Posts

Image
Foto dari Tanah Selandia  Bagaimanakah darjah malu kita? Malu itu  terhadap apa dan siapa? Saya pernah diserbu malu berhadapan dengan lelaki ketika menjadi pelajar sekolah perempuan suatu ketika dahulu. Saya pernah malu apabila tersilap orang setelah berbual lama dengannya. Saya juga pernah malu apabila terlupa bacaan surah ketika menjadi imam solat kepada omak mertuo den (al fatehah buat almarhum). Terlalu panjang senarai malu saya dalam hidup. Belum lagi malu kepada Allah yang pasti sangatlah peribadi untuk saya berbahagi di sini. Maka selalu saya perpanjangkan doa agar ditutup aib saya itu. Sebesar nikmat apabila Allah menutup keaiban kita dan mengampuninya. Saya juga sedar satu lagi malu yang ada ialah terhadap diri sendiri. Kadangkala seperti ada diri lain dalam diri sendiri yang memerhati. Betapa malunya kita terhadap diri sendiri apabila melakukan sesuatu yang dungu ketika orang lain tidak tahu. Ya Allah. 
Image
Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Exxon Mobil 2014 Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 Alhamdulillah. Dua cerpen ini diangkat sebagai pemenang tahun ini. Ia dinilai sekumpulan panel. Terima kasih kerana menghargai. Kerendahan hati saya mengingat, kedua-duanya adalah rakaman daripada  perjalanan ke Tanah Selandia Baru 2014. Sebenarnya ia lebih membawa hati saya dekat dengan-Nya dan tiba-tiba saya jadi malu dengan pengiktirafan ini pada usia sekarang. Hanya saya mengingati mahasiswa yang mengikuti kuliah penulisan saya, hadiah ini buat mereka untuk menulis lebih baik daripada gurunya.. seperti pesan si bulan penuh dari surah Yusuf: 87 janganlah kamu berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah. Terus menulis dengan rahmat dan pertolongan-Nya.
Image
Foto hiasan  Musim pengantin. Di kampung saya disebut musim jemputan . Allah, semakin aneh pengantin hari ini. Daripada mengupah perancang perkahwinan kepada pelaksanaan acara. Ketakutan sekali apabila menghadiri majlis yang diadakan di dewan yang seperti mahligai. Ada perarakan masuk pengantin. Ada anak-anak comel memegang bunga dan keluarga yang mengiring. Ada bunga-bungaan yang menjadi pintu gerbang. Allah. Saya teringat menghadiri acara yang sepertinya sewaktu Stefanie dan suami (ketika itu, dan berpisah setahun dua kemudian) di St Andrew Cathedral, Orchard Rd. Sesaknya nafas saya untuk melihat acara yang mirip bagi meraikan pasangan pengantin keluarga atau handai taulan sendiri. Dan sewaktu bersalaman untuk menyampaikan doa kebahagian hingga syurga buat mempelai, saya melihat contengan yang buruk di jari jemari dan tapak tangan. Inai gelap yang tiada seri sama sekali. Saya tidak arif soal hukum; harus, makruh atau haram. Tapi bagi saya ia hanya mengotorkan tangan yang be...
Image
Kecintaan Antara yang terindah di hotel saya menginap dalam aturcara kerja singkat Surabaya-Malang yang lalu. Antara dingin angin tipis  yang memasuki daerah perbukitan, saya mengenang bonda dan cintanya.
Image
Zawawi Imron Abdul Hadi WM Bertemu tiga susuk penyair yang saya kenali  sewaktu mahasiswa. Saya baca puisi mereka dalam kuliah Prof Muhammad Haji Salleh. Ternyata bertemu mereka dalam kembara kali ini, mendengar falsafah mereka tentang Islam dan manusia Melayu, begitu  menyalakan rasa seperti api di tengah jelaga malam yang dinginnya menandingi segala dingin. Bertemu mereka, saya semakin menjunjung Islam yang saya pelihara dalam qalbu.  Sutardji Calzoum Bachri
Image
Saya senang sekali bertemu teman-teman baru ini. Sewaktu ke Jogja dulu, tidak pula menemui mereka. Istimewanya mereka membawa nama negara, daerah dan budaya yang diwakili. Maklumatnya dicetak dalam bahasa kebangsaan dan Inggeris. Oh Indonesia!
