Posts

Image
Kami ke acara sukan sekolah Alif Matiin. ini kali pertama dan terakhir sebelum Mohican ke sekolah betul tahun depan. ya, saya tidak selesa untuk ke acara padang yang ternyata panas, ramai orang dan mengambil masa yang lama. apalagi Mohican tidak berapa sihat. seusai acara ketiga yang disertai, lari berhalangan (mendapat tempat ketiga), kami menghala ke poliklinik. sementara menunggu giliran masuk berjumpa doktor, saya menimbang-nimbang kembali. apa yang tidak kenanya dengan acara sukan? bukankah ia satu memento dalam kehidupan seorang murid sekolah. anak saya dalam kumpulan sukan Saidina Ali. baju sukannya berwarna biru. o, saya baru teringat, saya juga di rumah biru waktu di sekolah. hah, saya juga bermain bola jaring dan pernah mewakili sekolah. acara sukan, memanglah dalam keadaan panas, ramai orang dan mengambil masa. memang tidak selesa tapi ia satu kepuasan. saya segera ingin memeluk Alif Matiin yang berjaya membawa balik piala tempat ketiga tarik tali di samping johan a...
Image
Dua kumpulan cerpen, antara terbitan terbaru dari ITBM. dengarnya akan dilancarkan 3 julai ini. tahniah Tuah Sujana dan Aidil Khalid !
Image
Saya mencemburui anak-anak muda yang turut solat di masjid. solat dengan seluruh tumpuan. dan seolah-olah saya mendengar pohon mereka sebelum mengangkat takbir,  o Allah pelihara solat kami, terimalah solat kami! Allah Maha Agung! dalam cemburu itu saya begitu bersyukur. anak-anak muda inilah yang mewarisi segala kebaikan dan ketauhidan. pernah, hampir luruh perasaan saya seusai solat, di ruang merapi diri, antara anak-anak manis itu bercakap sesama sendiri. masih terpasang mukena dan di tangan mereka al Qur'an, saya mendengar mereka bercakap soal iman. ya Allah. saya malu sendiri! alangkah saya dapat kembali menjadi seperti mereka.
Image
Saya tidak pandai menunggang basikal. dan saya juga takut  berada di atas motorsikal. sejarahnya, semasa kecil saya bermula dengan basikal beroda tambahan untuk tujuan keseimbangan. ternyata saya lupa untuk menanggalkan roda kecil itu. ah, Mohican saya sudah boleh menaiki basikal tanpa roda tambahan. betapa gembiranya dia. betapa bangganya Zahar saat menanggalkan dua roda kecil. saya memerhati lama Mohican memecut. walau sesekali jatuh, saya fikir itu perjalanan untuk menguasai pecutan seterusnya. dia seperti memahami ketakjuban saya, bersahaja menjelaskan, mummy kayuh cepat-cepat. tak akan jatuh. heh!
Image
Al fatehah buat Profesor Dr Idris Abdullah, tata usaha  balaghah dan sastera Arab di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, UKM. almarhum pernah menjadi penilai dalam kurikulum di tempat kami. semoga perjalanan kembalinya aman dan sejahtera. menerima berita dari fb petang ini.
Image
Tiga mawar mekar di taman                                                                                     Di sebelah kemuning yang harum  mewangi                        Ingatan berpanjangan buat teman                                       Semoga sejah...
Image
Saya berada di luar daerah. jauh dari kampus. kamar penginapan saya dengan kotak jendela berlatar laut lepas. maha suci Allah apabila dapat bersolat dan berdoa berhadapan dengan laut yang lapang dan tenang, walau kelihatan riak kecilnya. saya melihat diri sebagai setitis air antara segara yang luas itu. setitis antara dataran yang ada. setitis antara kejadian yang dicipta. ya Allah, ya Allah, ya Allah. siapalah saya di hadapan Allah selain debu yang berterbangan.
