Posts

Image
tangga rumah di lereng bukit Usai asar, saya minta Zahar membawa kami untuk ziarah musim lebaran ke sebuah rumah di lereng bukit, dekat dengan rumah kami. jarang sekali saya yang mencadangkan untuk sebarang lawatan sosial begitu.  saya senang untuk duduk di rumah sendiri. membaca buku masakan di penjuru dapur. atau saya lebih senang minum petang di ruang tamu rumah sendiri. jadi rumah siapakah di bahu bukit itu? tuan rumah itu adalah si Faqir, yang pernah saya sebutkan dalam beberapa entri lalu; saya senang sekali mendengar penyampaian ilmunya dengan tutur bahasa yang rapi,  setiap pagi minggu di surau kecil kami. masya Allah.  saya dapat rasakan kebenaran kata-kata, duduklah dengan orang soleh . saya dapat berbahagi harumnya sejak melangkah masuk ke tangga rumahnya dan saat mengucapkan salam sebelum kami pulang ke rumah. sekian lama saya hanya mendengar suaranya seperti hamba yang selalu mengharapkan kasihan Allah. suara yang selalu merintihkan b...
Image
    Sekali lagi saya mendapatkan tiga buah rakaman biografi menarik ini. dua daripadanya didapati dari sebuah pameran buku persidangan yang saya hadiri minggu lalu. sementara sebuah lagi saya dapatkan dari penulisnya sendiri. pasti sahaja ketiga-tiganya saya hadiahkan kepada si peminat utama bacaan biografi di rumah kami. ya, ia hadiah hari lahir buat Zahar.     Saya mencatat kembali baris dari rangsangsari salah sebuah buku: kata orang dalam politik tiada musuh yang kekal, dan tiada kawan yang kekal, tapi pada pandangan saya mesti ada prinsip-prinsip yang kekal sama ada dalam bidang perundangan mahu pun politik. buku ini adalah sempena ulang tahun kelahiran ke-70 susuk yang diraikan.   Mengapa 70 sering dijadikan angka ajaib untuk kebanyakan penulisan biografi seseorang tokoh? saya ada menyimpan beberapa buku lain yang mengabadikan angka yang sama...
Image
Ya Allah. mudahnya mulut atau hati saya menyebut hasbunallah wa ni'mal wakeel. lancarnya konon saya memujuk hati sendiri.  cukuplah Allah bagiku, bahawa Allah  sebaik-baik penolong. ya Allah, sedalam mana makna itu mahu saya akui sebenar-benarnya? sedang setiap kali keangkuhan menyelinap masuk, setiap kali kehalobaan berlumba-lumba mahu duduk dalam mana sahaja ruang yang boleh. ya Allah. saya tidak mahu berpura-pura. bantulah saya untuk berikhlas hati. bantulah saya. foto ini saya rakam sewaktu bertugas di luar daerah hujung minggu lalu.
Image
Masih ada lebaran, saat saya kembali masuk ke pejabat setelah bercuti panjang (cuti raya, keluar persidangan dan keluar penyeliaan). banyak kad dalam kotak surat termasuk kartu hari raya dan undangan perkahwinan. keghairahan mengirim dan menerima kad ternyata tidak seperti dahulu. tahun ini saya hanya membeli dan mengirim dua keping kad ucapan lebaran. dan suasana membelinya di kedai buku kampus, sangat hambar. berbeza sama sekali waktu saya remaja dahulu. ternyata zaman sudah terlalu banyak berubah. foto adalah antara kad di atas meja kerja saya. terima kasih atas ingatan! 
Image
  Saya banyak mendengar cerita perbalahan antara saudara. antara adik dengan abang. antara kakak dengan saudara lelakinya yang lain. malang? kadangkala saya melihat mereka seperti anak kecil yang sering mahu saling mencakar namun sekejap itu mereka saling ketawa dan menangis lagi. saya tidak mempunyai kakak, abang mahupun adik. hidup sendiri tanpa saudara kandung membuat saya pernah cemburu untuk punya perasaan saling mengasihi. saya pernah memberitahu Zahar, andai kata saya punya adik, banyak yang saya mahu berbahagi dengannya. alangkah! dan saya menemukan foto indah ini (rujuk Going Places Ogos 2013) sewaktu dalam pesawat untuk tugasan di Pantai Timur. alangkah saya dapat membuat adik  mendakap saya begitu erat!
