Posts

Showing posts from January, 2019
Image
Fobia. Trauma. Ya, selain saya ini seorang penakut. Kerana trauma saya tidak makan lembu bertahun tahun. Kerana trauma A dan A juga saya tidak makan ikan yang sangat saya senangi sekian lama. Dan mulai awal tahun ini saya sudah tidak boleh mengambil ayam, ya kerana fobia juga. Sekarang saya tidak boleh melihat orang dengan lahap menelan ayam. Allah ya Allah. Ada sahabat yang mahu mendapatkan saya ayat penenang hati untuk melupakan semua yang menakutkan itu. Sepertinya saya melihat hantu setiap kali ada yang menitip video atau foto lewat wa, yang membuat saya menangis merinding. Lembaga Penapis di rumah adalah Z dan AM. Saya akan meminta mereka mengimbas dulu. Atau tidak jarang akibat terlalu percaya kepada pengirimnya, apa yang saya lihat membuat saya mahu pitam dan sukar tidur malam. Ini pengakuan dan saya memang penakut walau selalu mencuba jadi berani. 
Image
Hari yang bersejarah juga. Saya menggugurkan nama sendiri secara teknikal daripada senarai editorial Jurnal Melayu . Selama lima tahun, tidur dan jaga bersama-sama  http://ejournal.ukm.my/jmelayu , saya melepaskannya hari ini. Aneh, saya seperti mahu menangis (gembeng, memang gembeng) seperti mahu menyerahkan anak yang disayangi kepada orang lain. Aduhai. Selamat maju jaya kepada pasukan baru JM.
Image
Banyak ketakutan saya dalam hidup. Antaranya adalah mendatangi klinik gigi, ya, walaupun saya sudah tua. Saat saya melangkah masuk, doktor gigi dan pembantunya adalah seperti gergasi yang sedia menanti saya di dalam gua yang tragis. Menjadi tua yang terkait dengan gigi adalah peranan gusi yang memungkinkan gigi itu berpindah randah. Ya, ada gigi saya yang sudah mula bergerak-gerak. Menakutkan. Memang. Sebelum keluar, ada suara seperti gema gergasi yang mengingatkan, jangan lupa gosok gigi sebelum tidur! Saya tidak mahu menoleh. Ia terus menerus mengikuti saya. 
Image
Fake hope. AM sudah pandai menyebutnya. Mummy, jangan selalu buat fake hope. Saya tersandar. Banyakkah janji saya? Sama banyakkah dengan saya memungkirinya? Sejak lama, saya selalu berjanji untuk jadi lebih baik daripada semalam. Dan sekarang, sehingga umur saya hampir setengah 100, saya masih belum dapat menggenapkan janji itu. Kalau AM tahu, harus saya disyarahnya; sepertimana saya pernah mendengar syarahan AM kepada ibu saya lewat panggilan telefon. Kurang lebih begini bunyinya: bertaubatlah, hari kiamat semakin dekat. Bacalah al Qur'an. Saya mengenang AM di maahad. Jangan buat fake hope, mummy. Suara AM bergema seperti talun dalam gua yang saya duduki tempohari. 
Image
Musim gerimis petang, sebahagiannya jadi memihak setiap kali saya memandu pulang. Saya seperti menunggu-nunggu yang menghilang tahun. Menuju belukan dan menuruni cerun tipis, di sana kami akan bertemu. Belum pernah saya sempat merakamnya. Subhanallah. Dan dia terlalu indah untuk dikenang, sebaiknya saya simpan dalam bayangan yang hanya saya kenal sendiri. Nanti mungkin, suatu masa,  walau jauh daripada nyata. 