Image
Tuhan, Kita Begitu Dekat Tuhan, Kita begitu dekat Sebagai api dengan panas, Aku panas dalam api-Mu. Tuhan, Kita begitu dekat, Seperti kain dengan kapas Aku kapas dalam kain-Mu. Tuhan, Kita begitu dekat, Seperti angin dan arahnya. Kita begitu dekat. Dalam gelap Kini aku nyala, Pada lampu padam-Mu.
Image
Sepanjang penglibatan saya dalam kesusasteraan, peribadi mahupun rasmi, jarang saya duduk di meja penilai. Seingat saya sekali menjadi panel penilai Hadiah Sastera Sarawak bersama arwah Prof Sahlan Mohd Saman dan Hj Hamzah Hamdani. Selainnya saya menjadi penilai untuk acara kecil-kecilan di peringkat universiti atau organisasi. Giat teman-teman kerana karya saya yang dinilai. Tahun ini saya diminta untuk menyemak ASNS. Ternyata ia pengalaman yang banyak refleksinya; bagaimana saya melihat karya orang lain dan akhirnya saya tunduk terhadap perjalanan penciptaan di tangan manusia. Saya juga melihat apabila tangan orang berkuasa bersuara. Allahu akbar. Betapa debunya saya ini!
Image
Beberapa minggu ini dalam himpitan tarikh-tarikh akhir makalah yang harus disiapkan untuk penerbitan, tugasan mahasiswa yang harus disemak, kerja kreatif peserta bengkel penulisan yang harus diulas, manuskrip tebal yang perlu dinilai, kuliah dan tutorial yang masih berjalan dan banyak lagi, hati saya dekat dengan Takmilah Shafie Abu Bakar. Pernah saya sebutkan tentang ziarah ilmu ke pejabat Dr Shafie. Pernah saya laporkan acara kami bersama-sama penjana Teori Takmilah itu di UKM. Kali ini saya membawanya ke Surabaya sebelum ke kota Malang di Universitas Muhammadiyah.
Image
Puisi ini digubah dan dibacakan mahasiswa saya yang berbakat besar, Mai sewaktu menjadi pengacara di Rumah al-Fikrah. Airmata saya tidak dapat ditahan-tahan! Jangan Biar Terpisah Pernah- setiap antara kami merasai bagaimana nikmatnya kucup kasih seorang bonda Dibelai ubun-ubun dengan selawat dan nyanyian syahdu Hingga kami lena- dan bonda senyum puas. Apakah kerana harum syurga yang menyerkup wajah seorang bayi- menyuntik rasa damai di hati, bonda? Ketahuilah- kami telah lama menghapus segala ketertiban ciptaan itu bonda! Kami telah mencelanya dengan noda hidup yang penuh angkuh Mencari haluan hidup yang lebih dirasakan sempurna Meminggirkan segala amanah dan harapan Hingga kami benar-benar lupa Rahim bonda- tempat kami pernah berdamai di dalamnya. Demi itu- tampar kami bonda! Tampar kami dengan kalimat-kalimat yang membasuh jiwa Sedarkan kami betapa kalian terluka Keterhirisan hati yang kalian diamkan- betapa dalam! Bagaimana tegar kau membe...
Image
Beberapa minggu ini bacaan dan hafazan surahnya  begitu lancar. Dengung, panjang dan kejap bunyi sabdunya sekali sekali diperbetulkan Zahar usai maghrib menanti isya'. 30 ayat  al Fajr mengalir sangat alami dari lidah AM. Merenung kefasihannya, membuat saya tunduk. Mengakui penghargaan Allah terhadap manusia yang sempurna imannya: Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku. Empat ayat terakhir itu bertemu dengan doa saya buat AM  sejak minggu-minggu peperiksaan akhirnya: dekatkan AM dengan syurga-Mu, ya Allah. Dekatkan anakku  dengan solah dan al-Qur'an. Amin. 
