Posts

Image
Saya sudah menutup akaun fb saya yang ini mawarshafei71 . mengapa? awal dulu semasa menyertai fb, saya mendaftarkan kedua-dua akaun yahoo yang saya punya (saya ingatkan harus begitu). nah, ternyata saya bermasalah apabila ada dua rumah. jadi jumpa saya di mawarshafie saja ya....
Image
Ya Tuhanku, tunjuklah aku untuk mensyukuri nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku dan kedua ibu bapaku, supaya aku dapat berbuat amal  soleh yang Engkau redhai. berilah kebaikan kepadaku dengan memberi kebaikan kepada anak cucuku. sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku termasuk orang yang berserah diri (al ahqaaf: 15). ini doa ketika usia memasuki angka 40 dinyatakan dalam al Quran. saya tidak sempat membacanya tahun lalu, dan terima kasih kepada sahabat baik saya Wan Azreena yang mengingatkan. maka saya mula membacanya hari ini dan insya Allah hari-hari seterusnya. ternyata rayuan ini sangat mengesankan saya, ya saya mahu menjadi hamba-Nya yang berserah diri. terima kasih kepada semua yang meraikan hari lahir saya. semua doa yang dipohon buat saya, kepada Allah saya berserah agar kita dirahmati dan dipelihara-Nya. amin ya rabbal alamin. 
Image
Untuk sekian lama saya jarang sempat menonton televisyen. namun mengambil cuti tambahan dengan menyambung cuti hujung minggu, saya dapat duduk lama untuk menonton drama. ya, semalam saya menangis sungguh-sungguh membaca kisah anak-anak gelandangan Kuala Lumpur menerusi drama Pelarian arahan Azma Aizal Yusoof. kisah tiga beradik yang cuba mencari ibu, akhirnya terperangkap dalam derita anak-anak terbiar di kota besar yang menjadi  pengemis dan barang dagangan. Allahu akhbar. saya teringatkan anak saya.  bersyukur semahu-mahunya, malam ini dia bersama kami di rumah yang selamat. Allahu akhbar, saya jadi malu apabila mabuk dengan masalah kerja saya yang kecil, sedangkan anak-anak yang entah bagaimana wajah kehidupan mereka esok pagi. ya Allah, apa yang mahu saya keluhkan dengan masalah saya berbanding mereka....
Image
Saya cuba untuk tidak lupa mengakhiri setiap mesyuarat yang saya kendalikan dengan bacaan ini. semoga kesilapan pada yang ditutur, buruknya tingkah saya dan jika keputusan yang dibuat ada celanya, saya mohon ampun kepada Allah. malah saya serahkan segalanya kepada  Dia. seperti yang pernah saya catat,  sesungguhnya, Malik al Mulk, Pemilik Kerajaan, dalam keperkasaan dan kehendak yang Kau miliki, kami mohon diberi kedamaian dan keamanan dalam hati kami untuk terus sujud dan mentaati-Mu, wahai Allah .
Image
Siapa antara kita yang lengkap berdoa saat selesai menikmati juadah di meja berbanding waktu mula makan? Alif Matiin adalah tukang baca doa makan kami. biasanya banyak yang kami ceritakan semasa makan (atau dulu saya diasuh agar tidak bercakap-cakap sewaktu makan). tapi itulah ruang terbaik dalam kehidupan hari ini yang singkat. setiap ruang bersama adalah kesempatan yang selalu mahu diraih untuk bercerita tentang apa saja. ya, apa saja. guru bacaan al Quran kami mengingatkan alangkah indahnya selesai enaknya menjamah makanan, kita panjangkan doa. bukan sahaja dengan  segala pujian bagi Allah yang telah memberi makanan dan  minuman kepada kami, dan yang telah menjadikan kami orang-orang muslim. apalagi yang saudara fikir, harus ditambah? o Allah semoga dengan rezeki-Mu ini, kami menjadi hamba yang sihat dan lebih taat, lebih bersyukur. semoga dengan rezeki-Mu ini kami lebih tekun membaca al Quran dan dipelihara solat kami khususnya saat manusia lena dalam tidur yang panjang...