Image
                                              Hari Bapa ialah hari dengan masakan istimewa. benarkah? memasak setiap hari juga istimewa. ini semua soal persepsi. sepatah kata Zahar, asal sahaja masak dengan keikhlasan dibaur sama cinta, ia pasti akan jadi istimewa. wah! jadi, dengan segala ramuan dan bumbu perasaan, saya menyelinap seharian di ruang istimewa, masih bersama pembantu chef saya. ehem. saudara boleh menyelinap ke catatan tanggah untuk resepinya! kami sediakan itu dan ini, sebelum memandu dengan aman ke rumah abah mertuo den untuk minum petang bersama.
Image
Oh Alif Matiinku! selain selalu mendampingi saya di penjuru dapur dengan apronnya, Mohican saya ini juga akan selalu di sisi saat saya menilik muka di hadapan cermin almari solek. ketika saya mengenakan vitamin e, Mohican bertanya bermacam-macam perkara. mengapa harus sapu vitamin e di pipi atau dari mana vitamin e ini. seharusnya saya menjelaskan semua keanehan di mata anak saya itu dengan keghairahan mencurah ilmu. tapi selalu juga saya menepis dengan alasan, "kita sudah lambat, my dear". dan pernah saya menjawab, eh ini hal ehwal wo man . si bujang ini cepat melenting seraya berkata, "Alif Matiin hu man juga, mummy!" heeee...
Image
Menjadi impian saya dapat membaca al Qur'an dari perkakas digital.  mudah dibawa ke mana-mana dalam tas tangan berbanding versi cetakan. subhanallah! maha suci Allah! maha suci Allah! saya baru sahaja menikmati bacaan asal dan terjemahan ayat-ayat lazim dari si Note putih seramik ini. versi Qur'an android.  banyak juga catatan yang dapat dirakam tanpa terkial-kial mencari kertas dan pen dari beg tangan saya yang terdapat beberapa lagi beg kecil di dalamnya. alhamdulillahi rabbil alamin!
Image
Saya akan selalu memastikan hubungan kami terus berjalan; sama ada ia menerusi ziarah atau panggilan telefon. ini hadiah Makcik Timah Baba ketika kami bertemu jumaat lalu. dan setiap kali ke rumahnya saya akan mengenang Dr Othman Puteh (guru  budiman) yang rancak bercerita melayan kami hingga lewat malam dan sebelum itu Hizairi Othman (rafik tersendiri) yang akan membuka pintu menyambut salam kami. oh, kenangan itu seperti kesidang yang sangat saya senangi. ia sering bersembunyi di balik para-para namun harumnya selalu menakluk dan berkuasa. dan buku ini tentunya menarik untuk ditekuni sekian kali, ya versi terjemahannya .  
Image
 Seusai asar kami bergegas ke masjid berdekatan untuk menghadiri acara pernikahan saudara terdekat Zahar. babak yang manis. penyerahan seorang ayah kepada lelaki baru dalam hidup anak gadisnya. aduhai. saya seperti dapat membaca sengsaranya perasaan ayah saat beberapa kali akad yang cuba dilafaz antara si ayah dan bakal menantu, tersangkut-sangkut. si ayah seakan enggan melepaskan sementara si menantu yang gusar dengan amanah baru di bahunya. seraya mengaminkan doa kadhi, saya merakam doa sendiri agar syurga buat mereka di sini dan di sana. amiiin! 
Image
Ternyata apabila usia meningkat (atau sedikit sisanya?), saya mempertimbangkan banyak sisi dalam penjagaan kesihatan. selain mempertimbangkan beberapa makanan khusus, saya mula ambil kisah  membaca bahan tentang pemakanan  (menuju menjadi) warga emas. hahahah! antaranya saya membaca tentang buruknya tabiat mengambil ais.  dan baru sekarang saya akur dan mengambil keputusan untuk tidak mengambil ais setelah banyak kali dinasihatkan oleh golongan warga emas terdahulu. maka dengan keputusan itu bermakna saya tidak lagi akan menikmati ais kacang yang sangat saya gemari atau mengambil bergelas-gelas jus buah-buahan yang berais. alahai segala-galanya tinggal kenangan ....
