan seorang kenalan lama dari bangku sekolah. dia terperanjat apabila diberitahu betapa  banyaknya dia  mengirim ilham lewat karya saya selama ini. saya katakan, memang banyak dalam hidup yang menumbuhkan cerita dalam diam, memberi makna dalam ketidaktahuan, menawarkan keterujaan tanpa sedar. teman saya itu sekarang dalam bidang teknologi dan saya ragui sama ada dia memahami apa yang saya cuba jelaskan dengan laras bahasa yang mungkin padanya aneh. ya, memang banyak isyarat hati yang tidak mampu terhantar oleh kata, apalagi tanda yang datang seperti bayang-bayang. sedang ia tidak mudah juga untuk diterima setelah jaraknya masa yang memindah-mindahkan banyak mimik peribadi.
Image
Sempat hadiri diskusi menarik ini. banyak perkara baru yang diberitahu mantan paderi @ pengampun dosa antarabangsa katolik ini. antaranya bagaimana  akhlak dalam hubungan persaudaraan, menjadi tarikan utamanya untuk  menguasai masyarakat Islam. saya segera teringat sabda Rasulullah, umat hujung zaman seperti buih di lautan - banyak tetapi lemah. deritanya umat hujung zaman adalah kerana menularnya satu penyakit yang dinamakan al wahn @ cintakan dunia dan takutkan kematian. Allah, Allah, Allah, ampunkan saya kerana banyaknya masa saya dalam sehari tidak sudah sudah dikepung penyakit itu. dan kepungan itu sangat berkuasa!
Image
Satu pengalaman bersama guru yang saya tidak dapat lupakan ialah mendapat markah 29/25; ia untuk kertas geografi sewaktu saya di tingkatan enam sekolah (p) sultan ibrahim, johor bahru. dan guru yang kerap memberi markah A+ itu ialah Cikgu Daim. dan sejak menjadi guru, saya tidak pernah pula memberikan pelajar-pelajar saya markah luar biasa seperti Cikgu Daim! saya tidak tahu di mana cikgu sekarang. namun, saya mahu mengucapkan selamat hari guru yang istimewa diiringi doa  setulusnya semoga cikgu dirahmati selalu. juga buat semua guru saya dan semua yang bergelar guru,  terima kasih cikgu!
Image
Saya kehilangan buku lagi! kali ini buku resepi.  ia antara buku masakan yang saya gemari kerana terdapat beberapa halaman yang saya pernah cuba dan menjadi. oh, di mana buku Chef Sabri  ya? lazimnya saya menyedari buku-buku saya hilang hanya apabila ia hendak digunakan. cerita yang sama dengan buku-buku yang disimpan di bilik kerja di kampus. kali ini buku masakan saya pula yang entah di mana. saat mahu memasak untuk omak mertuo den sempena hari ibu, saya mencari buku yang mengandungi resepi nasi morocco @ nasi arab. alhamdulillahi rabbil alamin, saya pernah menyimpannya di catatan tanggah!
Image
Antara ajaran Islam ialah mendekati dan selalu duduk dengan orang soleh. ketika kecil di kampung Temasek, saya suka mengintai sebuah rumah yang bergelar haji. saya memanggilnya tok haji. saya suka melihat wajah tuanya yang bersih, saya percaya ia adalah cahaya wudhu dan ketaatannya kepada Allah. saya juga suka belajar muqadam di surau kami yang bertangga kayu dari seorang haji yang rumahnya bersebelahan perigi. saya teruja belajar tulisan jawi dari seorang datuk yang akhirnya hilang penglihatan. saya suka bersama mereka kerana berasa nyaman seperti ada pawana halus selepas hari hujan yang menghantar rasa tenang dan sentosa dalam jiwa kecil saya ketika itu. saya juga rasa dilindungi oleh keindahan iman serta kecintaan kepada Allah yang mereka punya. perasaan mahu berjumpa dan duduk dengan orang-orang soleh, hingga kini saya rindukan.  sedang usia saya semakin tinggal sedikit bakinya dan saya  kian merasakan kesedihan yang panjang.  pawana lepas hari hujan yang m...