Image
Saya harus mendapatkan cermin mata baru. ternyata penglihatan saya sudah mula kabur lagi. namun konflik selalu timbul di bilik gelap. bagi mereka yang berkaca mata, memahaminya. saya sering keliru saat diperiksa; mana yang lebih cerah, mana yang kabur.  lebih jelas yang merah atau yang hijau. penggunaan mesin komputer sebelum itu, rupanya belum dapat membantu. ujian manual masih diperlukan. Allahu akhbar, antara nikmat yang banyak, sedikit demi sedikit ada yang Allah ambil haknya kembali...
Image
Bermula semester kedua dan kuliah pertama saya untuk kursus Cerpen Melayu SKMM1043. kali ini ada beberapa pelajar yang mendaftar untuk kertas pilihan bebas. saya tidak pasti mengapa mereka memilih kursus ini. telahan saya yang liar, ia hanya untuk melengkapkan unit. selepas saya menghuraikan peratus penilaian dan projek kursus yang harus dilalui, dua daripada mereka mahu tarik diri, saya bertanya, dan mereka menjawab, ia kerana masalah jadual waktu. saya sedikit meragui. maaf. atau adakah kerja membaca/mengulas cerpen mingguan dan projek menghasilkan video dokumentari tokoh cerpen Melayu itu terlalu membebankan. oh, saya fikir saya sudah cukup membuat mahasiswa teruja untuk semua projek tugasan setiap kali mereka mendaftar kursus saya! mana tidaknya, kali ini mereka harus bereksperimen dengan kamera, perakam video, kerja suntingan dan menghasilkan sebuah iklan sastera.  mungkin saja ia telahan saya untuk sekian kali. kasihannya saya!
Image
Kesukaan saya memasak sangat disokong oleh kegemaran Zahar membeli dan menambah koleksi buku masakan di penjuru dapur kami. antara buku terkini ialah pelbagai jenis masakan bersumberkan cendawan. saya teringatkan Nikita yang sukakan cendawan. saya pula penggemar sup. maka petang tadi saya mencuba sup cendawan tiram. boleh tahan. saya letak caranya di catatan tanggah.
Image
Kumpulan cerpen terbaru yang harus didapatkan! Tahniah adinda saya, Zaid Akhtar.
Image
Sejak setahun ini, cita-cita Alif Matiin masih sama, menjadi architect n chef (jika diMelayukan jurubina dan tukang masak? juru masak? pemasak [ Kamus Dewan ]). saya percaya melalui kawasan pembinaan rumah setiap hari  untuk ke sekolah, memunculkan minatnya. begitu juga dengan kegemarannya membantu saya memasak. malah dia punya apron sendiri yang digantung di penjuru dapur. sejak rancangan memasak kian masyhur, Mohican saya itu mahu dipanggil sebagai master chef. saya percaya cita-cita anak-anak akan terus tumbuh dengan masa. doa saya Alif Matiin berjaya dalam apa juga lapangan yang dimasuki. saya ingin sekali bercerita kepadanya malam nanti tentang Rasulullah, yang turut membina masjid sewaktu mula tiba di Medinah dan mudahnya  baginda ke dapur membantu Aisyah apabila masakan belum tersedia di meja. Allah, saya mahu Alif Matiin mencintai Rasul-Mu menerusi cita-citanya itu!
Image
Mahasiswa akan kembali semula ke kampus minggu hadapan. ini cuti antara semester yang singkat. sebulan, relatifnya sekarang seperti seminggu. masa terasa begitu cepat berlalu. banyak persiapan masih perlu dibuat untuk semester baru. banyak kerja yang sedang berjalan pula, perlu segera disudahkan. dalam meneruskan semua ini, saya selalu membayangkan, saya sama sekali tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini. dan saya teringat carpe diem dari baris puisi Horace, Odes . semoga saya dapat meraikan hari ini sebagai anugerah atau hadiah, andai kata tiada lagi esok bagi saya. saya mohon keampunan dari Allah untuk sekian kali dan saya terus berjanji dalam hati untuk menumbuhkan kebaikan, seberapa banyak. semoga Allah memberi saya ruang. Allahu akhbar!
Image
Dan sesungguhnya Kami telah mencipta manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan hatinya dan Kami lebih dekat padanya daripada urat lehernya. saya menyambung bacaan Qaaf: 16. kepada semua mahasiswa yang baru memperoleh keputusan ujian, terima hasil usaha yang membahagiakan hati sdr dengan sujud syukur, berterima kasih kepada Allah. dan bukankah kejayaan itu satu ujian? bukankah kerendahan hati itu milik orang bijaksana? atau jangan sesekali mengutuk diri atas kelemahan kali ini. bukankah bisikkan hati kita sangat didengar-Nya? foto ini rakaman daun yang luruh ; selalukah kita mendengar bisikan itu?
