Posts

Showing posts from January, 2017
Image
Aduhai. AM patah tangan lagi. Ini kali ketiga. Jatuh basikal. Jatuh di padang bola. Jatuh basikal. Allah ya Allah. Terima kasih kepada beberapa sahabat rapat yang saya hubungi khusus untuk mendoakan AM. Saya menjunjung tinggi doa yang dipohon. Dr Azaiddin yang sekali lagi menangangi AM di dewan bedah hanya menggeleng. Astaghfirullah. Saya semakin nyeri memasuki tahun baru. Hari lahir AM dalam bulan Januari menjadi titik yang sering mendebarkan saban tahun sejak 2013. Mudah mudahan AM lebih berhati-hati...
Image
TSI Sudah ada kawan-kawan yang bertanya harga. Saya mengaku saja, saya sangat malu untuk bercerita jual buku. Ikutkan hati, saya mahu hadiahkan kepada mereka yang bertanya dan berminat untuk mendapatkannya. Namun pendirian kami bertiga adalah membantu Penerbit UPM. Jadi terpaksa saya maklumkan butiran ini. Harga di kedai buku UPM adalah RM58.00. Harga kami adalah RM45.00 dan jika perlu menggunakan perkhidmatan pos adalah RM50.00. Aduhai. Boleh hubungi saya lanjut. Saya dahului dengan ungkapan ini: dengan kerendahan hati saya dan dua sahabat mengucapkan   terima kasih atas perhatian Sdr.
Image
Buku terbaru kami Ia lambang persahabatan. Ia lambang kerendahan hati. 
Image
Ya, masih tentang penyerahan dan keikhlasan. Sambil mengenang A n A, saya benar-benar berada di tikungan yang aneh. Walau namanya penyerahan, saya masih terkial-kial. Sama ada benar-benar melepaskan atau ada masih berbaki perasaan mahu memiliki. Halobakah saya? Ini perihal penyerahan dan melepaskan. Saya memperhitung, memang sangat dahsyat narasi petualangan kali ini. Perihal keikhlasan menurut Imam Mawlud atau Hamza Yusuf adalah antara keperihan hati yang berhadapan dengan harapan palsu. Delusi ini menuntun saya dalam lelah dan kepungan debu ke titik yang satu: keikhlasan. Benar, sukar untuk berikhlas hati. Bagaimana menyukatnya. Bagaimana mahu menghitungnya. Dalam mencongak-congak, mata kalbu saya mengenang A n A, rindunya saya walau dia masih di sini, manalagi jika dia menghilang tahun...
Image
Saya tidak ada fb. Akaun fb saya sudah terkubur lama. Saya hampir tidak meyakini wilayah fb. Saya sering memberitahu yang bertanya mengapa saya menutup fb, inilah jawapan saya: ia lubuk fitnah. Saya dimaklumkan fb ini (lihat foto) didakwa sebagai fb saya. Untuk makluman sdr, ia bukan fb saya ; walau ejaan yang persis apalagi dengan pilihan bunga mawar sebagai gambar profil. Mudah mudahan saya dapat bertemu dengan pemilik akaun tersebut. Saya suka bertemu dengan yang lain bernama Mawar. Sehingga ini saya pernah bertemu dengan nama Mawar Seri, Ani Mawar, Mawarni dan Mawar Fareeda. Sama sekali saya tidak pernah terbayangkan ada nama yang persis ejaan nama saya. Subhanallah.  
Image
Perempuan Bulan Penuh Dia adalah watak dalam beberapa cerpen saya akhir-akhir ini. Bermula dengan Perempuan si Pemetik Harpa . Kelmarin dia memasuki wilayah narasi saya dan melakukan pendakian di Tongariro. Dia memerihalkan petikan pada tali tipis harpa dan kerja pendakiannya adalah sebuah penyerahan. Ternyata penyerahan yang mahu diperbuat merupakan seribu jalan keasingan. Dalam kepungan debu dia melangkah dengan payah. Dia bertemu dengan detik kononnya  itulah titik yang membebaskan dirinya daripada pemilikan. Dia kononnya melihat jalan yang membentang harapan dengan jiwa baru. Namun jauh daripada nyata, dia bertanya sendiri, benar-benarkah dia berikhlas hati dalam penyerahan ini.
