Posts

Image
Akhirnya tiba sepuluh malam terakhir, seperti doa yang diminta saat memasuki ramadhan yang barakah, semoga pada malam seribu bulan itu, diampuni segala dosa dan diperkenan segala harapan. amin.
Image
Cerpen saya yang memenangi HSKU 2009, Narasi Cinta di Pulau Seribu Kubah, ada dalam antologi ini. sayangnya pantun di awal cerpen, tidak tercetak sama. sedangkan pantun itu adalah hypotext nya. pantun tersebut adalah, Tanam pinang rapat-rapat, biar senang puyuh berlari; kalau dipinang, pinang tak dapat, pujuk-pujuk, kubawa lari. *** namun saya senang dengan judul antologi ini yang dipilih dari puisi Ariff Mohamad. sebuah puisi yang bagus.
Image
Tegak rumah kerana sendi Runtuh sendi rumah binasa; Sendi bangsa ialah budi Runtuh budi runtuhlah bangsa. *** Setiap kali pulang ke selatan, kami akan melintasi rumah gadang cantik ini. tak jemu mata memandang. dalam perjalanan minggu lalu, seperti mahu melangkah masuk saat melihat pintu pagar terbuka luas dan jendela berlangsir putih. ah manisnya! maaf tuan rumah, diabadikan rumah tuan di sini dan dalam hati kami. terima kasih!
Image
Alif Matiin dihadiahkan ibu saudaranya komputer riba (bukan sempena apa-apa). saya teringat mesin taip yang dihadiah datuk dan anak patung pertama saya waktu kecil, snoopy. bisingnya komputer riba baru Alif Matiin, sama dengan bisingnya ketukan mesin taip itu yang entah di mana sekarang...
Image
Ini foto tradisi dan legasi. maaf, tidak sopan menampalnya dalam bulan puasa. atau saya melihatnya sebagai kebahagiaan menyambut ramadhan yang mulia seminggu yang lalu.
Image
Muslims have the same right to practise their religion "as anyone else" in this country... This is America, and our commitment to religious freedom must be unshakeable - Barack Obama - Foto ini sempat saya rakam saat singgah di Ground Zero. beberapa blok dari tapak asal WTC ini, akan dibangunkan 13 tingkat pusat masyarakat Islam dan masjid. Allah Maha Besar!
Image
Tulisan saya dalam Dewan Siswa Ogos 2010, Pengalaman Nan Lalu, Menumbuhkan Diri. seronoknya menjadi remaja. kepada sahabat Seri Melur - Jane, An, Ijen, Ina, Mimi, Acah, Alin ... terima kasih kerana menjadi bunga-bunga cantik dalam hidup saya!
Image
Selamat panjang umur buat teman jiwa saya, Zahar.
Image
Ampun maaf setulusnya dari saya sekeluarga buat saudara taulan. semoga kita memperoleh barakah ramadhan dan dapat mendakap malam seribu bulan.
Image
pintu Ramadhan yang dinanti semakin tiba di muka pintu dan mahu duduk bersama kita. Saya melihat ramadhan seperti sahabat lama, sahabat akrab yang selalu kita tunggu untuk berjumpa dan bercerita kisah-kisah indah dan sangat bermakna. alangkah, rindunya saya akan sahabat lama yang saya nantikan setelah setahun berpisah. oh, selamat datang dan ayuh raikan persahabatan ini!
Image
Antara manfaat FB yang saya perolehi, adalah dapat bertemu kembali sahabat lama. saya melihat FB seperti ruang berkenalan waktu saya kecil/remaja dalam Bujal, yang setiap bulan dibekalkan abah. kami bersahabat dan berutus surat. waktu lampau, surat adalah ruang ekspresi dan berbahagi cerita. menulis surat di atas kertas kajang atau yang berbunga-bunga, menampal setem di atas sampulnya dan kemudian menanti deringan basikal posmen, adalah kebahagiaan yang luar biasa! saya pasti, tidak sama saat sekarang kita menerima deringan sms atau masuknya surat ke kantung emel. selamat bersahabat kembali Batman dan Nikita!
Image
Cepat sekali minit bertukar jam, jam bertukar hari dan hari bertukar minggu. 2010 sudah melangkau separuh tahun...