Image
SN Dato Dr Zurinah Hassan Sasterawan Negara (13) 2015 Jasni Matlani Sasterawan SEA Write 2015
Image
Mungkin ini entri terakhir tentang surat merah. Anas, pelukis plan bersedia untuk bantu. Betapa berkuasanya garis panjang pendek, lengkungan dan segala ukuran di atas kertas Anas nanti dalam pertelingkahan ini. Apa lagi yang mahu dikata ( apo nak dikato..koba worih kampung Zahar ). Menurut Anas, jumlah denda nanti boleh dirunding dalam proses minit mesyuarat majlis perbandaran kami. Masih boleh turun dan turun. Alahai. Saya mengenang pesanan si bulan penuh yang datang saat kami sedang melihat lakaran asas Anas. Rezeki seseorang itu tidak dapat dihalang kebencian atau tidak boleh dirampas kerakusan. Semua itu sudah tertulis. Saya terkebil-kebil melihat jari Anas laju menekan butang mesin kira yang dibawanya sama, memajukan jumlah yang harus kami lunaskan. 
Image
Lagi cerita surat merah. Nampaknya kami harus  ikut arahan kerajaan. Bayar denda dan upah pelukis plan untuk binaan-binaan di rumah kami. Zahar sudah mendapatkan seorang arkitek muda untuk melukis. Saya terkial-kial menyemak buku telefon yang panjang senarainya. Saya tahu ada kawan-kawan lama yang pandai melukis semasa di sekolah, sekarang menjadi arkitek bertauliah. Aduhai! Saya teringat tegur kenalan baru di al-Fikrah, susah mencari guru agama sukarela sekarang; ramai yang bersedia dan punya masa ialah mereka yang dibayar. Apa pula kaitan pelukis pelan, arkitek dan guru agama, ya?
Image
Masih kisah surat merah. Sah, kami didenda kerana membina sungkupan di hadapan rumah. Sementara tetangga kiri-kanan-hadapan-belakang yang kaya raya membangunkan tembok tambahan untuk bilik kelima-keenam-ketujuh tidak menerima sebarang surat merah-biru-kuning. Aduhai, majlis perbandaran! Zahar yang sudah hilang diplomasi di kaunter pertanyaan, disergah untuk mendapatkan seorang pelukis plan dengan bayaran RM1500 di samping bayaran denda! Allah ya Allah. Setelah 15 tahun! Ya, setelah sekian lama baru sekarang kami dikenakan hukuman. Dahsyatnya orang yang kuasanya di tangan dan kepala. Inikah juga fitnah akhir zaman, manusia jadi haloba dan membuang saksama ke dalam tong sampah!
Image
Seingat saya dalam hidup, saya jarang sekali menerima surat merah , surat rasmi dikenakan denda daripada kerajaan. Kelmarin kami menerima sehelai surat merah yang ditujukan kepada PEMUNYA PREMIS (ya,  itulah gelarannya) dan antara kandungannya berbunyi, ... sila runtuhkan mana-mana penambahan sambungan bangunan yang telah dibuat di premis anda. Memang surat itu membuat kami bertiga terpinga-pinga. Saya menjenguk bahagian hadapan dan belakang rumah, mana bangunan baru yang kami tambah? Setahu saya, rumah kami adalah model rumah asal yang boleh dilihat sehingga ke hari ini sejak membelinya 15 tahun lalu. Berbanding tetangga yang menyambung dan membangunkan, tiada apa yang kami lakukan selain menambah sengkuap yang ketara di bahagian hadapan seperti rumah-rumah lain sebagai teduhan kereta. Rumah kami tidak semewah tetangga lain. Rumah yang paling  sederhana. Arahan pihak majlis perbandaran untuk mendapatkan penafsir melukis semula plan baru (pasti dengan kos), sangat menimb...
