Posts

Showing posts from 2020
Image
  Kita dikurung lagi Sdr. Siri kepungan 14 hari harus dilalui lagi saat memasuki tahun baru. Sesekali saya keluar untuk urusan di kampus, saya dapati jalanraya seperti dulu. Deretan kedai juga dibuka untuk urusniaga. Saya dengar di mall bahu Sdr boleh berlaga dengan bahu orang lain. Sdr, benarkah kita dikurung. Atau adakah erti kurungan itu hanya mengenakan pelitup muka, semak suhu dan imbas kod QR. Adakah  Sdr rasa dikurung?  
Image
  Penyakit baru saya. Datangnya sejak PKP pertama, atau mungkin lebih awal. Sisi baiknya, saya menjadi seorang yang cermat terhadap pemakanan. Saya banyak menimbang-nimbang. Tidak seperti sebelumnya, apabila saya lebih serong mengikut hati. 
Image
Pengakuan jujur, lama saya meninggalkan drama dan filem Melayu. Mengapa? Keluangan. Saya hampir tidak sempat duduk di hadapan kotak tv kerana masa banyak di ruang rasmi dan malam yang pendek buat saya. Minggu ini, saya dapat melarikan diri. Memasuki lingkungan yang jauh dari rutinitas, membuka ruang malam saya lebih lebar. Ya, saya berkesempatan menonton Misteri Mona. Mengapa membuat saya langsung menulisnya di sini. Mungkin saya memang gemar genre misteri, walaupun sebenarnya saya penakut. Biar saya mendahului empat lagi episod yang akan berakhir minggu hadapan. Saya menebak dan mahu mempercayai bahawa Mona itu adalah Anom (ejaan  nama yang dipusingkan juga). Saya melihat Anom dikurung dan dipasung masa lalunya dalam kewujudan Mona. Mainan pengarah, membawakan watak Nadeem, suami yang turut cuba merawat kesakitan jiwa Anom dan jiwanya sendiri. Saya melihat pembikinan Misteri Mona dirumuskan dari kemanusiaan hari ini yang saling bersilang antara kesedaran dengan masa lalu yang mahu h
Image
  Sudah hujung tahun lagi, Sdr. Dan perjalanan tahun ini sungguh besar tantangannya. Bukan sekadar liku dan keluk. Bukan hanya keperitan dan kebingungan. Dan kita menjadi kelkatu, yang sering kehilangan sayap tipisnya. Namun walau menjadi kelkatu, saya seperti tahun-tahun lalu, kembali lagi ke ruang pelarian ini. Menghitung talun angin, menyaksi langit rendah yang kian bercantum dengan garis hijau laut, sambil kaki tua saya bersama-sama pasir yang menunggu takdir apakah selepas ini. Mungkin ada perutusan, di antara laluan ombak dan hening rasa. Ya, perutusan di dalam kaca. Message in a Bottle, antara filem kegemaran saya.
Image
 Selamat datang Sdr Mohamad Kholid Hamzah ke UKM!
Image
  Hari yang bersejarah juga untuk julung kali saya diminta memberikan ucaputama di tempat sendiri. Rasa penghormatannya berbeda jika dibandingkan saat saya berdiri di hadapan persidangan di luar negara untuk maksud yang sama. Ya, undangan POGRES 2020 , saya dapat rasakan sangat tulus. Terima kasih. Maka saya menyampaikan ketulusan juga tentang wilayah kesarjanaan yang saya lihat, yang saya lalui. Melalui naratif kemuning , saya membelah celah dahan, daun dan ranting untuk  membawa khalayak seminar ke banyak wilayah sains sosial dan kemanusiaan termasuk bahasa, komunikasi, sejarah, geografi, psikologi dan pasti sahaja bidang kecintaan saya, kesusasteraan. Mudah mudahan ada manfaatnya. Dan saya dengar ada teman yang mahu mendapatkan kemuning untuk bakal dipajang di laman rumah. Mudah mudahan mewangi terus. 