Image
Maka apakah mereka tidak melihat akan langit yang ada di atas mereka, bagaimana Kami meninggikannya dan menghiasinya dan langit itu tidak mempunyai retak-retak sedikitpun? Saya membaca permulaan halaman Qaaf: 6. ya Allah saya menjadi sangat sebak dengan segala kejadian dan nikmat. bukankah saya sedang dalam ruang ujian? ya Allah, malunya menjadi hamba-Mu yang tidak beradab untuk berterima kasih. ya Allah, ampunkan saya.
Image
Saya menyediakan juadah untuk tetamu istimewa malam nanti. dari jendela dapur yang terbuka, saya melihat rama-rama yang cantik sedang membuka sayap kecilnya dan sesekali singgah di daun pandan dan limau kasturi di penjuru taman kecil dapur kami. ah, mata kanan yang berkelip sekian minggu dan munculnya si rama-rama yang riang petang ini, membuat saya tidak sabar bertemu sahabat lama  sejak zaman tadika! bonda bersyukur panjang apabila saya khabarkan berita bahagia ini. Allah Maha Besar dan saya memohon keampunan. terlalu banyak kekhilafan yang saya lakukan sedang Allah memberikan saya terlalu banyak nikmat. ampunkan saya ya Rabb!
Image
Wanginya  saat saya mengemas beg sekolah Alif Matiin. rupanya guru membekalkan beberapa uncang comel bunga rampai sempena sambutan maulidur rasul (Allahumma soli ala saiyidina Muhammad) di tadikanya. malam tadi bilik anak bujang saya seperti bilik pengantin baru!  dan saya mula bercerita tentang Rasulullah yang tiada ibu dan ayah, maka Alif Matiin harus selalu bersyukur, berterima kasih kepada Allah.
Image
Saya sangat kurang senang jika saf solat jemaah ada yang renggang di sebelah. ya Allah, ampunkan saya, renggang yang luas. sedang saya tidak dapat berganjak setelah memulakan takbir. ustaz dan  ustazah, apa yang sebaiknya saya lakukan, memenuhkan yang renggang arah ke kanan atau kiri? alangkah saya dapat menyempurnakan saf di masjid yang permai ini. o Allah, benarkan hasrat saya itu. saya sangat menyintai solat jemaah yang dengannya saya lebih berkasih sayang!
Image
Benarkah kata orang (antaranya Freud), mimpi adalah projeksi realiti. apa yang tidak terlaksana di alam nyata, akan kita panjangkan dalam kembara tidur. sering juga saya mengalaminya. termasuk bertemu dengan sahabat lama yang sekian lama saya menanti kemunculannya di pintu rumah. begitu,  mata kanan saya yang bergerak-gerak untuk tiga minggu ini. dua hari sudah, sahabat lama saya dari jauh menelefon, kebetulan dia akan berada di daerah kami pada hujung minggu ini. oh alangkah bahagianya bertemu kembali sahabat lama. ouch, ada orang yang mengerling, katanya, saya tidak sudah sudah dengan nostalgia! dan hujung mata kanan saya terasa bergerak-gerak lagi!
Image
Semalam kami menerima tetamu, anak muda bakal jurubina. Anaf, adalah anak kepada sahabat saya yang juga seorang jurubina. pertama kali melihat anak muda ini, saya sangat bahagia. mendengar hasratnya tentang mengubah dunia, saya seperti melihat dia sedang memegang teropong ajaib. terlalu banyak yang mahu dibaca, ditulis dan dibina. antaranya kami bercakap tentang jendela. saya teringat seusia Anaf, saya melihat kebaikan dalam diri semua orang. saya bayangkan semua orang yang saya jumpa punya hati dan pekerti yang mulia; saya lihat semua itu dari mata seperti menjadi jendela yang terbuka. ya, sekembali Anaf, saya menyambung surah Muhammad: 36 yang saya baca bermula 12 rabiul awal lalu, sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. pada kesempatan catatan ini juga saya merakam kesedihan yang dalam buat Jeet, sahabat maya saya yang baru kehilangan bondanya. saya catat lewat sms, semoga perjalanan kembali bondanya aman dan sejahtera. al fatehah.
