Posts

Showing posts from June, 2020
Image
Saya pernah diingatkan begini, miliki satu amalan rahsiamu. Tiada siapa yang tahu melainkan Dia. Tapi Sdr, menjadi kelaziman kami untuk berbahgi. Jauh sekali ta'ajub dengan apa yang dilakukan, sebaliknya ia adalah kebahagiaan untuk ada kesalingan. Atau dengan kelaziman baru, segalanya juga sudah berbeda. Tidak ada lagi istilah berbahgi. Semua jadi sendiri-sendiri.  Bukankah nanti itu semua menuju melupakan dan meninggalkan. Begitukah, Sdr?
Image
Entri ulangan Feb 7, 2018 Dalam mana-mana untaian rafik (ini judul cerpen lama saya), detik yang paling menghibakan adalah saat perpisahan. Sewaktu di sekolah dahulu, ketika ketua kelas berucap mewakili kami, antara lain skripnya berbunyi, jika takut pada perpisahan, usah berani mulakan pertemuan. Benar juga. Namun satu lagi dalam sesebuah persahabatan yang lebih menjadikan jiwa gundah gulana adalah apabila kehilangan sahabat al-Qur'an. Waktu kecil saya berpindah guru mengaji dari Temasek kemudian menyeberang selat, mengakibatkan saya kehilangan sahabat al-Qur'an. Saya sudah pernah merasakan kekosongan dan tiada sesiapa untuk berbahagi di mana  ain  Subuh tadi atau Maghrib nanti. Atau  perlumbaan,  adakah dia lebih ke hadapan atau manisnya saat kami berhenti di  ain  yang sama tanpa dirancang. Hanya sekarang saya dapat berdoa, bacaannya terus maju, terjemahannya diikuti dengan minat seperti selalu dan tadabburnya sangat seluruh, walau harus sendiri sendiri. 
Image
Sawah padi di pintu jalan masuk ke rumahnya.  Kelaziman baru sedang kita jalani? Atau semuanya mahu kita nafikan. Ibaratnya C-19 adalah mimpi paling ngeri pernah memasuki tidur. Mungkin juga sama saat saya menerima tiap kali khabar kematian tiba di pintu. Selepas Pak Malim, berselang dua hari mantan pelajar seliaan pertama saya, turut berpulang pada usia 44 tahun. Ia juga mimpi ngeri apabila mengenang kegigihannya dalam dunia pendidikan, sebagai aktivis sastera dan melanjutkan ijazah kedoktoran. Siapa dapat menggantikan tempatnya menghasilkan pelajar cemerlang untuk diterima di universiti. Mudah mudahan perjalanan keilmuan menjadi sahabat baiknya di alam baru. Al fatehah buat Mohd. Faizal Said.
Image
20 Jun. Hari ini dalam rencana awal, saya akan memperkatakan salah sebuah kumpulan cerpennya. Itu permintaannya lewat wa.  Tapi jalan takdir, tak siapa yang tahu. Dua hari lalu dia berpulang. Kelmarin entri saya tentang ketakutan melihat matahari petang nan jingga. Semalam saya membaca semula cerpennya "Menanti Matahari Terbenam di KD." Cerpen itu kami muatkan dalam Jurnal Melayu yang saya tangani beberapa tahun lalu. Dan saya mahu membaca kembali erti dan kisah matahari di hujung hari. Al Fatehah buat Pak Malim yang budiman. 
Image
Image
Saya peminat kerang-kerangan  Cari lokan di Pasar Selayang, Kerang kupang turut dijumpa; Datang tidak pernah dibayang, Hilang pergi tak tahu mengapa.
Image
Yuk. Hubungi kami ya!
Image
Memasuki ruang kelaziman baru semalam, di ruang kerja, sebenarnya membuat saya bertembung kembali dengannya. Banyak dari rutinitas tiga bulan lalu masih mengepung kami. Saya melihat dia ada di situ.  Dia berdiri di tikungan saat saya melintasi. Dia bersimpuh di ruang persujudan. Dia berteduh di bawah ranting pohon sukma. Kemudian saya melihat dia seperti mahu bercakap tentang mengapa dia menghilang lama dulu  sebelum wabah menerpa. Namun Sdr tahu, ketika saya menoleh, rupanya semua itu adalah bayangan. Sehingga saya mahu percaya tentang sesuatu, Sdr. 
