Posts

Image
Beberapa hari ini hujan lewat senja di daerah kami. Sejurus asar di pejabat, saya akan bergegas pulang bagi mengelak kesesakan dada dan jalanraya. Saya sangat meyakini Mikhail yang menerima tugas menurunkan hujan, bagi membersihkan sungai sungai kami yang dicemari. Allah ya Allah, kami tidak tahu apa-apa. Ampunkan apa yang kami terlupa dan kami tersalah. Kau permudahkan urusan rezeki kami termasuk air hujan ini sebagai yang bermanfaat buat kami meneruskan amal soleh.  Saya kerap terharu dengan rentetan plot ini. Ada air. Tidak ada air. Sungai dicemar. Menadah air. Menyimpan air. Bersyukur dengan tiap titik air dari pili. Hujan senja larut ke malam. Pemimpin yang mempertahankan. Pemimpin yang memfitnah. Allah ya Allah. Ampuni kami apa yang kami tidak tahu.
Image
Antara kesyukuran terbesar adalah dahi kita dapat mencecah lantai. Ya, kita dapat melakukan sujud. Saat kita berserah penuh. Ya, kita meletakkan diri serendah-rendah dan sangat menundukkan segalanya kepada Allah. Sering saya mengenang seorang sahabat yang sangat rindukan sujud. Ya, dia tidak dapat meletakkan dahinya sepertimana selalu ( selepas kemalangan ). Betapa rindunya dia pada bersujud. Saya bertanya diri. Begitu akrabkah saya terhadap sujud saya selama ini. Adakah ia hanya ketertiban yang perlu saya lakukan dalam setiap solah. Adakah ia benar-benar membekas. Sedang ia adalah detik terdekat saya dengan Allah. Adakah saya sangat memaknakan sujud saya dan doa saya pada ketika itu.
Image
Hujung minggu bersama-sama meraikan dua pasang pengantin Temasek yang merupakan sepupu saya. Dari Arab St ke Tampiness, dan kembali ke rumah mencecah waktu dini memang sangat melelahkan apalagi dengan duduk memandu. Namun bertemu sanak saudara, bertukar khabar dan cerita, merupakan detik keluarga yang sering mengharukan kerana sekejapnya masa dan kami akan berpisah lagi. Entah siapa yang akan menyarung cincin nanti, buat pertemuan akan datang. Lelah kerja pejabat dan karenah sahabat yang tenggelam-timbul, terpadam begitu sahaja.
Image
Sebenarnya semalam, saya mahu menyalin puisi Zaen yang ini, aku di sini di balik pohon kala embun bak mutiara melingkari lehermu kaudengarkah suaraku yang dihantar hujan melewati belukar dan  jalan yang kian sunyi dimamah malam? (di sisiku seekor burung balam terbang melintasi malam mencari diam) Ingatan kepada Kawan "li" (51)
Image
Ya. Di luar tingkap kaca bilik kerja saya sudah tidak ada lagi bayangan si Putih. Kantung surat saya sudah tidak ada lagi jelmaan si Bulan Penuh. Saya sudah semakin mendekati sempadan negeri asal. Saya kian merasakan hawanya. Dalam merangkak ke sana, saya seperti semalam membaca terus siri Ingatan kepada Kawan Zaen,  "telah lama kumiliki kamu sejak angin itu memulangkan kamu kepadaku." (begitu bisik hujan yang mendesah dalam darahku sesudah bermusim kemarau menggigit tulangku) dan hujan pun terlalu tua untuk menjadi gerimis sedang kemarau kian muda membuat langit terhiris Ingatan kepada Kawan liii
Image
Pernahkah sdr bertemu dengan detik yang tepat, sdr sangat memerlukan sahabat sebagai tempat mengadu perihal merungkai kegelisahan yang menyerang dada. Namun detik yang sama itu, tiada pula sahutan yang sdr harapkan. Bunyi tulisan saya ini seperti rima syair yang penuh harapan namun tergontai-gontai, saya memujuk diri  bahawa dalam banyak ketika saya harus berdiam. Sendiri. Bukankah sudah sekian banyak ketika itu yang selalu mengingatkan, bahawa sendirilah; kerana berdiam dan bersendiri itu adalah negerimu. 
