Posts

Image
Semester ketiga ini saya bertemu mahasiswa yang mengambil kursus Penulisan Kreatif sebagai mata pelajaran pilihan. terima kasih kepada Atiqah , Azemuniza , Hafifyn , Khairunnisa , Nor Azrin, Siti Mastura , Sah Rezan , Engku Faris , Mohd Izzat Azren , Mohd Faizal , Norfahani , Siti Noor Azmira , Fatin Nadiah , Khodijatul , Izzat Amir , Hanis , Immalina , Nur Fatin , Azilah  dan Amirullah   yang ikhlas mendaftar. kali ini tugasan mereka, merakam jurnal berdasarkan genre muzik. mungkin sahaja mereka seronok atau hairan bagaimana akhirnya nanti terhasil sebuah cerpen.
Image
Si Mohican sudah pandai berbahagi kisah mimpinya dengan kami. cerita Mohican, setelah ditinggalkan dalam sebuah perahu, bersama sahabatnya, mereka berdua berhadapan dengan seekor jerung yang sangat besar yang kemudian menelan mereka. Mohican bercerita bagaimana mereka diserang ombak juga. ombak itu membawa mereka keluar dari perut jerung. ada lima lagi kanak-kanak dalam perut jerung, bapak. Zahar bertanya, siapa yang meninggalkannya dalam perahu. Mohican yang berdiri penuh aksi bercerita di hadapan kami menunjuk saya. mummy. heh?
Image
Tahniah kepada Sasterawan Negara ke 11, Dato Kay.  saya baru sedar sangat buruk sistem dokumentasi saya. banyak keratan akhbar yang menyiarkan gambar atau tanggapan saya, tidak disimpan...
Image
Sejak pulang dari Pusat Sains Negara dan membawa balik hadiah haiwan purba ini, setiap hari Alif Matiin bercerita dan membesarkan si Dino dengan merendamnya. dan setiap pagi menjenguk kolam kecil, Alif Matiin akan menjerit, mummy, Dino sudah besar dan besar sangat! dan sekejap saja kemudiannya Zahar pula menjadi haiwan purba yang mengaum bila kereta kami tercalar dek basikal penjaga Dino! aummm!!!
Image
Syarahan yang akan saya hadiri. ini bidang lama yang sekian tahun saya tinggalkan. dan tokoh ini dan tulisannya dalam Dewan Masyarakat , kerap saya ikuti sewaktu berada di sekolah . saya menjadikan pojoknya dan majalah tersebut sebagai bahan bacaan wajib.
Image
Antara siri novel saya dan teman-teman membaca, menghayatinya dalam hidup remaja kami hampir tiga puluh tahun lampau. saya temui wajah kulit baru ini di PBKL. akan saya hadiahkan buat setiap mereka yang istimewa - Jane, An, Ijen, Mie dan seorang lagi yang kian jauh. siri seri melur yang banyak mengajar makna persahabatan, kasih sayang, kejayaan dan betapa indahnya ingatan kepada kawan...ps: Hani Bunny, terima kasih menemukan buku comel ini.
Image
Kami berutus surat sejak berusia kurang lebih 10 tahun sehingga mencecah satu dekad lamanya, sebelum terputus hubungan secara teknikal. dan menjelang ramadhan lalu saya dijejaki kembali. manisnya pertemuan pertama kali  setelah hampir 30 tahun bersahabat. terima kasih Hisham @ Batman kerana sudi datang sempena majlis pelancaran BSM di PWTC kelmarin.
Image
al Fatehah kami sekeluarga buat almarhum sahabat saya, Prof. Madya Dr. Ahmad Redzuwan Mohd. Yunus , Pensyarah Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam UKM, yang juga merupakan ayah kepada sahabat Alif Matiin, Afiq Aiman. kesedihan yang paling dalam kami rakamkan untuk pemergian yang sangat menyentak ini pada april 22 jumaat lalu.
Image
Jumpa kami di PBKL  pada 27 April 2011, Bilik Kuala Lumpur, PWTC Aras 5, jam 2.30 petang  untuk sesi pelancaran oleh SN Anwar Ridhwan dan  sesi bersama pengarang Bagaimana Saya Menulis.
Image
Topi lebar berpita dipakai Profesor Mariah dalam Dia Dari Penjuru Tahun Lalu , kata teman  yang budiman, Kak Saadah pemain piano dan biola, menghadiahkannya jauh dari Phuket. terima kasih hadiah manis hari lahir  lalu!
Image
Saya kira tidak perlu tunggu hujung minggu, dapur dijadikan ruang terapi dan ekspresi. petang khamis yang lelah sekembali dari ruang kerja, saya segera membuka halaman resepi Mavin Yong, Sentuhan Nyonya dan Aneka Hidangan. pilihan kami ialah ayam kapitan. saya akan letakkan resepinya di catatan tanggah. ya, enak!