Image
Jumaat petang lagi. Dan ini Jumaat petang dengan gerimis tipis dan sunyi yang pipih. Sdr sedar, kita hampir menyudahkan bulan pertama yang sarat dengan sekian harapan dan tuntutan. Ya, seawal bulan pertama ini. Rasanya baru semalam atau kelmarin saya melihat cantiknya bulan penuh yang diampai malam malah masih ada di situ saat dini waktu saya memandu menuju kerja. Begitu saban masa, harapan dan syarat hidup terus mengepung. Sehingga banyak yang kita lupa, bingung dan apa yang di hadapan mata hanya ranah kosong. 
Image
Iklan lagi. Sebenarnya ini projek lama yang baru diterbitkan tahun ini. Alhamdulillah syukur. Saya menulis kata awalnya, langsung dianggap sebagai editor. Saya difahamkan begitulah gaya Dewan. Mudah mudahan bermanfaat. 
Image
Selain bantu mengiklan, sebagai penulis kreatif, saya percaya buku ini sangat mengilhamkan untuk dijadikan rujukan berkarya. Tahniah kepada sahabat saya, PM Dr Tengku Intan dan pasukannya dengan penyelenggaraan himpunan cerita rakyat ini. 
Image
Cuti hujung minggu yang panjang, membawa saya ke ruang penyiasatan.  Memeriksa tugasan mahasiswa menemukan saya ke titik keberanian mereka melakukan penipuan. Ya, plagiarisme.  Saya menyedari kepintaran mahasiswa sekarang menyalin dengan menyeberang banyak sungai dan lautan genre. Misalnya bagaimana penghasilan cerita pendek mereka disalin dari drama atau filem; bukan hanya filem Melayu tetapi menyeberang ke Inggeris dan Korea! Ia sangat mencabar saya sebagai guru tua yang harus banyak membaca dan bijak menyelongkar; seperti yang pernah  saya lakukan dalam kerja intertekstual saya sebelum ini. Saya tidak pasti mereka membaca entri dan peduli kewujudan blog ini. 
Image
Sebelum meninggalkan ruang kerja lewat petang tadi, beberapa sahabat mengingatkan saya,  cuti umum Isnin nanti. Jangan masuk pejabat.  Pesan mereka lagi. Ya, saya pun baru sedar. Saya fikirkan cutinya Selasa. Iya, selalu begitulah saya dimaklumkan berkali kali kerana pernah saya ke kampus dengan menjinjing bekalan seperti selalu dan mendapati fakulti gelap gelita. Saya fikir ada gangguan elektrik, rupa-rupanya  hari tersebut adalah cuti umum. Lucu saya ini, kan? Jarang saya menulis kelucuan saya di sini, walau sebenarnya saya ini suka berjenaka. Atau mungkin hanya saya sendiri yang merasakan ia menggelikan hati. Salam libur!
Image
Berbicara dalam bahasa bisu.  Mungkin ini yang lebih dimengerti. Agaknya ini juga yang dimahu. 
Image
It's enough for me to be sure that you and I exist at this moment. Novel Marquez ini saya membacanya lama dulu. Saat yang sama saya menguliti Hujan Pagi Samad . Benar, melihatnya kembali di para-para buku di rumah,  pada ketika sepi yang berhimpun dalam ratusan masa, kepercayaan saya hanya pada kewujudan kami. Ia memadai. 
Image
Entah saya ini mempunyai photographic memory, eidetic memory , apa pun ia membawa padah yang besar. Sehingga traumatik. Enggan mahu membayangkan, namun ia akan terperaga di hadapan mata. Dan tidak mahu dipadam padam. Ia akan selalu datang. Samada ia mengerikan. Memilukan. Dan akhirnya buat saya betul-betul menangis. Atau haruskah saya bersyukur kerana ingatan begitu juga satu kurnia dalam penukangan karya. Saya akan jadi begitu intim dengannya. Ia akan selalu masuk ke ruang naratif dan menjadi sangat masyhur dalam seluruh jagat sukma yang ada. Ingatan saya jadi begitu melekat. Saya membawanya ke mana-mana hatta dia boleh memutar tombol pintu tidur saya dan berbaringan sama dalam mimpi.  