Image
Letih. Rupa-rupanya FB ( yang saya kuburkan bertahun-tahun lalu ) sudah kian purba. Saya dimaklumkan yang sedang menyala-nyala sekarang adalah IG. Saya tidak tahu sama sekali tentang planet IG ini. Rupanya. Riuhnya. Rentaknya. Kami di kampus juga ada ruang sosial begini. Researchgate. Akademia. Linkedin. Saya bayangkan nama-nama itu juga seperti FB. Ada pengikut. Ada ruang berbual. Ada ruang promosi diri. Ada ruang beritahu semua orang apa yang terjadi dalam hidup yang dijalani setiap detik. Saya anti semua itu. Kemungkinan besar kenyataan saya ini tidak selari dengan tuntutan majikan saya. Perlu sekali saya akan pujukan pujukan yang mengekalkan saya mencintai keluhuran dan menuntun saya berikhlas hati. Memang letih. 
Image
AM mula menganggap di dalam kepalanya ada pelbagai kuasa yang sama ada membuatnya gembira atau tiba-tiba dia berada di tikungan jalan yang tidak ada lorong keluar. Ia sering berlaku dalam tugas menyelesaikan soalan matematik yang diberikan Bapak. Saya pula ibunya yang sangat imaginatif. Saya tahu beberapa kuasa emosi seperti yang dialami Riley turut bergentayangan dalam fakulti fikiran AM. Dan benar, ia sangat evokatif. Mudah-mudahan AM dilindungi Allah. 
Image
Beberapa minggu ini, beberapa kali juga kami disergah dengan terputusnya bekalan air terus. Namun syukurnya masih tidak terputus langsung menerusi air yang disimpan atau air yang dibekalkan melalui lori yang datang setiap lorong rumah kami. Beberapa pelajaran didapati apabila tiada air. Antaranya betapa hormatnya kita kepada air dengan tindakan yang sangat berhati-hati terhadap air yang ada; sama ada ia tidak dibazirkan atau sangat menghargai setiap titis. Sehinggakan AM mengujarkan: air menguji kesabaran kita, mummy. O Allah. Benar. Sayalah antara yang gagal dalam ujian sabar apabila berita tentang gangguan bekalan air di kawasan kami. Benar AM, air menguji kita.
Image
Salam 1438. Mudah-mudahan kita menjadi hamba yang lebih taat.
Image
Banyak perihal  AM yang mudah membuat dada saya penuh dan akhirnya menolak kesebakan saya keluar. Mengenang pertama kali dia berdiri sendiri tanpa kami memegang tangan kecilnya, hingga sekarang melihat dia berdiri hampir setinggi saya. Membesarkan anak memang ujian yang Allah datangkan untuk ibu dan ayah. Menerima semuanya itu hampir memadam ujian lain yang sampai tidak lebih seperti angin. Pernah saya rasakan ujian yang tiba itu hampir tidak memberi kesan deria sama sekali. Dan kembali mengenang AM, saya seperti mahu menatap lama si kembang biru ini. Si cantik ini. 
Image
Pernahkah sdr bosan dengan dunia maya yang sdr jalani setiap hari? Sdr bosan dengan whatsapp group ? Sdr bosan dengan FB ? Di dalam wilayah SNS itu sdr memaksa diri bersuara dan ketawa. Ia menjadi negeri pura-pura yang sangat memualkan. Kemudian sdr mahu sahaja meninggalkannya dan kembali ke negeri asal. Negeri Sunyi. 
Image
Insya-Allah saya akan hadir!
Image
Setiap pagi minggu saya menumpang duduk di kelas dhuha Surau An Nur yang masyhur di Bandar Baru Bangi. Surau An Nur seperti kembar kepada Darul Syifa, rumah rawatan yang dimiliki tokoh ini. Begitulah ikatan yang jauh antara kami. Sempat juga dalam kesibukannya masih muncul dalam kuliah dhuha kami. Untuk ilmu itu, saya menganggap saya ini muridnya. Begitu saya membaca tulisannya juga. Hari ini dengan penuh kerendahan hati, saya merakam rasa penghormatan ini buat Almarhum Ustaz Haron Din yang menuju jalan pulangnya pagi tadi. Al fatehah. 
