Posts

Image
Terima kasih Sdr Hafizah Iszahanid yang menyiarkan Lelaki Pantai dan Sehabis Gerimis dalam Berita Harian 14 Mei 2023. Cerpen ini terkait dengan entri sebelumnya yang berkisah tentang cuaca dan ragam perasaan manusia. Seperti cuaca sekarang yang tidak menentu petir dan terik siangnya, begitulah saya berdepan dengan laku dan bahasa perasaan manusia yang sering bersilih silang. Bertukar musim. Datang dan pergi.  
Image
Cuaca bahang dan guruh bersilih. Haba ketuhar berhimpun di ruang siang. Beberapa hari ini saya memandu pulang dalam hujan deras. Begitulah cuaca di peta ramalan dan bagaimana demikian manusia berubah. Saya tidak jadi musykil apabila tingkah turut bertukar.  Beginilah agaknya ketika dupa wangi Tabriz kian menipis dan sedik it demi sedikit hilang bersatu dengan angin.  Baru saya sedar betapa rumitnya menjadi Rumi ketika satu persatu deru datang dan bersilang pergi. Menjadikan begitu sulit untuk diterka culas benarnya. 
Image
 Almarhum Prof Dr Farid Onn. Al fatehah. Setepatnya waktu dhuha, Jumaat Syawal hampir seminggu, menerima khabar duka  dari ketua saya yang menyentak. Baru juga kami bercakap untuk menziarahi Prof Farid. Langgam cerita yang cliche tapi sangat menghibakan. Sewaktu saya muda sebagai Tutor,  Prof Farid antara guru Stilistika yang kerap saya rujuk. Kami bersahabat dan saya banyak dituntun dalam perihal kesarjanaan. Tulisan awal saya di Jurnal Perisa 1995, menggunakan analisis stilistika. Saya merujuk Prof Farid lagi. Saya dibimbing editor JP yang serius, Syed Jaafar Husin.  Tulisan itu di bawah kursus Stilistika Prof Sahlan Mohd Saman. Dan saya meneliti puisi Dharmawijaya. Masya-Allah. Tulisan itu membuat saya dikelilingi tokoh-tokoh yang luar biasa!  Foto ini saya rakam ketika kami -  Dr Rosnah Baharudin, Dr Misran Rokimin dan saya - diajak Prof Farid ke rumah SN almarhum Pak Abdullah Hussain (yang kemudian baru saya tahu mereka ada hubungan keluarga menerusi...
Image
  1 Syawal 1444 Salam lebaran. Taqabbalallahu minna waminkum. Maaf lahir batin.
Image
  Ramadhan 30 Percakapan kami perihal masa depanku Penutup Ramadhan. Saya berasa lelah ketika menoleh 29 hari yang saya jalani. Ampuni masa lalu saya. Rahmati apa yang sedang terjadi. Tetapkan langkah masa depan saya. Benar, menjelang Syawal mengingatkan saya untuk kembali kepada fitrah. Perlunya saya ruang percakapan itu.  Taqabbalallahu minna wa minkum.
Image
Ramadhan 29 Ujian Sepanjang Jalan Begini bujukannya: ujian itu bukan untuk menyakitkan, sebaliknya membawa kita kembali ke jalan pangkal. Saat diuji yang selalunya kita berasa perih, pada ketika itulah kita mahu didukung, diamankan dan dirangkul. Bukankah itu yang kita mahukan? Jadi, ujian itu membahagiakan, bukan? Kurnia.   
Image
Ramadhan 28 Amal Rahsia  Baca al Qur'an dengan beberapa ingatan. Apa yang harus diperbuat dan apa yang tidak. Puji-pujian yang harus dilantunkan.  Perutusannya. Apa tindakan menurut yang dibaca. Mudahkan orang lain . Bantu walau hal yang sepele. Dan lakukan semuanya kerana Dia.  Catatan tentang pertanggungjawaban. Dan simpan serapatnya.   
Image
Ramadhan 27 Istikhara Biar ia jadi penunjuk arah, saat saya berdiri di tikungan yang aneh. Saat itu menurutnya, pertimbangkan dua ini - redho-Nya dan kebaikan untuk di sana nanti. Biar ia jadi yang mengamankan resah. Biar ia menterjemah keyakinan kepada gerak. Biar nanti ada berkah. Namun yang sukar dan mungkin saja saya gagal untuk lakukan adalah - segera melangkah. Sering juga pula jawapannya dalam kelam. Mengapa? Sebabnya adalah kerana saya melihat apa yang mahu saya lihat dan bukan melihat apa yang  Dia mahu saya lihat . Ini adalah jalan penyerahan dan keyakinan. Ini adalah jalan yang memerlukan saya untuk bertindak.   