Image
Nilai sebuah amal itu tidak ditentukan atas pujian manusia. penilaian Allah itu  jauh lebih bermakna. apabila telah ada saranan untuk melakukan sesebuah amal daripada Allah dan Rasul, maka ia tetap mempunyai nilai yang tinggi. sesungguhnya hati yang ikhlas tidak berganjak daripada amal kebaikan, sebaliknya akan istiqamah. tidak bertambah kerana pujian atau berkurang kerana kejian. dan keikhlasan itu sangat rahsia...ini antara catatan saya dari ruang Genta Rasa.
Image
Sakit kepala saya datang lagi. bagai angin panas yang mengembang dalam kepala. cuba bertahan hingga azan maghrib, saya didatangi Alif Matiin. memujuk kesakitan saya dengan membawakan hadiah kecil. oh, Allah. saya tahu itu hadiah dari ibu gurunya di sekolah sempena hari lahirnya yang lalu. terima kasih guru-guru yang mengasuh anak kami menyayangi orang lain melebihi dirinya sendiri. alhamdulillahi rabbil alamin... ini foto hadiah kecil dari Alif Matiin, namun besar maknanya. ia pengubat marah, geram, kecewa dan kesal yang saya bawa pulang dari pejabat. ya, saya seperti burung yang marah ini siang tadi.
Image
Saya boleh dan masih mencatat dan membaca tulisan jawi . saudara?
Image
TAHNIAH Prof Dr Awang Sariyan , Ketua Pengarah DBP yang baru. tokoh yang sangat saya hormati kerana kerendahan hatinya dan berjiwa besar.
Image
Saya mula membenci frasa ini, pelajar adalah pelanggan. dan  saya tidak perlu meminta maaf untuk kenyataan itu. saya melihat ilmu semakin dicabar apabila adab berguru kian dinafikan dalam mandala pendidikan hari ini. dahulu, saya sangat diberitahu adab apabila berhadapan dengan guru.  hormat dan beralas dalam percakapan mahupun gerak hati. aduhai,  sejak pulang dari kembara spiritual, hajat untuk berguru dalam bacaan al Quran belum tercapai. dan pastinya saya mahu memberitahu bakal tok guru saya, kami yang akan ke rumah tok guru. dan bukan tok guru datang ke pondok kecil kami. saya fikir itu adab berguru yang asas sekali! ilmu dan berguru bukan kerja jual beli, bukan komoditi. foto ini dari rancangan kanak-kanak yang saya cukup suka. saya senang dengan watak guru ini, Cikgu Jasmin di Tadika Mesra.
Image
Menumpang kebahagiaan orang lain, saya berasa sangat-sangat bersyukur dan mahu bersujud terus. TAHNIAH untuk kedua-dua senior di fakulti, Prof Dr Idris Aman dan Prof Dr Ekhwan Toriman yang dinaik pangkat ke profesor penuh. TAHNIAH juga kepada sahabat lama, Dr Shahidi A Hamid dan pilihan hatinya,  Rawani Abu Bakar, pernah bergelar mahasiswa saya. Selamat Pengantin Baru . saya jarang mahu hadir dalam majlis perkahwinan, tapi kali ini, akan pergi kerana sudah lama tidak mendengar kompang pengantin yang membuat saya berdebar-debar... Dan sekiranya kamu membilang nikmat Allah, nescaya tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang (an nahl: 18) .
Image
Sangat dramatik, setiap kali saya singgah membaca berita-berita terbaru kampus ada judul berita takziah. saya akan terketar-ketar klik dan meneka-neka, giliran siapa kali ini. adakah saya mengenalinya? kali ini berita yang mendebarkan saya lagi. Puan Jamiah Osman , Ketua Jururawat dari Pusat Kesihatan UKM Bangi meninggal dunia semalam, 25 januari. arwah saya kenali ketika mendapatkan rawatan di PK. arwah antara yang memberi harapan dan mendoakan hajat saya dikabulkan. saya masih ingat ketulusannya mengangkat tangan dan berdoa untuk saya ketika itu. dan kali ini dengan rendah hati, menadah tangan kecil saya, mendoakan kesejahteraan abadinya di sana. al fatehah.