Image
Menyertai pengurusan jurnal akademik, membentangkan saya tentang kepentingan nama dan kewujudan. Saya antara yang tidak mendukung menulis dalam rombongan. Satu makalah ditulis beberapa nama. Apatah lagi nama-nama yang hanya menjadi penumpang kenderaan rombongan tersebut. Apatah lagi nama-nama yang tidak ada langsung hubungan dengan bidang.  Namun satu kejengkelan yang datangnya seperti gergasi adalah saya baru tahu tentang sejarah menulis dalam rombongan ini adalah lima ribu nama dalam sebuah makalah tentang penyelidikan gelas di Glasgow. Jika tidak silap saya tulisan itu tidaklah juga melebih dua puluh halaman. Begitulah dunia dengan perihal nama. Ya, sangat sebal. 
Image
Salam Eidul Adha.  Salam pengorbanan buat saudara. 
Image
Suara dan Cintanya, Berita Harian 11 September 2016 Terima kasih kepada Sdr Nazmi Yaakub, Editor Sastera Berita Harian kerana memilih cerpen "Suara dan Cintanya". Cerpen terbaru saya ini dititip kepada sahabat saya yang mencintai suara azan. 
Image
Minggu ini bermula kuliah semester baru. Kuliah seawal jam 8 sangat menguji mahasiswa saya untuk duduk di dewan kuliah tepat waktunya. Saya juga harus mengelak kesesakan pagi keluar ke jalan utama. Semakin banyak muncul fasa perumahan baru di sekeliling taman purba kami. Ia memberi kesan besar hatta lima minit lewat atau saya akan berhadapan dengan perlumbaan di tempat letak kereta fakulti pula. Saya selalu mahu memastikan saya berada di hadapan mahasiswa tepat jam 8. Saya berharap mahasiswa semester ini menghargai apa yang dilakukan saya setiap pagi Selasa dan Khamis untuk 14 minggu mendatang. Selamat bangun pagi!  
Image
Hujan pagi yang seperti selalu, sangat mengerti  (salah satu daripada penjuru fakulti kami yang saya akan sering berhenti) Seperti selalu menyambut mahasiswa baru, melihat sinar mata mereka,  sering menawarkan lorong introspeksi buat saya. Bersyukur dengan jalan takdir yang Allah lorongkan, sebenarnya sangat membuat saya selalu terpesona dengan banyaknya nikmat dan nikmat yang tidak selayaknya saya dapat. Allah ya Allah. Sekali lagi berdiri  di hadapan anak-anak mahasiswa ini, hampir tidak berdaya untuk saya mengangkat muka.
Image
Selamat datang ke UKM! Hari ini dan esok, merupakan hari bersejarah untuk pelajar yang terpilih. TAHNIAH.
Image
Saya sedari, si Putih sudah tidak muncul untuk sekian hari. Ya, sejak saya kembali daripada tugas luar di Negeri Cantik. Sesekali saya sengaja menantinya hingga azan asar dibawa angin menyelinap masuk ke ruang kerja saya  di aras lima. Menunggu, menanti dan mengangankan dia datang walau sekejap, saya mengintai dia antara dahan, pelepah dan daun. Ternyata dia tidak terbit juga. Penat saya menggantung harap, antara menjengah masih dengan mahu melupakan saja. Saya seperti dikirim kawat pujukan bahawa kami saling mengerti, walau dalam seribu sepi atau ketidakhadiran diri. Ya, kawat itu seperti jatuh melayah dari ranting dan dahan lalu hinggap di jendela kepercayaan saya. 
Image
Selamat datang kepada semua peserta BPK UKM-DBP 2016!
Image
Kumpulan puisi terbaru Zaen Kasturi. Antara kerja dalam Bengkel Penulisan Kreatif UKM-DBP 2016, mengelokkan bahasa dalam cerpen dengan membaca puisi. 
