Posts

Showing posts from February, 2017
Image
Daripada mahasiswa Hari ini saya genap 46 tahun. Dirai anak-anak mahasiswa dengan kejutan dan kek lewat petang di kamar kerja, membikin saya rasa mengada-ngada betul. Seperti orang lain, ucapan demi ucapan yang datang, saya aminkan sungguh-sungguh. Bukan mudah untuk orang mendoakan kita. Seperti selalu juga doa yang paling membuat airmata saya tak henti-henti mengalir adalah dari ibu yang melahirkan. Ia pasti dicemburui mereka yang sudah tidak lagi dapat menerima doa kudus dari dasar kalbu seseorang yang terlalu indah untuk dilukiskan. Satu ucapan indah yang juga saya terima adalah tamsilan mawar sebagai meraikan cinta Rasulullah. Ia sangat membahagiakan. Saya seperti dalam rangkulan cinta itu. Katanya, walau jauh tapi dekat. Benar, siapalah yang mengerti. Benar, siapalah saya yang selalu mahu berasa hati. Daripada sahabat
Image
Saya baru sedar WA sudah ada paparan status. Kalau tidak silap ini sudah seperti FB. Mengada-ngada betul. Kalau tidak kerana banyak urusan rasmi di WA, saya rasa macam mahu lari ke hutan meninggalkan WA dan yang lain-lain seumpamanya. Ya, bagus juga sekali-sekali melarikan diri.
Image
Saya pernah menggelarnya sahabat Asar. Malah saya menyusupnya masuk ke dalam Narasi Tongariro dari Penjuru Disember Lalu (BH, 22 Januari 2017). Saya menulis:  Menunggu, menanti dan mengangankan dia datang walau sekejap, saya mengintai dia antara dahan, pelepah dan daun. Ternyata dia tidak terbit juga. Penat saya menggantung harap, antara menjengah masih dengan mahu melupakan. Kemudian saya seperti dikirim kawat pujukan lewat azan bahawa kami saling mengerti, walau dalam seribu sepi atau ketidakhadiran diri. Ya, kawat itu seperti jatuh melayah dari ranting dan dahan lalu hinggap di jendela kepercayaan saya. Beberapa hari lalu, dia muncul tiba-tiba dari arah yang sama. Subhanallah. Indahnya. Saya dalam ta'ajub melihat dia dan saat itu menjelang dhuha. Tangis saya seperti dalam rangkulan yang tersayang setelah dia menghilang tahun.
Image
TAHNIAH kepada ketujuh-tujuh pemenang dari Universiti Kebangsaan Malaysia . Lima daripada mereka merupakan mahasiswa kami semester lepas dalam kursus Penulisan Kreatif: Ahmad Azwadie Azman, Siti Nurhajar Zukafly, Nurul Diyana Muhammad Ruzlan, Noratikah Syamimie Abdul Moin dan Noor Yazmin Azhar dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM. Dua yang lain dari Fakulti Undang-undang Nor Afiqah Baharudin dan Fakulti Pendidikan Arif Hadri Japri . Saya tumpang bersyukur dan sangat bahagia untuk mengiringi mereka ke majlis ini. Sebagai guru, ia adalah hadiah istimewa. Syabas. Terus menulis buat semua. Saya terpaksa memadam entri  yang sama sebelum ini kerana ada masalah teknikal pada kotak komen. Saya sempat melihat satu komen, mungkin jika perlu boleh ditulis semula. Terima kasih.
Image
Selasa merupakan hari lumba lari untuk semester ini. Kuliah saya dari pagi hingga ke petang. Letih? Tidak sama sekali. Semakin tua saya kian senang mendampingi anak-anak murid. Saya mahu berbahagi kisah muda saya. Apa yang tidak harus diulangi atau apa yang sudah saya perbuat mungkin daripada cuplikannya dapat diambil sebagai ibrah. Apa sebagai orang tua yang saya fikir terbaik untuk anak-anak. Menyudahkan slaid peraturan dan pantang larang dalam kuliah minggu ini, ia termasuk bersih. Pelajar baris paling hadapan cepat menyebut bersih hati. Ya itulah maksud sebenar. Bukan hanya tubuh badan yang tidak berbau, pakaian yang berbasuh atau catatan nota yang rapi, hati juga harus dipastikan tulus. Satu susuk wajah yang bersih membayangi sejak dalam dewan kuliah petang tadi. Pohon sukma yang redup.  Mata kalbu yang jernih. Sangat mengilhamkan untuk berbuat kebaikan sepertimana dia. Aneh, dalam mengenangnya, saya separuh iri separuh tergenang. Hampir air mukanya tidak beriak, berkoca...