Image
Nun, demi kalam dan apa yang mereka tulis, berkat nikmat Tuhanmu sekali-kali kamu Muhammad bukan orang gila dan sesungguhnya bagi kamu benar-benar pahala yang besar yang tidak putus putusnya. dan sesungguhnya kamu benar benar berbudi pekerti yang agung. maka kelak kamu akan melihat dan mereka pun akan melihat siapa antara kamu yang gila. sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang paling mengetahui yang sesat daripada jalan-Nya dan Dialah yang paling mengetahui orang orang yang mendapat petunjuk. Imam solat subuh di surau kecil kami, lewat surah al Qalam,  rupanya membawa saya jauh ke raudah. saya rindukan Rasulullah yang berpekerti agung! foto ini, saya namakannya dataran merpati, ia berhampiran masjid Rasulullah.
Image
Sewaktu saya menulis entri ini, di luar berdentum dentam bunyi mercun dan bunga api yang menjadi lampu langit yang sangat cantik. ya, sejak malam tadi. saya selalu teringat pemandangan lebih tiga puluh tahun lampau di whampoa road. dari tingkat dua belas rumah nenek, kami begitu seronok menunggu lampu langit yang berwarna warni itu. ia sangat ditunggu-tunggu sejak siang walau saya tahu ia akan begitu cepat menghilang. saya tahu datangnya sangat sekejap, sedang saya tidak bersedia bersedih bila langit kembali gelap. apa yang saya harapkan, hanya menanti lagi ia muncul kembali dalam mimpi ...
Image
Ayuh sertai!
Image
Atau hanya saya seorang merasakan, saat menyelak takwim di buku catatan harian, melihat susunan bulan adalah seperti melihat susunan mingguan. masa sangat cepat geraknya. pernah saya menanggap, masa sangat meletus. baru rasanya menulis entri hujung minggu lalu, saya sekarang menulis entri hujung minggu ini pula. dan kali ini hujung minggu yang panjang dengan tugasan yang sedia menanti. saya menyediakan makan tengahari dan menanti tetamu yang tidak pasti datangnya. kali ini memilih hidangan meja di taman kecil, saya cepat mahu membaca surah ar rahman yang saya cinta, dan tumbuh-tumbuhan yang melata serta pohon-pohon kayu-kayan, masing-masing tunduk menurut peraturan-Nya. Dan langit dijadikan bumbung tinggi, serta Diadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan, supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan; dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang. ya, banyak yang dituntut kesetaraan dalam hidup, te...
Image
  Cuti yang panjang dengan kerja pejabat yang sudah disusun untuk diselesaikan. harapnya begitulah! sambil itu saya menyelinap antara lapis masa yang ada untuk menulis. Saya teringat petikan ini dari Brenda Uelanda , writing is not a performance but generosity. harapnya begitulah! ini foto ruang saya menulis. penjuru sederhana untuk orang kecil yang hasratnya mahu melakukan banyak perkara.
Image
Mahasiswa sudah mula bercuti. gua kerja saya menjadi begitu sunyi. di luar sesekali ada kicau burung antara pohon. bunyi latar yang sangat cantik. itu yang enaknya bekerja dari gua saya ini, apabila jendela kaca dibuka. ada beberapa yang perlu diteliti di atas meja yang penuh ini: kertas cadangan pelajar yang mahu mengkaji isu tranvestik.  ada tulisan yang perlu diedit. saya selangkan sambil menghirup coklat panas dan biskut susu.  sekejap saya melakar perancangan penyelidikan. kemudian saya dikejutkan tarikh-tarikh akhir kerja penulisan yang harus dikirim. sebentar saya mendengar dentingan emel atau ym atau sms. oh, inilah ruang kerja yang saya selalu impikan. tanpa mesyuarat, tanpa ada kerahan kerja, tapi selalu ada semangat membara untuk menghasilkan sesuatu. oh tiba-tiba hujan luruh tanpa semena-mena! subhanallah, saya melihat betapa cantiknya hujan di atas daun hijau yang lebar! inilah rakaman fotonya!
