Posts

Showing posts from 2011
Image
Kononnya saya menasihatkan seorang sahabat yang menerima pujian dan kemudian kejian. kami menemui kata-kata yang indah ini, tidak bertambah kerana pujian atau berkurang kerana kejian. apabila dipuji, seharusnya diucapkan, alhamdulillahi rabbil alamin, cukuplah Allah yang menilai, tiada yang lebih berhak selain Dia. dan  keikhlasan tidak akan menganjakan sedikitpun amalan baik, bahkan ia terus tumbuh. saya fikir, ia bukan nasihat, tetapi ingatan untuk diri saya sendiri. foto ini saya rakam dari kamar hotel di melaka, dalam satu jadual kerja bulan sudah.
Image
Cinta - antara taksonominya yang melibatkan tiga pertimbangan: keintiman, komitmen dan keterujaan. ternyata Haslina banyak membaca diri sendiri sewaktu menjalankan penyelidikan tesisnya - kajian bandingan wanita dan cinta dalam novel melayu dan china. foto ini adalah kenangan yang dibawa dari sebuah majlis perkahwinan di hangzhou. antara catatan di kotak mungil berisi cokelat ini ialah cinta yang menjalinkan dua hati, namun rupanya ia narasi cinta penuh misteri!
Image
Sebaik tiba di rumah dari cuti hujung minggu di kampung tenteram omak mertuo den, kami diziarahi teman-teman dari sabah. memang hanya sempat menyediakan juadah dari bahan-bahan yang ada tersimpan dalam bakul dan rak di dapur. akhirnya saya mencelur spaghetti dan merenih kuahnya, ada sisipan ayam goreng juga. alhamdulillah. semuanya makan dengan berselera! saya akan kepilkan resepinya di catatan tanggah.
Image
Hitam hitam si tampuk manggis, sungguhpun hitam dipandang manis. Seronok mengutip manggis, langsat, rambutan, jambu batu dan durian dari laman luas uwan, alif matiin sangat riang hujung minggu ini. ya, saya sibuk di dapur dengan juadah laksa (gabungan johor dan penang) serta ayam kapitan (resepinya di catatan tanggah). malam pula kami dengan bakar-panggang ikan dan ayam. foto ini manggis dari pokok tepi rumah omak mertuo den , kelihatan daunnya dari jendela kaca. saya teringatkan seseorang yang sukakan manggis...
Image
Selamat maju jaya untuk perjalanan seterusnya, Nazna. semoga kita bertemu lagi. terima kasih atas hadiah mungil dan manis ini. si kuning O sudah diambil Alif Matiin...
Image
“Apabila tiba waktu solat aku menyempurnakan wudhu dan aku mendatangi tempat di mana di situ aku hendak mendirikan solat. lalu aku duduk pada tempat itu sehingga berkumpullah seluruh anggota tubuhku. kemudian aku berdiri menunaikan solat dan aku jadikan ka‘bah di antara dua keningku, titian ash-shirath di bawah tapak kakiku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut di belakangku, andainya  ini adalah solatku yang terakhir. kemudian aku berdiri di antara mengharap dan takut, aku bertakbir dengan penuh keyakinan, aku membaca sebaiknya, aku ruku‘ dengan merendahkan diri, aku sujud dengan khusyu‘, aku duduk atas punggung kiri dan aku bentangkan belakang tapak kaki kiri, aku tegakkan tapak kaki kanan atas ibu jari kaki dan aku ikutkan keikhlasan hati. kemudian aku tidak tahu sama ada solatku diterima atau tidak?” (hatim al asham) Buku yang bagus ini saya dapati dari al haram, medinah. hajah norlaila, semoga sudah selesai pembacaannya.  ...