Image
Ya, setiap kali pulang ke rumah bonda, saya tidak akan jemu menyelinap ke rak buku dan mendapatkan kenangan yang banyak tersimpan dalam album gambar. rakaman perasaan - riang, sedih, rajuk, marah atau geram dari dalam bilik darjah sekolah tadika, rendah dan menengah hingga ke padang bola jaring saat kami mewakili sekolah dan sewaktu saya mengetuai kumpulan pengawas dengan tali leher merah. sesekali mahu ketawa dengan muka bulat saya yang berkilat atau sekejap kemudian saya sebak menelek wajah beberapa sahabat saya yang sudah kembali ke ruang asal penciptaannya. sudah jauh dan lama saya berjalan, berlari, berhenti kerana lelah, dan kembali lagi berlari. kurang satu dekad saya akan menjadi semakin tua mencecah usia separuh abad. saya kian menginsafi betapa singkatnya perjalanan di dunia dan begitu banyak pula minit, jam dan hari sia-sia yang sudah saya lewati. ya Allah, ampuni saya, kasihani saya dan saya mahu ingin kembali menjadi anak kecil...
Image
Hujung yang minggu yang sarat! bergegas pulang ke kampung omak mertuo den untuk meraikan acara membina semula pagar rumah yang sudah usang. kemudian kami berlari ke rumah bonda dan terasa perjalanan jauh itu, dekat. di lebuhraya, baru saya teringat, tetangga kami yang akan berpindah ke miri dan malang sekali kami tidak dapat merakamkan ucapan selamat tinggal dan hingga jumpa lagi. menjelang senja, kami menitip Mohican yang akan bercuti di rumah sepupunya pula. oh apalagi yang saya mampu lakukan selain berdoa. dalam kelelahan yang panjang kerana saya semakin tua, perlahan-lahan saya menyusun kata dengan rapi. semoga pagar kayu cantik itu dapat mengikat kami sekeluarga, dapat menghimpunkan kami seamannya. semoga demam dan batuk bonda cepat kebah dengan sup sayuran panas yang sempat saya sediakan. semoga tetangga saya senang dengan kehidupan baru kerana mereka juga adalah teman yang sangat membahagiakan. semoga Mohican riang dengan percutian...
Image
Apa yang lebih disyukuri untuk memulakan jumaat yang mulia dengan bermunajat, memohon dengan seluhurnya ampun dari Dia lalu berjemaah di surau kecil menjelang subuh. menekuni ayat sajadah yang dilafazkan imam lalu sujud, dengan tulus mengakui kebesaran-Nya. Allah, Allah, Allah! benar, cukuplah Allah bagiku!
Image
Saya baru tahu bahawa antara asuhan Rasulullah (salawat dan salam ke atas baginda dan keluarga!), menggantung rotan sebagai ingatan dalam mendidik anak-anak. saya melihat ia juga asuhan yang halus untuk ibu bapa menjalankan kewajiban yang selayaknya. Alif Matiin  pernah dihukum dengan rotan dan ia membuat saya tak mampu menahan air mata. sama juga saya menahan sebak setiap kali  si Mohican saya itu menjadi muazin  di ruang solat kami. menyusun sejadah di awal solat dan cepat cepat mahu  dapatkan bapaknya tasbih dan kitab sebaik seusai jemaah. oh! sekarang rumah sunyi. Alif Matiin sedang bersuka ria di kampung wan dan atuk. dan saya rindukan suara muazin kami!
Image
Saya semakin tua, dan rasanya naluri saya semakin cermat membaca perubahan  suasana atau rasa. saya mengambil satu keputusan yang aneh hari ini. tiba-tiba saya teringat puisi Ke Ruang Katarsis Zaen Kasturi. Kita tidak lagi pernah bertanya kenapa manusia harus jadi manusia tanpa menolak kebenaran untuk jadi manusia yang tegar meniup seruling kemanusiaan yang ligat memetik kecapi keluhuran kerana kita lupa apa yang tersimpan di album bangsa. tiba-tiba pula kemudiannya saya merasakan, enaknya  berlama-lama di spa, ya pada pertengahan minggu bekerja? idea yang menarik juga!