Image
Minggu lebaran yang padat! 7 hari pertama, masa untuk bersama keluarga di Temasek dan ahli rumah omak mertuo den. 7 hari kedua, saya menghadiri persidangan dan kerja di luar daerah. lebih kurang 7 hari campur 7 hari lagi syawal akan berakhir dalam suasana kembali ke pejabat sebelum semester baru tiba lagi. masa begitu cepat meninggalkan dan ia sering membuat saya terpinga-pinga: apa yang sudah saya perbuat untuk manfaat selain saya.
Image
Zahar genap 42 tahun hari ini. saya berdoa bersungguh-sungguh agar Zahar terhimpun dalam golongan kanan, golongan yang dimuliakan, ashaabul maimanah, seperti yang selalu saya baca sebelum subuh lewat surah al Waqia. golongan yang berada antara pohon bidara yang tidak berduri. semoga ia dalam perkenan Ilahi.... foto yang dirakam adalah susunan bunga kertas ungu yang dipetik Alif Matiin dari taman kecil kami. sangat serasi mewakili perasaan  untuk lelaki yang kami cinta!
Image
Apa khabar? bagaimana lebaran saudara? adakah ia selayaknya diraikan dengan apa yang sudah dilalui sepanjang sebulan Ramadhan? Allah. Allah. Allah. semoga semangat Ramadhan masih bersama kita. qiyam masih diteruskan. makna dan tafsir  al Qur'an masih  menjadi bacaan pertama untuk memulakan hari. tahniah bagi yang sudah hampir menyelesaikan puasa sunat syawal. saya belum lagi, insya Allah akan mulakan segera.  Ini foto di satu penjuru rumah guru yang masih terus dikenang dan banyaknya jasanya. seperti lebaran lalu, pasti ada kenangan manis yang dirakam. tahun ini saya bertemu kembali Puan Norlin Low dan suaminya, yang juga guru kami, Cikgu Mohd Nor. doa saya semoga asuhan yang diberi membawa mereka ke syurga.
Image
Image
perpisahan Beberapa pagi yang redup dengan matahari yang seakan mahu terus bersembunyi. dan ia merupakan petanda yang kita hampir ditinggalkan. dan kita akan merindu lagi dan sangat mendoakan ada pertemuan sekian kalinya pada tahun hadapan. saya juga sudah bersiap dengan doa yang sangat awal ini, semoga bertemu lagi dengan malam seribu bulan untuk tahun berikutnya. ya, perpisahan akan selalunya membuat kita mahu menangisinya. apatah lagi yang pergi itu bersifat begitu melindungi lagi mengamankan kekusutan. yang pergi nanti selalu menjadi pembela yang begitu diharapkan. yang pergi itu selalu membawa buah tangan kemuliaan. tidak mungkin saya tidak menangisi akan pemergian ini. pemergian yang saya tidak tahu akan kembali lagi; yang mampu hanya saya meneruskan perjalanan dengan kaki kecil, ya saya cuba bertahan...   
Image
Tiga amalan dalam mencari malam seribu bulan yang dicadang ustaz dalam kuliah ramadhan ialah solat, membaca al Qur'an dan berdoa . ia semoleknya dilakukan dengan penuh keimanan dan berharap semoga Allah redha dengan apa yang dilakukan. menikmati al Qur'an bukan hanya bertadarus, bukan hanya  membaca apa yang diterjemah, lebih elok menghayati apa yang ditafsir. maka saya fikir ia adalah amalan yang berpanjangan, bukan hanya dilakukan dalam Ramadhan yang hampir meninggalkan. antara lapis doa, selitkan permohonan ini, Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah aku pengampunan. semoga kita dikasihani!
Image
sahabat baik   Pernahkan saudara merasakan, Ramadhan itu seperti sahabat baik?  Ramadhan begitu dinantikan kehadirannya. ia mengasuh saya menjalani empat minggu ini untuk menjadi lebih baik. ia selalu membawa saya ke ruang pembersihan.  ia mahu saya meneruskannya selepas ini. ia melarang kejahatan daripada singgah. ia begitu melindungi. saya dapat merasakan keselamatan dan kasih sayangnya yang luhur. begitu baiknya Ramadhan. sanggupkah saya melepaskan saat ia mahu pergi, dan kesedihan itu seperti sahabat baik yang meninggalkan. ya, jadi benarlah, Ramadhan adalah sahabat baik saya.