Image
Saya benar-benar tidak dapat menahan sebak saat melihat titik sujud dalam solat di masjid universiti siang tadi. hanya baru sekarang saya sangat mencintai permaidani hijau yang melapisi lantai itu. ya Allah, rindu yang datangnya sangat menderu. saya rindukan wangi raudhah! saya sangat rindukan Rasulullah! permaidani hijau itu membawa saya jauh ke masjid Rasulullah, mengheret saya ke Taman Syurga yang menyimpan kenangan yang bersilang-silang. betapa seusai isya' saya akan menanti penuh debar dan segunung harap untuk sujud dan bertemu dengan si Pengutus yang kian saya cinta, di raudhah. dan  masih ingat langkah saya yang sangat perlahan, isya' terakhir genap empat puluh waktu solat, janji yang saya panjangkan hingga saat ini untuk saya datang lagi bertemu Dia yang begitu mengasihi kita! salawat, salam  dan rahmat berkekalan ke atas Rasulullah.
Image
Cerpen "Benarlah Kata Angin Itu, dan Saya Meneruskan Perjalanan" mewacanakan hakikat kesementaraan dan keabadian dengan menyelami jiwa individu yang berasakan dirinya "majal" kerana menjadi penyebab kematian orang yang akrab dengannya. dalam dirinya berlaku gejolak fikiran kerana tidak dapat menerima kenyataan bahawa ajal pasti datang. dia mengalami trauma apabial menziarahi orang sakit, kerana pada setiap kali menziarahi orang sakit, dia menerima khabar kematian orang yang dikunjungi itu selepas dia pulang. dia merasakan seoah-olah dialah penyebab kematian itu. dengan mendalami al quran kecamuk jiwanya menjadi tenteram dan dia menerima suratan takdir. penggunaan lambang adalah sinkronik dengan subjek dan makna dalamannya. imej rumah pusaka sebagai tempat kelahiran dan pewaris terakhirnya yang kesepian melambangkan hakikat ketersendirian manusia pada penghujung perjalanan hidup. rumah asal yang menyaksikan pelbagai peristiwa merupakan refleksi terhadap kitaran ...
Image
Saya banyak mencatat rakaman kembara spiritual  sepanjang di Mekah dan Medinah selama 44 hari di dalamnya. buku catatan, jurnal cantik ini dihadiahkan lama dahulu oleh Thaiyibah Sulaiman, kenalan yang juga penterjemah banyak buku bahasa Jepun ke bahasa Melayu. arigato gozaimas! banyak kenangan, ingatan dan perasaan ada dalam jurnal ini termasuk seutas tasbih biru berbiji tujuh...
Image
Rindunya saya pada lorong dari al Haram menuju ke dataran Masjid Rasulullah ini. saat angin dingin mengepung dan kemudian membawa kami, jemaah wanita melalui keanehan demi keanehan tatkala melangkah ke ruang pemeriksaan di lawang-lawang utama. kami tidak dibenarkan (tidak berlaku  pada jemaah lelaki!) membawa masuk telefon tangan berkamera, apatah lagi kamera. begitu juga pen tidak dibenarkan sama sekali. ya, saya hanya mencatat kenangan dalam masjid ini melalui ingatan. biasanya tiba di kamar hotel saya akan menulis cepat apa-apa yang mengesankan berlaku sewaktu di masjid, sebelum semuanya hilang dilarikan angin keras. saya menulis dalam sebuah jurnal yang cantik...
Image
  Alhamdulillahi rabbil alamin. tahniah setingginya, buat sahabat lama saya, SM Zakir atas pengumuman sebagai penerima Anugerah SEA Write 2011.  memang selayaknya! sebelum itu, penerima tahun 2010 ialah Zaen Kasturi. dan khabarnya penganugerahan akan disampaikan awal tahun 2012 nanti. tahniah sekali lagi, bro!   saya tampal puisi garapan Dr Saleeh Rahamad buat Zakir. saya suka puisi ini. Sang Petualang (dedikasi buat SM Zakir) Lelaki bukanlah lelaki Jika tidak berani bertualang, katanya. Lalu dia mengorak langkah sambil membuka dada dari satu penjuru ke satu penjuru dia mengatur derap keberanian walau tidak mencari apa-apa dia pasti menemukan banyak rahsia. Dia sering bertualang dari benua ke benua tapi tidak pernah bertanya apakah jalannya ada peta atau kesesatan menanti di hujungnya. Di laut, di gurun, di belantara dia kembara sendirian walau di sisinya ada teman. Aku sering menemaninya menyusuri lorong gelap, laut saujana, riuh manusia...
