Posts

Image
2011 2017 Sebuah lagi buku kami. Diulang cetak dengan sedikit pengemaskinian, khusus tentang para penulisnya. Mudah mudahan masih dapat dijadikan sahabat saat menulis. Moga ada manfaatnya. Ampun maaf atas segala kekurangan. Terima kasih atas dukungannya. 
Image
               Dua antologi kami 2017. Antaranya membentang dua buah cerpen saya. Benarlah Kata Angin itu, dan Saya Meneruskan Perjalanan. Cerpen bersejarah saya di Utusan Malaysia. Sementara cerpen Surat daripada Umar,   saya garap dari Tanah Selandia Baru.  Selamat menikmati.
Image
Bertemu dia dari ruang masa lalu, ternyata membawa masuk banyak perihal. Kami bercakap tentang pencarian, penantian dan pertemuan yang sekian masa diharap menjadi nyata. Tali halimunan penuh rahsia yang mengikat kami selama ini, di luar sedar, melingkarkan rindu yang sangat aneh. Dan ia bukan tentang kenangan atau bayangan mahupun sejarah yang pernah singgah seperti angin. Ia barakah Syawal yang saya sangat rasakan tahun ini. Pertemuan kami menjadi seperti duduk berdiang di tepi unggun Ramadhan kembali. Perenungan tentang khusyuknya solah dan al-Qur'an, terus mengiringi jalan takdir Syawal ini. Ya, saya sangat faham, ia bukan soal nostalgia, sebaliknya perihal daya untuk mempertahankan. Apatah lagi apabila berjarak, sedikit sebanyak ia seperti separuh terpisah. Allah ya Allah.
Image
Syawal ketiga. Sekali lagi dapat bertemu ahli keluarga dalam suasana lebaran, mesranya meresap lama. Hari ini masih dalam rencana ziarah, saya akan bertemu dengan susuk dari masa lampau. Dan hingga saat mengetik ini, saya masih belum dapat mengimbau ingatan tentang dia. Menurutnya, saya dicari sekian masa dan tahun. Subhanallah. Pernahkah Sdr tahu, sepanjang menjalani rutinitas, berdepan dengan pelbagai wajah pertelingkahan mahupun liku dalam peribadatan, rupa-rupanya Sdr sedang dinanti dan dijejaki. Dan Sdr sangat berada dalam ingatannya. Allah ya Allah, saya tidak pernah terfikir sama sekali bahawa saya sering dikenang. Mudah mudahan barakah Ramadhan yang baru lalu, terus mewangi dalam Syawal ini dengan jalinan silaturahmi.
Image
1 Syawal 1438 Buat semua yang mengikuti  catatan saya di sini, khas kepada Sdr Anonymous,  tetamu rahsia saya saban hari.
Image
Ramadhan kedua puluh sembilan. Allah ya Allah. Jarang  perasaan ini datang. Ia hanya akan tampil apabila ada isyarat selamat tinggal atau hingga jumpa atau keberangkatan. Saat itu bagai seribu gelombang merempuh dada dan ia pasti sangat menyakitkan. Siapa yang mampu bertahan dengan gempuran sebak serta keharuan akibat ditinggalkan. Saya antara yang seringkali tewas. Apalagi diajak berteka teki, apakah akan ada lagi pertemuan selepas ini.  Allah ya Allah. Begitu dia berlalu, mudah-mudahan dia kembali dan menuntun terus hati dan iman saya. Ya, ini hari terakhir kami. 
Image
Ramadhan kedua puluh lapan. Catatan ini sebenarnya saya bawakan daripada latar petang semalam. Menuju garis akhir Ramadhan kali ini, membentangkan saya dengan pelbagai capahan kesimpulan. Dalam perjuangan debu yang berterbangan ini, memang saya lelah, dengan segala kepincangan, walau saya mencuba. Dan ternyata di sekian banyak padang yuda, saya tewas. Terlihat markah saya masih rendah tahun ini. Dalam menebak ikhlas, ketulusan, kejujuran, saya sendiri tahu di mana kaki kecil saya berdiri. Allah ya Allah. Begitu ghairah saya merencana, begitulah segalanya tidak terpenuhkan. Berapa banyak jalan pembaikan yang mahu saya masuki sejak Ramadhan lalu. Akhirnya apa yang dapat saya perbuat adalah kembali ke ruang persujudan, memohon pengampunan dan melakukan penyerahan. Saat memandang separuh kubah masjid kampus dari jendela kamar kerja,  dan langit petang yang sangat redup, saya berdoa moga ada Ramadhan lagi buat kita. Insya-Allah.  