Image
Saya bukanlah seorang yang masyhur sehingga perlu buat pengumuman ini lagi. Tapi kasihankan beberapa pesanan yang penting masuk, sedang saya minggu ini tidak dapat dihubungi di WA. Mohon sms saja atau buat panggilan jika perlu. Maaf dan maklum. 
Image
  Saya sedar, projek Kesusasteraan dan Gerontologi ini sudah semacam menjadi projek peribadi apabila setiap hujung minggu kami bertiga keluar untuk membeli barangan yang akan disumbangkan. Zahar yang sangat diplomasi berurusan di kaunter bayaran dan A Matiin yang sangat ringan tulang menolak troli, sangat-sangat membuat saya sebak. Saya teringat mahasiswa yang sangat beriltizam dengan projek ini, masuk ke dalam hati dan jiwa untuk lebih mengasihi warga senasib al-Fikrah. Berkotak-kotak lampin dewasa, bedak wangi, sabun mandi, sabun basuh pakaian, cecair pencuci domestik dapat kami himpunkan untuk dibawa ke al-Fikrah esok pagi, insya-Allah yang jumlahnya hampir mencecah dua ribu ringgit. Allah Maha Besar. Saya sangat sebak mengenang almarhum nenda saya sebenarnya! Nenda yang sangat pemurah dan dermawan. Allah ya Allah.
Image
Dia datang mengingatkan saya tentang MASA.  O Allah, dekatnya hati. Saat saya sedang diekori masa yang sebenarnya sebentar lagi akan deras mengambil alih tempat, dan saya segera akan ditinggalkan. Terima kasih jam gerak yang selalu berdenting nyaring pada detik yang persis. Pedoman yang dikirim untuk terus beriman dan beramal soleh; berpesan kebenaran dan kesabaran.
Image
Tahun Baru 1437. Selamat meraikannya dengan doa panjang untuk terus dalam ketaatan dan selalu dalam pengampunan.
Image
Harinya semakin dekat. Alhamdulillah, seluruh syukur, terima kasih kepada semua penyumbang projek Kesusasteraan dan Gerontologi. Sehingga kelmarin, menerusi wang tunai yang disumbang telah kami dapatkan hampir empat kotak besar lampin dewasa, sabun basuh pakaian dan sabun mandi. Itu keperluan utama al Fikrah buat masa ini. Allah, mudah mudahan usaha kecil ini lebih membawa hati kami menyertai tokoh-tokoh pikun itu. Redha Allah tergantung kepada keredhaan orang tua dan murka Allah tergantung kepada kemurkaan orang tua [Bukhari, Ibn Hibban, Tirmidzi dan Hakim].
Image
Pesanan si bulan penuh di penjuru jendela, sampai lagi. Kita hidup di Zaman Fitnah.  Kisahnya tentang fitnah yang bergentayangan pada penjuru zaman. Allah ya Allah. Ya, fitnah dan keaiban berdiri di kiri, kanan, depan dan belakang. Hampir kita tidak dapat berpaling. Mudah-mudahan Allah lorongkan hati saya untuk terus memilih jalan yang lurus, jalan orang yang Allah anugerahkan nikmat.
Image
Pedoman saya kepada para mahasiswa lewat kuliah kelmarin, yang saya petik dari buku: Bertingkah atas landasan syukur kerana itu ibadah orang yang merdeka.  Sedang selama ini kita bergaya seorang  pedagang kerana ibadah kita hanya mahukan pulangan. Atau pula kita berjiwa hamba, maka ibadah kita kerana takutkan Allah. 
Image
Burung kenek-kenek Terbang pohon birah Pesan datuk nenek Jangan bantah cakap ayah. Burung kenek-kenek Terbang ke pucuk tebu Pesan datuk nenek Jangan derhaka pada ibu. Antara pantun pembukaan ucapan mahasiswa saya nanti...