Image
    Allah. Allah. Allah. kita sudah berada di fasa ketiga; sepuluh malam terakhir yang dinanti-nanti. adakah saudara merasa debarannya? samakah debarnya saat menyambut datangnya Ramadhan? adakah yang ini lebih lagi? cemasnya jika terleka. terkilannya apabila tidak terjaga. malangnya jika banyak masa berlalu begitu sahaja dan apa yang dikerjakan tidak dilihat Allah sebagai ibadah. wahai Zat yang Maha Melihat, kasihanilah kami meneruskan kemanisan berzikir mengingati-Mu. semoga dengannya kami lebih bersyukur.
Image
Ramadhan dan kepulangan Seminggu ini sekejap sahaja meninggalkan saya. minggu bekerja yang pendek, apabila cuti umum pada hari jumaat untuk 17 Ramadhan. sepanjang minggu dengan bengkel penyelidikan, saya sempat menziarahi sahabat akademik, Dr Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali,  yang kehilangan anak sulungnya Hasnul Imran Saidi, 17 tahun, akibat kemalangan jalanraya. sebak melihat tiga sahabat sekelasnya yang datang. dengan hati tulus mereka mengucap takziah dan menyampaikan kesedihan. banyak babak imbas kembali dan mula menyedari kewujudan di hadapan mata  selama ini. untuk pertama kali saya melihat Intan menangis, selama ini Intan hanya dikenali sebagai sahabat yang sering ketawa hampir di setiap hujung bicara. seraya mendakap Intan sebelum pulang, saya berbisik, sabar dan solat. Allah!
Image
Apa khabar Ramadhan saudara?     alhamdulillahi rabbil alamin , ia berjalan seperti yang dijadualkan. namun jika masih ada celanya, insya Allah ada enam belas hari lagi untuk kita memperbaiki, memperelok. saya sendiri berhadapan dengan banyak sandungan dan gendala. ia pasti membuat saya sedih dan kecewa. saya sudah berikrar untuk jadikan ini Ramadhan terbaik. semoga malam seribu bulan saat malaikat menyertai Ramadhan  dengan cahayanya, dapat singgah di laman qiyamullail kita. ya Allah, kami sudah meminta sekian panjangnya masa, mohon ia direstui!
Image
Allah. Allah. Allah. Ramadhan sudah masuk fasa kedua. fasa maghfirah. fasa pengampunan. semoga kita sudah melalui fasa pertama dengan berterima kasih atas rahmat Allah, kita diberikan tambahan masa untuk dapat bersama Ramadhan lagi tahun ini. semoga kita sangat bersyukur apabila diberikan pencerahan untuk meraikan Ramadhan kali ini dengan perancangan sebaiknya. semoga dalam fasa rahmah itu saat semua pintu syurga dibuka,  kita menjadi hamba Allah yang dalam keberuntungan. mengapa beruntung? kerana kita mahu termasuk dalam himpunan hamba yang diberi pengampunan, diterima puasa dan perbuatan baik sebagai ibadah. Allah, ampuni kami!
Image
Amina   Kami mengikuti Australian MC 2012, kali ini dengan tumpuan pada peserta kacukan Mesir-Korea, Amina el Shafei. bukan hanya kerana penampilan, wajah Melayu atau agamanya, tetapi keriangan dan persahabatan luhurnya. jururawat kanak-kanak ini seperti kebanyakan peserta lain, menyimpan impian berbahagi dengan adiknya, Eman, untuk mempunyai sebuah restoran sendiri.  alangkah banyaknya impian yang kita rakam dalam hati. alangkah banyaknya kita mahu berdoa untuk sampai ke titik hasrat itu. pernahkah saudara tak henti-henti mahu berdoa dan berdoa. ya Allah, inilah ramadhan, saat iftar, saat sujud, saat luruhnya hujan, antara azan dan iqamah, saat tibanya jumaah, saat kita dapat berselisih dengan malam seribu bulan. saat makbul doa! saya mahu terus berdoa dan ia bukan hanya lewat sujud panjang! 
