Posts

Image
Ibu mertua saya yang baik membekalkan pisang barang sesikat dari kebun. Teringatkan tarikh roti di dapur yang luput semalam, cepat saya membaur pisang, membasahkan baki roti dengan sapuan nipis mentega. Kemudian saya rendamkan susunan pisang dan roti, dalam 2 biji telur yang sudah siap dibancuh dengan susu 600ml, gula enau dan sedikit vanilla. Hasilnya... wah dapur saya begitu harum dengan aroma puding pisang-roti yang dibakar. Di lapisan atas tidak lupa saya tabur anggur kering dan serbuk kayu manis. Enak sekali minum petang saya hujung minggu lalu, apalagi sambil melihat hujan turun di atas daun-daun di taman. yuk!
Image
Syukur yang panjang, pertama kali saya meraikan hari lahir mengikut takwim hijrah ( http://hijriah.jentayu.com/ ), 1 muharam 1429. Pasti sangat luar biasa perasaannya. Lebih spiritual. Menutup penjuru tahun lalu dan membuka pintu hari baru pada tahun ini, 1429 membawa saya membaca sekali lagi dan berulang-ulang akan perjalanan hayat Rasulullah tercinta. Manusia besar yang banyak membawa rasa aman dan bahagia dalam hati siapa juga yang mengenalinya. ( Al Amin , 1999: 203) ~ dari wahyu dihayat segala, dipetik bunga yang kembang, dikutip yang inti, diperhias sejernih niat, disebar secepat nadi, dan kini, di tengah Madinah, tanah penerima, setiap waktu terizin, dihantar pesan kalbu yang telah dipersuci surah-surah murni. Ansar kaum bumi bersyukur dan Muhajirin kaum yakin yang berhijrah bersahut hati dan sama beribadah.
Image
Semalam waktu memandu pulang, saya melihat seorang lelaki Cina tua yang begitu perih mengheret seguni barangan berhampiran kawasan jualan sisa/kitaran. Mungkin itulah rezekinya. Menjadi tua. Begitu wajahnya. Saya teringat cerpen Anwar Ridhwan dengan judul yang sama ( Sangkar , 1989). Watak Hassan yang bertemu banyak orang tua di kelas kritikan sastera. Cerpen Abdullah Tahir juga, "Penantian di Walden Place" ( Sang Tahanan , 1997), kisah Jan yang alzheimer. Baru pula saya mendengar kisah seorang sasterawan yang penjuru hidupnya di rumah orang tua. Saudara sedih mendengar kisah manusia menjadi tua? Atau kehidupan manusia di "rumah orang tua" kini sudah berubah warna. Ia tidak lagi dalam kerangka "anak derhaka" mengirim ibu bapa ke sana, malah itulah kehendak jiwa mereka. Cepat sekali saya mahu merakam segalanya ini dalam cerpen terbaru saya, "Dia dari Penjuru Tahun Lalu".
Image
Saya pernah mendengar antara mukjizat al Quran yang dapat kita rasakan sehingga hari ini ialah sekali mata jatuh ke atasnya, tangan akan segera mencapai, suara seakan tidak mahu henti daripada mengaguminya dan cinta akan terus tumbuh di hati. maha suci Tuhan! moga Allah kekalkan hati saya menyintai ayat-ayat kudus-Nya. moga Kitab ini terus menjernih jiwa dan membikin rasa yang luhur dalam dada. saya mahu selalu bersamanya sampai bila-bila! (al Quran yang saya bawa ke mana-mana ini adalah pemberian sahabat lama, Raihan, ketika ke tanah suci. Semoga kehidupan baru yang kau pilih merupakan penghijrahan terbaik. An, Bukankah DIA yang menghilangkan segala dukacita... al faathir: 34).