Image
Muslim yang mukhlis Ramadhan kedua puluh tujuh . Kami sudah memasuki an-Nur. Namun beberapa catatan dari al-Mu'minin sebelumnya, sangat menjejak. Ya, tentang ciri orang muslim yang mukhlis.  Subhanallah. Mereka adalah  ~ orang yang berhati-hati kerana takut akan azab Allah ~ orang yang beriman dengan ayat-ayat Allah ~ orang yang tidak mempersekutukan Allah ~ orang yang memberi sadaqah tapi takut segala amalan itu tidak diterima Allah. Ya, dalam solah hajat malam tadi usai tarawikh, antara ingatan imam, mohonlah agar setiap ibadah yang dilakukan khusus sepanjang Ramadhan ini, dijawab dan diterima Allah. Saya sangat sebak. Allahumma aamiin. 
Image
Ramadhan kedua puluh lima. Kartu ini diselit di pintu ruang kerja saya. Dan ia sangat membahagiakan. Terima kasih Sya. Ternyata ucapan yang tulus dari kalbu sangat mudah membekas di kalbu juga. Apatah lagi bertulis tangan. Ia mencair dengan sangat alami. Betapa saya rasakan keluhuran kasih sayang yang tidak dizahirkan pada setiap kali berkesempatan bertemunya. Dan saya tahu ia mengalir jernih. Ya, naluri adalah bahasa halimunan yang nyaring dan ia dapat hinggap lebih lama daripada kata-kata yang sengaja direka dan disusun dengan muluk. Subhanallah. Terima kasih ananda Sya , saya akan simpan rapi kartu ini dalam hati. Mungkin ini satu-satunya kartu idul fitri yang saya terima kali ini. 
Image
Ramadhan kedua puluh empat.  Sebelumnya, kita menanti Ramadhan dan sekarang pastinya masih ada yang menunggu malam seribu bulan. Menanti. Amalan yang jarang saya mahu lakukan sejak bergelar mahasiswa. Saya biasa sendiri. Saya tidak menanti berteman untuk ke kuliah atau ke perpustakaan mahupun ke kafe. Saya sebenarnya mudah lelah dalam menanti. Akan ada kecewa juga nantinya. Sehinggalah takdir melapangkan pintunya, saya jadi bersahabat dengan penantian ini. Saya sering menunggu bilakah munculnya. Ia membikin saya jadi selalu menunggu lama di penjuru sajadah mahupun bacaan al-Qur'an. Sesekali saya jadi dungu apabila harus menunggu dan ia mungkin saja tidak perlu. Sedang segala-galanya  terus berjalan dan tumbuh dan hidup, tanpa peduli siapa saya sama sekali. Apatah lagi, entah siapa yang mahu hirau dengan penantian dan pengharapan si debu yang berterbangan ini.   
Image
Ramadhan kedua puluh dua . Masih dengan semangat memburu malam al Qadar. Ya, masih juga dengan mencari kaedah terbaik membaca al-Qur'an. Sahabat jauh menitip panduan Bro Nouman Ali ini. Bukankah sewaktu membaca al-Qur'an, ia adalah saat Allah berbicara dengan kita. Dan ia sangat benar. Berapa banyak antara hati kita yang terkait dengan apa yang sedang dibaca. Berapa banyak antara kita yang terasa dengan setiap penggalan ayat. Allah ya Allah. Pedomannya adalah membaca ayat, membaca terjemahannya dan berdoa. Ya, berdoa apa yang berhubungan dengan setiap ayat yang sedang dibaca itu. Dan pasti saja doa yang dipohon itu pula tersangkut dengan apa yang kita sedang  depani; pertelingkahan, pelanggaran bahkan kesyukuran.  Subhanallah. Saya mencubanya dan ia sangat menjejak. Ternyata membaca al-Qur'an adalah mengartikan hubungan yang lebih dalam. Sangat dalam. 
Image
Saya Ramadhan kedua puluh satu. Beginilah, seperti dalam foto masyhur ini, saya membentangkan diri untuk sepuluh malam terakhir ini. Dengan lelah saya cuba mengamankan hati. Dengan debu yang menyeret, saya pertaruhkan apa yang ada. Subhanallah. Siapalah saya untuk dikurnia malam seribu bulan. Di mana-mana, beberapa hari ini banyak yang menghitung angka 83 tahun. Saya sangat lemah dalam kira-kira sejak sekolah hingga sekarang. Namun, saya fikir saya mengambil keputusan untuk tidak mahu banyak membilang angka atau mendarab dengan sifir yang memadam keikhlasan atau melemaskan saya dalam gelombang harapan yang datang dan pergi. Biar saya mohon terus Maghfirah dan Rahmah-Nya. Saya sangat yakini betapa Pengasih-Nya Dia.