Image
Bermimpi bulan yang banyak di langit, apa isyarat yang mahu dikirim? kemudian pula muncul  sahabat yang berdiam lama. seakan mahu memberitahu khabar yang disimpan sekian masa. oh Allah, saya memohon ampun. terlalu banyak rahsia, terlalu banyak kata yang tidak mampu dirapikan sebagaimana cantiknya madah mahupun syair atau gurindam. sedangkan saya juga mahu menyatakan segala yang tersembunyi, segala yang saya sendiri tidak pernah duga atau sangka. o sahabat, mahukah saya dimaafkan kerana membiarkan diam menunggu lama?
Image
Dalam bersunyi, saya melihat banyak sisi saya diasuh bonda dengan didikan yang halus. tentang hal-hal kecil. saya diasuh bonda untuk memohon maaf ketika bersin atau batuk. menadah tapak tangan ketika makan biskut agar jangan sisanya bertabur. meletak pinggan di meja tanpa bunyi yang menyakitkan hati. elak mata ke pinggan kawan yang baru menyenduk makanan. saya berterima kasih diasuh bonda untuk selalu tahu mengukur baju di badan sendiri. selalu tahu membawa diri. selalu sedar di mana kita berada dan selayaknya bagaimana kita harus mewakili peribadi. saya malu berada pada tempat yang tidak seharusnya saya berdiri. dan asuhan itu masih panjang senarainya dalam ingatan. saya pulang ke riba bonda hujung minggu ini. konon mahu merai hari ibu, yang rupanya minggu hadapan! ah, yang penting tangan tuanya dapat dikucup dan saya dapat memohon ampun!
Image
Sekali lagi untuk penganugerahan tahun 2011, kami mahu meraikan penerima Hadiah SEA Write. ia tanda menghargai. ia tanda kami cintakan kesusasteraan Melayu. syabas kepada mahasiswa saya yang kenal erti bersyukur, berterima kasih. acara ini berlangsung di Dewan Kuliah 3F201, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM. jumpa ya!
Image
Mengapa saya suka ke masjid? di sanalah ruang yang melapangkan. ia adalah penjuru yang paling mengamankan, penuh barakah. seperti kata seorang rakan akademik yang sering saya dakap dan bersalaman seusai berjemaah, ini bukan tempat pelarian, sebaliknya ia perlindungan. o Allah. kami memohon perlindungan daripada segala jalan yang salah. kami memohon dipelihara selalu hati kami yang cuai. kami memohon iman  saat hasutan angin datang mencelah. o Allah, ampunkan kami. ampunkan kami. ampunkan kami!
Image
Ia menjuruskan lorong matlamat. ia menghamparkan kesediaan. ia menawarkan keheningan.   ia membawa kita begitu dekat dengan Rasulullah. saya turut melihat antara si pemanah dan sasaran adalah sebuah taman syurga yang begitu diidamkan setiap orang untuk duduk lama seraya memuji-muji Pencipta nan Agung. 
Image
Pada hari yang sama, kita ditemukan dengan dua rasa yang saling bertelingkahan. suka dan duka. ria dan gulana. begitulah, siangnya kami meraikan pasangan mempelai dan lewat petang kami sudah berada di wad hospital, menziarahi yang ditimpa kecelakaan. saya jadi begitu insaf dan bersujud panjang di penjuru masjid lewat maghrib. Allah membentangkan kedua-duanya untuk saya berterima kasih atas asuhan untuk bersyukur dalam apa juga suasana - saat hati diduga rawan, jiwa diamuk haloba yang besar atau tiba-tiba bahagia datang sebagai takdir. alhamdulillahi rabbil alamin...  
Image
Saya baru sedar, bukan hanya diam yang akan menjawab banyak soalan tentang apa yang tidak jelas, tidak faham, tidak tahu bagaimana ia harus diluahkan. bukan hanya diam. ya, saya melihat pergi jauh daripada segala yang tidak itu menemukan dengan beberapa lorong. ia bukan pelarian. sebaliknya juga bukan alasan. kerana saya tahu di titik yang jauh itu akan menawarkan satu perenungan yang berbeza, yang baru, yang lain tentang tidak . mudah mudahan saya sampai ke titik itu dengan seribu rasa syukur. untuk seketika ini, saya ucapkan semoga kita bertemu kembali. bertemu semula dengan hati yang lapang dan aman. bukankah al mu'min: 21 sudah mengingatkan tentang perjalanan yang membawa kita memerhati bagaimana kesudahan orang yang terdahulu?
