Posts

Image
SN Dato Dr Zurinah Hassan Sasterawan Negara (13) 2015 Jasni Matlani Sasterawan SEA Write 2015
Image
Mungkin ini entri terakhir tentang surat merah. Anas, pelukis plan bersedia untuk bantu. Betapa berkuasanya garis panjang pendek, lengkungan dan segala ukuran di atas kertas Anas nanti dalam pertelingkahan ini. Apa lagi yang mahu dikata ( apo nak dikato..koba worih kampung Zahar ). Menurut Anas, jumlah denda nanti boleh dirunding dalam proses minit mesyuarat majlis perbandaran kami. Masih boleh turun dan turun. Alahai. Saya mengenang pesanan si bulan penuh yang datang saat kami sedang melihat lakaran asas Anas. Rezeki seseorang itu tidak dapat dihalang kebencian atau tidak boleh dirampas kerakusan. Semua itu sudah tertulis. Saya terkebil-kebil melihat jari Anas laju menekan butang mesin kira yang dibawanya sama, memajukan jumlah yang harus kami lunaskan. 
Image
Lagi cerita surat merah. Nampaknya kami harus  ikut arahan kerajaan. Bayar denda dan upah pelukis plan untuk binaan-binaan di rumah kami. Zahar sudah mendapatkan seorang arkitek muda untuk melukis. Saya terkial-kial menyemak buku telefon yang panjang senarainya. Saya tahu ada kawan-kawan lama yang pandai melukis semasa di sekolah, sekarang menjadi arkitek bertauliah. Aduhai! Saya teringat tegur kenalan baru di al-Fikrah, susah mencari guru agama sukarela sekarang; ramai yang bersedia dan punya masa ialah mereka yang dibayar. Apa pula kaitan pelukis pelan, arkitek dan guru agama, ya?
Image
Masih kisah surat merah. Sah, kami didenda kerana membina sungkupan di hadapan rumah. Sementara tetangga kiri-kanan-hadapan-belakang yang kaya raya membangunkan tembok tambahan untuk bilik kelima-keenam-ketujuh tidak menerima sebarang surat merah-biru-kuning. Aduhai, majlis perbandaran! Zahar yang sudah hilang diplomasi di kaunter pertanyaan, disergah untuk mendapatkan seorang pelukis plan dengan bayaran RM1500 di samping bayaran denda! Allah ya Allah. Setelah 15 tahun! Ya, setelah sekian lama baru sekarang kami dikenakan hukuman. Dahsyatnya orang yang kuasanya di tangan dan kepala. Inikah juga fitnah akhir zaman, manusia jadi haloba dan membuang saksama ke dalam tong sampah!
Image
Seingat saya dalam hidup, saya jarang sekali menerima surat merah , surat rasmi dikenakan denda daripada kerajaan. Kelmarin kami menerima sehelai surat merah yang ditujukan kepada PEMUNYA PREMIS (ya,  itulah gelarannya) dan antara kandungannya berbunyi, ... sila runtuhkan mana-mana penambahan sambungan bangunan yang telah dibuat di premis anda. Memang surat itu membuat kami bertiga terpinga-pinga. Saya menjenguk bahagian hadapan dan belakang rumah, mana bangunan baru yang kami tambah? Setahu saya, rumah kami adalah model rumah asal yang boleh dilihat sehingga ke hari ini sejak membelinya 15 tahun lalu. Berbanding tetangga yang menyambung dan membangunkan, tiada apa yang kami lakukan selain menambah sengkuap yang ketara di bahagian hadapan seperti rumah-rumah lain sebagai teduhan kereta. Rumah kami tidak semewah tetangga lain. Rumah yang paling  sederhana. Arahan pihak majlis perbandaran untuk mendapatkan penafsir melukis semula plan baru (pasti dengan kos), sangat menimb...
Image
Saya bukanlah seorang yang masyhur sehingga perlu buat pengumuman ini lagi. Tapi kasihankan beberapa pesanan yang penting masuk, sedang saya minggu ini tidak dapat dihubungi di WA. Mohon sms saja atau buat panggilan jika perlu. Maaf dan maklum. 