Image
Dalam keluarga kecil kami, saya mempunyai seorang sepupu yang hampir merupakan sahabat baik. Emak saya merupakan kakak kepada Abahnya. Maka sejak kecil kami bersahabat baik sehingga kini. Apatah lagi namanya Melati. Kami seperti anak kembar walau saya setahun tua daripadanya. Kami pernah mempunyai latar dan pilihan jalan hidup dan takdir yang berbeza. Namun alhamdulillah, kami tetap dan terus bersahabat. Pohon sukma musim luruh Saya pernah menulis tentang Mel di sini sebelum ini. Malah Mel pernah menyusup masuk dalam cerita pendek saya. Mengapa saya bercerita lagi tentang Mel...  Dulu saya akan menunggu-nunggu setiap kali mahu ke rumahnya di Toa Payoh (kemudian Yishun). Saya akan menangis setiap kali mahu meninggalkannya untuk pulang. Dan apabila kami berjauhan, saya akan mudah menangis mengenangnya. Saya percaya kami mempunyai ikatan sukma yang berkuasa. Ya, benar begitulah apabila dia mula menjadi istimewa dalam kalbu. Ketiadaannya sangat dirasa walau sekejap d...
Image
Foto kecintaan saya yang berulang ulang Sejak kecil Emak mengasuh saya, secara tidak langsung, mengukur baju di badan sendiri. Selalu tahu membawa diri. Dalam apa-apa juga suasana atau acara, tahulah di mana harus kita duduk atau berdiri atau memberi ruang tertentu kepada pihak berkenaan. Sehingga sekarang saya belajar untuk meneruskan amalan itu. Namun kadangkala saya jadi dungu atau lupa atau mungkin saya sering diberi muka. Istilah lainnya, saya mengada-ngada, lupa letak duduk diri dan saya lalai dengan asuhan Emak. Siapalah yang akan menyedarkan saya, si debu berterbangan ini. Sabda Rasulullah yang saya cinta, pernah mengingatkan anak kecil juga boleh mengirim kesedaran. Kelmarin, AM dengan tangan masih dalam anduh, sendiri turun daripada kereta membantu seorang tua di tepi parkir masjid. Sebaknya saya melihat barangannya yang bertaburan dari atas motor dan AM mendatanginya lantas mengutip dan meletakkan di tepi. Begitulah AM mengasuh kalbu tua saya. Atau saya sebenarnya ...
Image
Kami berjumpa Dr Azaiddin lagi. Sudah bersedia mendengar dialog sengit AM dengan Dr Azaiddin. Saya minta AM bertanya sendiri, mendapatkan jawapan yang saya berikan selama ini masih tidak memuaskan hatinya. Dr Azaiddin yang bijak  menjawab: ini bukan masa bertanya. Belum masanya lagi. Waktu ini tidak perlu bertanya. Tidak relevan. Semua pertanyaan dan jawapan akan AM dapat sendiri setelah balutan dirungkai dan anduh tidak perlu lagi bergantungan. Malah Dr minta AM berhenti bercakap dalam masa lima minit semasa prosedur memasang simen baru. Balutan baru AM hari ini akan mengambil masa tambahan dua minggu. Saya sedar doktor pakar tulang berpengalaman ini mahu AM jadi anak yang sabar, tidak buru-buru, sebaliknya belajar berhenti sebentar dan cuba berfikir sebelum bertindak. Saya tidak pasti AM boleh lulus ujian Dr Azaiddin. Satu lagi, Dr Azaiddin memberi amaran, berhenti mengutis balutan simen.   Saya suka perkataan "mengutis" Dr Azaiddin. Aduhai AM.
Image
Sahabat syurga Sdr sangat bertuah jika mempunyai sahabat yang sejak mengenali hingga akhirnya nanti merupakan sahabat yang terhubung justeru pertautan dengan Ilahi. Subhanallah. Ada sahabat yang pertama kali bertemunya adalah di penjuru atau di pintu masjid. Ada sahabat yang kita mula jatuh hati kerana asyik dengan gayanya dalam majlis ilmu. Lantas persahabatan yang bersemi dan tumbuh menjadi pohon sukma yang rendang rimbun malah. Sahabat yang akan kita kenang selalu. Sahabat yang kita akan rindu saat yang ada hanya sepi. Sahabat yang mengindahkan setiap inci penjuru apalagi perihal kalbu. Saya sendiri merasakan tidak memadai apa yang saya catatkan tentang sahabat di sini. Tidak pernah akan menjadi genap ta'arifannya. Sedang saya  cuba menjadikan al-Qur'an sebagai sahabat yang indah. Tidak pernah akan saya dapat tiba di titik yang melengkapi bulatan yang seluruh kerana pastinya si debu yang berterbangan ini tidak pantas sama sekali mengiringi sahabat semulianya. 