Image
Bahan Bacaan Bengkel Antara karya Zaen Kasturi untuk bacaan tambahan  peserta Bengkel Penulisan Kreatif UKM-DBP 2016
Image
Dan apakah mereka tidak memperhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu (al Mulk: 19) Saya ke negeri cantik yang dicintai ini lagi. Walau untuk bekerja, lelah saya terbang bersama angin Laut China Selatan. Melihat biru hijau pantulan langit di lautnya yang seperti menyambut salam saya. Memasuki sekali lagi Masjid Sultan Ismail yang bercahaya dek putihnya membuat hati saya sangat berbinar sama. Saya mengenang si Putih yang lebar sayapnya. Dia sering datang melayah dari pohon jenis palma di hadapan jendela ruang kerja saya di kampus. Selalu munculnya jam empat hampir setiap hari. Ya, ia bukan imaginasi saya (Zahar dan Matiin tak akan percaya...bangau oh bangau? Apa lagi kalau saya katakan dia adalah camar). Nantilah apabila masanya tiba, akan saya hadiahkan narasi tentang si Putih , sahabat baru saya itu buat Zahar yang menyambut ulan...
Image
Zaen Kasturi (pembimbing Bengkel Penulisan Kreatif UKM-DBP 2016) Mengertilah Kejadian cinta adalah perihal menjaga Bukan semata keinginan kuat untuk memilikinya.  ("Ingatan kepada Kawan XXIV")
Image
Sdr dipersilakan mendaftar. Hubungi saya!
Image
Benar. Semakin banyak kita belajar, semakin yang kita temui adalah kedunguan sendiri. Menyambung kuliah dhuha mingguan yang lama ditangguhkan kerana Syawal, saya mendapati antara jawapan terhadap mengapa saya masih gagal dalam perihal iman yang cuba saya pelihara. Ustaz dhuha mengingatkan empat perkara dalam menuju taqwa yang kita mahukan usai Ramadhan (rujuk al Baqarah: 183). Ilmu..faham..yakin..amal.  Perkataan yang sangat lazim. Namun itulah kata kuncinya; sedangkan saya dangkal sekali ilmu agama, konon saya faham tetapi adalah sebaliknya dan saya pura-pura meyakini padahal banyak yang saya tidak pasti. Cuma satu yang saya cuba bersungguh-sungguh untuk mengamalkan walau saya selalu tersandung dan mahu jatuh. Ya Allah. Kasihani kedunguan saya. Maka saya selalu seakan mahu mengemis daripada sahabat yang banyak dikurnia iman agar mereka dapat berbahagi. Saya menumpang nikmat iman mereka, agar suatu masa Allah redha dengan apa yang saya cuba perbuat. Insya-Allah. Tiba-tiba say...
Image
Kisah Saiyidina Abu Bakar yang mempunyai amalan sir dalam perihal sedekahnya. Sehingga tiada siapa yang mungkin dapat menghidu kesan infaqnya itu. Allah ya Allah. Ia kisah yang sangat mempesona. Saya menceritakan semula kepada AM. Abu Bakar menyantuni perempuan tua buta di khemah kumuh, di tengah perut gurun. Ia dilakukan Abu Bakar setiap usai solah Fajr. Membersihkan, menyediakan makanan buatnya, tiada siapa yang tahu sehingga Saiyidina Umar menjalankan pengintipan. Malah si pikun buta itu juga tidak pernah tahu siapa yang datang ke khemahnya setiap waktu dini. Saya mendakap AM. O anak, cintai si miskin. Nanti bila besar, jadi pemimpin yang saksama dalam hak semua...                                                                                         ...