Image
Menuju malam  Ramadhan kesembilan belas. Menghampiri keluk penggalan sepuluh malam terakhir, apa yang diharapkan akan berlaku. Seperti Rasulullah yang sangat berjaga-jaga menuju malam al qadar, saya percaya banyak yang perlu dilurus, dirapi dan dipastikan. Seperti foto yang tenang sekali ini, saya sekian kali berdoa sungguh-sungguh agar beberapa malam ini saya lalui dengan tenteram; hati dan iman yang saya serahkan kepada Allah segenapnya. Saya telah bermohon lama, ya Allah. Kasihani saya dengan Maghfirah dan Rahmah-Mu.
Image
Ruang persujudan  Ramadhan ketujuh belas. Allah ya Allah. Banyak yang mahu dirakam sempena hari istimewa ini, tentang  persahabatan Rasulullah dengan Jibrail (maaf para agamawan, jika silap saya menamakannya persahabatan ). Saat saya dirangkul kecintaan terhadap al-Qur'an pada Ramadhan kali ini, lewat tazkirah tarawikh malam tadi, Ustaz bercakap juga tentang al-Qur'an melaknat mereka yang membacanya. Allah ya Allah. Bimbangnya saya. Tidak pula dimaklumkan mengapa jadi begitu. Saat mendengarnya, saya seperti mahu berlari ke perbukitan dan menyusup masuk ke ruang persujudan itu. Penjuru di sebuah perkebunan yang menumbuhkan cinta saya dengan subur sekali. Saya mula berdoa sungguh sungguh. Mohon Allah bantu pelihara dan bersihkan hati dan iman saya. Mohon Allah lorongkan ikhlas saya terhadap kecintaan ini. Saya sangat mahu bersahabat baik dengan al-Qur'an. Beriringan tanpa syarat. Bila-bila dan di mana-mana. Sahabat yang selalu ada. 
Image
Ramadhan keenam belas. Malam tadi sudah bermula detik mengangkat tangan untuk Qunut pada rakaat terakhir witir. Allah ya Allah saya tiba-tiba jadi gerun. Itu antara isyarat yang kian mendekat. Belukan di tikungan sepuluh malam terakhir, makin menghampiri. Awal memasuki Ramadhan dulu, saya sudah pernah meminta sekian kali (dengan seluruh rasa silu) agar dibawanya ke belukan itu untuk saya bersama-sama rangkulan malam seribu bulan. Sekarang di tikungan keluk ini, saya meminta lagi. Ya, dengan seluruh silu, masih.
Image
Memujuk Ramadhan 14. Subhanallah. Kita hampir berada di separuh bulan mulia ini. Sekali lagi, apa yang sudah kita perbuat. Adakah kita sudah melakukan yang terbaik atau Ramadhan kali ini sama sahaja berbanding tahun sudah. Allah ya Allah. Segenap penyerahan, mudah mudahan Allah menjawabnya. Apa lagi saat kita diuji dengan sakit dalam bulan Ramadhan ini. Ya, batuk saya masih keras sejak Ramadhan bermula walau tidak sedikit ais pun yang saya ambil. Ternyata dalam ketidakupaya, masih juga rasa dikasihi. Betapa Allah Mengasihi untuk saya jadi lebih sabar dan bersyukur. Ya, ada yang diuji dengan kesihatan dalam musim panas ini namun masih berselang hujan petang. Dalam panas dan hujan yang mencipta bunga, kesidang dan kemboja kami rancak di taman. Ya, pintar sekali mereka memujuk yang sakit. Syafakallah. 
Image
Ramadhan ketiga belas. Merapikan Ramadhan saban kali tibanya, termasuk turut memperbagus rukun solah. Setiap kali mendengar kuliah tentang solah, pasti ada yang harus diperelokkan lagi. Maka apa yang menjadi tumpuan waktu itu adalah keazaman untuk menyempurnakan gerak dan bacaan. Di atas sajadah yang sama, betapa saya memohon ampun atas apa yang tidak diketahui atau dilalaikan sepanjang saya mendirikan solah. Di atas sajadah yang sekian masa menjadi teman kekesalan mahupun kesyukuran apabila mengenang rupa solah saya. Di atas sajadah juga, saya sangat gerun menimbang-nimbang adakah nanti hasil sujud dan penyerahan saya akan dicampak semula ke muka seperti kain buruk. Allah ya Allah. Masih banyak yang saya cuai. Saya terlupa rakaat. Saya mengulang bacaan. Saya pernah terlena juga antara bacaan tahiyat. Ya, di atas sajadah ini saya merupakan hamba Allah yang sangat hina. Saat saya mahu berbicara dengan Allah, saya lupa akan rukun dan tertib selayaknya. Ampuni saya Allah, dan sajadah...