Image
Saya sempat bersalaman dengan perempuan tulus ini. ya, dalam sebuah persidangan universiti. saya sangat teruja bila tahu dia dari jabatan psikiatri dan dia pula nampak gembira bila tahu latar bidang saya. lebih teruja rupanya kampung asalnya berjiran dengan kampung mertua saya. kami berjanji untuk saling menghubungi. o Allah, ternyata kami berhubung lewat petang semalam menerusi perkhabaran di laman universiti. perempuan itu sudah jauh meninggalkan saya!  o Allah, al fatehah dan doa panjang saya buat almarhum Prof Madya Dr Ruzanna Zamzam, pensyarah dan pakar perubatan (psikiatri) dari jabatan psikiatri, PPUKM. tiba-tiba sahaja saya teringat bait lama ini ne me quitte pas... il faut oublier tout peut s'oublier qui s'enfuit deja oublier le temps des malentendus. sengsaranya apabila ditinggalkan...
Image
Saya tahu Zahar kembali merindui  Mekah dan Medinah. dari bilik kerjanya, berulang-ulang kali saya mendengar azan yang sangat memanggil-manggil untuk kita gegas berwudhu. pelbagai versi azan sedunia.  ya, suara Shaikh Ali Ahmad Mulla (Masjidilharam) dan Syeikh AbdulAziz Esam al Bukhary (Masjidnabawi). dan bagaimana pula saya sangat merindui bacaan al fatehah Syeikh Salih at Talib, imam Masjidilharam yang suaranya seperti selamanya dilanda selsema.  Allahu akhbar, saya benar-benar merasakan nikmatnya dilahirkan sebagai muslim! foto ini alas solat yang dihadiahkan Zahar dari Mekah buat isterinya.
Image
Kata Abang Ariffin, hadiah besar yang Allah berikan tahun ke-enam ini ialah Alif Matiin boleh membaca buku cerita sendiri. alhamdulillahi rabbil alamin. terima kasih hadiah yang disampaikan melalui T Mun. terima kasih Umi Zie dengan hadiah istimewa ini. terima kasih atas semua ucapan dan doa. ya, semoga Alif Matiin menjadi anak yang membahagiakan. dalam kereta sewaktu perjalanan pulang dari sekolah, saya hadiahkan lagu tema kami berdua you'll be in my heart. Selamat hari lahir Alif Matiin.
Image
Orang tua kata, merajuk pada yang sudi memujuk. ya, bagus sekali jika ada yang mahu mengamankan rasa kecil hati kita. Alif Matiin pernah ditinggalkan merajuk beberapa jam. dan saya pernah menjadi tukang pujuk.  bagaimana pula kalau mummy Alif Matiin pula yang merajuk? alahai, ada yang ketawa nanti, rajuk orang tua, rupanya buruk sekali! pernah  si Mohican itu cuba memujuk bila saya jadi angin taufan. katanya,  mummy jangan merajuk, jangan menangis, mummy sudah besar, mummy bersyukurlah . anakku! saya teringat surah al furqaan: 74 dan mahu berdoa agar Allah kurniakan anak dan keluarga yang menyenangkan hati...foto ini dari taman kecil di bahagian dapur rumah. sesekali saya menyembunyikan diri di sini, menjadi tempat membawa rajuk, kononnya....
Image
Ya Allah, cepatnya masa berlalu dan saya sudah kembali ke ruang istimewa lagi di hujung minggu ini. mahu menyediakan salad menggunakan mangkuk yang baru dihadiahkan Zahar. mangkuk salad kuning. ya, kuning ialah warna tema ruang terapi saya ini. saat menyediakan bahan, saya teringat penawar yang semakin saya percaya diajukan al Quran iaitu solat dan sabar. memang menyediakan salad sangat memerlukan kesabaran kerana bahan-bahan asas yang pelbagai perlu dirapikan lebih awal. dan saya lihat ia persis menggauli sifat manusia yang sukar ditebak. antara cuba memahami dengan lapisan keliru dan tidak jarang untuk membuat saya harus menduga-duga. oh, sudah sampai masanya saya memerah sedikit lemon dalam bahan-bahan yang sedia ditambah mayonis, mustard dan taburan serbuk lada hitam! ah, sabarkah saya?