Image
Syabas untuk pengarang yang selalu menjadi tumpuan saya, SN Anwar Ridhwan atas kemenangan Penyeberang Sempadan dalam Hadiah Sako 3 yang diumum disember 13 lalu. ucapan yang sama buat pemenang lain iaitu Rahman Haji Yusof ( Tak Seindah Impian), Mohd Khaidir Ahmad ( Khuluk), Ali Jusoh ( Alor Miang ) dan kekanda Aminah Mokhtar dengan Ratap Rabitah.
Image
Saat di luar, liarnya angin musim dingin Kota Rasulullah Pengutus Risalah, saya cuba mendapat kehangatan dari dalam al Haram, hotel penginapan kami. dengan harum setanggi, saya sempat merakam foto ini. sukar menafsir tapi senang di mata saya.
Image
Minggu bekerja yang panjang, dari isnin hingga ahad, apabila saya harus menghadiri bengkel jurnal di Melaka. memang enak berada jauh daripada rutin. tapi lebih enak jika pergi hanya untuk merehatkan diri dan tidak pergi untuk bekerja. alangkah! foto ini dirakam dari lobi hotel penginapan. tempelan piring kecil dan besar lalu menjadi arca yang luar biasa. sangat memukau saya!
Image
Ya Allah, hanya kepada-Mu kami berserah, dari siksa-Mu kami mohon belas kasihan, dan kepada-Mu kami berharap dan kami takut. maka terimalah ibadah, kasihanilah kerendahan hati, terimalah taubat, kurangkanlah kekeliruan, perkenankanlah permohonan dan tunaikanlah permintaan kami. ini foto kerikil yang dicari antara pasir halus di Muzdalifah yang sangat dingin anginnya berbaur debu. dengan bisik hati kecil,  saya bermohon dengan doa menggunung, semoga saat melontar di Jamarah nanti, saya turut melontar jauh segala kejahatan dalam diri.
Image
  Saya baru pulang. rasanya lelah lama belum pun hilang. namun ada rasa untuk mengembara lagi. mengapa? kerana saya sangat sedar kembara begitu membuka mata dan hati. benarlah, maka tidakkah mereka menjelajah dunia sehingga terbentuk hati yang sedari dengan itu mereka dapat memahami erti hidup atau mereka benar-benar mempunyai telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya buta yang sebenar bukanlah buta di mata tetapi ialah yang ada di dada (al-hajj:46). rakaman foto dari petak tingkap pesawat SV5100 Med-Kul.
Image
Alhamdulillahi rabbil alamin, dengan izin-Nya SAKM XI dapat dilaksanakan, walau dengan kekangan kewangannya. apa lagi yang harus saya ucapkan selain bersyukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat menjayakan SAKM XI. khusus ucapan ini kepada mahasiswa kami yang bekerja keras untuk beberapa bulan ini. syabas!
Image
Malangnya, saya tidak sempat hadir!
Image
 Selamat datang kepada semua! Selamat mengikuti SAKM XI bersama antaranya, Prof Dato Dr Md Salleh Yaapar ~ Dr. Roslina Abu Bakar & Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud ~ Mohd Salleh Sulieman & Saadah Jaffar ~  Dr Norhayati A. Rahman ~ A. Rahim Abdullah ~ Dr Mohd Faizal Musa ~ Cahyaningrum Dewojati ~ Dr. Awang Azman Awang Pawi ~ Dr. Novi Siti Kussuji Indrastuti ~ Muhammad Harya Ramdhoni Julizarsyah ~  Sudibyo ~ Prof Ungku Maimunah Mohd Tahir ~ mereka melihat sastera menerusi teks kreatif dan hubungannya dengan realiti politik. menarik sekali! Pendaftaran RM100 sahaja di Dataran DK3B301, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, bermula 8.00 pagi 7hb Disember 2011. hingga jumpa!