Image
  Pagar kayu rumah saya ada sebahagian yang mula diminta untuk diganti. Di atasnya berlingkaran ranting, daun dan kudup kesidang. Bersebelahannya juga ada dahan kemboja, dan tetangga mereka adalah kemuning yang sudah pecah pasunya akibat akar yang semakin meliar. Semuanya itu akan terjejas dengan pembaikan pagar yang hampir mencecah belasan tahun. Pastinya saya menangis apabila kemuning dipaksa tarik keluar, diputuskan akarnya untuk dipindahkan ke pasu yang lebih lebar. Sekarang daunnya tidak segar seperti selalu, belum terlihat ia akan berbunga lebat lagi. Sepanjang musim kurungan ini, saya bersama sama mereka pagi dan petang. Semakin saya melihat daun yang kian luruh, saya belajar untuk merelakan. Bodohnya saya untuk tidak memahami makna kesementaraan. Dungunya saya untuk masih mengharap kebersamaan. Saya mula berikhlas hati untuk melepaskan, Sdr. 
Image
  Lucu. Pagi ini saya bersiap di depan skrin untuk mesyuarat. Rupa-rupanya bukan hari ini. Besok. Saya kian merasa menjadi mesin. Menjadi robot. Setiap pagi rutinitasnya, buka skrin dan bersiap untuk online. Ini kelaziman baru jugakah? Saya tersandar. Takut. Sedih. Bimbang. Semua menghenyak saya yang semakin tidak bermaya. Akhirnya, ia tidak menjadi lucu, Sdr. 
Image
 Selamat datang Prof Wiyatmi ke Kampus Hijau kami di Bangi!
Image
  Maaf yang dalam kepada Panitia.  Saya tidak dapat meneruskan pembentangan kerana masih dalam hari mengenang Abah. 
Image
Abah mertua saya berpulang Isnin lalu. Kehilangan yang panjang. Al fatehah. 
Image
  Banyak yang saya belajar dari karya almarhum Pak Malim. Al Fatehah....
Image
  Sejak PKP terbaru ini bermula, saya memastikan meja kerja saya di rumah rapat dekat dengan jendela. Agar saya masih merasakan saya berada di ruang rasmi seperti ruang kerja saya di kampus. Benar, Saudara ini antara isyarat keterikatan saya dengan meja kerja saya di fakulti yang sudah ditinggal lama. Sebak pastinya membayangkan taman kecil, penjuru sajadah, meja yang sering saya raikan mahasiswa datang antara waktu saya menulis atau mencari buku di tempatnya, dan ya hawa bilik yang saya kenal sekali. Jadi sepanjang bekerja di rumah, perihal yang sama cuba saya hadirkan. Sesekali ia tumbuh. Sesekali saya harus mencari arah. Kemudian ia hilang dan saya percaya tak perlu saya mendesah memeriksa mencari lagi. Saya percaya sudah menemukannya.   
Image
  Beberapa minggu ini saya menelaah TAADA - Tanah, Air, Api dan Angin milik almarhum Pak Malim. Banyak yang saya pelajari. Tentang tanah. Tentang air. Tentang api dan angin. Daripada perihal hak, ecotherapy, ilmu pulau dan air, saya sangat dituntun tentang perancangan manusia dan takdir menerusi  api dan angin.  Saya terus mendoakan kesejaheteraan sasterawan ini yang ilmunya mengalir nyaman.
Image
  Dalam kuliah kelmarin, saya bercakap bagaimana gandingan ilham dan ilmu dari al-Qur'an yang sangat membekas dalam jalan kepengarangan saya. Mungkin sudah beberapa kali saya ulang. Saya sering juga sambil itu bertanya kepada sahabat mahasiswa, sudahkah Sdr membuka laman al-Qur'an hari ini. Pasti antara jawapan yang saya terima adalah belum sempat, belum lagi, dan nanti . Saya memberitahu mereka, termasuk Lian, Kez dan Jess, keperluan saya membuka al-Qur'an setiap hari, setiap dini, adalah kerana al-Qur'an menawarkan tiga kemujaraban yang saya perlukan, iaitu syifa, huda dan rahmah . Mengapa? Saya memberitahu mereka bahawa saya sakit, sesat dan sendiri setiap hari. Ya, 3S. Maka saya sangat menghajatkan ubat, arah dan cinta. Ubat yang merawat sakit, arah menuntun petunjuk dan cinta saat saya sepi. Semua itu saya peroleh dari al-Qur'an. Maka saya jadi aneh jika Sdr tidak cuba mendapatkannya, bilang saya kepada mereka. 
Image
  Setiap kali di sini,  pasti saya akan mengingatinya.  Saat merenung si bulan penuh. Saat berada di jalan kebaktian.  Dia selalu akan datang menyuluh. 
