Seingat saya dalam hidup, saya jarang sekali menerima surat merah, surat rasmi dikenakan denda daripada kerajaan. Kelmarin kami menerima sehelai surat merah yang ditujukan kepada PEMUNYA PREMIS (ya, itulah gelarannya) dan antara kandungannya berbunyi, ... sila runtuhkan mana-mana penambahan sambungan bangunan yang telah dibuat di premis anda. Memang surat itu membuat kami bertiga terpinga-pinga. Saya menjenguk bahagian hadapan dan belakang rumah, mana bangunan baru yang kami tambah? Setahu saya, rumah kami adalah model rumah asal yang boleh dilihat sehingga ke hari ini sejak membelinya 15 tahun lalu. Berbanding tetangga yang menyambung dan membangunkan, tiada apa yang kami lakukan selain menambah sengkuap yang ketara di bahagian hadapan seperti rumah-rumah lain sebagai teduhan kereta. Rumah kami tidak semewah tetangga lain. Rumah yang paling sederhana. Arahan pihak majlis perbandaran untuk mendapatkan penafsir melukis semula plan baru (pasti dengan kos), sangat menimbulkan kemusykilan. Rumah yang hampir dilunaskan bayarannya tahun hadapan, tidak pernah diugut sebegini rupa. Dahsyatnya bahasa orang yang berkuasa!
Comments