Image
Barangsiapa yang mengkehendaki keuntungan di akhirat akan kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang mengkehendaki keuntungan di dunia akan kami berikan kepadanya sebahagian dan tiada suatu pun baginya keuntungan di akhirat (asy Syuuraa: 20). Cerpen terbaru saya, "Petala Rengsa dalam Dada" ( Mingguan Malaysia , Disember 16, 2007)
Image
Lukisan sentiasa merakam seribu rasa yang tidak terucap dan tertulis. Maha Suci Tuhan yang menjadikan seninya tangan manusia yang dapat menggaris rasa dan mewarna apa yang terakam dalam baris kata. (www.imanmaleki.com ). Penyair @ mahaguru saya menulis, palitannya meraut licin kulit/tapi intinya harus sengsara/kerana padanya ada cakerawala/sedalam sejarah./ baik begitu dia menyimpul,/derita diri pada usia lima puluh,/dan dunia juga tidak diikat benang/cantik dan erat sayang/tidak ditemui bahagia/yang terlukis suatu makna/dalam jalur-jalur jelaga. (Muhammad Haji Salleh, "Pelukis", Watak Tenggara , 1993: 30-31).
Image
Tuhan yang Maha Pemurah, yang telah mengajar al Quran. Dia menciptakan manusia, mengajarnya pandai berbicara. Matahari dan bulan beredar menurut perhitungannya. dan tumbuh-tumbuhan dan pohon-pohon, kedua-duanya tunduk sujud kepada-NYA (Ar Rahman: 1-6)
Image
Hujung minggu ke dapur, saya akan membuka buku resepi. Sudah lama mahu mencuba yang ini. Mudah dan cepat menyediakannya. Dan ia mengajak kreativiti saya bersama. Bumbunya saya ragamkan, boleh ditukar ikut rasa - ayam masak lada hitam, tuna atau campuran sosej, brokoli dan lobak merah. Untuk dasarnya: tepung gandum 500g + mentega 250g + air/susu. Uli hingga jadi doh, simpan bertutup dalam peti sejuk selama 1 jam. Kemudian terapkan bulat mengikut acuan quiche, bakar selama 30-40 minit. Isikan bumbu dan bakar lagi sekitar 20 minit. Mudah sekali! Jika mahu ikut rasa asalnya, bumbu ditambah dengan siraman krim+telur dan taburan keju cheddar+daun ketumbar. Jemput makan ya!
Image
Saya selalu rindu untuk menjadi anak-anak kembali. Dunia yang indah dan riang tanpa tahu apa yang sukar dan menyakitkan dalam hidup. Saya bermain tanglung seusai mengaji muqadam di surau, makan kuih bulan yang dibekal kawan tionghua, mengutip biji saga di padang sekolah dan kemudian minta emak jahitkannya sebagai batu seremban. Bila berpindah ke rumah pangsa, saya jadi begitu rindu dengan segalanya.... sewaktu anak saudara melukis gambar ini di komputer, saya melihat kembali diri saya lebih tiga dekad lalu. Melalui lakaran beginilah kita dapat kembali menjadi anak-anak. Menulis cerita juga begitu... terima kasih Wewe sayang!
Image
Sejak kecil sepupu saya menjadi sahabat akrab. Melaluinya, saya kenal erti persahabatan dan saling berbahgi; saya mula tahu untuk tidak sendiri. Walau sekarang kami berjauhan dengan lapisan perbezaan, saya selalu mengenangnya. Sisipan gambar ini (yang dikirimnya) antara pantulan rasa tersebut. Mel, much love!
Image
Saya kembali ke rumah baru yang dibiar lama ini. Baru ada kesempatan. Ternyata saya tidak mungkin dapat menulis panjang seperti tuan rumah lain. Mungkin rumah ini akan saya singgah sebagai ruang membuang lelah, mengenang kembali segala keindahan yang selalu memujuk jiwa ....
Image
Senang sekali untuk mulakan catatan pertama saya ini dengan surah Tuhan yang dengannya saya berasa amat bahagia: cahaya hidayah iman yang Allah berikan adalah seperti cahaya dari api pohon zaitun yang dipagar misykaat kaca jernih. cahayanya begitu indah berlapis-lapis (an nur: 35)