Image
Narasi Sebuah Negara Pesona dan surah mulia an Nur: 15 luruh di semua penjuru mata manusianya, ketika kamu ceritakan dengan lidahmu dan kamu katakan dengan mulutmu sesuatu yang tak ada pengetahuan kamu tentang kebenarannya dan kamu kira perkara itu tidak berdosa, sedangkan di sisi-Nya ia tidak terampunkan.
Image
Sejak awal mengikuti Junior Masterchef, saya terpaut dengan Isabella. begitu besar cita-cita anak 12 tahun ini untuk membuka restoran masakan leluhurnya, Italia, bersama saudara kembar yang tidak kurang manis, Sofia. alangkah anak gadis Melayu yang manis dan cantik bahasanya seperti Is-Sofia ini sangat lincah di dapur dengan hasrat sebesar benua. saya simpan cerita ini di catatan tanggah juga.
Image
Sdr dipersilakan hadir. Forum menampilkan Sdr Ahmad Thamrini Syed Mohamed (UPNM/UKM), Sdr Dharmaletchimi Naidu a/p Nesen (UKM) dan Sdr Syed Mohd Zakir Syed Othman (PENA).
Image
Buat Zaen Kasturi, selamat datang ke UKM Bangi. Sepanduk ini diperagakan di papan digital, pintu masuk utama kampus.
Image
Hari Susastera@blogspot.com kali ketiga kali ini meraikan Zaen Kasturi, penerima Hadiah SEA Write 2010. buat mahasiswa Tahun 1 SKMM1043 Cerpen Melayu dan pasca siswazah SKMM6053 Sastera Bandingan, semoga sdr memperoleh manfaat dan pengalaman yang mengesankan dalam projek kita ini. terima kasih atas sumbangan kewangan dari pihak berkenaan. Sdr Zaen Kasturi, terima kasih kerana sudi memenuhi undangan kami di Bangi! Poster berseni ini disediakan pelajar sarjana, Salleh dan sahabatnya. Terima kasih!
Image
Menjemput Alif Matiin pulang hampir setiap petang, saya akan bertanya khabarnya bersama kawan-kawan. dan peluang bercerita untuk saya juga. mengadu tentang sakitnya kepala dengan pelbagai karenah manusia dan masalah berganda-ganda seperti turun laju sebongkah batu gergasi dari puncak bukit mengarah saya. si kecil merenung, Alif Matiin pun banyak masalah. pening jugalah, mummy! tiba-tiba saya melihat Alif Matiin seperti ikan yang menyelinap antara karangan yang cantik!
Image
Saya melihat pawana berlari lagi. masih keras. dan saya sedar betapa di situ letak keyakinan dan kepercayaan. dia seperti selalu banyak menyimpan cerita. katakan apa sahaja, dari kisah luka, keliru, kecewa atau apa yang dinamakan derita. ah, angin keras, pawana yang datang dalam gelombang, bayu yang menyelinap antara cemara jarang, dan saya masih mahu mengerti makna yang banyak dari tebalnya bunyi...
Image
Saya melihat pawana berlari keras. dan sekeras itu juga saya mahu berlari meninggal banyak luka dalam seribu darah yang mengalir. alangkah menjadi bayu deras di padang segara, keping-keping rasa dibawakan dan hanya dia yang tahu rinci dengung dan datar suara.
Image
Banyak yang mengecewakan, banyak yang membuat hati saya mahu memfitnah, apabila harapan dan hasrat tidak seperti yang direncana. alhamdulillah pagi ini, Ustaz Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi berkali-kali berkata, pujuklah hati mengingat dan mencintai Allah dan Rasul. pujuklah, bukalah hati dan saya berkali-kali mengulangnya sendiri. apa pula kaitan bola putih yang hampir jatuh ke sasaran ini? mungkin itulah ibarat kecewa saya ...
Image
Seharian ini saya dalam bengkel menulis. saya segera terkenang ruang bacaan mahaguru saya yang sangat mengilhamkan ini. kepada peserta bengkel dari Pengajian Dakwah, moga kita dapat berbahagi ilham juga. melihat antaranya, di celah aksara SN Muhammad Haji Salleh. menulis cerpen dengan membaca puisi, yuk!
Image
Terima kasih buat Zahar dan Alif Matiin yang meraikan tahun kelahiran bermakna kali ini dengan kek cokelat yang enak. terima kasih buat semua yang mengirim ingatan dan doa lewat sms dan fb. hanya Allah yang memulangkan kebaikan sdr. doa saya mengiringi persahabatan dan persaudaraan kita. buat wanita tercinta, hanya syurga saya mohon Allah kurniakan buat bonda kerana melahir dan mengasuh saya. Terima kasih Tuan Editor, Sdr Ku Seman Ku Hussain atas penyiaran cerpen ini pada 27 Februari di Mingguan Malaysia !