Image
Pihak penganjur mengirim saya poster baru ini. entri ini berkaitan dengan entri 2 julai 2010.
Image
Akhirnya Bengkel Penulisan Kreatif anjuran PPBKKM, UKM ditutup lusa setelah setahun berjalan. alhamdulillah. kali ini Zaid Akhtar akan bertemu sdr. insya Allah, semoga kita bersua lagi dalam lain kegiatan sastera di UKM.
Image
Minggu ini mahasiswa mengeluh kerana terpaksa membeli banyak buku/novel untuk tujuan kursus. wahai anak-anakku, inilah tangga kejayaan yang harus dipanjat. hey, saya nampak siapa yang ke Sungai Tangkas untuk menyalin buku yang seharusnya dibeli!
Image
Kalungan tahniah dan terus berkarya buat Sri Rahayu , Nizar dan Norziati !
Image
Hujung minggu yang pendek sekali! memulakan kerja pada hari isnin. sangat menuntut semangat yang kuat. melangkah masuk ke bilik kerja, melihat buku, fail, surat dan emel rasmi yang perlu diurus segera, membuat saya mahu memiliki jendela seperti ini. melihat kehijauan, kesegaran dan kejernihan...
Image
Hujung minggu saya menonton My Girl 2 sequel dari My Girl. kali ini saya mengikut Vada ke Los Angeles mencari cerita ibunya yang tidak pernah dia jumpa tetapi yang dia mahu tahu untuk ditulis dalam puisi, projek kelasnya. bertemu dengan Nick, mengingatkan saya kepada Thomas J yang mati disengat tebuan dalam filem awal ketika mencari cincin Vada, the mood ring . saya masih senang melihat gelagat tulus gadis comel yang mahu jadi pengarang ini. senang juga dengan lagu Smile yang memberi harapan....
Image
Kami menyertai pertandingan poster penyelidikan di fakulti. poster ini disiapkan dalam masa yang sangat singkat. namun saya senang sekali dengan hasil kerja adik saya, Hadijah. ringkas tapi berseni. ia sangat memenangi mata dan hati saya; walau ia tidak memenangi mata dan hati hakim...
Image
Semasa menjadi mahasiswa, antara cerpen yang saya sangat suka ikuti karya penulis muda (ketika itu) adalah SM Zakir dan Zaen Kasturi . jemputlah bertemu penulis dan sahabat saya, SM Zakir di UKM!
Image
Alhamdulillah cerpen ini memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2009. saya membaca kembali beberapa entri disember 2008 ketika kembara di Pulau Seribu Pura. antara hypotext cerpen ini.
Image
Semester ini saya akan bertemu mahasiswa tahun 2 untuk kursus kegemaran saya, SKMM2083 Penulisan Kreatif . saya sedang mencongak-congak, apa bentuk P&P yang kreatif kali ini ...
Image
Hidup kita pelbagai warnanya dari isnin ke hujung minggu. ada yang ceria, ada yang membuat hati jadi duka. seperti warna pensil warna! di rumah, merata penjuru pensil warna Alif Matiin saya temui. bawah kerusi, bawah meja, antara halaman buku dan juga dalam mangkuk yang disusun di dapur ...
Image
Hujan malam bersambung awal pagi, memberi wajah yang sendu pada raut hujung minggu ini. angin dingin yang masuk di celah pintu pagar dan langsung ke jendela kamar biru; membawa ketukan piano bersama. saya mengenang Kaka yang kaku dan Sneijder yang liar. heee, enak juga duduk di bahu jendela melihat angin seakan mahu bersahabat dengan bilah-bilah daun bambu di taman belakang rumah.
Image
Saya diminta pihak penganjur untuk menampal iklan ini. saya sebenarnya pemalu....
Image
Cepat sekali masa berlari. cepat sekali hari bertukar minggu dan minggu berganti bulan. mahasiswa lama akan kembali dan yang baru akan bersemangat menyertai dunia kampus. kuliah akan bermula minggu kedua julai. sedangkan banyak lagi kerja yang harus disudahkan! o...o....