Image
Acara menarik yang saya mahu ikut! namun sayangnya, saya berada di luar kampus pula. alahai :-( perbincangan, pameran dan persembahan rebab akan diadakan di Makmal Pengajian Melayu dan dataran DK3B301 Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM  pada 27 April 2012.
Image
Sekali lagi, mahu sangat hadir, malangnya tidak dapat sertai!
Image
... kalau tasik ini masih jernih kau akan dapat melihat bayang-bayang jiwaku sampai ke dasarnya. ...                      (kalau tasik ini) Ini hadiah istimewa untuk kami sewaktu meraikan hari lahir Muhammad Haji Salleh. terima kasih guru.
Image
Di setiap masa nampaknya selalu ada saat yang tak mudah untuk berbicara, tapi tidak gampang untuk diam. Kita tidak tahu pasti bagaimana persisnya kata-kata akan diberi harga, dan apakah sebuah isyarat akan sampai. Di luar pintu, pada saat seperti ini, hanya ada mendung, atau hujan, atau kebisuan, mungkin ketidakacuhan. Semuanya teka-teki - Goenawan Mohamad -
Image
Saya ke utara untuk meraikan ulangtahun mahaguru saya,   Prof Emeritus SN Muhammad Haji Salleh . sudah sekian lama saya tidak ke majlis hari lahir, apalagi yang hadir sama adalah Anwar Ibrahim!
Image
Saya terbaca petikan yang lebih kurang begini bunyinya di fb: bagusnya dalam diam, kita semakin mengingat, semakin merindui.  seperti yang saya catat sebelum ini, diam sangat menawarkan banyak ruang - untuk mempertimbang, mewaraskan dan menjernihkan. ya, sejak pulang dari pejabat menghampiri pintu senja tadi, rumah kami terlalu sunyi. saya tiba-tiba jadi dungu. benar, saya semakin mengingat, merindui Alif Matiin yang sudah jauh di kampung memenuhi cuti hujung minggunya kali ini.  dan saya menangisi diam ini di hujung solat maghrib, sendiri...
Image
Beberapa hari ini saya cuba mendapatkan hadiah untuk seorang guru yang istimewa sempena hari lahir. sebenarnya saya tidak mengingati tarikh-tarikh kelahiran saudara terdekat, sahabat mahupun kenalan. namun saya menyimpan sebuah buku kecil dan mencatatnya.   jika  buku itu hilang,  kemungkinan besar saya lupa! atau sekarang bagi yang menganggotai fb, takwim hari lahir akan ditampal.petang tadi saya temukan hadiah yang saya rasakan sesuai. ah, sukar rupanya untuk mendapatkan sesuatu sebagai tanda ingatan, kenangan dan selebihnya penghargaan untuk seorang guru. ia pasti sahaja tidak sepadan dengan harga budinya, jadi saya iringi doa tulus, semoga guru saya itu disayangi dan diampuni Ilahi.  
Image
Mahu hadir, tapi tak dapat hadir!
Image
Terima kasih kepada pengarangnya. saya dikirim novel baru Marsli NO , sahabat penulis yang saya kenali sejak bergelar mahasiswa.  membaca judul provokatif ini, entah mengapa saya membacanya dalam ruang di sebuah gua persahabatan. wujudkah penderhaka dalam gua itu? berlakukah penderhakaan dalam persahabatan? pernahkah seorang rafik tiba-tiba bertukar nama yang sama sekali tidak pernah  terdugakan? sehingga akhirnya ada yang menjadi malu, gelihati, sedih atau terus mahu berdiam diri. oh, memang berlaku penderhakaan dalam gua itu rupanya! saya tahu, berdiam diri seketika, berpindah ke negeri sunyi, akan menjernihkan rasa dan memautkan saya kepada kewarasan. dengan izin-Nya, mungkin nanti saya akan bersuara, semula.
Image
Diam dikatakan sangat membantu  dalam banyak urusan agama. ia menjernihkan fikir dan jiwa. ia membikin segalanya jadi rapi dan berhati-hati. lebih banyak ruang untuk mempertimbangkan. lebih banyak saksama yang dapat dijuruskan. bunyinya, diam itu seperti sahabat yang baik. adakah itu yang saudara temukan dalam diam?