Image
Ramadhan kesebelas. Memasuki himpunan sepuluh yang kedua ini, setulusnya, kita mahu mendapat pengampunan atas setiap khilaf dan pelanggaran. Seperti pohon sahabat saya, mahu dirinya seputih kain polos saat dilahirkan ibu yang mulia. Subhanallah. Alangkah hari ini merupakan tanggal kelahiran, alangkah bersihnya diri. Betapa indahnya langkah pertama untuk memulakan hari baru. Banyak yang boleh dirancang dan dilaksanakan sebaiknya. Alangkah hari ini merupakan tarikh ulangtahun kelahiran, memasuki takat maghfirah Ramadhan al Mubarak, mudah mudahan diampuni dan dikasihani dan menikmati jalan takdir selanjutnya dengan penuh pengharapan dan segenap penyerahan. 
Image
Foto yang terus berulang Ramadhan kesepuluh.   Menurut Ustaz kelas dhuha kami, dalam bulan Ramadhan, begitu banyak Rasulullah berada di padang yuda. Badar. Ahzab. Berhadapan dengan kezaliman dan pelbagai ujian. Tidak ada istilah bulan untuk berehat. Bukan bulan kurangkan kerja, malah. Ramadhan adalah bulan berjuang. Subhanallah. Saya jadi  iri dengan giatnya beberapa susuk yang sangat disibukkan dengan ketaatan kepada Allah. Bukan sahaja asyik dengan ibadah khusus, banyak urusan maslahat orang banyak, menjadi penting baginya. Bukankah saya pernah berdoa untuk jadi begitu. Namun saya sering melihat apa yang saya lakukan, lebih lebih sepanjang sepuluh hari ini, hanya debu tidak lebih daripada itu. Debu yang berterbangan. Betapa khuatirnya saya. 
Image
Menyertai kerja debu memberi agihan rezeki buat sekumpulan asnaf, membentangkan saya erti berikhlas hati. Sangat memujuk ketulusan untuk memasuki daerah murba yang bukan sahaja yang dilihat mata fisik, bahkan mata kalbu untuk meninjau sanubari mereka. Saya jadi terpempan melihat pasangan yang mula pikun namun saling mengasihi apalagi isteri diabetiknya hampir puntung kaki kanan. Ternyata ujian bukan sahaja terhadap kaki tetapi hati. Allah ya Allah. Saya yang masyhur dengan kegembengan, menahan sebak yang sudah berkumpul awal sewaktu merapikan barangan agihan dalam kereta lagi. Rahmati mereka, ya Allah. 
Image
Foto yang berulang Ramadhan kelapan. Melangkaui seminggu berpuasa, ya, memang begitulah masa yang sangat meletus, ia datang dan sepicingnya menghilang. Jika saya dapat melihat masa itu seperti keretapi panjang yang kian jauh menjadikan saya ini si dungu yang berdiri sendiri di stesen dengan bagasi yang konon intinya adalah pakaian dan buku. Ternyata bagasi yang saya seret itu tidak punya isi. Ya, ilusi saja rupanya. Dan saya setiapnya menjadi pemegang tiket yang selalu ketinggalan gerabak. Maka saya tiba-tiba merasakan semua yang ada hanya ilusi. Semua menggenap menjadi ruang halimunan. Hanya jika saya berdaya untuk terjaga dengan antara bacaan terakhir saya semalam, c ukuplah Allah bagi kami dan Dia sebaik-baik pelindung (ali Imran: 173). Dan saya sedar ia adalah sebuah penyerahan dan saya mahu sekali terus bersujud lama. Paling lama.  
Image
Petrea Volubilis Bunga musim puasa titipan  daripada Mahaguru Ramadhan ketujuh. Genap seminggu Ramadhan kita. Subhanallah. Sekian kali saya masih bertanya sendiri tentang berikhlas hati dalam perjalanan Ramadhan seminggu ini. Sudah lunakkah tingkah kita sebagai hamba, sebenar-benar hamba. Saya memasuki semula surah ali-Imran setelah menamatkan bacaan awal sebelum Ramadhan. Dan pasti menemui kembali ayat ini, membuat saya berdiam lama sebelum meneruskan ayat seterusnya, iaitu: Ya Tuhan kami, janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau berikan  petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi (ali-Imran: 8) 
Image
Ramadhan keenam. Subhanallah. Kita hampir seminggu memasuki Ramadhan. Apa yang sudah kita perbuat. Puasa yang jujur. Bacaan al-Qur'an yang tulus. Solah yang tunduk. Infaq yang ikhlas. Bersahabat dengan seluruh hormat. Atau banyak yang kita perbuat kerana selain Allah. Dan itu pastinya membuat saya tidak berani  untuk mengangkat muka hatta melihat kubah dan menara yang mendukung kepercayaan saya untuk lebih dekat dengan-Nya. 