Image
Cerpen Terkini Alhamdulillah. Terima kasih kepada Sdr Nazmi Yaakub, Editor Sastera Berita Harian atas penyiaran cerpen terbaru saya, Narasi Tongariro dari Penjuru Disember Lalu hari ini, 22 Januari 2017. Terima kasih  buat Hariaty Abu Hassan, sahabat yang mengilhamkan cerpen ini dan membaca draf awalnya. Ia ternyata sebuah dialog tentang pendakian dan jalan turun usai menuju puncak; ia dialog antara nurani tentang membebaskan pemilikan apa yang kita cinta. Subhanallah.  Hariaty dan Tasik Biru Tongariro
Image
Antara kenyerian saya adalah kehilangan. Ternyata dalam mencongak-congak, banyak kehilangan yang sudah saya lalui sepanjang hampir setengah abad ini. Ternyata ia bukanlah satu keanehan. Namun kehilangan sering membentangkan kehibaan yang bukan sedikit. Dalam jalan takdir saya, sudah serik rasanya untuk mempunyai sebarang haiwan peliharaan. Pernah mempunyai kucing kesayangan (kucing pertama saya, si putih bermata biru), saya pernah berjanji untuk tidak memiliki mana-mana haiwan peliharaan selepas si putih menghilangkan diri hingga ke akhirnya. Kebetulan juga Zahar adalah ahli kelab  anti kucing.  A dan A Namun pintu takdir yang tidak dapat dikunci, Ali dan Ahmad hadir dalam hidup saya sejak 2016. AM yang kononnya mahu belajar untuk bertanggungjawab, akhirnya menyerahkan kerja merapi kotak A dan A kepada saya. Malah A dan A saya letakkan di penjuru belakang rumah berhampiran ruang saya  memasak setiap hari. Mereka teman saya berbual dan menuang perasaan juga. P...
Image
Berapa banyak nama dalam doa sdr yang sama sekali tidak pernah sdr berjumpa, bercakap-cakap usahkan bersahabat baik. Selalu kita diingatkan berdoa tanpa diketahui sesiapa dan doa itu akan diaminkan malaikat yang bersama-sama kita. Subhanallah. Malah apa yang didoakan akan menjadi seperti lantunan bola ke dinding, ia akan kembali kepada yang mendoakan. Subhanallah. Saya melihat ia suatu keindahan apabila kita tidak pernah bertemu atau mengenali seseorang, namun kita bertemu dengannya dalam doa. Walaupun jauh daripada nyata, dalam baris doa itu kita seperti saling bersahabat baik malah bersaudara. Kita mahukan seluruh kebaikan yang ada buat dia. Kita mahu dia sihat untuk menggandakan taat buat Allah. Bagaimana pula nama dalam doa kita itu kepada seseorang yang sudah berpulang ke jalan datang dan semasa hidupnya juga kita tidak pernah tahu siapa dia. Apa yang membuat namanya terbit dalam senarai panjang doa kita? Mungkin sahaja warisnya yang kita kenali atau lorong takdir Allah menem...
Image
  Masjid Jami' Baitul Muttaqin, Bukit Saree, Aceh Besar Allah amat cemburu. Ya, jika amalan kita  harus perlu berbahagi dengan yang lain, ia akan ditolak dan tempat akhirnya adalah kawah api yang menjulang. Begitulah  Allah tidak mahu berbahagi akan penyerahan kita. Ustaz Tuan Syed Mohd Nazli Syed Ahmad dalam kuliah mingguan kami membacakan pantun ini, Kolam bijih airnya tenang, Tempat minum hidupan di rimba; Berbuat bakti kalau dicanang, Ibarat air bocor ditimba. Allah ya Allah. Bagaimana mahu dibuang naluri alami berasa asyik dengan amalan sendiri yang kononnya paling cantik dan paling tulus. Ujub, sum'ah, ta'ajub, riya' dan takabur adalah perkataan-perkataan yang amat ngeri dan nyeri dalam mengejap makna keikhlasan. Kata-kata ustaz yang mungkin memujuk tangis kita adalah, jangan disimpan apabila rasa  itu datang, lepaskan segera. Lalu mohon keampunan-Nya. Allah ya Allah.