Image
iftar Alif Matiin sudah dapat berpuasa penuh tahun ini. alhamdulillahi rabbil alamin. iftar hari pertama dapat berpuasa penuh, sebak melihat anak saya menyuap nasi. ternyata waktu itu saya melihat dia sangat menghargai menerima rezeki dari Allah. ya, saat iftar cubalah nikmati apabila tegukan air pertama yang membasah kerongkongan. atau kurma yang perlahan-lahan dimamah, sarinya masuk ke ruang mulut yang kering. ya Allah, betapa kami jarang berterima kasih. betapa kami selalu lupa banyaknya yang kami terima. ya Allah ampuni kami. maafkan segala khilaf dan dosa yang kami lakukan dalam kejahilan dan tidak kami sedari.
Image
        Ini juga ilmu baru waktu kuliah dhuha ustaz. Makan iftar Rasulullah sama ada ruthab (kurma basah) atau kurma kering atau seteguk air. kemudian disegerakan solat maghrib. Allah! saya cuba ikut adab Kekasih Allah ini!

Ramadhan Kareem!

Image
Salam Ramadhan al mubarak! Saya dimaklumkan, setiap kali kita menerima ucapan Ramadhan kareem (Ramadhan yang mulia), ia harus disambut dengan Allahu akram (Allah lebih mulia). sangat berbahagia, dalam bulan Ramadhan ini apabila dapat duduk walau sebentar dalam majlis ilmu agama. dalam salah satu kuliah, ustaz memulakan dengan soalan, apa tanggapan kita terhadap kedatangan Ramadhan. antara kita mungkin ada yang tidak merasa apa-apa setiap kali Ramadhan tiba. Ramadhan atau tidak, kita masih sibuk dengan kerja dan rutin. atau ada yang menunggu-nunggu kerana ini saat membuat keuntungan di bazar Ramadhan. atau ada yang suka berpuasa untuk merampingkan badan. Allah. Allah. Allah. apa makna Ramadhan di hati saudara?

Malaikatkah?

Image
Saya membaca buku Prof Kamil yang masyhur tentang perjalanan rohaninya ke Tanah Suci, Travelog Haji . ia buku yang memandu saya dan Zahar sewaktu kami berhadapan dengan plot sebenar bergelar hujjaj. catatan Prof Muhd Kamil Ibrahim, banyak jemaah  yang menjadi malaikat pada musim haji.  ia bermakna tiba-tiba akan ada seseorang yang muncul memberi laluan, menghulur tangan atau membuka ruang untuk berdiri solat dalam lautan manusia. waktu itu seluruh syukur dengan lintasan hati, malaikatkah itu yang membantu saya? atau sebenarnya ada sahaja pertolongan Allah diturunkan buat kita dalam ketidaksedaran atau ketidaktahuan. alhamdulillahi rabbil alamin, ya saya baru saja didatangi malaikat...

Gotong royong

Image
Saya ingat amalan ini sudah berlangsung beberapa tahun. kami mengemas rumah untuk menyambut ramadhan. ia diadakan pada hujung minggu sebelum satu ramadhan muncul. ya, hari ini. tukar langsir. tukar susunan perabot dan hiasan dinding. menyapu. mengelap lantai. membuang habuk. menggilap segala perkakas kayu kayan yang ada. saya fikir ini soal mendapatkan ragam jiwa, mood . apabila semuanya dirapikan, insyaAllah jiwa juga rasa kemas dan berkeyakinan untuk meraikan bulan mulia yang sangat dinanti-nanti. doa juga sudah dipasang awal. semoga inilah ramadhan terbaik. semoga ini bulan yang banyak mengasuh hati yang rusuh. semoga bertemu dengan malam seribu bulan. semoga Allah mengasihi dan mengampuni... amin!

Hari-hari Terakhir Seorang Seniman

Image
Minggu yang sarat dengan pelbagai kerja. bengkel penyelidikan sepanjang lima hari yang harus diselang seli dengan mesyuarat, memantau kerja akhir jurnal dan seminar. untuk sekian kali saya membaca Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman,  novel pertama SN Anwar Ridhwan. kali ini dengan kerja penyeberangan genre ke filem, saya kian akrab dengan lelaki tua, si penglipur lara.  lelaki yang bersidi sakti. lelaki yang banyak kehilangan  dalam hidup, antaranya wanita dan tradisi. saya terlalu mengasihaninya....  