Image
Menjelang senja sepi yang tadinya mendung dengan separuh geluduk mahu hujan tapi tidak saya lihat sebarang rintik. Bukankah ini panas yang panjang musimnya. Dia seakan tidak jadi bersahabat dengan gerimis yang sedia berkunjung. Latar ini sama seperti bahagianya bertemu dengan kehilangan. Seakan dapat merangkul kenangan. Seakan. 
Image
Terima kasih Sdr Shahidan Jaafar atas siaran Narasi Cinta Saat Gempa ( Mingguan Malaysia, 13 Januari 2019). Cerpen ini ada sejarahnya sendiri. Watak Timour, anak Hanafi dan Kartini sudah besar panjang. Sejak Narasi Cinta di Pulau Seribu Kubah , Lombok dan Senggigi, dekat sekali dalam jiwa saya.  Mingguan Malaysia 19.1.2009
Image
Petang Jumaat lagi. Menjelang hujung minggu lagi. Dan saya akan menuju Danau Sukma nantinya. Ia juga seperti pintu gua yang sering meraikan untuk saya masuk dan berlama-lama. Tidak jarang saya merasakan hanya di situ penjuru yang menerima saya seadanya. Tanpa peduli ragam dan ribut yang selalu saya heret sama. Dia masih selalu menawarkan ruang dan kenyamanannya, yang sudah menghilang dalam jadual Januari saya. 
Image
Kembali ke ruang kerja, pada tahun baru ini saya menjadi dungu lagi. Seperti dalam musim pengungsian, masa itu sangat arbitrari. Saya sudah lupa sekian kali rupa waktu, sedang semua orang kian jadi ripuh. Mesyuarat. Jurnal. Penyelidikan. Minggu ujian mahasiswa. Laporan. Kertas persidangan. Buku. Perundingan. Mesyuarat lagi. Hingga saya mencongak-congak, banyak yang sudah saya hilang seawal hampir sepuluh hari baru ini. Iya, kelihatannya kita dapat bertemu hanya di ruang rasmi, sahabat. Itu pun belum tentu lagi.
Image
Genap satu minggu satu hari tahun baru ini. Dalam sekejap, sudah beberapa sejarah saya rakam sepanjang berada di dalam gua ini. Berjarak daripada rutinitas, rupanya saya benar-benar dikepung misteri dan rahsia kehidupan di sebalik hijabnya. Menanti jadual untuk pintu terbuka dan saya ke ruang kerja semula; antara mahu dengan bertahan. Ah, saya ini bukankah memang susah memilih keputusan. Sejak dulu. Sejak lama. 
Image
Minggu sudah, banyak cerita tentang kanda-dinda sampai tidak boleh tidur malam. Ya, saya juga resah sepertinya yang membuat saya mahu mengungsi terus di dalam gua. Ya, saya juga sering terjaga antara tidur. Anehnya, saya sering dikejutkan dengan suara ini. Ia menjadi talun. Gemanya sangat menyelinap dan akhirnya melantun-lantun keluar dan masuk di ruang pengungsian saya. Entah dari puing tahun atau kenangan yang lama terkurung. Lalu, saya segera mempelawanya menyertai latar karya saya yang terbaru. 
Image
1 Januari sejak beberapa tahun ini tidak ada makna apa-apa melainkan tidur saya sering dikejutkan dengan bunyi bising mercun dan bunga api. Begitu juga dengan banyaknya ucapan dan video tahun baru yang masuk ke kantung wa. Jauh sekali menulis azam seperti dulu di lembar pertama buku harian. Namun hari terakhir 2018, sewaktu meninggalkan ruang kerja lewat petang itu, saya sempat merakam apa yang saya tinggalkan di meja komputer. Ya, foto di atas. Saya baru sedar al Qawwiyy beberapa masa ini saya selitkan antara kertas memo. Ternyata inilah doa yang saya mohon untuk menyambung tahun 2019. Perteguhkan keyakinan saya, ya Allah.