Image
Saya sudah menjadi nenek. Dan saya sangat suka apabila mendapat gelaran baru, Wan Teh Mawar. Manis sekali bunyinya. Sebagai satu satunya anak dalam keluarga kecil, tidak mungkin saya mempunyai apa apa gelaran selain daripada Auntie Mawar atau Auntie Mama. Tetapi syukurnya menyertai keluarga besar Zahar, saya diberi nama khas. Kak Teh Mawar atau Mak Teh Mawar. Semalam, apabila menziarahi anak saudara Zahar yang baru melahirkan, bermakna kami sudah mendapat cucu saudara. Maka berubahlah status kami kepada Atuk dan Wan. Aduhai. Alangkah bahagianya bersaudara ramai. Saya meninjau AM yang mengacah acah mata bulat Alisha, cucu kami itu. Kelihatannya jauh lagi untuk saya mempunyai cucu sendiri.
Image
Saya pernah digelar anti-sosial hanya kerana saya selalu lambat hadir dan cepat pulangnya dalam satu-satu acara. Juga kerana saya mengelak minum bersama-sama usai acara. Atau hanya kerana saya memilih duduk di kerusi paling hujung. Bukankah wilayah maya hari ini begitu juga. Diam dalam berjarak atau diam walau hampir sekali. Di dalam ruang yang sama kita juga menjadi warga anti-sosial. Saya sering memilih WA apabila konfrantasi berlaku antara saya dengan Zahar atau AM. Dari tingkat atas rumah, saya akan mengirim geram atau kesedihan lewat WA. Apabila tidak muncul dua garis biru di kotak pesanan, suara saya akan melantun di tingkat bawah, minta Zahar menjawab segera. Dan itulah yang menjadi titik kami berdamai semula. Anehnya, saya menulis cerita yang sangat domestik ini.
Image
Hari ini genap usianya 47 tahun. Hanya jika dia masih ada. Luar biasa dirinya yang menumbuhkan persahabatan kami yang tinggal ini, walau sebelumnya saling tidak mengenali. Setiap kali menyebut namanya, apa kebaikan yang tidak dilakukan. Memelihara solah, puasa sunat mingguan, tahajjud, rutinitas al-Qur'annya, kegilaannya pada memberi dan memberi dan cintanya terhadap kanak-kanak. Allah ya Allah. Begitu juga dia bahagia meraikan hari ulang tahun teman-temannya. Saya tahu dalam hatinya bukan untuk bersuka ria sebaliknya, mengingati baki hari yang ada menuju saat yang satu itu. Waktu dini ini saya mengirimnya doa khusus. Hasratnya semoga diterima kembali ke jalan penciptaan tanpa perlu dikira-kira, mudah-mudahan dilalui dengan aman dan penuh redha Allah. Al Fatihah buat sahabat syurga kami, Wan Azreena Wan Jaafar.
Image
Sahabat baru Antara keindahan hujung minggu adalah dapat bersama-sama mahaguru di taman miliknya. Dia akan memperkenalkan tiap nama pohon, kembang, daun atau unggas yang hinggap tiba-tiba di ranting yang mempunyai tamsilan yang erat dengan cabang takdir yang sedang tumbuh. Semenjak menjadi tua, saya sudah jarang mahu memandu sendiri di hujung minggu apatah lagi masuk ke taman atau kebun. Namun menziarahi mahaguru dengan kuliah alami di anjung rumahnya yang permai menghadap tasik kecil dengan angin petang yang membawa banyak kenangan genap dua puluh lima tahun lalu, manis sekali untuk disimpan. Si Cantik Merah ini dibekal pulang untuk saya gandingkan dengan Si Kemboja Jepun seludupan Bali. Mudah mudahan nanti kedua-duanya bersahabat seperti dalam pantun mahaguru yang selalu dikenang akan budinya, Buah markisa buah nangka,  Buah berangan  dalam pinggan; Hari ini kita ketawa, Besok semua bayang kenangan. Pura ini pura gunung, Angin bertiup udaranya getir; ...
