Pengakuan jujur, lama saya meninggalkan drama dan filem Melayu. Mengapa? Keluangan. Saya hampir tidak sempat duduk di hadapan kotak tv kerana masa banyak di ruang rasmi dan malam yang pendek buat saya. Minggu ini, saya dapat melarikan diri. Memasuki lingkungan yang jauh dari rutinitas, membuka ruang malam saya lebih lebar. Ya, saya berkesempatan menonton Misteri Mona. Mengapa membuat saya langsung menulisnya di sini. Mungkin saya memang gemar genre misteri, walaupun sebenarnya saya penakut. Biar saya mendahului empat lagi episod yang akan berakhir minggu hadapan. Saya menebak dan mahu mempercayai bahawa Mona itu adalah Anom (ejaan  nama yang dipusingkan juga). Saya melihat Anom dikurung dan dipasung masa lalunya dalam kewujudan Mona. Mainan pengarah, membawakan watak Nadeem, suami yang turut cuba merawat kesakitan jiwa Anom dan jiwanya sendiri. Saya melihat pembikinan Misteri Mona dirumuskan dari kemanusiaan hari ini yang saling bersilang antara kesedaran dengan masa lalu yang mahu hilang, namun sering datang bertamu. Ada dalam kalangan kita yang tanpa sadar mencipta hasrat yang tidak mungkin sama sekali terjadi. Maka ia akan hidup sebagai bayang-bayang. Cuma saya menunggu apa hubungan Nadeem dengan Fahmi. Bagaimana nasib Leila, kakak Anom dan Tuan Jamal. Saya sambung menonton dan akan masuk tidur lewat lagi.

Comments