Image
Kurang sejam sebelum azan maghrib, saya tiba di dapur rumah, sempat saya sediakan bubur awal tahun kami sempena 10 muharram. istimewanya  juadah tradisi keluarga kali ini, saya yang menyediakan bubur dan bonda yang kebetulan ada di rumah, menyiapkan sambal terasi bersama ikan masin bulu ayam! inilah hidangan berbuka puasa kami. sambil menikmati bubur yang sedikit masin, saya mengimbas hari pertama di pejabat setelah hampir 50 hari bercuti. menghadiri 2 mesyuarat, banyak nama orang yang saya lupa dan saya terkial-kial meneka kata laluan komputer! rasa macam budak baru mula bekerja...
Image
KATEGORI NOVEL REMAJA   Pertama hadiah wang tunai RM7,000 "Bimasakti Menari" (Sri Rahayu Mohd. Yusop) Kedua hadiah wang tunai RM4,500 "Bumi Lestari" (Rebecca Ilham) Ketiga hadiah wang tunai RM3,000 "Esemes" (Mohd Teja) KATEGORI CERPEN Tiga hadiah utama RM3,000 setiap satu "Benarlah Kata Angin Itu, dan Saya Meneruskan Perjalanan"                                                (Mawar Shafei, Mingguan Malaysia, 2 November 2010) "Orang Budiman dan Negeri Seribu Gunung" (Mohd. Lutfi Ishak, Mingguan Malaysia , 12 September 2010) "Pesta Tarik Tali di Musim Gugur"                             ...
Image
Meraikan ulang tahun yang seterusnya di kota Rasulullah Pengutus  Risalah. bukankah itu saat yang sangat membahagiakan! ya, ulangtahun saya mengikut takwim hijrah adalah pada tanggal 1 muharam. sedang tahun baru di Medinah, tidaklah menjadi acara besar seperti yang berlaku di tanahair. tiada bacaan yassin, doa penutup dan pembukaan tahun. apalagi penganugerahan tokoh-tokoh maal hijrah. ini donut coklat yang agak besar ukurannya. sempat kami sambar dari penjuru Hotel Mövenpick . donut sebesar ini hanya SR5 berbanding harga yang sama dengan ukuran biasa di Safwa Tower di Mekah. raikan ulangtahun hanya dengan donut? saya merasakannya lebih daripada itu apabila sudah tenggelam dalam nikmat berada dalam Masjid Rasulullah. ya, alhamdulillahi rabbil alamin, saya sudah selamat pulang  ke tanahair menjelang awal hari november 29 bersamaan 4 muharam. apa kabar?
Image
Dengan rendah hati, saya mohon ampun setulusnya atas tutur kata yang meluka, tingkah yang salah atau lintasan hati yang penuh curiga terhadap saudara selama ini. melepasi sejam tengah malam 15 oktober, Zahar dan saya akan ke Tanah Haram dengan memasuki Mekah terlebih dahulu. kembara spiritual ini sangat panjang dan pasti banyak yang akan mengasuh jiwa rusuh kami.  atas nama persahabatan dan persaudaraan, sudi doakan kami dilindungi, dikasihani, diperhatikan-Nya, setiap detik. mudah-mudahan ibadah kami diterima dengan seluruh pengampunan. mudah-mudahan ia mabrur. mudah-mudahan diperoleh pulangan yang terbaik daripada-Nya. semoga kita bertemu semula awal muharam  nanti. ya, panjang umur, kita bersalaman lagi. dan ini bukan ucap selamat tinggal...