Image
Hari ini saya berada di luar garis monotonous. saya berasa sangat lega dan lega. molek juga kiranya saya lebih kerap bekerja di luar kampus...menghirup angin yang menyegarkan jiwa dan fikiran. mungkin sama segar saat disiram air dari tempayan dengan bunga wangi yang terapung ini... alangkah.
Image
Esok saya akan membentang kertas Penulisan Kreatif: Cabarannya dalam Kerangka Pengajian Melayu dalam Seminar Sebahtera IV (seminar tahunan UKM-UM). kali ini kami di APM, UM.
Image
Sekadar berbahagi cerita... alhamdulillahi rabbil alamin...
Image
Seingat saya kali terakhir saya disolek 13 tahun lalu tatkala menjadi raja sehari. saya ingat, saya menegah mak andam daripada merapikan bulu kening. akhirnya ia hanya dibentuk menerusi celak. siang tadi saya disolek untuk satu slot rakaman tv. saya cemas bila melihat muka sendiri di cermin. ops! saya semakin cemas bila mengetahui cara kening saya digaris adalah incorrect seperti makluman di sebelah ini. alamak!
Image
Saya baru kebah daripada batuk pusingan kedua. saya menerimanya sebagai ujikaji terhadap petua yang diberikan sahabat. cubalah ubat batuk sedap nian - ais krim vanilla (MESTI jenama wall's...ops). batuk pusingan pertama ternyata hilang selepas 2 hari menikmati ubat mujarab ini. kali keduanya saya berujikaji dengan jenama bukan ****. ternyata tidak berkesan. kemudian saya susuli dengan ****, alhamdulillah, dengan izinNYA, batuk saya pergi bersama angin .... terima kasih si pemberi petua enak ini!
Image
Sahabat saya sedang menguruskan pembelian rumah. dia sangat mempertimbangkan di mana letaknya penjuru untuk dia menulis. katanya, saya mahukan, bila saya menulis, saya dapat melihat pandangan yang memberi ilham dan semangat. seperti di hadapan muka jendela... mmm, saya terkenang meja kerja saya di rumah yang menghadap tembok kamar tidur. alahai...
Image
Kali ini pulang ke rumah mak, kami membawa balik kuini, pisang nipah dan betik. laman mak macam kenduri kuini. banyak yang gugur dan masih banyak yang bergantungan. pulang ke rumah, dapur saya harum dengan kuini yang mak bekalkan. lepas dihiris, dikisar, disaring, saya jerang bersama gula. enak rupanya jus kuini buatan sendiri walau persediaannya agak menjerakan!
Image
Di samping membersihkan semua salinan keras , saya turut menyusun semula kerja salinan lembut sama ada dalam komputer rasmi, komputer dalam tas tangan, kesemua 6 batang pemacu pena dan sekeping pemacu luaran ... wah banyak kerjanya tu!
Image
Tulisan kecil saya, Hubungan Melayu-Cina dalam Cerpen Melayu (DS jun 2010). antara pengarang Cina yang sempat dibincangkan Akhbar Goh, Peter Augustine Goh, Jong Chian Lai dan Lee Keok Chih.
Image
Biasanya sebelum semester baru, saya akan membersihkan bilik kerja. banyak fail lama yang minta dibuka semula, memilih apa yang tidak perlu disimpan. namun sebaliknya saya jumpa nian banyak yang perlu terus diabadikan. antaranya saya menjumpai cetakan emel lama 1999 tentang 10 petua to get unstuck bila menulis: think of writing as a traffic light; go for a walk; talk about your idea; write something...anything; remember how good it feels to get it done; put it on the calendar; tell yourself it is only for 10 minutes; reward yourself; admit it AND just tough it out.
Image
    Saya pernah bercita-cita mahu jadi penyiasat! saya ingat saya menyimpan sebuah buku nota yang mencatat peralatan penyiasatan saya seperti kamera, alat perakam dan pasti buku catatan itu untuk menjalankan kerja. membaca 5 novel pemenang tekal HSKU ini, Sri Rahayu Mohd Yusop , membuat saya kembali mencari buku nota lama itu...di mana ya?
