Posts

Showing posts from January, 2015
Image
Dalam ketika tertentu saya yang membaca doa usai solat jemaah di rumah.  Ya, dan saya akan membaca doa dalam bahasa Melayu. Begitu juga Alif Matiin yang turut mengambil giliran mahu kami mengaminkan doanya. Anak saya itu pernah meminta saya berhenti daripada berdoa, apabila saya masih teresak-esak, katanya, mummy berhentilah menangis,  berhentilah   berdoa, nanti keluar airmata darah. Zahar yang selalunya membaca doa dalam bahasa Arab (yang sangat mengikut teks rutinitas), ketika mendengar itu hanya berdiam. Saya tidak tahu samada Zahar geramkan mulut si Alif Matiin atau masih bersama saya mengalir dalam doa yang dimohon. Sdr tahu apa antara isi bacaan saya? Antaranya saya sangat berharap mudah-mudahan kita tidak dihina saat bermula kematian hingga  sampai ke padang pengadilan.  Ya, semoga nantinya  kita tidak dicela Allah...
Image
Diperpanjangkan khabar, Jurnal Melayu   ejournal.ukm.my/jmelayu akan mewujudkan ruangan karya kreatif bermula keluaran terbarunya Bil 14 (1) Jun ini. Sangat diraikan kiriman tiga halaman puisi (tradisional atau moden), keratan cerpen, novel atau drama (3000-5000 patah perkataan) di samping makalah ilmiah dan tinjauan buku seperti selalunya. Ini antara ruang kerja saya. Mohon emel ke jmelayu@ukm.edu.my   Terima kasih. 
Image
Dalam hidup kerap  kita bertembung dengan jajaran pintu kesempatan. Adakah kita selalu mahu memastikan untuk memasuki kesemua pintu yang ada dan meraih segala keberuntungan di dalamnya? Atau jajaran pintu kesempatan itu mengasuh kita untuk berdiam seketika, cuba mengerti mengapa Allah membentangkan setiap yang muluk untuk kita rengkuh dengan mudah. Di pintu itu juga mungkin kita  kembali melihat, cukupkah disimpan syukur yang panjang dalam lekuk hati yang kotor. Atau saya pernah mengenang, bagaimana nasib mereka yang berada di belakang. Mungkin ia sebenarnya kepunyaan dia ... Ya, saya mahu berdiam  di tepi pintu, sejenak dan menoleh siapa selepas saya.
Image
Pahang, negeri yang hampir setiap tahun saya lawati, masih ditenggelami air. Maka doa kita masih panjang untuk mereka. Malah untuk saudara kita di Terengganu (negeri cantik yang saya cinta) dan Kelantan (mengingatkan saya kepada cerpen lama Narasi Cinta di Pulau Seribu Kubah ) yang mahu mulakan kehidupan baru, kita masih doakan semoga mereka diberi ketabahan dan saya menambah juga mudah-mudahan mereka mudah beribadah, mereka dikasihani dan diampuni Allah. Ya, Pahang masih dalam bencana. Namun a dakah kita melihat banjir benar-benar sebagai bencana? Adakah kita menerima bah sebagai petaka? Atau ia satu refleksi yang menuntut bacaan tersendiri. Atau seperti kata Rumi, ada rahmat dalam perutusan duka. Ya, apakah bacaan saudara terhadap yang berlaku itu?
Image
Akhirnya dia meneruskan perjalanan pulang...saya menerima kabar SN Ayahanda Abdullah Hussain meninggal dunia sekitar jam 10 lebih malam tahun baru 2015 dari keluarga almarhum yang kebetulan rapat dengan Zahar. Saya ada menulis kenangan bersamanya dalam entri 15 April 2009, ya Allah cepatnya masa berlalu! Saya ingin mengenang almarhum sebagai lelaki yang budiman, membuat hati kita tenang saat mendengar kisah-kisahnya yang panjang dan sangat menghormati sesiapa sahaja di hadapannya.  Mudah-mudahan Allah memberi tempat yang terbaik buat Abdullah Hussain atas segala kebaikannya dan kesabaran kepada keluarga yang ditinggalkan. Al fatehah. Klik.  foto yang sempat saya rakam sewaktu menziarahi almarhum.