Posts

Image
Menghargai.
Image
Saya tidak fikir mahasiswa saya teruja saat saya berdiri di hadapan dewan kuliah  memperkenalkan sehimpunan sasterawan nusantara. Bermula dari Ricardo, sarjana-penyair Mindanao sehingga kisah Veera, Phiulavanh atau Thida yang pernah dipenjara. Saya tidak dapat mengesan sebarang riak sepertimana taajubnya saya melihat sosok profesor saya yang dianugerah Sasterawan Negara. Mengisi separuh kecewa, saya mengenang macaron dan coklat khas yang saya terima di meja kelmarin. Ternyata duduk mencicip manisan itu lebih memujuk. 
Image
Seperti sebelumnya saya malu untuk pajang foto sendiri di sini. Namun sekali lagi ini sebagai kenangan. Alhamdulillah syukur. Saya tidak pernah terfikir akan tiba di  sini. Seperti ucapan ringkas saya di sidang media, saya berterima kasih kepada UKM dan mahasiswa kerana mendesak untuk saya terus menulis. Pasti juga keluarga yang mendukung. Terima kasih sedalamnya buat Sdr yang sangat mengilhamkan. 
Image
Saya belayar lagi. Kali ini tanpa ucap selamat dan sisa peduli. Ia sepertinya menuju mati.
Image
AM meneruskan perjuangannya pagi ini. Saya seperti melihat AM bersama sama sehimpunan kuda yang cantik di Perbukitan Indera. Saya melihat julangan semangat menyertai mereka. Syafakallah Matiin.
Image
Selain berdepan dengan banyak pemergian, satu lagi yang perih dalam hidup, apabila harus duduk bersama-sama dengan ingatan yang kian hilang. Itu juga satu jenis pemergian, Sdr. Saya pernah menangis kerana harus memperkenalkan diri kepada Nenek Merah. Sedang saya merupakan cucu sulung, cucu yang disayangi. Nenek Merah mengalami amnesia. Sdr dapat bayangkan sejuta getar kesedihan saya? Saat banyak yang kian dilupa, bukan sebab usia Sdr. Saya percaya, ada jalan rahasia yang mahu disimpannya sendiri. Sepertinya, memaksa diri untuk melupakan.  
Image
Saya kian hilang.  Apa yang pernah dijalani seperti lajur mimpi lalu meminggir dan menggelap.  Dia mengheret saya masuk ke ruangan amnesia, Sdr. 
Image
Rutinitas.  Akhirnya  jadi angin yang berlalu hilang ke laut Jawi.  Kosong. Atau mungkin tinggal jadi debu rindu yang menghilang tahun.
Image
Pura-pura. Rupa-rupanya itu sebuah permainan. 
Image
Saya hampir kembali ke sarang. Dalam memintas keluk, antara membelah tanjung dan selat, pencarian saya masih belum terpenuh.  Saya jadi hiba, Sdr. Saya gagal.
Image
Saya masih melayah, mencarinya. 
Image
Image
Saat dia mungkir, saya tidak tahu kepada siapa lagi mahu saya andalkan percaya. Saat dia menghilang, begitu saya kematian cinta.  
Image
Saya akan terbang lagi. Mencarinya. 
Image
Kesalingan yang sudah banyak hilangnya. 
Image
Ustazah dhuha kami mengingatkan,  untuk merawat hati yang sakit (tidak nyaman melakukan ibadah) adalah menerusi berlapar, qiyam,  banyak berdiam,  bersahabat dengan al-Qur'an, dan duduk dalam majlis ilmu. 
Image
Oktober hampir menuju hujung musim. Sedang baki November dan Disember sudah begitu padat. Ini mungkin antara yang disebut Rumi dalam Diwan Syamsi Tabris,   dunia ini bagai Thursina, dan kami adalah Musa pencari sinar-Nya. Setiap petunjuk datang dari-Nya, puncak gunung ini pecah berkeping-keping ...