Image
  Saya sedar, projek Kesusasteraan dan Gerontologi ini sudah semacam menjadi projek peribadi apabila setiap hujung minggu kami bertiga keluar untuk membeli barangan yang akan disumbangkan. Zahar yang sangat diplomasi berurusan di kaunter bayaran dan A Matiin yang sangat ringan tulang menolak troli, sangat-sangat membuat saya sebak. Saya teringat mahasiswa yang sangat beriltizam dengan projek ini, masuk ke dalam hati dan jiwa untuk lebih mengasihi warga senasib al-Fikrah. Berkotak-kotak lampin dewasa, bedak wangi, sabun mandi, sabun basuh pakaian, cecair pencuci domestik dapat kami himpunkan untuk dibawa ke al-Fikrah esok pagi, insya-Allah yang jumlahnya hampir mencecah dua ribu ringgit. Allah Maha Besar. Saya sangat sebak mengenang almarhum nenda saya sebenarnya! Nenda yang sangat pemurah dan dermawan. Allah ya Allah.
Image
Dia datang mengingatkan saya tentang MASA.  O Allah, dekatnya hati. Saat saya sedang diekori masa yang sebenarnya sebentar lagi akan deras mengambil alih tempat, dan saya segera akan ditinggalkan. Terima kasih jam gerak yang selalu berdenting nyaring pada detik yang persis. Pedoman yang dikirim untuk terus beriman dan beramal soleh; berpesan kebenaran dan kesabaran.
Image
Tahun Baru 1437. Selamat meraikannya dengan doa panjang untuk terus dalam ketaatan dan selalu dalam pengampunan.
Image
Harinya semakin dekat. Alhamdulillah, seluruh syukur, terima kasih kepada semua penyumbang projek Kesusasteraan dan Gerontologi. Sehingga kelmarin, menerusi wang tunai yang disumbang telah kami dapatkan hampir empat kotak besar lampin dewasa, sabun basuh pakaian dan sabun mandi. Itu keperluan utama al Fikrah buat masa ini. Allah, mudah mudahan usaha kecil ini lebih membawa hati kami menyertai tokoh-tokoh pikun itu. Redha Allah tergantung kepada keredhaan orang tua dan murka Allah tergantung kepada kemurkaan orang tua [Bukhari, Ibn Hibban, Tirmidzi dan Hakim].
Image
Pesanan si bulan penuh di penjuru jendela, sampai lagi. Kita hidup di Zaman Fitnah.  Kisahnya tentang fitnah yang bergentayangan pada penjuru zaman. Allah ya Allah. Ya, fitnah dan keaiban berdiri di kiri, kanan, depan dan belakang. Hampir kita tidak dapat berpaling. Mudah-mudahan Allah lorongkan hati saya untuk terus memilih jalan yang lurus, jalan orang yang Allah anugerahkan nikmat.
Image
Pedoman saya kepada para mahasiswa lewat kuliah kelmarin, yang saya petik dari buku: Bertingkah atas landasan syukur kerana itu ibadah orang yang merdeka.  Sedang selama ini kita bergaya seorang  pedagang kerana ibadah kita hanya mahukan pulangan. Atau pula kita berjiwa hamba, maka ibadah kita kerana takutkan Allah. 
Image
Burung kenek-kenek Terbang pohon birah Pesan datuk nenek Jangan bantah cakap ayah. Burung kenek-kenek Terbang ke pucuk tebu Pesan datuk nenek Jangan derhaka pada ibu. Antara pantun pembukaan ucapan mahasiswa saya nanti...
Image
Saya kian gerun dengan kerasukan telefon pintar. Ya, apa yang Sdr mahu pegang pertamanya ketika bangkit daripada tidur? Apa yang mahu Sdr lihat hampir setiap saat? Berapa lama ia berada dalam tangan Sdr? Berapa lama pula ia boleh Sdr biarkan di atas meja atau di dalam tas tangan tanpa ditoleh sekilas pun? Allah ya Allah. Saat sudah bersedia ke sajadah, bukankah Sdr masih lagi mahu melihat apa-apa yang terjadi padanya? Ampuni kami ya Allah. Bukankah itu kerasukan? Bukankah itu penjara? Bukankah itu petaka dan apakah lagi kata yang menyertainya? Saya sedang berlatih  memerdekakan diri daripada rantai berat yang kukuh menjerat itu. Saya akan matikan semua titik hubung bermula 10 malam dan hanya akan kembali memanfaatkannya jam 7 keesokan hari. Atau mungkin lebih panjang lagi.