Image
30 Syawal hampir menutup segala episod jamuan dan jamuan sepanjang bulan ini. Banyaknya jamuan raya yang bertimpa-timpa antara jabatan atau kejiranan. Namun hampir kebanyakannya saya tidak dapat hadir kerana demam. Selebihnya saya hampir tidak tergamak untuk terus makan dan makan sebaik Ramadhan berakhir. Alangkah satu jamuan sudah mencukupi untuk mewakili acara yang sama bertimpa-timpa. Atau, alangkah saya sering membayangkan harga jamuan rumah terbuka yang mahal itu dibawakan ke wilayah murba yang sangat memerlukan makanan dan makanan. Bukankah semasa Ramadhan, kita mengikuti kelas untuk memberi dan memberi. Dan saya sebenarnya mencari-cari mana kelas Syawal yang tenggelam dalam pesta makan dan makan. Mana kelas Syawal yang mengingatkan kita terhadap falsafah Ramadhan. Apa yang kita harus lakukan usai Ramadhan lalu menuju Ramadhan yang akan datang. Adakah saudara sudah diperingatkan?
Image
Ini bukan musim Maulidur Rasul. Tapi ingatan yang terus tumbuh buatnya. Sangat menggetarkan saat Mel melangkah sepanjang jalan hijrah rupa-rupanya susuk manusia istimewa ini yang begitu menggoda. Dia tidak lain adalah Sang Pahlawan. Sangat luar biasa. Bukan hanya perkasa, Dia sangat budiman dalam banyak gaya. Sedang sekian masa, aku tidak pernah peduli dan ya Allah betapa Dia begitu banyak berbakti buat kami. Aku ternyata bukan jatuh hati, sesungguhnya aku semakin cinta! Alangkah jika Dia di hadapanku sekarang. Tidak tahu apa yang harus aku mulakan dahulu; sama ada begitu cepatnya Dia meraikan dengan salam atau aku masih terkesima, silau akan cahayanya yang memanah keluguanku. Itulah bahasa iman Mel tentang Rasulullah sewaktu kami bertemu lebaran lalu. Allah ya Allah.
Image
Bagaimana Ramadhan lalumu? Soalan ini berdenting lagi. Dan ia harus disahut dalam bulan Syawal. Ya, bagaimana Ramadhan lalu masih bersisa dalam hati. Masihkah kita rasa sangat berbahagia untuk bangun awal dini. Masihkah banyak jalan memberi menjadi pilihan; kita berlari lari mencari yang mahu menerima infaq kita (o Allah, betapa gerunnya tiba saat tiada siapa yang mahu menerima sedekah dari tangan kita nanti). Masihkah dikekalkan solah-solah sunat, sebelum dan usai yang fardhu. Masihkah kita mahu meneruskan puasa sekurang-kurangnya dua hari dalam seminggu. Masihkah dipelihara mata, telinga dan lidah daripada yang sia-sia. Masihkan witir menutup hari kita? Bagaimana dengan al Qur'an, masihkah diteruskan baris surah usai genapnya Ramadhan. Allah ya Allah, masihkah saya berikhlas taat tanpa syarat?
Image
Mengenali penulisnya, Hidayah Amin, lebih awal menerusi Gedung Kuning dan The Mango Tree . Kali ini menulis lebih dekat dengan zaman kanak-kanak saya di Singapura. Kampung Tempe merupakan kejiranan kami yang duduk di Kampung Tengah, Coronation Road, Bukit Timah. Tahniah kepada Hidayah dan Dr Yahaya Sanusi untuk majlis pelancaran buku ini pada 23 Julai di Auditorium Taman Warisan Melayu 1.30 - 4.30 petang. Ada yang mewakili saya untuk turut hadir. 
Image
Berada di luar jalur rutinitas juga akan bertemu dengan banyak susuk baru sama ada yang menyalakan semangat bagi melanjutkan kehidupan yang lebih bererti, atau saya sebenarnya masih mengenang susuk-susuk sebelumnya yang selalu menawarkan jalan cahaya. Berdepan dengan ujian yang datangnya menerjang, kerap membikin saya jatuh dan cuba saya untuk bangun semula. Lelah memang. Ikrar yang cuba diangkat dengan tangan kecil dan tua saya ini, mudah selalu dikalahkan dengan ujian yang datang dengan kepala besar yang sungguh luar biasa. Ya Allah, tuntuni saya. Selain penghormatan dan berikhlas hati, saya tahu ujian ini akan terus mendatangi walau esok saya sudah menyertai ruang rutinitas kembali. Allah, ya Allah.