Image
Semester ini sahabat mahasiswa baru saya antaranya Kez, Jess dan Lian. Saya teringatkan mereka saat saya mengenang Rasulullah. Pagi ini kami berkuliah di tempat masing-masing dan kami membincangkan perihal ilham. Mendakap 12 Rabiulawal, ya hari  ini, turut merupakan ilham yang bukan kepalang. Saya mengajak mereka bertiga untuk turut mengenali lebih lanjut tokoh yang hangat diraikan hari ini, malah sejak kelmarin. Rasulullah, sosok yang akan selalu dekat dalam dada sebagai bujukan akan semua ragu, gelisah dan hati yang terpanah.  Kez, Jess dan Lian, saya percaya Sdr turut akan terpesona dengannya. 
Image
  Bekerja dari rumah, membuat saya berlama-lama di meja jendela . Ya, ruang saya bekerja dari dini hingga ke malam. Saya senang saat menyeka lelah, saya dapat mendongak ke padang langit dan awan yang sesekali dirayapi sekawanan unggas. Seperti mereka saya ke sana ke sini, sesekali berselisih jalan dengan pengalaman yang mengamankan atau sebaliknya nanti meninggalkan luka yang dalam.  Seperti mereka juga saya mahu sekali menyahut khabar saat semuanya sudah diam dan mendekam. Seperti mereka, saya sekali lagi sedang berlama-lama di sini. 
Image
Oktober hampir penuh. Kelihatannya 2020 tahun yang sangat cepat hilang. Mudah mudahan akan lenyap juga semua nestapa dan bingung yang sukar dimengertikan ini, Sdr. 
Image
Semester yang padat dengan kuliah, seminar, kertas jurnal dan kertas penyelidikan. Belum lagi dibilang mesyuarat, perbincangan dan penyeliaan. Belum lagi dicongak tulisan untuk penerbitan eceran dan buku. Semuanya Sdr, atas talian. Saya harap sekali dapat bertahan dan bersyukur terus. Allah ya Basith, yang Maha Melapangkan jalan hidup. Semoga.
Image
Kuliah saya semester ini semuanya atas talian. Kebanyakan mahasiswa di rumah masing-masing dengan pengurusan masa sendiri. Jadi saya menggesa sahabat mahasiswa, memilih ruang membaca yang serasi. Di sudut mana, adalah pilihan jiwa, Sdr. Kali ini, musim ini, kita punya ruang membaca yang sangat khas. Membaca. Mencatat. Menaakul. Menjalani alur fikiran yang jernih. Nikmati segenapnya. 
Image
Sdr usah terpesona jika mendapati angka pengikut blog saya bertambah. Mereka bukan sebenarnya pengikut jauh sekali peminat. Mereka merupakan sahabat mahasiswa yang mengikuti kuliah saya semester ini. Mudah mereka di sini dan saya mengesan jejak nanti. Mereka juga harus membangunkan blog begini sebagai ruang latihan menulis - hanya beberapa baris namun genap mewakili tiap rasa dan deru indera yang didepani setiap hari. Selamat menulis, sahabatku.  Menulis yang baik dan cantik.
Image
  Semester ini sekali lagi kami berkuliah dalam jaringan yang sangat seni. Berhadapan dengan sahabat mahasiswa melebihi 100 nama, cabarannya adalah kejujuran . Saya tidak tahu samada mereka yang hadir hanya meletak nama dan membiarkan saya bercakap sendiri. Saya beritahu begini, berlaku jujur dengan saya, sedang malaikat membentangkan sayap buat Sdr yang cintakan ilmu dan berada di dalam tamannya. 
Image
Ternyata pelbagai pengalaman berseminar dalam talian dari rumah. Lucu juga. 
Image
  Hari pertama semester baru yang sangat aneh.  Kami harus bertemu dalam jaringan yang dibangunkan sistem. Akhirnya juga tidak jadi bertemu. Benar, semua sudah tidak jadi seperti selalu, seperti dahulu. Seumpama di jalanan, saya akan berlintasan dengan apa yang saya akrabi sebelum ini. Tapi sekarang semua menjadi arah sehala, tidak ada sapa menyapa, apalagi kesalingan. Tiba tiba saya terkurung di sebuah khutubkhanah yang suram dan balam. Sendiri.