Image
Sebelah keluarga saya di Temasek, banyak yang dilahirkan dalam bulan februari. kata ibu saudara saya yang juga dilahirkan pada bulan yang sama, orang bulan februari biasanya sentimental, sensitif dan lembut hati tapi banyak angin. alahai. saya juga dilahirkan pada bulan berkenaan. ya, tidak jarang saya boleh menjadi angin. sama ada yang mengamankan atau tiba-tiba menjadi ribut taufan. atau kadangkala saya adalah angin yang mengapung, singgah sebentar di mana mana jendela yang terbuka, yang bersedia menerima saya. namun kemudian saya harus berangkat pergi bila masa berdenting dan bila takdir yang dialamatkan kepada saya tertulis sedemikian atau  bila ada jendela yang ditutup saat saya tiba. begitu  apabila saya adalah angin, sangat surreal...
Image
Hari yang sangat menuntut masa, tumpuan dan iltizam. namun menafikan kehadiran untuk  acara tokoh  ini, hampir tidak dapat dilakukan!
Image
Memujuk Alif Matiin kadangkala mengambil masa berhari-hari. saya menghabiskan masa menyediakan kayu ajaib ini. terjumpa entah kayu apa terselit di celah sofa, saya mencari reben merah dan putih. di hujungnya saya ikat reben merah jambu. memang warna perempuan! tapi ternyata Alif Matiin teruja dengan permainan yang saya cipta. sebelum tidur, kami ada Allah o Allah game (menggantikan abracadabra ). sekali kayu ajaib mencecah lengan, orang itu akan bertukar menjadi apa yang disebut. pecah ketawa di bilik anak bujang saya ini apabila Alif Matiin mahu saya   jadikan bapak. sebelum matanya terlelap, Alif Matiin minta saya buatkan kayu ajaib baru berwarna merah dan hijau pula. oooooo!
Image
Dalam konflik yang banyak setiap hari, antara celaru dan keliru, antara marah dan  gelisah, antara rasa ikhlas atau mahu terus berkeras, alangkah dan alangkah saat membuka peti surat di pejabat, ada yang mencelah. tiba-tiba ada cokelat bersama nota  yang dikirim tanpa kita sangka sama sekali. ya, kadangkala saya percaya pada khabar yang dibawa angin dan saya mahu meneruskan perjalanan dengan penuh rasa syukur. dan segala-gala yang keluar dari kotak surat, begitu  mengilhamkan. sangat mengundang pujukan untuk saya berdamai dengan peperangan perasaan sendiri.  
Image
Selain membuka buku masakan (dan mencuba resepinya!), hujung minggu yang tidak perlu ke mana-mana ini, ternyata peluang besar untuk  mengemas rumah dan duduk berjam-jam  di laman kecil kami dengan semangkuk aiskerim, :-) atau menikmati novel yang  menunggu giliran untuk dibaca. ya, memang banyak yang mahu dilakukan apabila sepanjang minggu kerja, tumpuan lebih berat untuk ehwal pejabat. kasihan Alif Matiin, apabila hanya baru sekarang biliknya dapat dirapikan. kita kemas sama ya sayang mummy! foto ini bukan dari kamar peribadi Alif Matiin, tapi menjadi impiannya, saya percaya.
Image
Hari sabtu, dan ini hujung minggu yang tidak membawa kami ke mana-mana! hurrah! sejak pagi saya di dapur. menyiapkan minum pagi dan langsung untuk makan tengahari. enaknya, sudah sekian lama saya rindukan matahari masuk antara celah kotak jendela lalu jatuh ke dinding dan lantai dapur. ya, sudah lama rasanya saya tidak menikmati sinar matahari pagi yang  sangat membahagiakan saat saya berada di ruang istimewa ini! alhamdulillahi rabbil alamin. foto ini  bukan dari dapur saya tapi ia sangat mengilhamkan.
Image
Saya sangat teruja untuk hadir. Malangnya ketika yang tidak mengizinkan...
Image
  Ini adalah biskut kegemaran bonda. saya juga akhirnya turut minat. jarang mendapatinya dari mana-mana kedai, apabila terserempak, biasanya saya akan membeli dalam bilangan yang banyak. ia bukan sahaja mempunyai rasa yang istimewa, saya dapati ia sangat membantu saat saya diserang sakit kepala. ya, saya mudah sakit kepala. gabungan biskut halia dan air halia/teh halia  panas akan cepat meredakan, alhamdulillahi rabbil alamin. atau selain membeli dari kedai, saya mahu  cuba menyediakannya dari dapur sendiri.  ya saya akan cuba apabila sakit kepala ini kembali  reda...