Image
Keretapi agak akrab dengan jiwa Alif Matiin. selain teruja melihat keretapi dalam perjalanan pergi atau pulang dari sekolah, minatnya juga pada animasi Chuggington dan ini susunan legonya. pakar kanak-kanak, ada lapis makna kedua terhadap kecenderungan ini? nota: botol susu, sengaja diletakkan si pemiliknya...
Image
Sejak beberapa hari hujan pagi (ah, ini antara novel tahunan yang saya selak dan baca untuk sekian kali!), pagi minggu ini matahari yang cantik jatuh di laman belakang rumah; tapi inilah penjuru hadapan ketika saya berdiri dari jendela dapur. seraya membersihkan pinggan mangkuk, membancuh teh bersama lemon, melayan si Mohican bermain di kebunnya atau semata-mata mahu mendengar ketukan piano anak tetangga. bayang matahari yang cantik sekali!
Image
Seringkah saudara terhimpit antara dua bongkah batu besar, terkepung dan hampir tidak tahu ke arah mana harus pergi sebagai jalan keluar atau membuat keputusan. alangkah jika kita dapat melangkah antara himpitan itu dengan kata putus yang bijaksana, jujur dan itulah sebenarnya diri kita....semoga Dia memandu terus...
Image
Hujung minggu lalu saya menumis sebelanga asam pedas. khusus buat Abah ikan terubuk yang diidamkan. sementara buat anak-anak dan yang lain, ikan tenggiri. maka kami sekeluarga kenduri asam pedas melaka, resepi asal makcik Timah Baba. tapi yang lebih bahagia apabila dapat makan bersama-sama. erk, alhamdulillah...
Image
Dalam luruh hujan pagi yang lebat saya ke kampus. kemudian seharian ini cuaca kering panas. betapa Dia itu sangat Adil dan Pengasih; mengimbangi jiwa kita dengan hujan dan matahari. selalu saya minta Alif Matiin mengucapkan, alhamdulillahi rabbil alamin... . dan pagi ini si Mohican saya itu ligat kembali mengikut rombongan sekolahnya ke TUDM dan Beryl's. Zahar juga sudah berani keluar dari kurungan! saya melihat mereka seperti dua pelangi yang pernah merentangi langit pada suatu petang di laman rumah. alhamdulillahi rabbil alamin...
Image
Si cantik dan wangi ini sekarang sering menyambut saya saat tiba di ruang parkir. dia juga yang membuang lelah saya saat mahu pulang ke rumah. bagus sekali fakulti membina para-para @ pagola di sepanjang kawasan parkir. apatah lagi dengan beban tugas yang kian melemaskan. tapi, ada juga yang selalu mencuri kesidang ini untuk menghias sanggul. heh, saya tahu si pencuri itu!
Image
Pagi isnin yang baru. cepat saya nyalakan lilin dengan haruman bunga kasturi setibanya di bilik kerja . sebenarnya saya turut menyalakan ilham, semangat dan jiwa besar untuk memulakan tugas. sedang hati saya gusar, Mohican mula hangat dan agak lesu pagi ini. sedang Zahar masih terkurung lagi! ya Tuhan, berikan saya kekuatan!
Image
Saya cuba berikhlas hati menerima ujian-Nya bila kali ini Zahar pula yang diserang cacar @ jintungan @ bertih @ chicken pox berpunca virus varicella, selepas Alif Matiin . beberapa hari ini saya seperti misi yang sibuk di wad. sewaktu memberi anti viral dinihari tadi (setiap 5 jam), saya terdiam bila tiba-tiba Zahar berkata dia seperti Nabi Ayub... o, saya mahu dapatkan bunga segar dan letak di sisi meja pesakit saya ini, diiring doa. mohon doa sama ya!
Image
Masa kian berubah dan kita juga terpaksa berubah kerananya. seperti baris-baris ini yang sempat saya rakam waktu mesyuarat di tempat saya bertugas... ada luka di hujung siku cepat ditutup dengan balutan alahai, apalah nasib padamu buku jurnal kini menjadi sebutan. nota: mungkin entri ini dapat dibaca beriringan dengan tulisan Salbiah Ani , Hanya kerana RM300, muslihat naik pangkat (Berita Harian , mei 6, 2010).