Image
  Saya punya banyak rumpun rindu. Antaranya hawa pantai, gema gelombang, deru ombak kecil yang pergi dan datang. Saya anak kelahiran pulau, daerah bawah sedar saya sering menghantar gemuruh laut yang seakan tidak pernah mahu surut. Sejak dulu. Aneh, Sdr. Dia masih berlama di telinga saya. Jadi akhirnya, berselang malam, tidur saya pasti bersama-sama pengucapan tentang samudera yang perlu dieja berkali-kali kerana sering mengundang makna dan teka teki yang bertukar dan nyata bedanya. Benar, Sdr tidur saya dihampiri deru.
Image
  Tempat kerja saya dilawati menteri yang positif C19. Walau saya tidak terlibat secara langsung dengan acara berkenaan, saya mula didatangi ketakutan lebih tujuh bulan lalu. Paranoia. Saya mohon kerja dari rumah besok. Melihat langit yang tidak seperti selalu, ada dengung mantera agar saya melihat garis peta yang dibentur awan gemawan. Ia  membawa debar serentak keliru tentang tangan kuasa yang mengatur banyak suara yang mencapah ke sini dan sana. 
Image
  Benar, saya tidak mencatat entri lebih sepuluh hari dan ia jarang sekali berlaku di sini. Mengapa Sdr? Ya, lebih sepuluh hari ini selain daripada asyik dengan bulan Safar penuh yang tergantung di langit senja, sepuluh hari ini juga saya belajar mendengar. Aneh ya, Sdr? Bulan penuh Safar yang saya renung sepanjang pemanduan pulang dari kampus, seperti menyertai saya. Kami sama-sama belajar mendengar dengan sungguh-sungguh sepertinya selama ini kami tuli. Kami belajar lagi akan bunyi kepatuhan. Kami menelaah dengan teliti lantunan ketundukan. Lalu ruang pembuluh telinga menjadi jalan ke sekolah agar kami tidak lagi culas. Cuba Sdr menebak, kami lulus atau kandas?  
Image
Beberapa kali saya ke Jogja, kota budaya yang penuh dan bersahabat. Namun kali ini luar biasanya saya datang lagi. Daring. Kuliah. Riset. Perbincangan. Penulisan. Penerbitan. Ya, semuanya daring aja. Terima kasih UNY.
Image
Saya dititip kepingan seni ini. Dan ia saya pajangkan di dinding gua kerja. Terrnyata ia amat mengilhamkan, Sdr. Datangnya seperti mahu membawa saya ke suatu  ruangan yang jauh, ke hujung sempadan laut. Di sana kami meninjau banyak riwayat yang pernah rapat dan perginya bersama gelombang di lengkungan langit percaya dan garis sangka.
Image
Kita adalah derap langkah dan ringkik kuda pada siang hari. Sementara malam nanti, kita adalah diri hamba yang penuh ketundukan. Mahu nyaman dengannya. Kita jalani siang dan malam itu dengan memastikan menjadi mulia sebelum mati. Ya, pastikan kita jadi mulia sebelum mati. Ucap guruku malam tadi.
Image
  Ruang pekerjaan saya semakin tidak menghormati hujung minggu atau waktu malam kami. Ada ketua yang mengeluarkan arahan kerja seawal jam 2 dini.  Hasrat untuk menuju kehidupan yang sejahtera hanya merupakan kerangka teoritis jelek yang menjengkelkan dicatat di atas kertas. Sedang sebenarnya apa yang dilalui adalah seluruhnya jalan materi. Saya masih tanyakan, apakah bujukan majikan untuk mengamankan jiwa kami sewaktu jam bekerja, selain daripada melihat angka dan baris statistika. Makanya saya sangat percaya Allah menuntun hati saya mengenepikan kerja yang seperti gunung sekarang, untuk sepuluh hari ini. Saya simpan rasa nyaman dan jernih untuk diri sendiri, Sdr. Ternyata saya merasakannya. Menyitir bujukan Kang Hasan, ubah lelah jadi lillah! Saya tiba-tiba mahu menikmati brulee sama.
Image
Sebelum memulakan kelas, kami ditanya lagi, untuk apa belajar  solah khusyu'. Atau untuk apa kita mendirikan solah. Takutkan neraka? Mahukan syurga? Atau solah kita itu sebenarnya tanda syukur. Kita mahu menjadi hamba-Nya yang selalu bersyukur. Kita solah kerana betapa kita perlukan Allah. Kita solah kerana mahu memuji-muji dan mencintai-Nya. Ya Wahid. Ya Ahad. 