Image
Kemuning dari taman kecilku Bersahabat dengan si penjual haruman, sama seperti bersahabat dengan si Cantik dalam foto ini. Si Cantik  ini apabila datang musimnya akan menyelinap masuk ke setiap penjuru rumah kecil kami. Angin tipis wangi dari taman di hadapan rumah akan singgah di mana-mana termasuk nurani saya. Ternyata senang sekali menjadi sahabatnya. Ya, memiliki sahabat atau saudara yang harum hatinya sama seperti si Cantik ini, turut membawa keindahan dirinya untuk hinggap di tubuh dan jiwa kemanusiaan saya. Pernah saya berdiri dan berbisik di bahunya, wahai Cantik, terima kasih mengiringi rutinitas dan monotonous saya yang sekian lama kering. Terima kasih sedalamnya atas ketulusan ini.  
Image
Semakin kuat saya cuba menjauhi pelanggaran, kian banyak kali saya ditewaskan. Dan dengannya mengheret saya ke jalan penyembuhan setelah melihat luka dan pedih. Allah ya Allah. Aneh sekali pelanggaran kali ini. 
Image
Titipan buat Sahabat Mudah-mudahan Allah ampuni saya dan kekalkan saya dengan rasa cinta ini. Saya sangat percaya ia adalah kerana cahaya mukjizatnya. Ia juga kerana saya sangat didorong rasa malu setiap kali Zahar mencapai al-Qur'an lamanya, duduk di sofa merah dan asyik membaca. Saya mula merapikan al-Qur'an yang saya ada. Di atas meja kerja di rumah. Di atas meja kerja di pejabat. Di dalam kereta. Sebuah lagi versi digital dalam telefon tangan. Saya membacanya secara bersambungan dan mencatat setiap 'ain dalam kotak takwim telefon tangan. Ia membolehkan saya menyambung bacaan di mana-mana walau dalam kembara panjang. Saya sering bertanya sahabat yang rapat akan jadual bacaan mereka. Surah apa yang sedang ditekuni. Saya mahukan rasa terus mencintai al-Qur'an dengan berbuat demikian. Sekali lagi ya Allah, ampuni saya. Segala ini saya catatkan untuk saya berbahagi sama rasa mencintai al-Qur'an dengan tulus. Saya sangat memerlukan al-Qur'an kerana saya seri...
Image
Foto yang berulang Tahun baru lagi. Sekian lama saya tidak meraikan tahun baru. Namun semuanya mengharap tahun baru ini lebih baik daripada sebelumnya. Ya, ikrar saban tahun dipasang, mungkin juga saban bulan atau minggu atau setiap hari kita perbaharui ikrar untuk jadi lebih baik. Sedang kenyataannya, banyak yang dilanggar. Apa agaknya pesanan al-Qur'an untuk istiqomah dalam perjalanan menjadi lebih baik sedang kita selalu mungkir. Saya menemukan Fushilat: 6: Aku ini hanyalah seorang  manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu tetaplah kamu beribadah kepada-Nya dan mohonlah ampunan kepada-Nya. Subhanallah . Sedang orang lain membuka kertas takwim baru, saya masih menyelak helaian Disember, apa yang saya pernah abaikan. Dengan usia lelah, menuju hari baru ini saya dengan tekad mahu tetap dalam ibadah dan pengampunan. Sedang saya ini tidak lebih daripada hanya debu yang berterbangan.