Image
  Pesan saya kepada mahasiswa, jangan jadi pengemis (wang), mohon saja sumbangan barangan yang diperlukan dan kita hanya pengantara untuk menyampaikan. Saya harap mereka memahaminya.
Image
Hati yang merenyut-renyut. Mulut yang hampir mahu menyebut-nyebut. Allah. Pesan bulan penuh di hujung jendela kali ini tentang pengabdian para Rasul. Betapa perit dan luka di sepanjang jalan untuk mendekatkan semua hati kepada Dia. Betapa banyak sengsara. Betapa besar gunung duga. Sekali lagi saya berkira-kira, cukup deritakah saya hanya untuk menyampaikan satu suruhan Rasulullah. Cukup dahsyatkah penanggungan bagi membawakan satu kebenaran. Kecilnya iman saya!
Image
Semester ini, mahasiswa Sastera Bandingan melakukan tugasan gerontologi dalam sastera. Membaca tokoh-tokoh pikun dari cerpen dan novel. Sebagai tugasan membanding daripada realiti, kami akan bekerja di rumah orang tua. Aduhai, sebaknya setiap kali mengenang ibu, ayah, nenek dan datuk. Harga diri yang masih mahu dipertahankan saat kudrat mereka hampir mencecah tanah. Cinta orang tua yang aneh. Dan sebenarnya, saya memberitahu mahasiswa, kita membaca diri sendiri nanti apabila saatnya muncul di muka pintu.
Image
Dan ingatlah hari ketika langit pecah belah mengeluarkan kabut putih dan diturunkanlah malaikat bergelombang-gelombang (al Furqaan: 25)
Image
K ami memenuhi dan akan melaksanakan perintah-Mu ya Allah. T iada sekutu bagi-Mu dan kami memenuhi panggilan-Mu. S esungguhnya segala pujian, nikmat dan begitu juga kerajaan adalah milik-Mu dan tidak ada sekutu bagi-Mu. Salam eidul Adha 1436.
Image
Dalam mengenang Arafah dan Mahsyar, pesanan sebagai perempuan dalam keluarga hinggap di jendela malam. Solat di awal waktu. Tekal dalam kerja ilmu, bersama-sama al-Qur'an dan zikrullah. Memastikan juga lelaki di rumah saya turut menyegerakan solat mereka. Masih dalam qana'ah walau mungkin sahaja ada ruang untuk saya bermegah-megah. Allah. Malunya saya apabila ingatan-ingatan ini menjengah saat hati saya menangis, benar-benar mahukan reda Allah. Selamat berpuasa, ketika mereka sedang wukuf, saat begitu dekat dengan Allah dan para malaikat-Nya.
Image
    Cerpen terbaru saya di Berita Harian , hari ini 20 September 2015. Dia yang Berlari Kencang dalam Debu Perang. Terima kasih kepada Editornya, Sdr Nazmi kerana menyiarkan. Terima kasih kepada Sdr Alif Matiin kerana mengilhamkan, kisah kuda perang ini. Tulisan awalnya, saya percikkan dalam entri 9 September lalu.
Image
Saya tahu pesanan bulan di penjuru jendela akan selalu ada. Biar walau dia datang dalam sunyi.  Biar dia tanpa wajah bulat dan jernihnya. Saya tahu dia mengiringi. Sedang saya tidak selayaknya untuk terus menunggu. Saya harus selalu meyakini dengan pesanan-pesanan lalu yang banyak mengasuh  mendepani hari esok.
