Ramadhan kedua. Apa yang sudah dilalui semalam, menjalani Ramadhan pertama Sdr? Bermula dengan bangun waktu dini menuju iftar dan tarawikh. Bagaimana bacaan surah Sdr. Bagaimana amalan sunat lain. Adakah Sdr meletakkan hasrat satu hari satu infaq. Ada sahabat yang merencanakan agihan rezeki kepada beberapa keluarga asnaf sejak Sya'aban. Subhanallah, ia dititip pada hari pertama Ramadhan. Saya sangat sebak mengenang kecintaan pada memberi. Tidak semua bersedia dengan berikhlas hati dalam memberi. Banyak juga yang berkira-kira. Sementara ada pula yang menamakan memberi sebagai semboyan hidup. Malah dia selalu mencari-cari dan berkejar-kejar untuk memberi. Maka, persediaan Ramadhan juga adalah tentang memberi. Ya, sebelum tiba saat tidak ada yang mahu menerima sebarang pemberian lagi. Allah ya Allah. 

Comments

Anonymous said…
Apabila membaca sesuatu tulisan dengan mata sukma, maka amat dirasakan ada tulisan dan catatan yang ditujukan kepada pembacanya. Demikian saya, tulisan saudara sebenarnya adalah pertanyaan buat saya yang selalu alpa. Sekaligus peringatan bahawa yang ada pada kita adalah untuk diberi kepada yang berhak. Yang ada pada kita sebenarnya bukan hak mutlak kita tetapi hanya ditumpangkan buat seketika sebelum diberikan kepada yang empunya.
Mawar said…
Sdr Anonymous
Sangat benar. Terima kasih singgahannya.