Image
Saya suka upaya pihak DBP ini. TAHNIAH Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP! poster comel ini saya tampal dari fb. suka suka suka!
Image
Saya jumpa kata-kata yang memukau ini di fb; saya tambahkan bunga kecil mewakili hati saya yang diamankan... alhamdulillahi rabbil alamin.
Image
Si comel Yaya Kuliah hanya berbaki seminggu lagi. selepas itu mahasiswa akan sibuk dengan ujian dan kemudian akan riang ria di kampung halaman masing-masing. minggu ini antara yang dibincangkan tentang harga sastera zaman ini menerusi sayembara yang dianjur. harga SN baru ditingkatkan ke RM60, 000. harga sebuah buku mengandungi 20 cerpen atau sebuah buku akademik yang jadi juara ialah RM10, 000. nilai cerpen yang menang ialah RM1000 (atau RM800). mata saya berpinar-pinar bila diberitahu hadiah besar artis mania (?) bernilai setengah juta. mahasiswa berbahas isu  popular lwn serius . saya rasa mahu pitam! mahu pengsan seperti baru menjamah biskut Yaya.
Image
  Ada sahabat saya yang hidup sendiri, mahu berbahagi kesepiannya. saya melihat kesendiriannya adalah jalan untuk dia (dan saya juga) diasuh untuk menyedari bahawa suatu saat nanti, kami juga akan sendiri. ya, kita akan sendiri nanti. dan saya juga melihat betapa indahnya banyak waktu dia dapat berbuat kebaikan tanpa gangguan. saya teringat isi firman Allah, at taghaabun: 14, ... isteri dan anak menjadi musuh.. . saya doakan semoga Allah meriangkan hatinya dalam sunyi yang panjang itu...
Image
Selamat menikmati bulan-bulan yang indah!
Image
Hujung minggu yang riang! saya sempat tenang-tenangkan diri di salon Ozie dan kemudian ke kelas masakan. oh, apa yang lebih meriangkan hati setelah sepanjang minggu duduk lama di bilik kerja; membaca kerja mahasiswa, membaca minit mesyuarat, membaca bahan audit, membaca emel rasmi, membaca manuskrip yang tidak siap-siap, membaca bahan penyelidikan, bahan kuliah,  di samping  membaca sama marah, rajuk, kecil hati, salah faham manusia juga...  
Image
Saya akhirnya bertemu dengan seorang kenalan lama dari bangku sekolah. dia terperanjat apabila diberitahu betapa  banyaknya dia  mengirim ilham lewat karya saya selama ini. saya katakan, memang banyak dalam hidup yang menumbuhkan cerita dalam diam, memberi makna dalam ketidaktahuan, menawarkan keterujaan tanpa sedar. teman saya itu sekarang dalam bidang teknologi dan saya ragui sama ada dia memahami apa yang saya cuba jelaskan dengan laras bahasa yang mungkin padanya aneh. ya, memang banyak isyarat hati yang tidak mampu terhantar oleh kata, apalagi tanda yang datang seperti bayang-bayang. sedang ia tidak mudah juga untuk diterima setelah jaraknya masa yang memindah-mindahkan banyak mimik peribadi.
Image
Sempat hadiri diskusi menarik ini. banyak perkara baru yang diberitahu mantan paderi @ pengampun dosa antarabangsa katolik ini. antaranya bagaimana  akhlak dalam hubungan persaudaraan, menjadi tarikan utamanya untuk  menguasai masyarakat Islam. saya segera teringat sabda Rasulullah, umat hujung zaman seperti buih di lautan - banyak tetapi lemah. deritanya umat hujung zaman adalah kerana menularnya satu penyakit yang dinamakan al wahn @ cintakan dunia dan takutkan kematian. Allah, Allah, Allah, ampunkan saya kerana banyaknya masa saya dalam sehari tidak sudah sudah dikepung penyakit itu. dan kepungan itu sangat berkuasa!