Image
Menjelang azan maghrib,  tetangga kami menerima khabar pemergian ayahnya. saya mendakap lama tetangga saya itu untuk meredakan tangis dan sebaknya. dalam saat tertentu dapat saya rasakan gelombang dan debar yang melanggar dadanya. o, bukankah saya sedang melalui sejarah besar dalam hidupnya apabila kehilangan ayah tercinta? apalagi yang saya dapat bisikkan saat saya meletak dagu di bahunya selain sabar dan redha. kemudian, betapa saya membayangkan selama kurang lebih lima jam perjalanan pulang ke halaman keluarganya di utara, selama itulah kesedihan yang panjang begitu mengepung jiwanya. ya Allah itulah saat sengsara dan seribu hiba! saya tahu sepanjang lima jam itu tetangga saya akan kembali ke zaman kecilnya digendong ayah sehingga dia menjadi sekarang, menggendong anak sendiri. banyak kenangan yang berebut masuk dan tetangga saya pasti akan menangis lagi. saya berdoa semoga tetangga saya diberikan kelapangan hati dan dibuang segala kesedihan. ya, saya berjanji untuk mendoaka...
Image
Suatu yang bagus kami ingin mulakan tahun 2012 ini ialah mendapatkan alat pengisar buah-buahan. kami ingin amalkan minuman sari buah misalnya epal, limau, pisang dengan bauran peria atau sahaja dengan mengkudu! ada beberapa resipi sari buah-buahan yang diberikan ibu saudara  untuk amalan minuman kesihatan. saya teringat sewaktu di Nanyang, saya gemar memesan minuman buah-buahan dari sebuah gerai di kantin kampus yang khas menjualnya. malah kami boleh mendapatkan ramuan bancuhan untuk tujuan tertentu misalnya apa yang harus diambil saat batuk, demam atau cuaca panas. saya mengimpikan gerai yang sama ada di kampus Bangi.
Image
Ini yang saya bisikkan ke telinganya saat kami berdakapan erat, semoga terus dirahmati. terus merah, terus bersemangat. kerana saya mahu menumpang semangat itu. ya, saya sudah sekian lama tidak meraikan tahun baru masihi (meraikan beriya-iya maal hijrah dan kebetulan hari lahir saya mengikut takwim hijrah). 1 januari sering diraikan dalam keluarga kecil kami sebagai hari lahir insan istimewa iaitu nenda saya. tahun 2012, nenek berusia lapan puluh. ya, memang saya masih punya nenek yang berusia itu dan masih sihat. alhamdulillah. meraikan tarikh khusus itu bermakna ia perhimpunan ahli keluarga. semua bertukar salam dan rindu. ia ternyata selalu menyimpan kenangan yang manis sekali.  mengapa merah dalam ucapan selamat saya buat nenek? itu warna kesukaannya. dan saya tahu ia warna yang memberi kuasa luar biasa. sebelum berpisah lewat malam itu, saya mendakap nenek lagi seraya mengucapkan, hingga jumpa lagi dan salam kasih sayang saya. sewaktu menyeberangi tambak johor meningg...
Image
Kononnya saya menasihatkan seorang sahabat yang menerima pujian dan kemudian kejian. kami menemui kata-kata yang indah ini, tidak bertambah kerana pujian atau berkurang kerana kejian. apabila dipuji, seharusnya diucapkan, alhamdulillahi rabbil alamin, cukuplah Allah yang menilai, tiada yang lebih berhak selain Dia. dan  keikhlasan tidak akan menganjakan sedikitpun amalan baik, bahkan ia terus tumbuh. saya fikir, ia bukan nasihat, tetapi ingatan untuk diri saya sendiri. foto ini saya rakam dari kamar hotel di melaka, dalam satu jadual kerja bulan sudah.
Image
Cinta - antara taksonominya yang melibatkan tiga pertimbangan: keintiman, komitmen dan keterujaan. ternyata Haslina banyak membaca diri sendiri sewaktu menjalankan penyelidikan tesisnya - kajian bandingan wanita dan cinta dalam novel melayu dan china. foto ini adalah kenangan yang dibawa dari sebuah majlis perkahwinan di hangzhou. antara catatan di kotak mungil berisi cokelat ini ialah cinta yang menjalinkan dua hati, namun rupanya ia narasi cinta penuh misteri!