Mengenang nenda

Image
  Saya baru sedar, sejak hari ini kerja new post harus dimulakan dengan mengisi kotak judul posting . jadi mulai hari ini, tiap entri saya akan diberikan nama. hari ini tajuknya,   mengenang nenda. ya, siang tadi, saya hampir mahu menekan nombor telefon nenda seperti selalu saya lakukan ketika nenda masih ada; seperti selalu, waktu saya memerlukan semangat merahnya. o nendaku, bukankah kita semakin jauh. dan ternyata, saya terlalu rindu ....
Image
  Bilakah kali terakhir saudara menekup muka dengan seluruh jiwa raga saudara dalam penyerahan kepada Allah, sesungguhnya bertaubat. ya, bilakah kali terakhir kita berbuat demikian? dinihari tadi? lewat malam tadi? atau ia berlangsung setahun lalu saat ramadhan mahu mengetuk pintu. bulan syaaban ini, beberapa kali saya mendengar ingatan demi ingatan, agar segalanya dibersihkan sebelum mendakap ramadhan dengan jiwa yang luhur dan tulus. mohon ampun kepada ibu bapa, suami, isteri, tetangga dan sesiapa sahaja. tapi pernahkah pula, ada dinding tebal begitu menghadang daripada kita mendapatkan kemaafan itu. ya Allah, dalam kesukaran dan lelah, ampunilah kami. pandanglah kami dengan rahmat-Mu....
Image
Walau sudah semakin berumur, saya masih teruja apabila menerima hadiah. apalagi yang dikirim lewat pos. macam zaman anak-anak dahulu. terima kasih kepada sahabat saya, Z, yang nyata saya selalu dalam ingatannya. terima kasih atas hadiah ini. ya Allah, saya doakan Z dirahmati di sini dan di sana. dua buah buku Hidayah Amin ini, banyak membawa saya kembali, kehidupan dunia kecil saya di Singapura lebih tiga puluh tahun lalu ...
Image
kari ketam   Saya selalu harus minta maaf daripada Zahar kerana perlu bertanya hadiah yang diimpikan sempena hari lahir, ulang tahun perkahwinan atau hari bapa. berbanding saya, Zahar sering tahu apa yang saya mahukan. Zahar seperti menyimpan senarai panjang hadiah untuk saya. tapi satu yang sangat saya tahu, Zahar sukakan masakan saya. jadi hadiah yang saya pasti akan menggembirakan Zahar ialah apabila saya memasak pada hari istimewa yang dirainya. ahad lalu, saya menyediakan kari ketam (tidak sempat rakam gambar, tapi rupanya lebih kurang seperti dalam foto). ketam yang padat dan manis isinya. Selamat Hari Bapa, terima kasih atas kasih sayang dari kami!
Image
Syaaban kali ini saya sambut dengan banyak keinginan. saya mahu bersedia awal untuk ramadhan. malam seribu bulan mula saya masukkan dalam senarai doa. mohon kesihatan yang membolehkan saya berpuasa tanpa migraine dan gastritis. harapan agar tarawikh saya dimanfaatkan sebaiknya. kesabaran dapat saya lunakkan. saya sudah pastikan doa khusus setiap hari sepanjang ramadhan ada dalam note. begitu diet rejab-syaaban mahu cuba dikekalkan dan itu bermakna sekali lagi tidak ada bazar ramadhan buat kami tahun ini. memilih satu atau dua projek penulisan yang harus diselesaikan menjelang syawal. namun dalam menyusun jadual ramadhan ini, saya seperti membaca antara baris, sesuatu yang saya inginkan tidak tertulis. ia seperti tidak dapat dinyatakan meskipun hasratnya hampir di garis pintu. Allah. saya tidak tahu takdir apa yang menunggu saya sebentar lagi saat saya merapikan jadual ini. hanya saya terus bermohon Allah juruskan jalan kebaikan, jalan kebenaran untuk ke sana...
Image
Saya membaca surah al Mulk untuk   memulakan hari. tiga puluh ayat yang sangat mencengkam. salah satu ayatnya tentang burung. dan apakah mereka tidak memerhatikan burung-burung yang mengembangkan dan menutup sayapnya di atas mereka? tidak ada yang menahannya di udara selain Yang Maha  Pemurah. sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu.  ia membawa saya kepada salah sebuah kajian mahasiswa saya tentang hubungan alam sekitar dengan puisi; burung dan puisi.  seminggu ini, saya menjalani hari-hari yang begitu cepat berlalu. dengan kerja penyeliaan tesis mahasiswa yang hampir menamatkan pengajian dan mencelah sama mesyuarat tergempar, membaca dokumen yang perlu disunting di samping laporan yang tertunggak lama. oh alangkah jika saya punya sayap!