Image
Saya sangat senang dengan pantai. samudera sering mengajak jiwa kita untuk berdamai. menarik juga untuk hadir syarahan profesor kali ini, walau masih banyak kerja yang harus segera diselesaikan. saya akan hadir. saya percaya ia antara perjalanan untuk saya lebih mengenali al-Mughni, Yang Maha Memberi Kekayaan. kayakanlah kami dengan keperluan pada-Mu, dan jangan miskinkan kami dengan ketiadaan keperluan kepada-Mu.
Image
Wajah penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2011 Because, through his condensed, transluscent images, he gives us fresh access to reality. "In 1931, Tomas Tranströmer was born in Stockholm, Sweden. He attended the University of Stockholm, where he studied psychology and poetry. One of Sweden’s most important poets, Tranströmer has sold thousands of volumes in his native country, and his work has been translated into more than fifty languages. His books of poetry include The Great Enigma: New Collected Poems (New Directions, 2003), The Half-Finished Heaven (2001); New Collected Poems (1997); For the Living and the Dead (1995); Baltics (1974); Paths (1973); Windows and Stones (1972), an International Poetry Forum Selection and a runner-up for the National Book Award for translation; The Half-Finished Sky (1962); and Seventeen Poems (1954).His work has gradually shifted from the traditional and ambitious nature poetry written in his early twenties toward a dar...
Image
Sesekali muncul sergahan ini: saya tidak mahu bertemu siapa-siapa. hari ini saya harap tiada yang mengetuk pintu kerja, dan saya mahu terus aman dengan kertas yang  bertaburan di  komputer. sambil mahu meneguk teh yang masih berasap, dibawakan pelajar saya dari hangzhou, zhejiang. sedang  hujan petang di luar jendela kaca, sangat bersahabat dengan pohon rendang  yang mengepung. sekejap itu, saya berhasrat menjadi sahabat yang baik dan sering mahu mengirim cerita. sahabat yang mahu minum bersama dengan sepiring pai epal yang sempat disambar dari kafe kampus. akhirnya,  saya melihat, saya masih di kerusi ini dengan kerja dan memandang kisah hujan petang yang belum berkesudahan. saya sedar tidak semua yang mahu bersahabat, malah menjadi khawatir dan renyah kerananya.  
Image
Tinggal sedikit masa yang bersisa. sedang apa yang perlu diuruskan, masih berjalan seperti selalu. sering saya melihat ia luruh seperti musim hujan petang akhir-akhir ini. ya, ruang yang kian sempit. semakin saya rasakan. pada saat yang sama saya memasuki garis peperangan. dengan perisai dan pedang yang ke mana hilangnya, saya jadi dungu. saya jadi semakin tidak tahu apa-apa apabila tiba di lapangan ini. oh, Tuhan saya sedang berhadapan dengan raksasa yang selama ini berdiam lama. doakan saya tidak tewas di padang yuda ini!
Image
Saya bukan seorang pendeklamasi puisi! kerja kreatif saya hanya menulis cerita pendek. apabila saya diundang untuk baca puisi di hadapan ramai, saya jadi bingung. kali pertama saya baca puisi adalah sewaktu sekolah rendah untuk hari guru. puisi sendiri. seingat saya kali terakhirnya pula adalah di taman perumahan kami setelah dipaksa ketua kampung. puisi hari merdeka. biarlah ia jadi  yang terakhir!
Image
Ini teks wajib mahasiswa tahun 1 saya. membincangkan peran Presiden yang despotik, saya harapkan mahasiswa saya turut belajar erti bersyukur, punya kerendahan hati dan sangat menyedari letak kuasa yang sesungguhnya agung.
Image
Masa untuk ke dapur!  ada masakan baru di catatan tanggah saya.