Image
Ramadhan 26 Sabar   Sabrun jameel. Benar,  hanya jika ia dapat berlaku  pada detik yang tepat. Dan saya bukanlah begitu. Saya bukan seorang penyabar, walau mahu selalu belajar untuk itu. Maka saya membaca tiga pelajaran ini dari surah masing-masing. Mudah mudahan dengannya saya akan dapat bersabar. 1. al Anfaal: 46 - Allah bersama orang yang sabar. 2. ali Imran: 1 46 Allah mencintai orang yang sabar. 3. an Nahl: 126 Orang yang lebih baik adalah mereka yang sabar. Maka saya pastinya mahu selalu bersama-sama Allah. Saya juga mahu menjadi yang dicintai. Saya harus sering mahu menjadi lebih baik. Dengannya nanti, benarlah sabar itu indah!
Image
Ramadhan 25 Doa Doa adalah titik kebersamaan, titik keintiman. Ia adalah ruang paling peribadi dan khas. Sehingga ditulisnya begini, usah dibiar syurga merindui suaramu. Jadilah  sebagai yang ditandai menerusi lantunan doamu. Maka diujar di sana nanti, Wahai Yang Maha Pengasih, bukankah itu suara yang sangat  dikenali, suara si peminta yang sangat hangat. Saya mahu menjadi pemilik suara yang dicintai yang di Sana...  
Image
Ramadhan 24 Harapan Begitu  dengan harapan kita dapat melanjutkan langkah hidup. Harapan juga yang membekalkan sayap untuk kita dapat terbang ke Sana. Dengan Ramadhan yang masih berbaki, saya masih memerlukan sepasang sayap...  
Image
Ramadhan 23 Penyerahan diri Ini sangat memujuk: Hidup ini adalah kegentaran. Dunia ini sangat menakutkan. Sedang kaki kecil serta keupayaan yang kian tidak bermaya, maka saya memilih-Nya. Hanya Dia yang selalu ada dan siap untuk mendukung, untuk saya bersandar, berharap dan berlindung . al Wakil. Dan inilah laluan penyerahanku.  
Image
Ramadhan 22 Dunia yang hanya Begitulah bunyi terjemahan saya. Dunia yang hanya menjadi jalan untuk ke Sana. Maka apakah dari dunia yang dapat saya manfaatkan sebaiknya. Apakah jalan yang dengannya saya berasa nyaman, ada kelunakan, sehingga diyakini ia adalah sebuah pilihan.     
Image
  Ramadhan 21 Penutup Dunia ini sangat memerangkap. Sehingga ia begitu kuat mengikat kaki dan hati. Sepertinya di  sinilah titik keabadian dan kebahagiaan. Sedangkan, kita masih dalam perjalanan panjang menuju sana. Penutup jalan.
Image
Ramadhan 20  Percakapan kami perihal masa kiniku al Ghafur, ampuni kehidupan saya yang senantiasa dilengahkan. Bantu saya ingat, jernih, luruskan. Semoga penyerahan ini adalah kerana cinta...kerana saya mahu. 
Image
  Ramadhan 19 Ujian Janji Allah itu benar. Dalam hidup, banyak saya berjumpa dengan yang mungkir, malah banyak yang berpura-pura, berdusta. Sehingga saya hilang percaya. Sering juga saya rasa diperdaya. Dan ia adalah ujian. Saat itu saya harus yakin hanya Dia yang Maha Melihat, Mendengar dan Memahami goncangan yang ada. 
Image
Ramadhan 18 Pengakuan Kembali kepada pengakuan tentang keberadaan. Menyitir baris Rumi, meraikan tiap apa yang singgah. Bersyukur akan kehadirannya yang datang dengan nama, kurnia.  