Image
Saya kian  banyak kehilangan tangan yang sedia menuntun. Sisi yang baik ia akan menumbuhkan keteguhan. Tambahan saya juga semakin tua dan perlu mempunyai kekuatan sendiri. Sisi yang satu lagi, menjadikan saya kian tidak lagi peduli dengan, hirau atau tidak orang lain terhadap saya.  Saya kembali kepada andalan hakiki, Sdr. Benar, saya kembali menjadi sendiri. 
Image
Setelah sekian pekan berselang bulan, saya menghitung dan akhirnya menggenapkan hati. Saya mahu membuang setiap bayang. Saya mahu memadam saban andalan yang sekian tahun ini saya diminta untuk menyimpannya. Biar bukan saya yang memulakan. Biar bukan saya yang  memilih. Biar juga dengan kedunguan sendiri saya meneduhkan runtunan rengsa ini.  
Image
Dia memasuki mimpi saya sekian kali. Ke mana lagi saya mahu lari. 
Image
Dia muncul tiba-tiba pagi ini di jendela ruang kerja, setelah sekian masa menghilang entah di hijab mana.  Seperti sebelumnya dia membawa pesona. Mengingatkan yang saya juga akan terbang lagi. 
Image
Sejak semalam, sewaktu mula memandu, di langit pagi ada Safar penuh yang tersangkut cantik. Suatu masa dahulu, saya sering dititip foto bulan penuh yang indah sekali, menjadi gantungan langit malam yang berjelaga. Keindahan itu saya pindahkan pada watak perempuan bulan penuh yang sangat bertuah. Selain jari runcingnya pintar memetik harpa, dia juga menjadi pujaan seorang lelaki tua yang kerjanya membaca manuskrip lama di penjuru kutubkhanah. Jauh kemudiannya mereka bersama-sama hingga ke Tongariro, Kapiti dan Kota Sitti Nurbaya. Hingga di satu lorong takdir, mereka harus menerima surat ketentuan. 
Image
Saya kehilangan guru yang sangat besar jasanya. Usai kuliah senja semalam, saya dititip pesan. Cikgu Azhar meninggal dunia . Ramai yang aneh bagaimana Cikgu Mohd Azhar Su dari Terengganu menjadi guru penulisan saya yang pertama. Cikgu Azhar merupakan pelatih maktab MPTI, Johor Bahru. Ketika menjalani latihan mengajar di sekolah kami, Cikgu turut menawarkan bimbingan penulisan secara sukarela. Hasilnya, cerpen pertama saya disiarkan di Mingguan Famili pada 15 Mac 1986, benar, sewaktu saya di tingkatan 3. Setiap tahun meraikan Hari Guru, ucapan terima kasih Cikgu saya kirim khas untuk asuhan bertahun itu. Beberapa hari lalu saya masih sempat bertanyakan kesihatan dan berjanji akan menziarahi Cikgu di Institut Kanser Negara. Ternyata Allah Maha Mengatur. Cikgu Azhar yang banyak jasanya itu kembali ke jalan datang 15 Oktober 2019. Al Fatihah. Salam takziah yang dalam daripada saya sekeluarga buat Kak Zie dan anak-anak. 
Image
Sekian masa kita mengagumi manusia. Sekian waktu kita memuja. Sekian kesempatan kita mengingat. Turut kita bersahabat atas nama sanjungan. Sedang, Maha Suci Dia dan puji-pujian bagi-Nya. Sebanyak jumlah makhluk dan keredhaan-Nya. Seberat arash dan sebanyak kalimah-Nya. Kita sering lupa. Saya sering berdiri dalam bayang. 
Image
Aku menulis seratus surat, aku menulis seratus jalan Tampaknya tak kau baca selembar surat pun, Tampaknya tak kau ketahui satu jalan pun! Rumi
Image
Dia bayang.  Usahkan janji. Apalagi harapan. Fatamorgana.  
Image
Dia pernah mahu menitip kado, tapi tidak tahu ke mana ia harus dialamatkan.  Atau diminta pawana menghantar.  Atau lewat bulan penuh yang seperti mengerti apa isi hatinya.  