Image
Satu pengalaman bersama guru yang saya tidak dapat lupakan ialah mendapat markah 29/25; ia untuk kertas geografi sewaktu saya di tingkatan enam sekolah (p) sultan ibrahim, johor bahru. dan guru yang kerap memberi markah A+ itu ialah Cikgu Daim. dan sejak menjadi guru, saya tidak pernah pula memberikan pelajar-pelajar saya markah luar biasa seperti Cikgu Daim! saya tidak tahu di mana cikgu sekarang. namun, saya mahu mengucapkan selamat hari guru yang istimewa diiringi doa  setulusnya semoga cikgu dirahmati selalu. juga buat semua guru saya dan semua yang bergelar guru,  terima kasih cikgu!
Image
Saya kehilangan buku lagi! kali ini buku resepi.  ia antara buku masakan yang saya gemari kerana terdapat beberapa halaman yang saya pernah cuba dan menjadi. oh, di mana buku Chef Sabri  ya? lazimnya saya menyedari buku-buku saya hilang hanya apabila ia hendak digunakan. cerita yang sama dengan buku-buku yang disimpan di bilik kerja di kampus. kali ini buku masakan saya pula yang entah di mana. saat mahu memasak untuk omak mertuo den sempena hari ibu, saya mencari buku yang mengandungi resepi nasi morocco @ nasi arab. alhamdulillahi rabbil alamin, saya pernah menyimpannya di catatan tanggah!
Image
Antara ajaran Islam ialah mendekati dan selalu duduk dengan orang soleh. ketika kecil di kampung Temasek, saya suka mengintai sebuah rumah yang bergelar haji. saya memanggilnya tok haji. saya suka melihat wajah tuanya yang bersih, saya percaya ia adalah cahaya wudhu dan ketaatannya kepada Allah. saya juga suka belajar muqadam di surau kami yang bertangga kayu dari seorang haji yang rumahnya bersebelahan perigi. saya teruja belajar tulisan jawi dari seorang datuk yang akhirnya hilang penglihatan. saya suka bersama mereka kerana berasa nyaman seperti ada pawana halus selepas hari hujan yang menghantar rasa tenang dan sentosa dalam jiwa kecil saya ketika itu. saya juga rasa dilindungi oleh keindahan iman serta kecintaan kepada Allah yang mereka punya. perasaan mahu berjumpa dan duduk dengan orang-orang soleh, hingga kini saya rindukan.  sedang usia saya semakin tinggal sedikit bakinya dan saya  kian merasakan kesedihan yang panjang.  pawana lepas hari hujan yang m...
Image
Bermimpi bulan yang banyak di langit, apa isyarat yang mahu dikirim? kemudian pula muncul  sahabat yang berdiam lama. seakan mahu memberitahu khabar yang disimpan sekian masa. oh Allah, saya memohon ampun. terlalu banyak rahsia, terlalu banyak kata yang tidak mampu dirapikan sebagaimana cantiknya madah mahupun syair atau gurindam. sedangkan saya juga mahu menyatakan segala yang tersembunyi, segala yang saya sendiri tidak pernah duga atau sangka. o sahabat, mahukah saya dimaafkan kerana membiarkan diam menunggu lama?
Image
Dalam bersunyi, saya melihat banyak sisi saya diasuh bonda dengan didikan yang halus. tentang hal-hal kecil. saya diasuh bonda untuk memohon maaf ketika bersin atau batuk. menadah tapak tangan ketika makan biskut agar jangan sisanya bertabur. meletak pinggan di meja tanpa bunyi yang menyakitkan hati. elak mata ke pinggan kawan yang baru menyenduk makanan. saya berterima kasih diasuh bonda untuk selalu tahu mengukur baju di badan sendiri. selalu tahu membawa diri. selalu sedar di mana kita berada dan selayaknya bagaimana kita harus mewakili peribadi. saya malu berada pada tempat yang tidak seharusnya saya berdiri. dan asuhan itu masih panjang senarainya dalam ingatan. saya pulang ke riba bonda hujung minggu ini. konon mahu merai hari ibu, yang rupanya minggu hadapan! ah, yang penting tangan tuanya dapat dikucup dan saya dapat memohon ampun!