Image
Sampai sekarang saya masih seronok menonton The Little Rascals . banyak kenangan menjadi kanak-kanak yang mengusik, membuat saya ketawa atau sekejap itu saya menyeka air mata. keletah si Alfalfa, the sensitive male  ini, antara yang menghiburkan sekali. bagaimana dia mahu mencuri hati Darla, si genit pujaan hatinya itu. ya, Alfalfa mengingatkan saya pada seorang kawan lama...  
Image
Ikhlas. jauhkan kami dari keangkuhan yang menjadi raksasa dalam hati. bebaskan kami dari ketakjuban akan kuasa yang kononnya dimiliki. wahai Tuhan, lapangkan rezeki yang diberi penuh ikhsan ini, agar kami dapat berbahagi. ikhlaskan hati kami!
Image
Amannya saat masa mengepung saya dengan hanya berteman buku dan secawan coklat panas.  kemudian banyak yang menjadi catatan. saya terus menantinya. sedang sekarang masa begitu bergegas. sementara hati dan fikiran masih mencongak-congak. oh Tuhan, adakah begitu isyarat yang singgah, membenarkan suara yang tidak berkata.
Image
Dua batang gigi Alif Matiin sudah tiba waktunya untuk luruh serentak. lazimnya dia jarang menangis untuk episod adventurous sebegitu. jadi malam tadi, sesi bercerita kami diganti dengan kisah gigi. awal pagi ini saya menimbang-nimbang, bagaimana si Mohican saya ini mahu memberus giginya. perlu berus khas?
Image
Kenangan, bagaimana ia boleh berubah rupa? bagaimana saya melihat kembali rakaman zaman anak-anak di mata tua sekarang? begitu saya melihat kenangan mahasiswa saya yang bergelar graduan esok. kenangan bersama mereka ternyata momento yang tak terlupakan. kalungan TAHNIAH buat kumpulan 2008/2009. begitu juga pelajar sarjana falsafah saya, Dharma. ya, kenangan yang akan saya simpan selamanya! jumpa di dewan canselor tun abdul razak pagi september 25...
Image
Saya berjumpa mahasiswa baru dalam kuliah Penulisan Kreatif SKMM2083. senarai nama yang panjang semester ini, ramai yang datang dari  FST (fakulti sains teknologi). dan bagusnya kali ini saya mahu mereka memanfaatkan makanan atau masakan sebagai menu penulisan. hehey, bukan hanya tentang resepi, tetapi apa yang membumbui resepi itu - kasih sayang, kesumat, nostalgia, impian atau persahabatan dengan plot yang menyeramkan? ayuh mahasiswaku, mulakan kerja kreatif sdr! ya, kita akan bertemu si Remy Ratatouille di kuliah nanti.
Image
Dalam tuntutan tanggungjawab seharian, timbunan tarikh-tarikh penting, meja kerja yang tambah tidak terurus; antara getaran rasa yang kian mendebar, saya jadi seperti mahu menghentikan segalanya daripada bergerak. dahsyatnya imaginasi saya. alangkah! dan ia pastinya tidak akan berlaku sehingga masa itu tiba nanti.
Image
Dalam sibuk orang lain ke rumah terbuka hari raya, kami berlari-lari mengelilingi stadium universiti. Zahar mahu mendapatkan mood lama 7 pusingannya dengan setiap kali ingatan kepada Yang Maha Membentuk, Ya Musawwir.
Image
SAKM XI. silakan mendaftar sebagai pembentang atau peserta.
Image
Saya bertemu semula dengan sahabat lama sekolah rendah, ketua darjah kami. pertemuan dalam suasana yang berbeza sama sekali. dalam kebahagiaan bertemu sahabat waktu kecil dan banyak cerita lucu yang diimbas, saya  mengenang panjangnya perjalanan hidup.   adakah ia perjalanan yang bermakna khususnya melibatkan hubungan saya dengan Allah. saya menampal baju ini kerana Nai, sahabat saya itu kerap membutang baju hingga ke leher. saya ingat sampai bila-bila.