Image
Apakah lagi sebaik-baik pengajaran untuk kita sedar betapa dunia tidak lebih daripada perhiasan yang sangat membinasakan selain daripada kematian.   Dan bagaimana pula saat al Qur'an didatangkan, ia menjadi penyembuh bagi penyakit-penyakit yang berada di dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman (Yunus: 57)
Image
Banyak kesedihan yang terbentang di hadapan untuk diterima, namun sebenarnya ia adalah kebaikan yang tidak kita tahu rahsianya. Ia ternyata disimpan Allah untuk sebab yang hanya Dia Yang Maha Tahu. Doa haji yang mabrur, dilapangkan kesihatan dan kemudahan untuk beribadah kepada tetamu Allah - Dr Fauziah Ahmad, Dr Fauziah Ibrahim, Dr Khadijah, Dr Mimi, Dr Jalal, Dr Kesumawati, Dr Kadir dan Cik Idah. Tetamu Allah akan selalu istimewa tempatnya.
Image
  Si bulan penuh masih selalu tergantung di jendela pesan. Mengirim rintih Rumi lagi tentang jiwa dan keyakinan. Ya, kelmarin juga saya didatangi anak muda yang antusias bercakap tentang banyaknya kita terhutang untuk berbuat kebajikan. Begitu dia meyakini makna hidup ini untuk selalu memberi sebagai tanda syukur. Allah, Allah, Allah. Sekejap saya melihat kilasan yang berlari kencang dalam debu perang, petikan dari al Aadiyat... Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar, tidak berterima kasih kepada Rabbnya dan sesungguhnya manusia itu menyaksikan sendiri keingkarannya. Dan sesungguhnya dia sangat bakhil kerana cintanya kepada harta....
Image
Pesanan si bulan penuh di jendela malam datang menyinggah: Dan pada sisi Allah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada seheai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (al An'am: 59).   Saya merenungnya lama dan menekuni apa yang berlaku kelmarin di kamar kerja. Tragis namun introspektif. Saya berdoa dia diampuni dan dirahmati dengan pertaubatan....Allah!
Image
Sambutan  hangat kepada mahasiwa baru di fakulti kami.  Selamat datang!
Image
Saya suka foto ini. Kecintaannya. 
Image
Minggu ini sekali lagi bekerja di luar kampus, membawa hati saya ke sebuah penjuru menghampiri keterasingan. Saya percaya apabila kita menjauhi lajur monotonous, kita mampu melihat apa yang selama ini diambil mudah. Banyak juga introspeksi yang dijengah. Dan segala-galanya membuat saya begitu malu, ibaratnya berdiri di hadapan cermin magis yang bukan hanya memantulkan kedunguan sendiri. Cermin (mungkin di almari sebelah ini dari hotel penginapan) yang boleh menelan saya menyertai daerah penuh rahasia.  
Image
Selalukah Sdr bertembung dengan pertanyaan tentang ketaatan Sdr  pada sekian hari, sekian detik? Saat banyak yang terlupakan, lalai mengikat atau kesibukan menjadi penjara. Ya Allah, ampuni kami, tutuplah keaiban kami, terimalah taubat kami....
Image
Catatan kecil buat yang dikasihi... Terima kasih editornya, Sdr Fad
Image
Selamat datang kepada semua peserta Bengkel Penulisan Kreatif (Cerpen) UKM-DBP 2015!
Image
Peserta Bengkel Penulisan Kreatif (Cerpen) UKM-DBP 2015: Saya selalu percaya, dalam kerja mencari ilmu, persediaan pertamanya adalah kerendahan hati. 
Image
Kepada semua peserta bengkel, harinya semakin dekat. Mudah mudahan Sdr sedang membaca dengan tekun bahan yang saya emelkan. Mudah-mudahan hasrat dan usaha kita dilihat Allah sebagai ibadah dan kita terus dalam ketaatan kepada-Nya. Hingga jumpa, insya Allah!
Image
Pantai tahunan saya Kerja pertengahan minggu yang sangat menyenangkan, melihat garis lurus yang panjang antara laut dengan langit. Apalagi saat warna jingga mula menebar pada lewat senja. Kerja pejabat yang saya jinjing terasa  ringan apabila duduk berdepan dengan angin pantai Laut China Selatan...
Image
Berakhirnya Syawal Jamuan Syawal menutup lebaran yang diraikan di fakuti kami semalam. Banyak yang mengimbas saya kepada Ramadhan yang baru ditinggalkan. Layakkah saya diterima Allah sebagai hamba yang menang dalam pertarungan Ramadhan lalu. Atau saya sama sekali dan sekali lagi kecundang. Untuk mengangkat muka pun saya tidak punya daya...