Image
Saya senang bertemu kembali dengannya. Ternyata dia juga kian mencintai al-Qur'an. Kami bersetuju, segala perih, sedih atau resah, ubatnya hanya al-Qur'an. Ternyata kami berbahgi doa penutup al-Qur'an yang sama. Mudah mudahan Allah memberi kurnia nikmat bersahabat dengan al-Qur'an siang dan malam. Seperti hasrat seorang anak, yang mahu membaca al-Qur'an hingga di syurga. Subhanallah.
Image
Sejak pulang dari perjalanan beberapa pekan lalu, saya senang menikmati tembang Jowo. Ada rahasia. Ada cerita. Ada plot yang seperti memanggil-manggil untuk saya bangunkan segera. Dahulu waktu kecil, tetangga kami, mbah Jowo sering perdengarkan tembang waktu malam, sepertinya menjadi peneman tidur malam yang paling nyaman. Nenda saya juga Jowo. Saya juga rasa darah yang mengalir ini dari salasilah sana. Matur nuwun. 
Image
Ulang Rumi dalam Rubaiyat, perihal malam yang sentiasa saling membahagia. Sedang dalam hatinya ada bara api yang menyala daripada keindahan-Nya. Lalu ujar dia, jika kau punya nyali, datanglah ke mari. 
Image
Saya menamakannya pintu hakikat.  Lawang yang membentang perihal meninggalkan, menjarak dan melepaskan. Usah lagi dinafikan. Dia akan pergi.  
Image
Kembali ke garis rutinitas dari perjalanan lama, rupa-rupanya adalah pintu.  Ia menyibak lalu membentang hakikat. 
Image
Sangat rahasia dengung dan talun yang membalik antara dinding dengan renung.  Benar, mantera lewat tembang yang menghantar cantuman narasi tentang dia. 
Image
Berjarak daripada rutinitas, sering mengheret saya ke ruang lalu lintas yang asing.  Bertemu yang baru tak akan mampu memadam apa yang sekian masa merangkul dada.
Image
Pengarang yang saya kenali sekian tahun. Melestari jawi. Syabas Sdr Isa Kamari.
Image
Image
Hujan membancuh angin yang sangat memujuk petang ini. Banyak sekali bujukannya. Perihal ketergesaan juga. Lewat kuliah falsafah kelmarin, saya menyitir dari al Qur'an betapa manusia itu tabiatnya tergesa-gesa. al Isra'. al Anbiya'. Rupa-rupanya tergesa-gesa adalah penyakit. Benar, barangkali itulah penderitaan saya. Maka saya anjurkan pelajar (diri saya sebenarnya) untuk sering mengambil jeda. Menghirup wangi bunga. Sabar memerhati titik hujan. Berasa tenteram dengan ketidakpedulian. 
Image
Benar Sdr, al-Qur'an itu huda, rahmah dan syifa. Saat saya diuji dengan kesihatan, dan mata yang cepat penat, ubat saya adalah baris dan dengung al-Qur'an. Tiap huruf dan tanda, saya perhatikan lama. Merenung dan menatapnya sama seperti saya meneguk nikmat ubat. Mudah mudahan ia mujarab. Mudah mudahan ia penawar yang sangat sakti. Benar Sdr, saya sangat pasti.
Image
Saya bersiap-siap untuk berpergian lagi. Dalam menyusun langkah tua, saya kuatkan semangat. Dorongan Nenek Merah ternyata masih melantun-lantun. Rapikan ikat tali kasutmu. Pastikan langkah yang benar. Tidak bengkang-bengkok. Begitulah selalu nasihatnya, saat melihat saya tidak tentu hala!
Image
Allah menghantar isyarat lagi. Saya sudah tua. Saat saya kian tiba. Mata saya kian mudah lelah malah selalu strain. Bacaan tertentu dalam tubuh saya juga sudah tidak menentu. Dalam saya diserang pelbagai ketakutan, saya masih mahu mengharap. Benar Sdr, raja' dan khauf. Harap dan takut. Itu yang saya rasakan sekarang. 