Image
Sekali lagi untuk penganugerahan tahun 2011, kami mahu meraikan penerima Hadiah SEA Write. ia tanda menghargai. ia tanda kami cintakan kesusasteraan Melayu. syabas kepada mahasiswa saya yang kenal erti bersyukur, berterima kasih. acara ini berlangsung di Dewan Kuliah 3F201, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM. jumpa ya!
Image
Mengapa saya suka ke masjid? di sanalah ruang yang melapangkan. ia adalah penjuru yang paling mengamankan, penuh barakah. seperti kata seorang rakan akademik yang sering saya dakap dan bersalaman seusai berjemaah, ini bukan tempat pelarian, sebaliknya ia perlindungan. o Allah. kami memohon perlindungan daripada segala jalan yang salah. kami memohon dipelihara selalu hati kami yang cuai. kami memohon iman  saat hasutan angin datang mencelah. o Allah, ampunkan kami. ampunkan kami. ampunkan kami!
Image
Ia menjuruskan lorong matlamat. ia menghamparkan kesediaan. ia menawarkan keheningan.   ia membawa kita begitu dekat dengan Rasulullah. saya turut melihat antara si pemanah dan sasaran adalah sebuah taman syurga yang begitu diidamkan setiap orang untuk duduk lama seraya memuji-muji Pencipta nan Agung. 
Image
Pada hari yang sama, kita ditemukan dengan dua rasa yang saling bertelingkahan. suka dan duka. ria dan gulana. begitulah, siangnya kami meraikan pasangan mempelai dan lewat petang kami sudah berada di wad hospital, menziarahi yang ditimpa kecelakaan. saya jadi begitu insaf dan bersujud panjang di penjuru masjid lewat maghrib. Allah membentangkan kedua-duanya untuk saya berterima kasih atas asuhan untuk bersyukur dalam apa juga suasana - saat hati diduga rawan, jiwa diamuk haloba yang besar atau tiba-tiba bahagia datang sebagai takdir. alhamdulillahi rabbil alamin...  
Image
Saya baru sedar, bukan hanya diam yang akan menjawab banyak soalan tentang apa yang tidak jelas, tidak faham, tidak tahu bagaimana ia harus diluahkan. bukan hanya diam. ya, saya melihat pergi jauh daripada segala yang tidak itu menemukan dengan beberapa lorong. ia bukan pelarian. sebaliknya juga bukan alasan. kerana saya tahu di titik yang jauh itu akan menawarkan satu perenungan yang berbeza, yang baru, yang lain tentang tidak . mudah mudahan saya sampai ke titik itu dengan seribu rasa syukur. untuk seketika ini, saya ucapkan semoga kita bertemu kembali. bertemu semula dengan hati yang lapang dan aman. bukankah al mu'min: 21 sudah mengingatkan tentang perjalanan yang membawa kita memerhati bagaimana kesudahan orang yang terdahulu?
Image
Acara menarik yang saya mahu ikut! namun sayangnya, saya berada di luar kampus pula. alahai :-( perbincangan, pameran dan persembahan rebab akan diadakan di Makmal Pengajian Melayu dan dataran DK3B301 Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM  pada 27 April 2012.
Image
Sekali lagi, mahu sangat hadir, malangnya tidak dapat sertai!
Image
... kalau tasik ini masih jernih kau akan dapat melihat bayang-bayang jiwaku sampai ke dasarnya. ...                      (kalau tasik ini) Ini hadiah istimewa untuk kami sewaktu meraikan hari lahir Muhammad Haji Salleh. terima kasih guru.
Image
Di setiap masa nampaknya selalu ada saat yang tak mudah untuk berbicara, tapi tidak gampang untuk diam. Kita tidak tahu pasti bagaimana persisnya kata-kata akan diberi harga, dan apakah sebuah isyarat akan sampai. Di luar pintu, pada saat seperti ini, hanya ada mendung, atau hujan, atau kebisuan, mungkin ketidakacuhan. Semuanya teka-teki - Goenawan Mohamad -
Image
Saya ke utara untuk meraikan ulangtahun mahaguru saya,   Prof Emeritus SN Muhammad Haji Salleh . sudah sekian lama saya tidak ke majlis hari lahir, apalagi yang hadir sama adalah Anwar Ibrahim!