Image
Hari ini saya belajar untuk menghormati hak orang lain yang tidak harus saya miliki sama sekali. jangan haloba dan mahu merangkul semua yang ada. sebaliknya berbahagi apa yang saya punya, memelihara kesaksamaan  dan rendah hati saat melihat begitu banyak rezeki di hadapan mata. begitu kemudian saya menimbangkan kepada siapa rezeki itu harus diperpanjangkan. segalanya saya baca ketika pintu itu terbuka...
Image
Bagaimana cara saudara menghulurkan kad nama ? menggunakan satu tangan? adakah ia diiringi keikhlasan dan ia mewakili peribadi saudara? saya belajar cara menyua kad nama yang tulus dari seorang teman di Guanzhou. hulur dengan kedua-dua tangan dan kedudukannya menghadap si penerima. hulur ia sebagai hadiah seikhlas persahabatan yang mahu dijalin. xie xie nie, Masq.
Image
Antara kemalangan dalam hidup ialah berjumpa dengan manusia licik. saya rasa sangat kurang selesa untuk bersamanya. kenapa? saya  merasakan satu kesedihan yang bergantungan. saya sedih kerana kelibat licik itu yang saya lihat dan sebaliknya bukan keikhlasan. pernahkah saudara berasa sedih apabila mendampingi seseorang yang panas baran, air muka yang keruh, suka mencari kesalahan orang lain,  pengadu domba atau kasar tutur katanya? bagaimana perasaan saudara ketika bersama mereka? ya, itulah yang turut rasakan apabila dengan si licik. Allah, ampunkan saya. betapa saya tahu ia bukan hanya sebuah prasangka.
Image
Dalam satu acara rasmi yang saya sertai hujung minggu ini, saya belajar antaranya erti  menjadi tua. saya mahu menjadi orang tua yang menghormati semua.  saya mahu menjadi orang tua yang tidak sekali-kali menuding telunjuk kepada orang lain. saya mahu menjadi orang tua yang memberi asuhan dengan cara yang terhormat. saya mahu menjalani kehidupan tua saya dengan latar dan plot yang indah, sebaik sebelum bertemu dengan-Nya. ya, jika saya dipanjangkan umur  menjadi tua dengan izin-Nya jua...
Image
Bukankah telah Aku katakan kepada kamu, bahawa Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu nyatakan dan yang kamu sembunyikan? (baqarah: 33). lewat senja kelmarin ada pelangi yang merentang di langit. dengan girang  Alif Matiin menudingnya dari dalam kereta. "semua orang mesti happy lihat rainbow, kan mummy?" hati saya kembang bagai bunga. ternyata anak saya sangat gembira setiap kali melihat pelangi. masya Allah, penciptaan yang indah dengan rahsia milik-Nya. dan kami mula menyanyi lagu pelangi!
Image
Saya meneruskan pembacaan, pada lebih seratus halaman, masih dibahaskan tentang tafsir hamdalah . betapa banyak yang harus disyukuri. namun terdapat tiga kecacatan dalam peradaban manusia: masih ada yang tidak mempercayai Allah pencipta alam semesta, akal dan ilmu digunakan untuk kerosakan dan manusia suka memuji selain Allah. saya jadi berdebar-debar apabila tiba di halaman ini. semalam, mahasiswa saya menghadiri satu acara sastera dan populariti, menceritakan mereka menemui watak ilmuwan yang angkuh. saya jadi malu sendiri! saya menyambung bacaan. bukan bilangan ribuan kali alhamdulillahi rabbil alamin yang disebut; ia terletak pada pengertian dan adab memaksudkannya.
Image
Saya tahu, ini bukan masa yang sesuai. saya seharusnya tidak berada di ruang ini pada hujung minggu, semalam. tapi rasanya inilah penanda aras yang saya berada di bawah tekanan dan perlukan terapi. ya, sebaik bersarapan, saya terus membuka buku resepi, mencari karung tepung, gula perang, marjerin, vanilla dan mencari semula baki bijirin campuran strawberi sarapan Zahar. ya, sekejap sahaja biskut yang saya sapukan sedikit cokelat di permukaannya untuk tambahan rasa, sudah keluar dari ketuhar dengan  bahang yang meliar. saya dapat melihat tekanan dan kebimbangan saya turut berterbangan. namun sekejap itu saya mencari-cari siapa pula yang boleh membersihkan dapur saya yang sudah berserakan! 