Image
  Ramadhan 17 Matematika hidup Aneh juga bunyi terjemahan saya ini. Ya, audit sering dihubungkan dengan kira-kira. Di tempat saya bertugas, hampir setiap masa ada sesi pengauditan yang sangat melemaskan. Ia melibatkan banyak kerja dokumentasi yang berulangkali disemak, dirapi dan diulang lagi. Banyak senarai semak yang harus dipatuhi. Lalu, pernah saya bertanya sendiri bagaimana pula kerja semakan dan pengesahan itu terhadap ihwal dalaman saya. Adakah sebegitu tegar dan rapi saya menyimak terhadap apa yang sudah saya perbuat sekian relung usia. Dan di hujung pemeriksaan itu, matematikanya, adakah saya dapat melepasi syarat dan hukum? Adakah saya mempunyai kekuatan untuk meleraikan? Adakah saya harus melakukan perubahan demi untuk lulus dalam ujian saban datangya?
Image
  Ramadhan 16 Penugasan tunggal Terjemahan ini mengheret saya masuk ke ruang perenungan lebih dalam tentang tanggungjawab dalam hidup. Saya harus belajar memusatkan fikiran dengan menyantuni, mengasihi tiap apa yang sedang saya kerjakan. Melakukan satu-satu tanggungjawab dengan iltizam dan kefahaman yang seni. Bagaimana sekian masa hingga sekarang saya masih terperangkap dalam rencam-kerja yang dituntut  jadual harian. Sering saya rasa menjadi manusia mesin. Begitu saya sentuh-lalu hampir semuanya tanpa ada rasa, tanpa ada jiwa.  Maka terjemahannya mahu saya tulis sebagai Sepenuhnya pengertian... yang mungkin juga masih tidak bersetuju dan ada yang belum lagi saya fahami.
Image
Ramadhan 15 Percakapan kendiri Saya sebenarnya mahu menterjemahkannya sebagai percakapan sukma. Menurut Aliyah lagi, dalam penerokaan swacinta, mencintai diri, banyak ruang dipenuhkan dengan percakapan dalaman ini. Seringkah kita bercakap sendiri ? Monolog dalaman. Monolog jiwa. Monolog sukma. Usulannya, renungkan sedalam mungkin tentang diri dan itu adalah jalan kebijakan - manfaatkan ruang fikir sebaiknya.   
Image
Ramadhan 14 Swacinta Saya ternyata belum kenal makna mencintai diri sendiri ini. Memelihara jiwa dan perasaan sendiri, ya? Atau mengenal diri dalam persiapan mengenal Dia. Diri - jiwa dan raga sendiri itu ternyata jauh lebih bermakna dan berharga untuk jalan ke sana. Saya cuba memahami Aliyah.  Bacaan ini akan saya ulang dan ulang. Benar, ia belum sudah  
Image
Ramadhan 13 Ihsan Perjalanan sebagai muslim - mukmin - muhsin. Bukankah kita berasa senang saat ada yang ambil peduli. Maka menjadi muhsin itu indah kerana akan selalu diperhatikan, diawasi dan dipelihara. Dan ini adalah ruang khas - hanya berdua. Ruang peribadi yang sangat rahasia.   
Image
Ramadhan 12 Hari Terakhir Mudah mudahan hari terakhir adalah hari terindah. Hari yang terpenuh dengan kesibukan berbuat baik. Diberikan kesempatan untuk merenung dalam setiap gerak, walau sekejap. Jadual lima waktu sebagai penggera untuk selalu dalam jalan kebaikan antara sela jedanya. Semoga.  
Image
  Ramadhan 11 Keberadaan Hanya peluang ini yang saya ada. Satu-satunya. Kesempatan yang seharusnya tidak disia-siakan. Syukur pada setiap apa yang dapat dilihat. Nikmati getar bibir saat mengungkap syukur.  Nyaman mendengar saban bunyi. Raikan apa saja yang  masih dapat dirasakan. Mereguk kesalingan ini untuk tetap berada dalam rangkulan. Tuntun saya ke mana sahaja asal kita selalu dapat bertemu.
Image
  Ramadhan 10 Percakapan kami perihal masa laluku Cepat sekali 10 hari berlalu, dan ia tak akan kembali. Tiada ziarah ulang melainkan ia datang semula sebagai kenangan dan pelajaran.  Sedang saya masih berbuat salah dan lupa akan apa yang telah dipelajari. Atau apabila saya ingat, saya berbuat khilaf lagi. Ketikanya saya jadi malu apabila perhatian datang tak kunjung henti walau dalam tidur, walau dalam riuh. Bukankah masa lalu itu adalah sebuah daerah cinta. Ciptaan terindah tiap satunya untukku.  