Image
Saya kian gerun dengan kerasukan telefon pintar. Ya, apa yang Sdr mahu pegang pertamanya ketika bangkit daripada tidur? Apa yang mahu Sdr lihat hampir setiap saat? Berapa lama ia berada dalam tangan Sdr? Berapa lama pula ia boleh Sdr biarkan di atas meja atau di dalam tas tangan tanpa ditoleh sekilas pun? Allah ya Allah. Saat sudah bersedia ke sajadah, bukankah Sdr masih lagi mahu melihat apa-apa yang terjadi padanya? Ampuni kami ya Allah. Bukankah itu kerasukan? Bukankah itu penjara? Bukankah itu petaka dan apakah lagi kata yang menyertainya? Saya sedang berlatih  memerdekakan diri daripada rantai berat yang kukuh menjerat itu. Saya akan matikan semua titik hubung bermula 10 malam dan hanya akan kembali memanfaatkannya jam 7 keesokan hari. Atau mungkin lebih panjang lagi.
Image
  Pesan saya kepada mahasiswa, jangan jadi pengemis (wang), mohon saja sumbangan barangan yang diperlukan dan kita hanya pengantara untuk menyampaikan. Saya harap mereka memahaminya.
Image
Hati yang merenyut-renyut. Mulut yang hampir mahu menyebut-nyebut. Allah. Pesan bulan penuh di hujung jendela kali ini tentang pengabdian para Rasul. Betapa perit dan luka di sepanjang jalan untuk mendekatkan semua hati kepada Dia. Betapa banyak sengsara. Betapa besar gunung duga. Sekali lagi saya berkira-kira, cukup deritakah saya hanya untuk menyampaikan satu suruhan Rasulullah. Cukup dahsyatkah penanggungan bagi membawakan satu kebenaran. Kecilnya iman saya!
Image
Semester ini, mahasiswa Sastera Bandingan melakukan tugasan gerontologi dalam sastera. Membaca tokoh-tokoh pikun dari cerpen dan novel. Sebagai tugasan membanding daripada realiti, kami akan bekerja di rumah orang tua. Aduhai, sebaknya setiap kali mengenang ibu, ayah, nenek dan datuk. Harga diri yang masih mahu dipertahankan saat kudrat mereka hampir mencecah tanah. Cinta orang tua yang aneh. Dan sebenarnya, saya memberitahu mahasiswa, kita membaca diri sendiri nanti apabila saatnya muncul di muka pintu.
Image
Dan ingatlah hari ketika langit pecah belah mengeluarkan kabut putih dan diturunkanlah malaikat bergelombang-gelombang (al Furqaan: 25)
Image
K ami memenuhi dan akan melaksanakan perintah-Mu ya Allah. T iada sekutu bagi-Mu dan kami memenuhi panggilan-Mu. S esungguhnya segala pujian, nikmat dan begitu juga kerajaan adalah milik-Mu dan tidak ada sekutu bagi-Mu. Salam eidul Adha 1436.
Image
Dalam mengenang Arafah dan Mahsyar, pesanan sebagai perempuan dalam keluarga hinggap di jendela malam. Solat di awal waktu. Tekal dalam kerja ilmu, bersama-sama al-Qur'an dan zikrullah. Memastikan juga lelaki di rumah saya turut menyegerakan solat mereka. Masih dalam qana'ah walau mungkin sahaja ada ruang untuk saya bermegah-megah. Allah. Malunya saya apabila ingatan-ingatan ini menjengah saat hati saya menangis, benar-benar mahukan reda Allah. Selamat berpuasa, ketika mereka sedang wukuf, saat begitu dekat dengan Allah dan para malaikat-Nya.
Image
    Cerpen terbaru saya di Berita Harian , hari ini 20 September 2015. Dia yang Berlari Kencang dalam Debu Perang. Terima kasih kepada Editornya, Sdr Nazmi kerana menyiarkan. Terima kasih kepada Sdr Alif Matiin kerana mengilhamkan, kisah kuda perang ini. Tulisan awalnya, saya percikkan dalam entri 9 September lalu.
Image
Saya tahu pesanan bulan di penjuru jendela akan selalu ada. Biar walau dia datang dalam sunyi.  Biar dia tanpa wajah bulat dan jernihnya. Saya tahu dia mengiringi. Sedang saya tidak selayaknya untuk terus menunggu. Saya harus selalu meyakini dengan pesanan-pesanan lalu yang banyak mengasuh  mendepani hari esok.