Image
Tiba-tiba saya mempunyai tarikh-tarikh akhir menyiapkan pelbagai tugasan, yang sangat panjang. ya Allah! dari tugas rasmi kepada yang melibatkan pihak luar. membaca untuk penilaian, membaca tesis pelajar, membaca teks untuk kerja transformasi, laporan penyelidikan, kertas yang harus dihantar, pengisian untuk bercakap dalam forum,  menyiapkan manuskrip dan ... dan .... rabbi yassir wala tuassir!
Image
Ali Majod meninggal dunia petang ini. itu berita di fb. untuk kuliah kursus cerpen minggu depan, saya menyediakan bahan untuk pengarang dekad 70-an. nama Ali Majod tidak boleh ditinggalkan. dalam kursus yang sama, beberapa sesi lepas mahasiswa menyediakan blognya sebagai tugasan. almarhum sangat akrab dengan MPR dan saya bukan alumninya. namun saya pernah mendapat nasihat Pak Ali agar selalu merujuk al Quran dalam berkarya. saya masih ingat latar nasihat itu, di penjuru bangunan DBP lama. al fatehah buat Pak Ali yang budiman. semoga perjalanan pulangnya yang paling aman dan dalam redha Allah.
Image
Rakaman surah al anfaal:2, lima golongan orang beriman adalah: hati yang gementar apabila disebut nama Allah bertambah iman apabila dibacakan ayat-ayat Allah kepada Allah dia bertawwakal mendirikan solat   menafkahkan harta yang diberikan kepadanya. Allah, sayakah debu yang berterbangan?
Image
Untuk sekian lama saya tahu ada yang jarang membaca doa qunut dalam solat subuh dan tahu ia harus ditambah dengan sujud sahwi.  di Haram, imam tidak mengamalkannya. mungkin itu menjadi alasan. ada yang sesekali membacanya, sedang sangat sedar makna doa itu merupakan permintaan dan permohonan ampun kepada Allah. dan saya benar-benar mahu  memaknakannya hari ini. Allah, redhailah saya!  salawat dan salam buat Rasulullah.
Image
Ini adalah majalah mingguan langganan Zahar. biasa dibaca di  meja makan. semalam sempat saya menyelak halaman akhir tentang penulis buku komik Stan Lee untuk ruangan 10 soalan. saya senang mendengar dua jawapan terakhirnya. ya, dia mengahwini Joanie untuk sekian 64 tahun dan jawapannya   untuk keluarbiasaan itu adalah you just marry the right girl!
Image
Pertemuan pertama kami berjejak ketika saya memanjat bukit Montmarte dua tahun sudah. Ya, memang jauh di sana . Seusai melewati beberapa bumbung kedai cenderamata dan café yang banyak, saya tiba di situ. Seratus meter ke hadapan dari sebuah café merah – dari bumbung hingga kepada pakain seragam para pelayannya. Serba merah. Saya   melihat dia. Inilah latar cerpen lama saya ini lewat kembara, “… ada kiriman dupa   dari Negara Seribu Pura, ” tulisnya. dan ini saya yang dirakam si Darwin. saya teringat kenangan ini kerana ada sahabat yang akan memanjat ke sana minggu hadapan!
Image
Image
Saya masih belum memahami untuk menjadi kekasih Allah mahupun Rasulullah. ya Allah ampunkan saya! begitu saya sangat menyedari adab menjadi kekasih iaitu adanya cinta, adanya rindu, adanya debar setiap kali bertemu. kadangkala dicelahi malu. ada sebahagian pengalaman, saya merasakannya. tapi untuk bergelar kekasih, saya sendiri yang tahu di mana letak diri. ya Allah ampunkan saya. antara halaman awal buku yang sedang saya tekuni ini menyatakan antara syaratnya ialah membuang nafsu. Allahu akhbar! betapa banyaknya dinding yang mengepung dan saya seakan-akan dikurung dan dipenjara di dalamnya. saya sangat malu apabila menerima hadiah ini sempena hari lahir yang lalu. Nis, saya masih belajar untuk menjadi kekasih.
Image
Buku ini memenangi Anugerah Buku Negara 2012: Best General Book (Fiction) anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara dan The Oxford Centre for Excellence, UK. menariknya pengarang kumpulan cerpen ini merupakan penyair yang masyhur! Laut Takjub oleh SN Kemala.