Image
  Ramadhan 9 Saat diuji  Hanya yang terpilih. Gegar atau gempa, dan saat itu kepada siapa lagi hati akan berpaling melainkan Dia! Ternyata Dia ada, selalu ada dan mahu kita bersama-Nya sepanjang jalan ini. Benar, ia adalah jalan bening. Ia adalah jalan cinta. 
Image
  Ramadhan 8 Ketentuan Pertahankan keyakinan dan kepercayaan ini. 
Image
  Ramadhan 7 Memaafkan Saya cepat membaca bab ini sepertinya mengarus air sungai yang nyaman menyelinap pada waktu dini. Mungkin juga itu yang saya tempuh. Saya berasa tenteram untuk memaafkan walau sering disakiti. Kata Rumi lagi, kehidupan adalah ketimbang antara upaya mempertahan dengan melepaskan. 
Image
  Ramadhan 6 Pertaubatan Katanya, tidak pernah akan terlambat. Apa yang penting: melangkah masuk dengan seluruh harap. Ini adalah jalan utama Ramadhan.  Datanglah dengan setiap cela, tangisan dan penyerahan. Dia menunggu selalu.  Ternyata saya mengambil masa lebih panjang untuk membaca bab ini. Harus saya ulang dan ulang lagi. Masih belum selesai.  M eruntun.  
Image
  Ramadhan 5 Ketakutan Imbuh ketakutan saya akan kehilangan arah menuju-Mu. Takutnya saya akan kehilangan cinta ini. Takutnya saya takat cinta yang tidak terpenuh.  Takut saya dengan bekal harapan. Pelihara perasaan takut dan harap ini, yang Maha Pengasih. Dan lewat Ramadhan, dalam mengharapkan pengampunan, takut sekali berbuat sesuatu yang menghalang saya daripada dapat merangkulnya.   
Image
  Ramadhan 4 Syukur Betapa saya mahu rasa cukup. Saya mahu melihat apa yang sudah saya terima dan bukan lagi mencari-cari apa yang hilang. Saya yakini, dengan lebih banyak berterima kasih, kian dapat dilihat apa yang selama ini saya terlupakan. Terima kasih kerana tidak pernah meninggalkan, malah terus melindungi. Terima kasih memberikan rasa untuk saya selalu bersyukur. 
Image
Ramadhan 3 Cinta Bagaimana saya tidak cinta? Sukma cinta ini adalah milik Dia. Saya dicintai akan si Pemiliknya. Maka, saya memilih cinta ini.
Image
  Ramadhan 2 Penanggungjawaban Mudah mudahan saya dianugerahkan  keupayaan untuk bertanggungjawab terhadap perjalanan menuju-Nya. Saya harus bertanggungjawab atas pilihan untuk berperan. Harus belajar mengakui bahawa hanya Dia sebagai Penolong dan selalu menjadi Petunjuk. Hanya Dia.  
Image
  Ramadhan 1 Perenungan Perlunya saya berjeda dan berjarak daripada rutinitas. Masuk ke ruang diam. Sangat benar kata Rumi, banyak yang dapat didengar saat sepi dan sendiri. Ruang untuk menghela nafas, menaakul dan memerhati. Melihat apa yang seharusnya dan bukan apa yang saya mahu.  
Image
  Bismillah. Ramadhan adalah bulan yang mengasuh tentang diri dan hubungan diri dengan yang lain, khas, tautan hati dengan-Nya. Ramadhan sepertinya bulan yang melepasi garis lazim. Bulan yang  akan diperbuat sepanjangnya sesuatu yang berbeda untuk tujuan perangkulan. Benar, penaakulan juga. Hati yang lunak, fikiran yang melingkari ke sana dengan menggenapkan penyerahan penuh cinta.   
Image
Foto danau lagi. Terima kasih Kartini. Sangat saya rasakan keintimannya. Ia sangat mendekat dan hangat. Tapi saya bersiap untuk melepaskan satu persatu, ya setiap satunya. Dan harinya kian menjelang.   
Image
tiga kuntum mawar cantik yang sering datang bersama semiotika cinta    Saya berkenalan dengan pantun ini daripada Prof Umar Zein sewaktu dalam perjalanan lepas: Bukan titik membuat tinta, Tapi tinta membuat titik; Bukan cantik membuat cinta, Tapi cinta membuat cantik.  