Image
Hari ini kami diminta mula hadir ke kampus setelah hampir tiga bulan bekerja dari rumah. Perkara pertama yang saya fikirkan adalah penggunaan bilik air. Di ruang kerja kami, bilik airnya bersih dan rapi. Tapi saya masih takut untuk memegang tombol pintu. Saya masih berkira-kira bila harus menggunakan lapik tisu, bila menyeka pensanitasi atau memastikan pelitup muka tidak ada ruang dimasuki hawa luar. Saya sepertinya kian selesa bekerja dari rumah, dengan rutinitas baru. Pagi ke danau sukma. Kemudian bekerja rasmi di depan skrin. Memasak. Kemudian menulis dan membaca hingga ke malam. Tiba tiba hari ini harus saya fikir kisah tombol pintu, tisu, dan pensanitasi. Rutinitas bertukar lagi. Dan ini belum saya bertembung semula dengan bayangan rutinitas lama. Ia pastinya perih. Banyak yang sudah tidak seperti dahulu, sebelum wabah berlaku. 
Image
Lupa di mana pernah saya membaca ini.  Sesekali usahlah datang untuk meminta. Mampir dengan hati yang bersih, hanya mahu memuji memuja.  Berkunjung tanpa sebarang dalih atau helah. Tulus. Ya Rahman, ya Rahim. 
Image
Saya pernah menghadiahkan buku Pak Samad ini kepada sebuah pemilik taska. Saya bilang, asuh anak-anak untuk cintakan puisi. Maksud saya, agar anak-anak cintakan bahasa yang cantik. Salah sebuah puisinya,  Kehilangan , saya ulang baca pagi ini. Saya tidak fikir ia nada yang muram untuk anak-anak, sebaliknya biar dia belajar jadi kuat untuk mendepani hidup dan hakikat. Sesudah warkah pertama hilang bersama sampulnya, tiada lagi tertulis hasratnya walau sebaris. Warkahnya tetap berkata batinnya terlalu lara. Sesudah senandung purba tercarik lirik asalnya, tiada irama indah, juga tiada rentak ria. Senandung hilang suara bersama-sana pesannya. Senandungnya dan warkahnya seolah tertoreh sudah. Ke kamar masuklah ia, mula menutup jendela. Terlalu payah dilupa pengalamannya yang luka. 
Image
Saya pajangkan di luar ruang kerja saya di kampus, lama sebelum musim penyendirian. Sesiapa yang melintasi, akan dapat melihatnya. Tapi sekarang rentang waktu sunyi, Sdr. Setiap satunya hanya tersimpan di dalam dada. 
Image
Biarlah saya mengulang peraga berkali kali dalam Juni ini,  si pohon sukma yang sekarang sudah menjadi ranting, dahan dan lara halimunan. Sdr tahu, resah gelisah akibat berjarak dan terkurung seperti yang dilalui beberapa masa ini, adalah garis takdir yang disusun-Nya agar saya belajar untuk melepaskan. Satu persatu. Perlahan-lahan.  
Image
Hari ini saya mohon masuk izin rasmi ke ruang kerja untuk mengambil bahan dari atas meja. Sebenarnya saya sengaja mencipta alasan itu, Sdr. Sebenarnya saya rindu berat dengannya. Saya mahu singgah pada tiap lintasan. Ini bulan Juni, banyak kenangan yang kian menjadi halimunan. Namun ia masih menunggu saya di simpang jalan. 
Image
Setiap kali memasuki takwim Jun, saya akan selalu mengingati puisi Hujan Bulan Juni SDD. tak ada yang lebih tabah dari hujan bulan juni dirahasiakannya rintik rindunya kepada pohon berbunga itu ...
Image
Saya kembali ke danau sukma, khasnya untuk mendapat cahaya pagi. Ada kajian tentang hubungan vitamin d dalam matahari pagi dapat membangkitkan daya tahan yang bagus dalam tubuh. Mudah mudahan bingung dan murung dapat dirawat antara lajur nur, agar jadi penawar saat dibiar dan ditinggalkan.