Image
Saya masih berkelana sejak beberapa syawal lalu. Berjauhan daripada rutinitas, benar, sangat banyak masa untuk menaakul dan memberitahu apa yang tidak pantas sudah kita perbuat selama ini. Akhirnya kelana ini menjadi titik asuhan yang luhur dan tulus. Betapa banyak perihal keikhlasan dan penghormatan dalam sesebuah hubungan sering dilihat antara pelbagai matra yang aneh. Dalam banyak ragam suasana, saya sangat bersyukur dan berasa terpilih. Namun kemudian menyelinap pula kata-kata dalam hati saya yang lugu ini, ujian Allah sedang berjalan dan ia sangat menuntut kebijakan yang bukan kepalang. Ya Allah, mohon redho-Mu pada tiap inci yang kami jalani. Amin. 
Image
Syawal 9 Ya, foto ini lagi. Kali ini saya melihat ia adalah tangan si murba. Dan saya segera teringat pesanan yang mengesankan ini, saat aku takut untuk memberi, aku lupa bahawa semua yang aku miliki adalah pemberian. Bagaimana Ramadhan lalu mengasuh kita untuk jadi tidak berkira-kira dalam memberi. Kita menjadi qana'ah , sering rasa cukup walau terus memberi. Kita mahu memberi bukan kerana memiliki, tetapi mungkin sahaja kerana kita pernah rasa kekurangan dan sebenarnya tidak ada yang kita punya.
Image
Syawal 7 Saya masih mengambil foto ini. Mengapa. Ia sangat berupa tamsilan terhadap apa yang saya lalui sepanjang Ramadhan yang baru meninggalkan. Saya melihat ia adalah tangan saya sendiri. Tangan saya yang kotor, namun dengan penuh pengharapan, saya mohon pengampunan Allah. Saya ulang berkali-kali, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, ya Allah. Engkau suka mengampunkan. Maka ampuni kami, ya Allah. Aduhai, betapa tidak malunya saya! 
Image
Syawal 6 Baru sempat menulis setelah melalui beberapa lorong hujung Ramadhan yang pelbagai keluknya. Siapa sangka melihat matahari penutup senja Ramadhan 30 di tingkap kaca mrt dengan bacaan surah al ikhlas berkali-kali setelah keluar dari NUH. Mengakui betapa Allah satu satunya tempat menyangkutkan harap dan tiada apa yang setaranya. Allah ya Allah. Pelajaran apa yang paling mengesankan daripada Ramadhanmu yang baru lalu? Taqabbalallahu minna wa minkum...
Image
Ramadhan 21 Ya, banyak yang tidak terucap sepanjang Ramadhan kali ini; walau hati sangat berdetak. Biar saya simpan atau nanti saja saya belukkan ke atas kertas. Memasuki sepuluh terakhir Ramadhan yang seperti selalu, rencam sekali getarnya. Misterius juga. Saya mengenang adab manusia ( saya sebenarnya ) dalam beribadah. Betapa kita banyak berkira-kira. Walau dalil  besar tentang malam-malam ganjil, bacaan saya bahawa itu seperti ujian Allah. Adakah kita memilih-milih nombor malam tertentu  untuk beribadah kepada Pencipta setiap yang ada . Adakah kita sedang bermain-main dengan-Nya. Allah ya Allah. Bukankah ibadah kita itu tanda syukur, tanda kasih, tanda hamba. Dan kita  berdoa untuk selalu berikhlas hati... 
Image
Ramadhan 10 Berakhir fasa pertama.  Mudah-mudahan  Rahmah Allah buat kita yang bersungguh-sungguh mencarinya. Amiin. 
Image
Ramadhan 6 Antara kebesaran Ramadhan yang saya dapat rasakan adalah asuhannya yang halus tapi menikam. Malam tadi Imam dari Pattani yang memberi tazkirah bertanya, apa khabar Ramadhanmu? Adakah ia lebih baik daripada tahun lalu, lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya? Adakah kau hanya mengulang saban tahun Ramadhan si anak kecil. Ya, Ramadhanmu hanya menahan daripada lapar dan dahaga. Ya Allah, saya tunduk dan menahan malu semahu-mahunya. Saya mengenang AM, adakah taraf puasa saya sama seperti anak 10 tahun...