Image
juang   Semalam kami membuka mesyuarat dengan membaca ayat pertama surah al Isra': Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari al Masjidil Haram ke al Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. betapa perjalanan Muhammad tercinta, isra'~mi'raj,   mengasuh kami untuk selalu mencari sumber kekuatan baru setelah datangnya kesedihan (kepulangan Khadijah dan Abu Talib) untuk berjuang dengan lebih berani dan percaya akan arah jurusnya.
Image
  Saya mula mengenali Hani lama dulu menerusi ayahnya, Cikgu Abu Hassan Morad; yang pernah menjadi guru penulisan saya dalam sebuah bengkel di UKM. siapa sangka takdir menemukan kami.  saya dan Cikgu Abu (bersama Dr Kamariah Kamarudin) dalam panel yang sama di Wawancara Sofa Putih ITBM bulan lalu sempena Pesta Buku KL. minggu lalu saya mengundang Hani ke bengkel penyelidikan kami di Bangi. Hani bercakap selepas kami membedah bukunya ini (foto). selang beberapa hari Hani, Dhiak dan Darda' menjadi tetamu istimewa hujung minggu di rumah. begitu takdir yang membahagiakan dan membuat kita sangat bersyukur!
Image
Kerja penyelidikan kami yang sedang berlangsung selama dua tahun ini adalah mengenai kanak-kanak, kesusasteraan dan kreativiti. menariknya, setiap kali membincangkan persoalan ini, banyak kisah sendiri semasa kecil dibawa masuk. bagaimana  kanak-kanak membaca sikap manusia dewasa, bagaimana kanak-kanak mula tahu berbahagi perasaan dengan buku atau bagaimana mereka menyelinap masuk dalam pertelingkahan hidup dan ia menumbuhkan catatan dalam diari. alhamdulillahi rabbil alamin . beberapa makalah dapat dihimpunkan.
Image
    Permulaan yang baik untuk Alif Matiin. semalam Master Bala mengumumkan tali pinggang kuning untuk Matiin. tahniah! kejayaan yang harus diraikan! yahhhhh!!!
Image
Saya percaya semua pelanggan mahu mendapatkan perkhidmatan yang mesra dan baik. ibu saudara saya pernah terlibat dalam bidang perkhidmatan kaunter di Singapura. ceritanya,  ada tiga langkah meraikan pelanggan ~ hello-promosi-terima kasih ~  pelanggan harus selalu disapa; tidak perlu berlebih-lebihan sebaliknya kita rasa disambut. memperkenalkan produk syarikat tidak bermakna harus mendesak pelanggan membeli. dalam banyak situasi urusniaga berlangsung kerana budi bahasa tatausaha syarikat. dan malang sekali di sini, kita jarang menerima salam terima kasih. sebaliknya kita yang membeli ini mengucapkannya. mengapa saya menulis ini? ya, pengalaman awal pagi jumaat yang menjengkelkan apabila saya disergah tatausaha stesen petrol yang bukan rakyat tempatan. perkhidmatan awam kecil yang jarang-jarang  diminta, sebaliknya saya disambut dengan nada separuh angkuh,  "minyak isi sendiri!" ouch! saya tahu akan r...
Image
Sejak meraikan Rejab, peti sejuk kami selalu akan menyimpan semangka... ya, nama lain yang sering saya gunakan untuk tembikai. Zahar sudah pandai memilih isi yang merah dan manis. berbahagi semangkuk semangka bersama Zahar dan Alif Matiin, kami akan bercerita bagaimana saat Rasulullah mensyukuri tiap bilah tembikai yang melepasi dahaga dan perih; antara himpitan bukit gurun dengan azam perjuangan agama Allah. ya, ini antara buah-buahan kegemaran Kekasih Allah.  kami  merindui Rasulullah dalam nyaman sari semangka pada musim panas begini...