Image
Ramadhan kelima. Tadarus. Setahu saya maknanya adalah membaca al-Qur'an secara bergilir-gilir dalam sesebuah kumpulan; tujuannya adalah untuk disemak ahli lain sewaktu seseorang ahli kumpulan itu membaca. Tidak dinamakan bertadarus jika hanya saya seorang yang membaca. Berbeza lagi dengan bertalaqi (seperti yang pernah AM beritahu). Alangkah bahagia sekali jika tadarus dapat dilakukan dalam kalangan ahli keluarga, bukan sahaja dalam bulan Ramadhan yang barakah ini. Namun dalam kekangan masa, Allah ya Allah, ia masih sukar untuk dilaksana. Begitu  juga dalam berjarak. Maka kita sendirilah membacanya dan seperti biasa perihal bersendiri ini merupakan pelajaran terbaik untuk kita berhadapan dengan saat itu nanti. Ya, saat akhirnya kita sendiri. Minggu ini saya berhadapan dengan beberapa perjalanan menjadi sendiri. Berpulangnya beberapa nama, seperti selalu sangat mengharukan namun ia seperti membaca al-Qur'an sendirian, ia amanat yang mengesankan. 
Image
Ramadhan Keempat. Kebahagian saya akhir-akhir ini ialah saya mencintai al-Qur'an. Apabila mengakui bahawa saya mencintai al-Qur'an, jauh sekali mahu mengatakan bahawa saya ini ahli al-Qur'an. Saya hanya bermaksud saya suka membaca, kerap membaca dan suka mendengar bacaan al-Qur'an. Berbanding dahulu, sayalah yang paling jauh daripada al-Qur'an. Semasa menjadi hujjaj, misi saya hanya membaca terjemahan. Allah ya Allah. Bertahun-tahun saya membaca terjemahan tanpa memperdengarkan ayatnya (takut tajweed yang salah dan bunyi bacaan saya yang buruk) sehingga suatu hari sahabat syurga saya, almarhum Wan Azreena menasihati saya. Katanya ayat al-Qur'an adalah syifa. Penyembuh. Bacalah. Saya seperti disergah Jibrail. Selepas itu Jibrail kedua saya adalah Zahar. Saya selalu mengintai bacaannya di penjuru sofa merah di rumah. Khatamnya berkali-kali. Saya sangat iri. Dan Ramadhan kali ini saya didatangi Jibrail lagi. Kami mahu bergandingan dalam membaca al-Qur...
Image
Antara kesukaan saya mengenakan mukena baru apabila memasuki Ramadhan. Pernah saya mencatat dalam siri Ramadhan beberapa tahun lalu bahawa bukan hanya pakaian solah yang harus baru, sebaliknya pakaian taqwa yang harus selalu dipelihara. Saya jadi malu untuk minta dihadiahkan mukena baru tahun ini. Biarlah saya gunakan yang lama. Saya mahu belajar untuk membersihkan apa yang ada. 
Image
Ramadhan kedua. Apa yang sudah dilalui semalam, menjalani Ramadhan pertama Sdr? Bermula dengan bangun waktu dini menuju iftar dan tarawikh. Bagaimana bacaan surah Sdr. Bagaimana amalan sunat lain. Adakah Sdr meletakkan hasrat satu hari satu infaq. Ada sahabat yang merencanakan agihan rezeki kepada beberapa keluarga asnaf sejak Sya'aban. Subhanallah, ia dititip pada hari pertama Ramadhan. Saya sangat sebak mengenang kecintaan pada memberi. Tidak semua bersedia dengan berikhlas hati dalam memberi. Banyak juga yang berkira-kira. Sementara ada pula yang menamakan memberi sebagai semboyan hidup. Malah dia selalu mencari-cari dan berkejar-kejar untuk memberi. Maka, persediaan Ramadhan juga adalah tentang memberi. Ya, sebelum tiba saat tidak ada yang mahu menerima sebarang pemberian lagi. Allah ya Allah. 
Image
Alhamdulillah syukur. Kita bertemu lagi dengan 1 Ramadhan. Antara jalan takdir berpergian lalu, dalam memanjat cerun dan gunung, membeluk tikungan yang perih dan sering juga keliru, saya melihat banyaknya belahan denai pena'akulan dan munajat. Ada ujian berikhlas hati dalam mencari. Atau betapa sendirinya di sepanjang lebuh juang dan ia sangat dirasakan sepi. Namun semakin panjang jalan takdir itu, kian banyak asuhan dari susuk yang ditemukan. Dan ia menjadi pengalaman pemula Ramadhan yang penuh ta'ajub. Taqab ballahu minna wa minkum. Ramadhan Kareem buat Sdr sekeluarga. 