Image
Selamat Hari Raya! Saya kembali ke jadual harian. dengan semangat syawal, saya ke pejabat dengan seribu syukur. namun sangat kecewa dengan keadaan fakulti yang masih berdebu dengan sisa pengubahsuaian yang belum selesai. alahai, sedihnya menyambut mahasiswa baru dalam keadaan tak sudah :-(
Image
Image
  Ya Badi', Yang Maha Pencipta, anugerahkan kami ilham dan keupayaan menulis, menghasilkan karya yang menggerakkan kebaikan dalam jiwa mereka yang membacanya. Ya Baqi, Yang Maha Kekal, sesungguhnya kehidupan kami ini hanyalah sebentar dalam perjalanan kami menuju kehidupan yang kekal. maka selamatkanlah kami di sepanjangnya, ya Baqi. Ya Warith, Yang Maha Mewarisi, panjangkanlah nikmat dan manis iman ini dalam hati anak-anak kami. semoga mereka bertaqwa dan mewarisi syurga-Mu, ya Allah. Ya Rasyid, Yang Maha Tepat Bertindak, dengan al Quran-Mu kami dibimbing. dengan nama-Mu kami memulakan pekerjaan dan menekuni apa yang kami usahakan. rahmati kami, ya Rasyid. Ya Sabur, Yang Maha Penyabar, benarlah, menahan amarah dengan sabar adalah seperti mengawal kuda yang liar. lembutkan hati kami. jernihkan perasaan kami. tenteramkan nafsu kami. sebagaimana sabarnya Engkau terhadap penentangan kami, asuhlah sabar dalam diri kami. ampunilah kami. golongkan kami dalam kala...
Image
Ya Nafi', Yang Maha Memberi Manfaat, jadikan kami hamba-Mu yang kecil ini berjiwa besar untuk memberi manfaat kepada makhluk lain. terimalah ia sebagai ibadah kami kepada-Mu, ya Allah. Ya Nur, Yang Maha Memberi Cahaya, terangilah malam kami dengan pelita pengetahuan dan bintang-bintang di langit yang menunjuk jalan. sesungguhnya cahaya itu menyuluh hati, kejahilan dan kelalaian kami. Ya Hadi, Yang Maha Memberi Petunjuk, tuntuni kami di jalan-Mu dan usah biarkan kami menyudahkan baki usia dengan sia-sia.
Image
Ya Ghaniyy, Yang Maha Kaya, kami mahu kekayaan yang dengannya dapat kami memberi buku kepada anak yatim, membebaskan saudara kami daripada kemiskinan, dan kami semakin dekat dengan-Mu, ya Allah. Ya Mughni, Yang Maha Memberi Kekayaan, kayakanlah kami dengan keperluan pada-Mu, dan jangan miskinkan kami dengan ketiadaan keperluan kepada-Mu. Ya Mani', Yang Maha Mencegah, sesungguhnya kami selalu lupa, ada ketikanya ada semacam yang menghalang dalam kami meneruskan sesuatu pekerjaan. sedangkan itu adalah pertolongan-Mu dan Engkau begitu dekat dengan kami. Ya Dharr, Yang Maha Pemberi Bahaya, maka dengan-Mu kami berlindung dan memohon kasihan. peliharalah kami dan mereka yang pernah menzalimi kami.
Image
 Ya Malik al Mulk, Pemilik Kerajaan, dalam keperkasaan dan kehendak yang Kau miliki, kami mohon diberi kedamaian dan keamanan dalam hati kami untuk terus sujud dan mentaati-Mu, wahai Allah. Ya dzul Jalal wa al Ikram, Pemilik Keagungan dan Kemuliaan, terlalu banyak yang kami hitung dalam ibadah dan memuji-Mu, sedang Engkau senantiasa memaafkan sebelum kami mengajukannya ya Allah yang Maha Agung, ampunkan keterlanjuran dan kebiadaban kami. Ya Muqsith, Yang Maha Adil, jelaskan mata kami yang memandang, hati kami yang menafsir akan setiap takdir-Mu sebagai keadilan dan asuhan buat kami yang selalu tidak mengerti dan memasang prasangka. ampunkanlah kami, ya Muqsith. Ya Jami', Yang Maha Penghimpun, saat perhimpunan agung nanti, bukankah semua akan bersujud kepada-Mu, ya Allah. dan penyaksian akan apa yang kami lakukan. bersujud juga makhluk lain dan mereka bersyukur kerana tidak dijadikan sebagai manusia.