Image
Sepuluh hari ini saya mengikuti kelas malam jarak jauh. Walau lelah terburu antara tugas hakiki di kampus, merapikan rumah, kerja menulis yang tak pernah surut, dan urusan lainnya juga,  saya cekalkan mata tua mengikuti. Persis bujukan Kang Hasan Basri malam tadi, guru baru saya itu, biar jalan ilmu ini menumbuhkan kita jadi lebih baik. Jalan ilmu ini merangkai  ibadah yang masih banyak terpisah pisah. Mudah mudahan jalan ilmu ini walau sekejap, akan menyatukan ibadah yang masih terserak-serak. Seperti kami belajar tentang al Muqit. Betapa Allah itu Memberi Kecukupan dan bukan hanya Maha Memelihara. Allah ya Allah. Akan dipastikan-Nya kita cukup sepanjang pemeliharaan-Nya.  Allah yang Maha Baik. 
Image
  Malam tadi saya melihat si bulan penuh, 12 Muharam.  Antara bayang awan, pada renggang kenangan dan binar yang samar.  
Image
  Muharam yang masih awal. Tanggal 10. Saat yang nyaman untuk menaakul sejarah kemanusiaan  yang banyak berlaku pada kotak takwim yang sama. Hari yang baik juga untuk saya berdiam daripada rutinitas. Menjalani tahun yang baru bermula, sering dipenuhi hasrat dan tekad. Saya pernah berdoa seperti apa yang dimahukan Nabi Daud dalam tangis penuhnya kepada al-Khaliq. Apa mahunya? Kembalikan kejernihan masa lalu padaku , ya Rabb! Sdr tahu apa jawab Tuhan. Permintaan yang sangat jauh, wahai Daud,  tidak ada jalan bagi mengembalikan masa yang berlalu! Saya mahu menyertai tangis Daud juga. 
Image
  Dalam acara Bicara 2020 UUM, kami bercakap tentang Mencari Ibrahim. Antaranya menemukan kami dengan substance bahawa hidup ini adalah pencarian. Ketemu atau tidak, nanti saja difikirkan. Perjalanan pencarian itu yang memberikan perca makna.
Image
  Jumpa besok. Insya-Allah! Terima kasih Dr Tarmizi Hasrah atas undangan ini. 
Image
  Cerpen terbaru saya, Mencari Ibrahim ( Berita Harian, Ogos 16, 2020).  Terima kasih Sdr Hafizah Iszahanid, atas penyiaran. Saya senang sekali dengan ilustrasinya. 
Image
  Saya baru tahu. Di bahagian muka saja, ada 12 saraf yang menguasai banyak suasana. Maha Suci Allah. Satu saraf saja dapat membekalkan rencamnya cuaca rasa. Ya Khaliq, ya Bari!
Image
Kali kedua saya diundang ke Diponegoro, Semarang. Dan kali kedua ini saya bercakap tentang bencana wabah dari ruang rumah sakit. Terasa derita dan makna perutusannya.
Image
Terima kasih Sdr Latifah Arifin atas liputan acara pada 16 Julai 2020 lalu, sempena penganugerahan SEA Write 2018 yang tertunda.  Disiarkan hari ini, Berita Harian 2 Ogos 2020.  Kritikan yang sangat berat untuk saya galas. Terima kasih kepada semua panel dan pemudah cara.
Image
Taqabbalallahu minna wa minkum. Mudah mudahan ibadah qurban Sdr dijawab Allah. 
Image
Tulisan saya tentang SDD. BH Online 26 Julai 2020.   Terima kasih kepada Sdr Hafizah Iszahanid yang menyiarkan. Saya tertinggal satu maklumat penting,   Jurnal Melayu , UKM Bil. 16 (2) 2017   pernah menyiarkan puisi SDD. 
Image
Saya mengikuti acara ini. Dan saya sangat terkesan apabila Menteri Kewangan Indonesia juga turut serta malah membaca puisi. Alangkah di negara saya, menteri dan para profesor merentas disiplin apa pun, bersedia membaca puisi Sang Penyair (yang juga seorang ilmuwan) sebagai tanda hormat dan sanjungan. Alangkah!
Image
Zulhijjah yang terus memimpin saya erti kerendahan hati. 
Image
1 Zulhijjah.  Mudah mudahan 10 hari nanti, Mengingati Allah adalah sahabat dekatku ~ Muhammad Abdullah ~
Image
SDD 20 Maret 1940 - 19 Juli 2020
Image
Saya tidak mampu menulis walau sebilah kata.  Ternyata perginya meninggalkan seribu duka.  Al Fatehah buat SDD, ayahanda saya...