Image
(sumber: Eskandar Afiq) Ini teduhan nurani. Ini penjuru kesendirian yang sangat lirih rintihnya. Saat hasrat menghampiri nyata, keta'ajuban menjadi sang raja yang sangat menyilaukan mata kalbu.  Tidak pernah siapa tahu, Ramadhan yang saya tunggu dan menghitung  detik tibanya, melibatkan dia yang jauh di keluk perbukitan ini. Betapa saya dipandu antara pohon renek, membelah batang air dan menuruni cerun kerikil untuk saya temukan keluhuran, pengabdian dan semuanya menggenap menjadi sebuah kecintaan. Subhanallah. Begini jauh saya dibawa berpergian, sejumlah pena'akulan yang saya jinjing untuk dibawa pulang bersama menuju Ramadhan lusa nanti, insya-Allah.                                                                                         ...
Image
Pohon Sukma ternyata menyertai nurani walau di mana sahaja. Dia seperti rindu, yang saling menyapa antara angin, awan mahupun rinai yang hinggap antara ranting, antara khabar.
Image
Masih menghitung tibanya 1 Ramadhan. Malunya saya, masih belum bersedia lagi dengan berkira-kira apa dan bagaimana harus saya bertingkah. Ya, daripada beberapa pemerihalan tentang persediaan dalam entri sebelum ini antaranya merapikan rumah,  al-Qur'an dan dekat dengan Allah, apalagi yang saya harus yakini. Sedang saya masih mengharap dan mahu terus meminta-minta agar inilah Ramadhan terbaik. Ya, malu sekali untuk saya meminta-minta, sedang saya  tidak cukup bercermin, melihat betapa debu dan debunya saya ini.  
Image
Masih dengan nada menghitung detik 1 Ramadhan. Di samping perihal al-Qur'an dengan dekat dengan Allah, bagaimana jika suatu hari dalam seminggu ini Sdr didatangi Malaikat? Aneh. Bukankah Malaikat akan selalu berada di samping, bagi yang benar-benar meyakini paksi keimanan bahawa sebenarnya kita tidak sendiri. Pernah seorang teman berkata begini, Malaikat adalah sahabat yang selalu ada. Subhanallah. Ya, bagaimana jika dalam seminggu saat menanti Ramadhan ini, Sdr didatangi sang Malaikat dalam wajah seorang lelaki tua. Tiba-tiba dia datang dengan tuntunan kata tentang kesempurnaan ubudiah. Tentang mengenal Allah. Subhanallah. Bukankah ini yang sarat bertelingkah dalam kalbu saya bahawa Allah itu  sama sekali bersalahan dengan semua yang baru. Allah ya Allah. Saya teringat ketika menjadi hujjaj, Malaikat selalu kita jumpa di Multazam atau Raudah, memberi ruang sujud mahupun berdoa. Saya sangat sebak, dalam menghitung detik 1 Ramadhan kali ini, saya dipandu seorang lelaki tua peri...
Image
Dekat dengan Allah.  Itu tafsiran terbaru yang saya tahu tentang taqwa. Dan ia sangat mengesankan saya yang sedang bertelingkah dengan diri sendiri tentang jalan kecintaan ini.  Allah ya Allah. Menurut Ustaz, Ramadhan nanti bakal melahirkan insan yang bertaqwa. Ramadhan akan melahirkan mereka yang dekat dengan Allah. Subhanallah. Saya pasti mahu terhimpun di dalamnya. Saya mahu dekat dengan Allah untuk banyak perihal. Tafsiran Ustaz selanjutnya, dekat dengan Allah bermakna takut meninggalkan perintah-Nya dan takut melakukan apa yang ditegah. Saya mencongak diri. Saya jadi malu sendiri. 
Image
Saya mahu menyudahkan seluruh halaman al-Qur'an sepanjang Ramadhan. Pasti sahaja ia merupakan hasrat yang paling luhur. Itu antara yang disuarakan sahabat saya; persediaan Ramadhannya adalah dengan iltizam untuk menggenapkan bacaan. Ada sahabat lain yang mahu meneruskan apa yang sedang ditekuni. Ada juga yang mahu berjeda pada bacaan terakhir, memulakan 1 Ramadhan dengan al Fatihah dan al Baqarah dan selanjutnya. Memasuki Syawal nanti disambung kembali jedanya itu. Ya, saya sangat sebak dengan kisah kecintaan mereka terhadap al-Qur'an. Memandangnya. Mendakap kejap. Menyentuh tiap huruf. Membunyikan tiap dengung atau sabdu. Allah ya Allah, itu semua adalah kurnia. Apalagi makna yang dibawakan selalu serasi dengan gundah mahupun getar hati tepat pada ketikanya. Apalagi ada surah tertentu yang dapat dihafal lancar. Subhanallah. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini saya dapat jalani sebaiknya bersama-sama al-Qur'an yang saya cinta.  Saya tidak mahu berkejar-kejaran dengan bac...