Image
Dalam banyak keanehan beberapa hari ini, dua buah buku yang aneh juga menerbitkan sebuah cerpen saya yang sama. Bertemu Lagi Perempuan si Pemetik Harpa. Ya, sequel daripada cerpen Perempuan si Pemetik Harpa. Kali ini mereka, lelaki tua itu bertemu dengan Perempuan Bulan Penuhnya, di Kota Sitti Nurbaya! ( Sebenarnya penerbitan ini hanya berbeda versi negara. Ia dilancar sewaktu Pesta Buku Jakarta yang baru lalu...)
Image
Kita seperti menghuni di Negeri Kabut. Ia juga adalah judul buku Seno. Ia menyimpan banyak cerita dan pasti juga rahsianya. Ia menjadikan dia halimunan. Ia menjadikan dia ada dan sekejap membawanya pergi. 
Image
Miqdad. Ternyata dia masih mengekori saya pulang. Dia menyelinap, masih antara karangan laut yang cantik dan sesekali menyusup dan bersembunyi di sebalik ingatan dan harapan. Mengenang dia adalah Miqdad yang menjadi ikan. Sebelum itu pula, pernah dia berlari dengan kudanya di perbukitan Indera. Saya jadi kian mengasihi dia. Sepertinya dia sendiri, Sdr. Benar baru sekarang saya menyedarinya. 
Image
Sewaktu di sekolah menengah atas, saya mempunyai guru Sejarah yang kurang deria dengarnya, tapi luar biasa sekali penceritaannya tentang sejarah dunia, dari Tanah Melayu hingga ke siasah Moghul. Namun saya masih tidak memilih mata pelajaran ini, setidak-tidaknya berbanding Geografi yang akhirnya menempatkan saya diterima masuk ke jabatan tersebut di kampus Bangi. Akhirnya saya sedar kedua-dua bidang pengajian itu banyak mengheret saya ke ruang pemaknaan kemanusiaan, bergandingan dengan lapangan kesusasteraan yang sangat saya cintakan. Apabila diminta sahabat, MKH, menulis tentang novelnya, Celam Celum Kuala Kubu, saya menziarahi semula kelas Sejarah, Geografi dan Kesusasteraan Melayu, di sekolah dahulu. Indah sekali.
Image
Dalam banyak pertelingkahan, saat berdiri antara aneka tikungan, dia meminta saya merujuk cepat  helaian Faathir. Benar, tentang Pencipta.  Mudah mudahan saya bertemu dengan jalan penyembuhan.
Image
Cerpen terkini saya, Berdiri di Ulee Lheue, dan Miqdad Menjadi Ikan ( Berita Harian, 8 September 2019) merupakan catatan perjalanan sekali lagi untuk menyantuni anak-anak yang memerlukan perhatian. Miqdad itu adalah mereka.  Kali ini Miqdad menjadi ikan, dan dia menyelinap antara arus yang merintang. 
Image
Terima kasih Sdr Mohd Nazmi Yaakub, editor Berita Harian yang menyiarkan cerpen terbaru saya ini. Ia sequel dari Pada Hari Saya Bertemu Miqdad ( Berita Harian, 29 Oktober 2017). Ia merupakan catatan kembara. Mudah mudahan saya dapat ke sana untuk bertemu Miqdad lagi. Insya-Allah. 
Image
Saya membaca draf memoir yang dikarang seorang sahabat. Ia sebuah memoir perubatan. Ia juga tentang pemergian dan kehilangan. Saya senang sekali membacanya. Dan menemukan satu tanggapan bahawa, ini bukan soal kehilangan, tetapi perihal pinjaman.
Image
Mungkin ini ulangan lagi. Mungkin kita belum pernah atau jarang-jarang menerima titipan doa seindah ini dari sahabat yang mendakwa mengasihi. Makanya sejak lama, saya mahu sekali bersahabat dengannya. Dia akan selalu ada. Dan yang lebih tulus, memperoleh doanya (Ghaffir: 7-9) Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhan-Nya; dan beriman kepada-Nya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): Wahai Tuhan kami! Rahmat-Mu dan Ilmu-Mu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu, dan peliharalah mereka dari azab neraka. Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam syurga Adn yang Engkau telah janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Dan p...