Ya, setiap kali pulang ke rumah bonda, saya tidak akan jemu menyelinap ke rak buku dan mendapatkan kenangan yang banyak tersimpan dalam album gambar. rakaman perasaan - riang, sedih, rajuk, marah atau geram dari dalam bilik darjah sekolah tadika, rendah dan menengah hingga ke padang bola jaring saat kami mewakili sekolah dan sewaktu saya mengetuai kumpulan pengawas dengan tali leher merah. sesekali mahu ketawa dengan muka bulat saya yang berkilat atau sekejap kemudian saya sebak menelek wajah beberapa sahabat saya yang sudah kembali ke ruang asal penciptaannya. sudah jauh dan lama saya berjalan, berlari, berhenti kerana lelah, dan kembali lagi berlari. kurang satu dekad saya akan menjadi semakin tua mencecah usia separuh abad. saya kian menginsafi betapa singkatnya perjalanan di dunia dan begitu banyak pula minit, jam dan hari sia-sia yang sudah saya lewati. ya Allah, ampuni saya, kasihani saya dan saya mahu ingin kembali menjadi anak kecil bertudung ikat, memegang muqadam dan rehal, dengan sesucinya hati melangkah ke surau untuk belajar jawi dan surah, sebelumnya berwudhu di tepi perigi...

Comments