Image
Saya senang sekali untuk mengetahui persediaan sahabat bagi menjalani Ramadhan yang menjelang dekat. Seperti juga menjadi hujjaj, persiapannya bertahun. Rutinitas mukmin tidak mungkin dapat berdiri dengan amalan sehari dua, seminggu dua. Ia harus tumbuh perlahan-lahan, alami, dicintai, tekal dan diyakini. Subhanallah. Belum terlewat seminggu ini, dibersihkan hati, dilapangkan fikiran untuk Ramadhan. Seorang sahabat yang mahu mengemas rumah, dan ternyata ia jauh lebih mengesankan daripada saat menyambut Syawal. Dia akan mengemas rumah dalamannya juga. Subhanallah. Ini entri pengiraan detik menjelang 1 Ramadhan minggu hadapan. Insya-Allah saya akan susuli lagi dengan amalan sahabat lain.   
Image
Mendekati jendela ruang kerja (yang jarang saya pajangkan di sini) Saya sudah kembali ke ruang kerja, namun masih tidak sepenuhnya ke jadual rutinitas kerana akan berpergian lagi dan lagi. Jadi banyak persiapan yang harus dirapikan. Subhanallah. Saya sempat menunggu si Putih di tepi tingkap barang sebentar namun kelihatannya dia bersembunyi entah di mana. Saya seperti selalu, masih rindu dan mengharap. Seraya masih menantinya, saya mencongak-congak Ramadhan yang penuh nikmat, yang dinanti-nanti sekian masa. Beberapa kali saya berkira-kira apa persediaan meraikan kehadirannya tahun ini. Mudah-mudahan kita diberikan kesempatan lagi bagi menjadikan Ramadhan kali ini yang paling bermakna. Insya-Allah. Apa persiapan Sdr, silalah berbahagi.
Image
Masih dalam jalan berpergian, menumbuhkan jarak kita daripada rutinitas dan sebenarnya realiti. Jauh daripada meja kerja, keriuhan kolega dan kenakalan mahasiswa, mahupun getar jalan kampung yang masih begitu rupanya. Melihat laut dan gunung dan bulan penuh, menjadikan segalanya seperti personifikasi atau metafora pantulan daripada nurani yang banyak berbicara sendiri. Baris puisi Usman Awang yang sangat dekat di hati saya saat ini pasti adalah,  akan kutenun awan gemawan menjadi selendang menudungi rambutmu akan kujahit bayu gunung menjadi baju pakaian  malammu. Ya, ia pujukan seketika. Sementara berada dalam berpergian. Saya sangat sedar, segalanya akan berubah rupa saat kaki melangkah masuk kampus, minggu hadapan. Persis dari Usman Awang lagi, hitunglah mimpi yang membunuh realiti dengan syurga ilusi. 
Image
Saat berjarak, yang diperlukan hanya diam. Seperti rintih kalbu si Perempuan Pemetik Harpa, yang menyitir baris Rumi, bulan penuh menjadi pintu untuk saling menitip khabar. Walau banyak teka teki yang datang dan pergi seperti ombak kecil di pantai lepas ini, ia tetap menjadi pujukan mengamankan keliru mahupun gundah dari jauh. 
Image
mimpi Satu ruang yang hampir kita tidak dapat menghalang sebarang bentuk kehadirannya, adalah mimpi. Segalanya boleh memasuki ruang pemilikan, bahkan menyertai kehidupan yang sedang berjalan. Tanpa perlu kunci atau izin ta'azim. Aneh, saya pernah bermimpi seseorang yang saya tidak pernah jumpa, kenal malah bercakap sama sekali, namun saya tahu akan kewujudannya. Freudian juga percaya, mimpi adalah projeksi hasrat yang banyak tetapi sangat jauh daripada nyata. Menarik sekali, ia semua sering saya tunggu kerana akan menjadi lingkaran ilham yang meriah dalam tulisan saya nanti. Ya, mungkin saja dalam berpergian (lagi) mimpi menjadi ruang bicara yang sangat rahasia. Sangat misteri. 
Image
Memulakan langkah kembara ternyata membuka pintu introspeksi juga. Inilah jalan takdir yang terbentang ketika pintu terkuak. Menggenapi seluruh  yang terbaik Allah berikan. Syukur dengan apa yang sudah dijalani semalam dan kelmarin. Memohon yang lebih baik agar besok dan lusa menjadi kurnia yang terindah. Maka doa menjadi  kunci yang sangat sakti; antara lapis pertaubatan dengan iltizam. Walau jauh daripada nyata, walau merentas Laut Jawi, doa itu mengukuhkan hati.