Image
Semua akan berlalu, katanya, dan ia akan menjadi riwayat. Sama ada nanti ia akan terus dikenang atau mahu dibuang. Ini foto danau yang indah. Terima kasih Kartini yang merakam cantik dan senang untuk saya melihatnya selalu. 
Image
Saya masih mencari antara para-para buku toko G. Masih meninjau antara kenangan dengan ingatan. Ketika ketemu, saya membaca lirih Ketika Kau Tak Ada. ... kalau tak ada di antara jajaran cemara itu kepada Siapa meski kucari jejak nafasmu maghrib begitu deras, ada yang terhempas tapi ada goresan yang tak akan terkelupas  
Image
Saya belum pernah ke USU walau jauh lama dahulu mengenalinya menerusi almarhum Pak Samin Siregar. Senang sekali untuk datang dan beramah mesra. 
Image
  Masuk tahun ketiga sejak wabah. Ada sisa ketakutan yang saya sendiri tidak pasti mengapa dia harus masih duduk di situ. Saya coba untuk ambil pesawat sekali lagi dan menyambung terbang, sekurang kurangnya sebelum Ramadhan tiba di pintu. Insya-Allah. Benar, sebelum saya membuka jurnal Ramadhan yang saya sendiri janjikan genap pada tanggal 1 nanti, ada baiknya saya belajar daripada sekarang untuk terbang dan meninggalkan. 
Image
  Kenangan duduk bersama-sama Usman Awang di ruang menulisnya di Kampung Tunku. Itu ternyata sebaris ayat magis. Apalagi pinggan nasi makan siang saya turut diisi sendiri Usman Awang. Manis! Dan semua itu sudah berlalu hampir 30 tahun lampau. Seperti Kekasih , ia akan selalu datang dan mendekat.
Image
Dua kuntum mawar merah. Sengaja saya letakkan di hujung kenangan. Sebelum ia layu, kering dan berlalu.  
Image
  Memasuki Sya'aban bermakna saya harus mula bersiap, sama seperti tahun-tahun lalu. Mencari buku yang perlu disudahkan dalam Ramadhan nanti, di samping melanjutkan bacaan al-Qur'an yang terus dalam dakapan. Saya cuba dapatkan ini. Nanti saya akan berbahgi, insya-Allah. 
Image
Kita memasuki Sya'aban.  Setapak menuju puncak - Ustaz Dr Azlan Shaiful Baharum
Image
  dari taman kecilku ... Februari. Saya tak pasti mengapa ia  dinamakan bulan kasih sayang. Bulan penuh cinta. Mungkin juga kerana ada tarikh khas ketika mawar dikirim sebagai tanda. Saya tidak percaya. Itu mitos yang selalu mahu memujuk dan mungkin juga lebih banyak topeng pura-pura. Beberapa ketika ini saya membaca al-Qur'an. Saya diberikan al Anbiya': 83 dan saya bertemu Yusuf: 64. Bahawa Allah itu sebaik baik penjaga dan Maha Penyayang di antara para penyayang! Dan saya pastinya mahu disayangi dengan harkat yang sebegitu terhormat.
Image
  Mendakap kembali sahabat lama dan menerima salam teman baru, sama hangatnya. Saya masih senang meraikan apa sahaja yang menjunjung persahabatan. Terima kasih Else dan Ayu. Tak akan saya lupa, saat kita bertiga bersama-sama berdoa pada senja yang panjang itu. Kita mohon mendapatkan kelurusan. Allah  yang Maha Meluruskan hati dan kaki. Menjauhkan kita daripada kebengkokan dan dusta yang berselerakan di mana-mana. Hatta sampai ke gunung dan lembah, lalu masuk ke pengakuan sendiri. 
Image
  Fakulti kembali sepi. Cepat sekali satu semester datang dan pergi. Mudah mudahan empat belas minggu  yang bermanfaat. Selepas ini bulan ujian pula. Benar, ujian sering hadir untuk menduga. Antara dengar dengan taat. Antara tulus dengan dusta. Sekali lagi saya melihat tiap aras di fakulti seperti jalan-jalan sunyi yang mengepung saya. Lalu saya tidak dapat meloloskan diri dan masih terperangkap di sini. 
Image
 Bicara Tokoh KWM bersama-sama Prof Ruzy Suliza Hashim. Mahaguru yang tulus. Terima kasih Prof!