Image
Kenangan ini lama bertahan. awal pagi, kami  akan singgah bersarapan di kedai kopi belakang blok 74, rumah pangsa atuk dan nenek. Melati dan saya seperti ditarik dengan tali, akur berjalan dalam dingin pagi dan duduk diam antara keriuhan suasana semua orang mahu mendapatkan air panas sebelum memulakan hari baru. kami akan selalu memesan teh, telur separuh masak yang dicecah dengan roti bakar berinti kaya. nenek akan menuangkan minuman kami yang masih berasap ke ceper yang agak melengkung. sementara menanti teh sedikit reda, kami akan mendengar pesan-pesan dua orang yang tercinta dalam hidup kecil kami itu, supaya berhati-hati dan rajin belajar di sekolah. ya Allah tidak  mungkin Melati dan saya dapat melupakan babak itu, melihat garis garing roti bakar dan asap tipis teh mahupun serbuk lada sulah yang mula larut bersama renjisan kicap dalam mangkuk telur. ya, tidak mungkin kenangan itu akan meninggalkan kami walau atuk dan nenek sudah sema...
Image
Beberapa acara sastera yang saya hadiri, tapi baru hari ini sempat dirakam di sini. Sofa Putih di ITBM sempena PBKL pada 2 mei. Mesra 6 Penulis Wanita anjuran SEBUDI di Jeumpa d'Ramo, Bangsar. dalam acara kedua, kesyukuran yang besar saat mendakap kembali adinda Naina @ Yuhastina Naina Sinaro  sahabat dari Balai Melayu , Jogjakarta. datangnya menemani Dr Aris Arif Mundayat, suaminya yang merupakan antropologis, yang juga saya kenali di Balai Melayu.  wah, pasangan pengantin baru rupanya! dalam diam cinta tumbuh dan mekar. selamat ya dik Na dan mas Aris!  
Image
Di mana agaknya, saya pernah membaca, kasihanilah mereka yang diberi puji-pujian . kerana apa? saya fikir antara ujian yang berat dalam perjalanan hidup adalah ketika kita disanjung. ketika itu kita harus  melindungi banyak penjuru dalam hati. serangan kehairanan dengan kehebatan diri sendiri. keangkuhan sangat mengancam keikhlasan.  kerendahan hati yang sekian lama dipelihara, tiba-tiba berkocakan. hanya sandaran kepada Allah menjadi perisai yang kalis daripada apa-apa saja yang datang seperti gelombang. ya Allah, kasihani saya daripada kemabukan ini kerana selain saya adalah debu yang berterbangan, saya tidak tahu takdir saya esok pagi. ampunkan saya Allah! foto: jambangan bunga buat saya dari Zahar, ahad lalu. saya pajangkan di penjuru dapur kami. terima kasih!
Image
Pada suatu masa dahulu, saya adalah seorang yang sangat berkira-kira dalam memberi. sehingga saya menyedari, saya tidak pernah tinggal daripada berdoa selepas solat  yang bunyinya begini:  Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kegundahan hati dan kesedihan, dan aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas, dan aku berlindung kepada-Mu dari sifat penakut dan bakhil, dan aku berlindung kepada-Mu dari bebanan hutang dan penindasan orang. ya, doa yang selalu kita baca.    memberi   siang ini saya dikirim sebaris ayat yang sangat biasa bunyinya. namun kali ini ia datang dengan dentingan yang sangat mengharukan dari seorang yang berjiwa pemurah. katanya: semua yang ada milik Allah. maka berikanlah. ia kian mengasuh saya untuk lebih banyak memberi dengan tulus. ya, saya tidak punya apa-apa, sesungguhnya ia bukan milik saya. maka, berilah apa yang diterima!
Image
Ini antara petikan pada slide penutup tentang SN Abdullah Hussain yang diperaga mahasiswa tahun satu saya dalam kelas tutorial siang tadi. baris-baris yang tajam, menghunus saat kesan pemilihan tempohari masih berbekas... Kemerdekaan yang sudah dicapai  seperti sebuah gelas kosong lalu semua pihak mahu mengisi gelas tersebut dengan minuman yang disukainya...    