Image
Lagi foto berulang Antara keasyikan saya adalah terhadap puisi. Saya membaca puisi hampir setiap hari. Ia antara asuhan untuk saya menulis dengan lebih halus dalam cerpen. Ia antara asuhan untuk saya membaca bahasa sukma manusia. Foto yang memukau ini (terima kasih sedalamnya kepada yang menitip), membawa saya kepada puisi lama Chairil Anwar, Derai-derai Cemara (1949), ya puisi yang sangat purba, cemara menderai sampai jauh terasa hari akan jadi malam ada beberapa dahan di tingkap merapuh dipukul angin yang terpendam Seperti puisi, pohon kosong yang semakin mengikat saya di ranting, dahan, tangkai malah kesepuhannya ini, menyimpan banyak ajaran. Ia menawarkan antara celah, rongga dan bacaan batin. Mungkin di banirnya nanti akan saya mahu bersimpuh, bertanya lanjut apa yang dia tahu tentang kalbu manusia yang setiap hari melewati jalannya.  
Image
Mihrab Cinta Kampus sudah  kembali ramai. Semester dua kami. Seperti selalu 14 minggu akan berakhir dengan pantas. 14 minggu akan dirasakan sangat sekejap. Seperti selalu juga dalam ramai, ada yang berasa sendiri. Lebih lebih lagi semester ini saya akan bersama-sama mahasiswa tahun 1 yang sangat baru dengan renyah kampus. Biasanya kuliah pertama di samping memperkenalkan kursus, bahan rujukan dan tugasan, saya akan turut mengemukakan panduan dan pantang larang dalam kursus saya. Pertama-tama sekali saya akan selalu meminta mahasiswa untuk berdoa sungguh-sungguh (bukan membaca doa). Mohonlah Allah bantu permudahkan urusan pengajian dan perjalanan hidup. Doa sihat untuk lebih taat. Foto dikirim seorang sahabat. Ia mihrab Masjid Baiturrahman yang masyhur. Saya seperti mahu sekali  membawa hampir 70 mahasiswa saya, mengambil giliran berdoa di penjuru mulia ini. Saya teringat tiba tiba Dalam Mihrab Cinta karya Habib. Ya, mihrab yang menuntun cinta  menuju-Nya.  
Image
Foto ulangan  Antara kemalangan dalam hidup apabila kita ditinggalkan sahabat yang sekian masa menuntun kita ke jalan mengingati Allah. Kita akan rindukan panduan yang setiap hari dibawakannya. Kita rasa kehilangan. Dalam gundah itu Rumi memujuk, walau sahabat itu menjauh, akan selalu ada jendela yang membawa hati kita kepadanya. Dari bahu jendela itu seperti ada juga bulan yang menawarkan satu lorong rahsia, membawa khabar yang mahu kita kirim kepadanya. Saya tahu, lorong rahsia itu adalah doa. Saya bermohon agar dia dipayungi rahmat Ilahi. Aneh. Foto dan catatan lama ini (8 Mac 2015), saya ulang hari ini. Mungkin juga mengenang si bulan penuh. Hari ini 15 Jamadil awal 1438.
Image
Ke Laut Jawi Berlayar berbelok-belok, Sauh dibongkar di tempat tenang; Yang tinggal hati tak elok, Yang pergi hati tak tenang. Saya ingat pantun sarat tamsilan ini pernah kami gunakan dalam sebuah seminar yang dianjur. Mendoakan yang pergi, memujuk yang ditinggal. Pantun ini juga dalam mengenang nenda yang jauh di Laut Jawi. Nenda yang suka berpantun, bersyair, menyanyi dan menurut cerita lama, pernah ada hubungan dengan seorang pelakon masyhur Seri Mersing. Aduhai. F oto ke laut jawi yang pernah dititip sahabat yang punya narasi panjang tentang pantai dan gelombang.  Foto yang saya rapikan kembali.