Image
Pamit Perihal berpergian lagi. Merapi bagasi. Menyusun getar. Menyemak jadual perjalanan. Meneliti hati sendiri. Memilih buku untuk dibaca sepanjang kembara. Lalu menata rindu yang mahu ditinggalkan. Aneh sekali cerita berpergian kali ini. Menuju ranah yang sama dengan jalan takdir yang sama sekali berbeza. 
Image
Berpergian  Saat ini segalanya terpencar-pencar. Antara mengandai rupa esok dengan mengenang apa yang sudah dijalani sejak kelmarin. Saya mahu berikhlas hati dalam berpergian kali ini, kerana saya tahu, banyak doa akan dijawab Allah sepanjang menjadi si kelana murba. Banyak yang mahu saya mohon. Banyak hasrat yang mahu saya pahatkan. Mudah mudahan kita bersua lagi selepas berpamitan ini. Insya-Allah. 
Image
Kelas dhuha mingguan bersama-sama Ustaz Syed Muhammad Zainuddin sekali lagi, membawa kami kembali kepada tujuh ayat surah pertama. Tujuh ayat yang wajib dibaca sebanyak 17 kali sehari dalam rutinitas seorang muslim; paling kurang. Mengapa begitu. Seperti selalu menjadi anak muridnya, saya suka sekali jurus kuliah Ustaz akan membawa kami lebih dekat dengan al-Qur'an. Ya, kali ini al Fatihah. Kami membaca bersama-sama dengan dituntun segala dengung, melembutkan bunyi atau memekatkan tajwid tertentu. Kemudian dihurai ayat demi ayat yang jelas sekali mafhumnya. Hanya kali ini ada beberapa sisi yang Ustaz tegaskan.  Bahawa kita bersumpah dengan nama Allah, Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang; kita mengajukan segala pujian yang hanya milik Allah sedang Dia adalah pemilik seluruh alam. Allah yang Pemurah memberi nikmat tanpa sebarang syarat (ar Rahman) dan Allah memberi agama kepada yang dipilih-Nya (ar Rahim). Dan Allah nanti menjadi Penguasa hari Akhirat ; ketika...
Image
Syukur sekali saya mempunyai seorang suri teladan dalam perihal memberi. Saya menyitir akan falsafah memberinya, bahawa apa yang diberi itu sama sekali bukan miliknya. Apa yang diberi itu adalah milik yang menerima. Dia hanya sebagai tukang simpan, menunggu detik yang ditakdirkan sejak azali untuk saat penyerahan. Ternyata baginya tidak ada sebarang pemilikan. Saya tahu, itu antara keharuan setiap kali saya mengenangnya. Allah ya Allah.
Image
Kelmarin saya ada menulis tentang tokoh sarjana yang sedang mendepani uzur dan cintanya terhadap dunia yang kian luntur. Saya kemudian membayangkan, alangkah ia berlaku pada susuk seorang anak muda. Dalam sebuah cerpen lama, "Tamsil Daun" ( Dewan Siswa, Ogos 2012), saya garap antara lain latarnya adalah beberapa anak gadis yang duduk bersimpuh di penjuru masjid. Masih dalam mukena dan al-Qur'an di tangan masing-masing dan mereka sedang bicara tentang iman. Subhanallah. Cerpen itu sebenarnya terilham daripada pengalaman terindah saya di sekolah. Setiap kali saya solah Zuhur di surau sebelum pulang ke rumah, saya akan bertemu dengan pelajar perempuan yang merintih, masih di atas sajadah. Hingga sekarang saya masih dapat melihat dia yang dalam esakan lirih, jelas sekali sedang mengadu banyak perkara kepada Allah. Subhanallah. Saya sering membayangkan mahasiswa saya yang taat bersimpuh dan banyak berbicara dengan Allah, bagaimana hidup ini harus dijalani seikhlasnya.
Image
Hujan waktu dini. Ya, ia memang latar hening, apalagi dalam mengenang Sya'aban yang baru bermula, dan ia seperti bulan-bulan lalu, akan cepat sekali menuju jalan hujungnya nanti. Sya'aban. Akan selalu mengingatkan pada Ramadhan yang bakal kita ketuk pintunya. Allah ya Allah. Temukan kami dengan jalan menuju Ramadhan yang sering mahu didakap. Banyak persiapan yang harus diperbuat mulai minggu pertama ini. Bersihkan hati untuk hasrat menuju Malam Seribu Bulan. Ya, mulai sekarang. Rasulullah yang dicinta sering mengingat, banyakkan berpuasa dalam Sya'aban. Tuntuni kami, ya Allah. Saya mahu meneruskan rutinitas dengan penuh ketaatan dan berikhlas hati.