Image
Debar memilih calon pemimpin hampir reda. sekali lagi saya mengundi di kawasan parlimen/dun omak mertuo den . ini musim yang keempat. semakin banyak yang aneh. saya melihat bagaimana manusia berubah angkuh. manusia menggantung impian seperti dia tidak akan pernah mati. manusia munafik. manusia berdusta. manusia jadi begitu bila kuasa merupakan raja. ya, ternyata ia sangat menjengkelkan juga,  kali ini melihat kuku jari telunjuk kiri yang kotor. Alif Matiin yang merajuk kerana tidak boleh mengundi, mengejek saya, jari mummy macam hantu! dan menggesa saya membersihkannya segera.
Image
    Dua buah buku, hadiah saya buat si peminat bacaan biografi di rumah kami! 
Image
Zahar dan Alif Matiin, antara yang sangat tahu betapa saya ini seorang penyedih. saya akan selalu mencari-cari bahu Zahar untuk saya sandarkan pilu atau terharunya saya akan sesuatu rasa yang tiba-tiba menghenyak. saya pernah menangis melihat sebuah rancangan dokumentari anak-anak penyu yang mungil; keluar dari ruang penetasan, membuka kaki pendayungnya yang kecil dan dengan cepat mencari garis air laut. ya Allah, kecilnya dia untuk berada di segara yang sangat luas merentas benua dan pulau.     atau saya selalu melihat bagaimana anak-anak (pastinya termasuk Alif Matiin) mahu berhadapan dengan keangkuhan, kebencian, haloba, kemunafikan atau fitnah yang datang dari sahabat sendiri nanti. tebalkah semangat anak-anak ini  menjadikan Allah dan Muhammad sebagai sumbu kehidupan? ya Allah, cepat saya mengangkat tangan mendoakan semua anak yang ada, ya semua, agar mereka dikasihani dan dilindungi selalu. ah, betapa kasihannya say...
Image
Siapa duga, Alif Matiin mengadu isnin petang usai pulang dari sekolah, sakit  di bahagian atas perut. keesokan petangnya juga. hari ketiga mula diserang demam panas. hasil pemeriksaan dua orang doktor, bahagian bawah kanan perutnya sangat sakit walau disentuh perlahan. menjelang senja hari yang sama, anak saya selamat menjalani pembedahan.  siapa sangka, dengan hanya diberi ubat angin awalnya,  Alif Matiin mengalami  acute appendicitis .  alhamdulillahi rabbil alamin . terima kasih Dr Hassan yang membantu kami dan teman-teman yang turut mendoakan! 
Image
Buku baru kami disunting ketua penyelikan yang saya sertai, Gender dalam Sastera Melayu . turut sama, buku yang yang asalnya dari buku hijau. boleh didapati dari kedai Penerbit UKM dengan harga yang berpatutan!   RM38                                   RM35
Image
Alhamdulillahi rabbil alamin , kami menyudahkan hari pertama bengkel penulisan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka. saya menyenangi para peserta  kali ini yang datang dari pelbagai bidang; dari  matematik, komunikasi,  sains, fizik, seni bina dan kejuruteraan. lewat sujud panjang saya sangat mengharapkan Allah mengikhlaskan hati setiap kami. saya mohon kami akan menulis dengan nama-Nya yang mulia. kami  merakam syukur betapa menerusi penulisan, banyak jalan kebaikan yang Allah juruskan. besok kami akan bertemu lagi dan semoga ada ikrar dari semua peserta untuk menulis selepas ini. sebenarnya ini impian yang belum termakbul; saya mahu kumpulan kecil di kampus, nantinya yang selalu berjumpa lewat secangkir kopi, bercerita tentang karya yang sedang ditangani. dan kumpulan ini datang dari pelbagai penjuru fakulti. tiada batas rasmi, hanya kami menjadi sahabat.  mungkinkah?
Image
 perempuan dan jalan pulang Masih ingat dengan susuk perempuan tua yang banyak kehilangan dalam seluruh hidupnya? ya entri mac 9, 2013. awal dinihari ini saya melihat pesanan bertulis menyampaikan kawat dukacita. dia kehilangan lagi! Allah Allah Allah. kali ini anak sulung yang amat dicintainya pula menjalani lorong itu. o Allah. masih saya ingat antara usikan mereka berdua beranak itu kepada saya, kami adalah kawan baik (best friends). al fatehah buat kekanda Rusihana Ruslan. semoga ia perjalanan pulang yang paling sejahtera... sedang saya sejak semalam berhasrat untuk menziarahi mereka hari ini. saya sangat ingin mendakap perempuan tua itu. dan beginilah takdir kami.