Image
Laluan Halimunan Suka melihatnya setiap kali melintasi blok dari ruang kerja saya ke pejabat utama. Kali ini ia dirakam dari penjuru yang berbeda. Ternyata ia membawa tafsiran yang tidak sama. Begitulah ia menjadi laluan halimunan akibat tafsiran yang berjarak. Bukankah kita sering  menanggap hal yang sama dengan mata yang berbeda. Itu kata kunci yang kerap saya beritahu mahasiswa, menjadi penulis harus mempunyai mata yang lain, tidak akan jadi persis dengan orang di sebelah. Minggu hadapan kuliah bermula lagi, saya akan bertemu dengan mahasiswa yang harus melihat subjek dengan kepelbagaian peka rasa.Terima kasih sedalamnya kepada sahabat yang menitip foto ini. Ia menawarkan asuhan.
Image
Jalan takdir Melewati jalan ini menuju kampus, saya sering mengenang nenda yang jauh. Betapa saya rindu, betapa saya akan terus mencintai. Rindu dan cinta akan kasih sayangnya yang terus tumbuh hingga ke akhir nafas saya. Subhanallah. Mengapa saya mengenang nenda di jalan (takdir) ini? Mendongak pohon yang tinggal ranting dan dahan kosong, saya pernah bertanya tanya sendiri, inikah jalan akhir saya nantinya. Sewaktu nenda berpulang, ya beberapa hari lagi menggenap empat tahun, siapa pernah menyangka jalan yang digunakan setiap hari adalah jalan yang dilalui menuju penempatan abadi. Allah ya Allah.
Image
A n A lagi.... Dalam rusuh seminggu ini saya menyantuni A dan A, menuju saat perpisahan kami. Aneh apabila mengenang ada tarikh tertentu yang sudah kita tahu, pada tanggal itu kita akan mula kehilangan.   Bagaimana nanti saat saya memerlukan  sahabat untuk menuang rasa apabila AM atau sesiapa sahaja di rumah ini membuat angin taufan saya berputar ligat.  Perit memang. Nyeri pasti. Sedang kasih dan sayang kian mula saya satukan, saya terpaksa memilih jalan ini. A dan A seperti sangat mengerti mata kalbu yang saya titip setiap kali saya  berdoa di hadapan mereka. 
Image
Keluar dari wad AM tempohari, pertama yang saya cari adalah coklat. Zahar dan AM menemani saya ke CS. Seperti keluar daripada kurungan halimunan, saya mendapatkan FR, Whittaker's dan sangat bahagia menerima kehangatan matahari. Alhamdulillah. Terima kasih kepada semua sahabat yang mendoakan AM dan masih terus mendoakan. Amat saya hargai sedalamnya. Saat mengetik ini, saya membaca kembali pesanan ringkas daripada HIAZ antaranya dititip pujukan al-Bukhari: Tidaklah Allah menurunkan suatu ujian atau penyakit melainkan  Allah menurunkan sama penyembuhnya. Saya mencicip Reese's dengan linangan airmata. 
Image
Ternyata saya masih gembeng. Pulang ke rumah selepas dua malam di wad AM, saya bertambah kasihan melihat AM. Saya langsung tidak menoleh basikalnya yang berdiri di bahu pintu pagar rumah. Saya seperti mahu membuangnya ke sungai. Saya sudah mula ada alahan dengan "basikal." Ingatan dari Dr Azaiddin: tidak ada bola, tidak ada basikal untuk dua tahun ini. Kasihannya anak mummy. Saya mula memikirkan pengisian lain untuk AM yang ternyata masih rancak walau tangan kirinya tergantung untuk empat ke enam minggu ini. Sesekali saya melihat AM seperti si jenjang gantungan Togari di ruang kerja. 
Image
Pasangan sahabat AM, Kamila dan Khayra datang berziarah. Saya sangat terharu dengan setiap ziarah hatta hanya yang singgah dengan mata qalbu. Saya sangat rasa diiringi dalam berjarak dan diam. Ujian hanya datang di pintu rumah yang disayangi Allah. Sabar, solat dan bersyukurlah. Pujukan yang selama ini saya simpan dalam saku, kali ini diucapkan Ibu K dan K, sahabat rapat saya. Cukuplah Allah bagiku dan Dialah sebaik-baik Penolong. Itulah penuntun yang karib. Itu juga penguat saat K dan K sekeluarga berdepan dengan ujian besar di penjuru tahun lalu. Saya mendakap K dan K yang comel lalu bisik Kamila, mata auntie sudah berkaca. Dan saya semakin jadi perempuan tua yang sangat cengeng!  Bukan kepalang malunya saya.