Image
Membaca lagi tentang akhlak Rasulullah, antara catatan saya: sifat pemurah baginda dalam hal kebaikan, lebih cepat daripada angin yang bertiup. begitu baginda membesarkan nikmat sekalipun sedikit. ketawa baginda adalah senyuman. dan betapa al Quran menjadi akhlaknya. sallallahu alaihi wassalam...
Image
 Menjelang maghrib, saya membacakan sebahagian riwayat keluarga Rasulullah dan bahagianya mengikuti bab akhlak baginda yang indah dan terpuji. seusai solat jemaah, saya beberapa kali memberitahu Alif Matiin, kita sedang meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad sallallahu alaihi wassalam. harus banyak salawat buat kekasih Allah. Si kecil saya riang bukan kepalang bila mendengar hari lahir. dan dapur saya lagaknya seperti malam lebaran, sedang Alif Matiin mendayu-dayu bertakbir raya di ruang tamu! alahai, anakku...
Image
Dua buku baru. tahniah buat Nis. terima kasih atas hadiah cantik ini, buku merah jambu Rindu Seorang Rafik. terima kasih juga kepada kawan-kawan yang menulis sama dalam Bagaimana Saya Menulis.
Image
Dalam perjalanan ke sekolah Mohican, kami ditahan polis. mummy berlagak tenang apabila menyedari tali pinggang keselamatan bergantungan di sebelah Mohican. cepat menurunkan cermin tingkap, tanpa disuruh-suruh Mohican menjeritkan selamat pagi. kenapa tak pakai tali pinggang? cepatnya mummy beri jawapan yang masuk akal. lain kali pakai ya adik , encik polis mengusap rambut si kecil yang bergel. mummy mengerling Mohican memberi isyarat. si kecil saya menjerit lagi, terima kasih uncle polis!
Image
Lentera dan tahun baru khusus kali ini buat SL yang sudah berdua. xinian quaile dan selamat pengantin baru! saya menggantung lentera ikea di taman depan rumah sambil menikmati malam yang lengang.
Image
Kecewa. Gobar. Rawan. Lelah. Sakit. Masyghul. Segala yang di luar duga. Atau seperti laung Daniel Powter, You had a bad day. Will you need a blue sky holiday?
Image
Tidak selalu kami makan di luar. Petang seusai asar dan setelah seharian lelah berkemas di taman belakang rumah, kami bertiga kononnya memanjakan diri di Redwok Bangi . hampir satu jam kami mengadap kuali sizzling dan mangkuk panas steam boat . boleh tahan!
Image
  oh, Ben 10. dari jam ke topi, kasut dan beg sekolah. sebelum kenal si budak lelaki yang selalu memperaga jam ini, saya pernah mengejanya sebagai b-e-n-i-o. benio. heheh, selamat panjang umur Alif Matiin Ben 10!
Image
  Hujan yang keras di luar. sedang saya berasa sangat enak mengikuti baris-baris a Quarrel with Silence , sepi yang membentak seperti guruh! atau in What Colors shall i Record the Words of Sadness . saya juga mahu ketawa sendiri namun kemudian belas sekali mengenangkan wanita tua yang mengilas kembali di bangku yang pernah diduduki dalam Until every Private returns from Battle. saya mahu baca lagi No Women in Poetry oleh Zakariya Amataya...
Image
Saya semakin tua! beberapa hari ini saya menuruni anak-anak tangga di rumah atau pejabat dengan penuh hati-hati menahan perit. membaca bahan atas talian menemukan saya dengan chondromalacia ... alhamdulillahi rabbil alamin kerana menghantar isyarat untuk mengingat.
Image
Senang sekali memiliki buku cantik ini, Kasih Bonda Kampung Paya Kami (DBP, 2008) Siti Zainon Ismail. saya senang juga melihat rakaman kenangan termasuk Belajar Kira-kira... sifir dan al jibra lagi, inilah ketika kena berdiri lagi!... aha ~ mengingatkan kisah sendiri...!
Image
Dua kumpulan cerpen terawal Zaen Kasturi, Yuda (1992, DBP) dan Idola (1997, Sasbadi) diikuti dengan Rapsodi (1998, DBP) dan Taman Uzlah (2005, DBP). Esok, acara Wacana Zaen Kasturi, Sambutan Pemenang Anugerah SEA Write 2010 di DBP. hingga jumpa ya!