Image
Saya terbaca petikan yang lebih kurang begini bunyinya di fb: bagusnya dalam diam, kita semakin mengingat, semakin merindui.  seperti yang saya catat sebelum ini, diam sangat menawarkan banyak ruang - untuk mempertimbang, mewaraskan dan menjernihkan. ya, sejak pulang dari pejabat menghampiri pintu senja tadi, rumah kami terlalu sunyi. saya tiba-tiba jadi dungu. benar, saya semakin mengingat, merindui Alif Matiin yang sudah jauh di kampung memenuhi cuti hujung minggunya kali ini.  dan saya menangisi diam ini di hujung solat maghrib, sendiri...
Image
Beberapa hari ini saya cuba mendapatkan hadiah untuk seorang guru yang istimewa sempena hari lahir. sebenarnya saya tidak mengingati tarikh-tarikh kelahiran saudara terdekat, sahabat mahupun kenalan. namun saya menyimpan sebuah buku kecil dan mencatatnya.   jika  buku itu hilang,  kemungkinan besar saya lupa! atau sekarang bagi yang menganggotai fb, takwim hari lahir akan ditampal.petang tadi saya temukan hadiah yang saya rasakan sesuai. ah, sukar rupanya untuk mendapatkan sesuatu sebagai tanda ingatan, kenangan dan selebihnya penghargaan untuk seorang guru. ia pasti sahaja tidak sepadan dengan harga budinya, jadi saya iringi doa tulus, semoga guru saya itu disayangi dan diampuni Ilahi.  
Image
Mahu hadir, tapi tak dapat hadir!
Image
Terima kasih kepada pengarangnya. saya dikirim novel baru Marsli NO , sahabat penulis yang saya kenali sejak bergelar mahasiswa.  membaca judul provokatif ini, entah mengapa saya membacanya dalam ruang di sebuah gua persahabatan. wujudkah penderhaka dalam gua itu? berlakukah penderhakaan dalam persahabatan? pernahkah seorang rafik tiba-tiba bertukar nama yang sama sekali tidak pernah  terdugakan? sehingga akhirnya ada yang menjadi malu, gelihati, sedih atau terus mahu berdiam diri. oh, memang berlaku penderhakaan dalam gua itu rupanya! saya tahu, berdiam diri seketika, berpindah ke negeri sunyi, akan menjernihkan rasa dan memautkan saya kepada kewarasan. dengan izin-Nya, mungkin nanti saya akan bersuara, semula.
Image
Diam dikatakan sangat membantu  dalam banyak urusan agama. ia menjernihkan fikir dan jiwa. ia membikin segalanya jadi rapi dan berhati-hati. lebih banyak ruang untuk mempertimbangkan. lebih banyak saksama yang dapat dijuruskan. bunyinya, diam itu seperti sahabat yang baik. adakah itu yang saudara temukan dalam diam?
Image
Hari ini saya belajar untuk menghormati hak orang lain yang tidak harus saya miliki sama sekali. jangan haloba dan mahu merangkul semua yang ada. sebaliknya berbahagi apa yang saya punya, memelihara kesaksamaan  dan rendah hati saat melihat begitu banyak rezeki di hadapan mata. begitu kemudian saya menimbangkan kepada siapa rezeki itu harus diperpanjangkan. segalanya saya baca ketika pintu itu terbuka...
Image
Bagaimana cara saudara menghulurkan kad nama ? menggunakan satu tangan? adakah ia diiringi keikhlasan dan ia mewakili peribadi saudara? saya belajar cara menyua kad nama yang tulus dari seorang teman di Guanzhou. hulur dengan kedua-dua tangan dan kedudukannya menghadap si penerima. hulur ia sebagai hadiah seikhlas persahabatan yang mahu dijalin. xie xie nie, Masq.