Image
Apakah lagi sebaik-baik pengajaran untuk kita sedar betapa dunia tidak lebih daripada perhiasan yang sangat membinasakan selain daripada kematian.   Dan bagaimana pula saat al Qur'an didatangkan, ia menjadi penyembuh bagi penyakit-penyakit yang berada di dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman (Yunus: 57)
Image
Banyak kesedihan yang terbentang di hadapan untuk diterima, namun sebenarnya ia adalah kebaikan yang tidak kita tahu rahsianya. Ia ternyata disimpan Allah untuk sebab yang hanya Dia Yang Maha Tahu. Doa haji yang mabrur, dilapangkan kesihatan dan kemudahan untuk beribadah kepada tetamu Allah - Dr Fauziah Ahmad, Dr Fauziah Ibrahim, Dr Khadijah, Dr Mimi, Dr Jalal, Dr Kesumawati, Dr Kadir dan Cik Idah. Tetamu Allah akan selalu istimewa tempatnya.
Image
  Si bulan penuh masih selalu tergantung di jendela pesan. Mengirim rintih Rumi lagi tentang jiwa dan keyakinan. Ya, kelmarin juga saya didatangi anak muda yang antusias bercakap tentang banyaknya kita terhutang untuk berbuat kebajikan. Begitu dia meyakini makna hidup ini untuk selalu memberi sebagai tanda syukur. Allah, Allah, Allah. Sekejap saya melihat kilasan yang berlari kencang dalam debu perang, petikan dari al Aadiyat... Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, tidak berterima kasih kepada Rabbnya dan sesungguhnya manusia itu menyaksikan sendiri keingkarannya. Dan sesungguhnya dia sangat bakhil kerana cintanya kepada harta....
Image
Pesanan si bulan penuh di jendela malam datang menyinggah: Dan pada sisi Allah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada seheai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (al An'am: 59).   Saya merenungnya lama dan menekuni apa yang berlaku kelmarin di kamar kerja. Tragis namun introspektif. Saya berdoa dia diampuni dan dirahmati dengan pertaubatan....Allah!
Image
Sambutan  hangat kepada mahasiwa baru di fakulti kami.  Selamat datang!
Image
Saya suka foto ini. Kecintaannya. 
Image
Minggu ini sekali lagi bekerja di luar kampus, membawa hati saya ke sebuah penjuru menghampiri keterasingan. Saya percaya apabila kita menjauhi lajur monotonous, kita mampu melihat apa yang selama ini diambil mudah. Banyak juga introspeksi yang dijengah. Dan segala-galanya membuat saya begitu malu, ibaratnya berdiri di hadapan cermin magis yang bukan hanya memantulkan kedunguan sendiri. Cermin (mungkin di almari sebelah ini dari hotel penginapan) yang boleh menelan saya menyertai daerah penuh rahasia.  
Image
Selalukah Sdr bertembung dengan pertanyaan tentang ketaatan Sdr  pada sekian hari, sekian detik? Saat banyak yang terlupakan, lalai mengikat atau kesibukan menjadi penjara. Ya Allah, ampuni kami, tutuplah keaiban kami, terimalah taubat kami....
Image
Catatan kecil buat yang dikasihi... Terima kasih editornya, Sdr Fad
Image
Selamat datang kepada semua peserta Bengkel Penulisan Kreatif (Cerpen) UKM-DBP 2015!
Image
Peserta Bengkel Penulisan Kreatif (Cerpen) UKM-DBP 2015: Saya selalu percaya, dalam kerja mencari ilmu, persediaan pertamanya adalah kerendahan hati. 
Image
Kepada semua peserta bengkel, harinya semakin dekat. Mudah mudahan Sdr sedang membaca dengan tekun bahan yang saya emelkan. Mudah-mudahan hasrat dan usaha kita dilihat Allah sebagai ibadah dan kita terus dalam ketaatan kepada-Nya. Hingga jumpa, insya Allah!