Image
Ramadhan 3  Saya mahu memulakan penulisan entri Ramadhan ini dengan doa yang saya mohon sejak saya tahu inilah permintaan terbaik dalam Ramadhan. Doa yang dianjur Rasulullah. Ya, doa saat bertemu malam al Qadr: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Kau suka memberi pengampunan. Maka ampunilah kami....
Image
Ramadhan 1 Memasuki Ramadhan adalah satu kesyukuran, satu nikmat yang sangat mahal. Mengapa Allah hadiahkan kita Ramadhan dan dengannya kita harus syukur sedalamnya. Menurut ustaz dhuha kami, pertama kerana banyaknya dosa kita; kedua kerana sedikitnya amalan yang diperbuat. Ramadhan sebagai bulan pengampunan, bulan penyucian, maka hargai kasih sayang Allah buat kita dengan hadiah yang khas ini.  
Image
Ya Allah, temukan kami dengan Ramadhan lagi tahun ini. Bukankah ini doa yang sangat diulang-ulang sejak Rejab dan Sya'aban menjelang. Apa persediaan Sdr kali ini? Saya seperti anak-anak yang menyusun strategi untuk lulus ujian. Masih mencari-cari kebijakan untuk memperoleh keuntungan Ramadhan. Bermula dengan waktu dini, tiap jam itu harus dijalani dengan penuh erti  hingga selesai witir. Ya Allah permudahkan jalan kami. Saat sahabat si bulan penuh memilih untuk berdiam dan hanya akan bersuara dalam lapisan ratus jalan bungkam, saya terasa kian diasuh. Lebih banyak menaakul. Lebih banyak introspeksi.
Image
Sudah sekian minggu saya biarkan ruang ini sunyi walau setiap hari sebenarnya kehidupan saya riuh dengan tarikh-tarikh akhir untuk tugasan dan banyak yang masih menunggu giliran. Dalam pada itu saya berkira-kira apa yang saya harus sediakan untuk meraikan Ramadhan. Mudah-mudahan dipanjangkan umur kita untuk bertemu Ramadhan minggu hadapan, insya-Allah. Masih ada ruang berdoa untuk kita mohon Allah bawakan kita hadiah besar dalam Ramadhan kali ini. Hadiah yang kita mohon saban tahun, yang kita nanti dan cari. Seikhlasnya saya berdoa semoga Allah mengurniakan kita malam seribu bulan. Semoga Allah memberi kita seluruh pengampunan. Maafkan kesalahan saya, setulusnya. 
Image
Pelancaran buku Coklat dan hasil karyawan UKM lain dengan DBP di ruang legar PTSL, UKM.
Image
Keindahan, apabila usai hujan, akan ada bunyi unggas di luar jendela kerja saya. Mereka mengisi rindu itu, saya percaya. Banyak yang hinggap dalam fikiran saya sejak musim hujan petang tiba setelah sekian masa angin kering dan hawa panas melanda. Betapa firman dan ingatan dalam al-Qur'an tentang sukatan dan ukuran cuaca yang Allah turunkan. Betapa dalam al-Mulk kita ditanya akan apakah ada yang tidak seimbang setiap apa yang Allah ciptakan. Ya Allah. Begitu perasaan kita dalam melihat manusia, antara untuk menjadi luhur, kita sering terhimpit dalam ujian keikhlasan. Sekejap kemudian kita akan terperangkap dalam beban rindu pula; aneh juga. Apa lagi yang kita rindukan apabila melihat susuk manusia selain daripada kebaikan yang datangnya seperti pati haruman. Kita mahu wanginya dibahagi sama. 
Image
Setelah membaca Telus untuk Dia , mahasiswa akan mendengar proses pembikinannya. Selamat datang ke kampus Bangi, Siti Jasmina Ibrahim.