Image
Hadiah dambaannya Selamat hari lahir buat Zahar.  Aliif Matiin sedang menyediakan kad ucapan buat Bapak (kawan bergaduh dan tempat mengadu). Ahli rumah ini, tradisinya akan meraikan hari lahir masing-masing 24 jam sebelum dan selepas. Jadi malam tadi kami duduk  untuk makan bersama yang lewat. Sate goreng dan kuah kacang, yang bumbunya saya perolehi daripada seorang adik, chef pelantar minyak yang ikhlas.  Rahmat-Nya dan umur taat buat Zahar yang dikasihi Allah!
Image
al Fatehah TGNA Benar, antara pesanan  si bulan penuh di penjuru jendela, seringlah menziarahi  perkuburan. Akan banyak nanti yang dibawa pulang; bukan hanya sendu, sebak atau nostalgia yang panjang. Berat benar hati saya mahu melangkah meninggalkan, bagai diikat kaki saya untuk terus berlama.  al Fatehah TK Jarang sekali saya dapat menziarahi tiga pusara di tempat yang berbeza pada hari yang sama.  Allah.  Betapa hampirnya  dengan titik akhir saya sendiri! al Fatehah RZ (kanan) dan ayahandanya (kiri) Dan bagaimana pula dia yang sudah pulang itu menemukan saya dengan sahabat yang sangat menghargai dan mengasihi. Allah. Siapa yang pernah menduga, pusara mampu menawarkan banyak cerita. Ya, saya menjinjing pulang narasi tentang negeri abadi.
Image
Antara perasaan apabila usainya Ramadhan adalah rindu, takut dan harap. Rindunya kita pada semua yang diatur semasa Ramadhan; kesibukan untuk taat dan jadual makan yang sangat dirapikan. Sekarang memikirkan kembali apa yang telah dilakukan sepanjang Ramadhan, betapa takutnya jika ia hanyalah sia-sia. Ia mungkin tidak lebih daripada sebuah adegan semusim. Dan, bagaimana harapan yang digantung agar bertemu lagi Ramadhan dan mudah-mudahan ia dapat disempurnakan lagi.  Insya Allah. 
Image
Kepada semua peserta yang mendaftar, kepada semua yang menghubungi dan bertanya, kepada semua yang terpaksa kami tolak penyertaannya (kerana sudah penuh), terima kasih diucapkan atas perhatian serta dukungan.
Image
Ruhaini Matdarin Ruhaini Matdarin, penasihat kewangan yang menulis cerpen dan novel; antara pembimbing Bengkel Penulisan Kreatif (Cerpen) UKM-DBP 22 Ogos 2015. Kepada semua peserta, jangan lupa e-melkan cerpen Sdr kepada saya ( mawar.safei@ukm.edu.my ) untuk tujuan bedah karya pada hari kita berbengkel nanti! Sebelum 10 Ogos ya, agar dapat diedarkan kepada pembimbing dan peserta lain juga!  Melawan yang Mustahil Antara senarai panjang karya Ruhaini Matdarin, kumpulan cerpen Melawan yang Mustahil di samping kumpulan cerpen lain seperti Misi Penyepit Kain dan   Jenaka si Darah Legenda . Sementara novelnya Nisan, Dukana, Nurbalkis, Jendela Menghadap Jalan, Dalam Getar Waktu, Cerita Perang Bariga, Waris Pejuang, Kotak, Anatomi Rupert dan Trivia. Kebanyakan karyanya itu memenangi anugerah dalam sayembara di peringkat kebangsaan. 
Image
Faisal Tehrani Faisal Tehrani, antara pembimbing Bengkel Penulisan Kreatif (Cerpen) UKM-DBP 22 Ogos 2015. Kepada semua peserta boleh e-melkan kepada saya cerpen Sdr  untuk tujuan sesi bedah karya semasa bengkel selewatnya 10 Ogos untuk dibaca awal pembimbing dan juga peserta lain.  Kekasih Sam Po Bo Antara senarai panjang karya Faisal Tehrani, kumpulan cerpen Kekasih Sam Po Bo (2007, Aberdeen Book World) yang menghimpun 30 cerpen. 
Image
Sertai kami!
Image
1 Syawal