Image
Beberapa hari ini kerap diajukan membeli belah tanpa beg plastik. saya sokong. antara tabiat saya juga memasukkan barang-barang yang dibeli ke dalam beg sendiri. saya teringat, dibawa mak atau nenek yang menjinjing raga rotan ke pasar. sebelum pulang ke rumah, kami singgah membasah tekak minum cendol India di satu sudut Pasar Tekka dekat kedai kari...
Image
Alhamdulillahi rabbil alamin . akhirnya fail-fail yang hilang ditemui kembali. Allah Maha Besar memberikan kepintaran dan kesabaran. terima kasih tak terhingga buat Ashraf yang membantu, katanya menggunakan khidmat Pandora Recovery, mungkin juga dapat dimanfaatkan saudara bila tiba masanya...
Image
Semalam, senang hati melarikan diri lagi dari kurungan rutin. walau lelah hingga ke lewat petang berwacana tentang realiti fizikal dan realiti hakiki. saya seenaknya meratah ayam belanda dengan curahan sos pelbagai rasa, waktu makan tengahari. terima kasih banyak kepada yang belanja. lasagna, pun boleh tahan juga!
Image
Tulisan saya tentang Interlok di Mingguan Malaysia , disember 26 2010. terima kasih tuan editor, Ku Seman Ku Hussain atas penyiarannya. maaf, hanya saya paparkan keratan atas sebab ada iklan di bawahnya!
Image
Sibuk dengan projek busana di kampus, akhir-akhir ini saya mula asyik dengan kain tenunan. o, alangkah indahnya warisan Melayu yang satu ini. saya mahu sekali memiliki si kesumba yang menawan mata dan hati. hairannya, dalam ghairah mengenal lebih dalam si cantik ini, saya terdengar, busana itu apa? ... sakitnya kepala!
Image
Semester kedua untuk sesi tahun ini bermula awal. isnin tengahari kuliah kami. tahun juga sudah hampir tidak bertepi. bersambung terus dan terus. selamat kembali mahasiswaku. bersedia dengan kerja rumah!
Image
Membaca tajuk dan isi berita Buku Teks Sastera Interlok, ditarik Balik , membuat kesal lama kembali berhimpun dan mengenang pendeknya akal manusia. saya seperti mahu sekali lagi menziarahi Ayahanda Abdullah Hussain di PJ dan menyatakan dengan sungguh-sungguh, saya banyak belajar dari Interlok sejak membacanya zaman mahasiswa. saya diasuh mengasihani sesama manusia dan saya hampir tidak mengenal warna mereka.
Image
Malang memang tak berbau. saya dapati banyak fail dalam sampul picture saya hilang. cuba membongkar semua fail dalam recycle bin. hampa. saya sangat sedih apabila tidak dapat mengesan sampul Mohican Satu Tahun. ada video yang sangat indah waktu Mohican baru mula jatuh-bangun-berdiri-berjalan. mmm, sedihnya mummy! masih bolehkah dicari fail-fail itu?
Image
Berada di luar kurungan rutin, enaknya seperti minum teh panas berdua sewaktu hujan luruh. saya mengikuti kongres anjuran universiti di Everly Resort Hotel Melaka bermula disember 13-15. atau lebih enak menikmati teh itu di pantai percutian yang masih belum sempat dikunjungi tahun ini ...
Image
Antara catatan untuk menjadi kota sastera adalah: ~ Quality, quantity and diversity of publishing in the city ~ Quality and quantity of educational programmes focusing on domestic or foreign literature at primary, secondary and tertiary levels ~ Literature, drama and/or poetry playing an important role in the city ~ Hosting literary events and festivals which promote domestic and foreign literature ~ Existence of libraries, bookstores and public or private cultural centres which preserve, promote and disseminate domestic and foreign literature ~ Involvement by the publishing sector in translating literary works from diverse national languages and foreign literature ~ Active involvement of traditional and new media in promoting literature and strengthening the market for literary products. UNESCO bermula 2004, mengiktiraf Ediburgh, Melbourne, Iowa City dan terkini, Dublin sebagai kota sastera.
Image
Ahad ini, disember 12, Jemari Seni Publishing (tuannya, Sdr Noor Suraya Adnan Sallehudin) mengadakan Bengkel Asas Pembinaan Kreatif (Novel Umum) dengan kerjasama Program Persuratan Melayu, Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM, bermula jam 9 hingga 5 petang di Makmal Pengajian Melayu.
Image
Pelajar sarjana falsafah saya sempat bercerita, seusai menyerahkan draf tesis. ceritanya, seorang lelaki Melayu pernah bertanya, apa manfaat seorang India sepertinya mengkaji sastera Melayu, ditambah soalan basi, apa pekerjaan yang dijanjikan? saya menampal foto di sebelah sebagai ucapan balas kepada tanggapan itu. semoga lelaki Melayu itu cepat sembuh.