Image
 Ya Tawwab , Yang Maha Penerima Taubat, terlalu banyak kejahatan dan kehinaan dalam diri, sedang kami mahu membersihkan hati, mensucikan diri dengan bertaubat sesungguhnya. taubat itulah yang mengubah murka-Mu menjadi kasih sayang dan cinta.  Ya Muntaqim , Yang Maha Membalas, kami ingin sekali memiliki hati  orang yang berkuasa untuk membalas tetapi dia memafkan, mempunyai rasa belas dan tidak sekali-kali menyimpan dendam. Ya Afuww , Yang Maha Pemaaf, rendahkan hati kami untuk mengucap maaf sesama manusia lebih-lebih lagi daripada Engkau yang mencipta. malam-malam ramadhan yang masih berbaki ini, tiada apa yang kami pinta selain keampunan-Mu yang menyelamatkan kami di dunia dan di akhirat. Ya Rauf , Yang Maha Melimpahkan Kasih, sesungguhnya banyak hukuman yang Kau tunda,  agar kami bertaubat. dan kami mengakui betapa rahmat-Mu senantiasa mendahului murka-Mu. Allahu akbar!
Image
   Ya Wali , Yang Maha Memerintah, hanya Engkau tempat berpaut yang kukuh. dalam seribu kesulitan, kami yang kecil  mahu menjadi kuat dan tabah dengan kepercayaan yang satu ini. Ya Muta'ali , Yang Maha Tinggi,  banyak keangkuhan dalam hati kami, sedang kami hanyalah debu halus yang mungkin sahaja tiada nilai timbangannya di mizan-Mu. kami jadi sangat malu dengan diri sendiri! ampuni kami, ya Allah!  Ya Barr , Yang Maha Dermawan, dengan kasih sayang-Mu, Kau mengampunkan kami yang tidak membuat kebaikan, betapa Kau menyembunyikan keburukan kami, sedangkan hukuman-Mu tidak melebihi dosa yang kami lakukan. ya Barr, kami mahu membuat kebaikan, lunakkan hati kami untuk bersedekah, mencintai orang faqir, berlembut dengan hati yang keras dan rawatlah amarah kami.      
Image
Ya Muqaddim, Yang Maha Mendahulukan, kami dahulukan penerimaan atas segala yang Kau beri kerana itu adalah kedekatan kami dengan-Mu. Ya Muakhir, Yang Maha Mengakhirkan, ada doa yang kami mohon, belum lagi Kau penuhi. sedang Kau mahu kami menyelidik diri, ya Allah.  Ya Awwal, Yang Maha Awal, Yang Memulakan segala sesuatu. dengan nama-Mu yang agung kami memulakan tugas kami. terimalah ia sebagai ibadah, ya Allah. Ya Akhir, Yang Maha Akhir, saat kami berdoa, kami sangat yakin Kau mendengar dan Kau menyentuh tangan Kami yang sangat-sangat memohon ampun. terus menyentuh tangan kecil kami, ya Akhir. jangan sekali-kali kami berasa jauh dan kehilangan-Mu, ya Akhir! Ya Zahir, Yang Maha Nyata, bangunkan kami daripada lena dan leka untuk selalu sedar hidup ini punya makna. kami tidak pula mahu mensia-siakan masa yang sempit ini. dalam kekhilafan dan kedaifan itu, ampun dan terimalah kami, ya Zahir.  Ya Batin , Ya Maha Tersembunyi, kata-Mu ti...