Posts

Showing posts from February, 2012
Image
Saya sudah menutup akaun fb saya yang ini mawarshafei71 . mengapa? awal dulu semasa menyertai fb, saya mendaftarkan kedua-dua akaun yahoo yang saya punya (saya ingatkan harus begitu). nah, ternyata saya bermasalah apabila ada dua rumah. jadi jumpa saya di mawarshafie saja ya....
Image
Ya Tuhanku, tunjuklah aku untuk mensyukuri nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku dan kedua ibu bapaku, supaya aku dapat berbuat amal  soleh yang Engkau redhai. berilah kebaikan kepadaku dengan memberi kebaikan kepada anak cucuku. sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku termasuk orang yang berserah diri (al ahqaaf: 15). ini doa ketika usia memasuki angka 40 dinyatakan dalam al Quran. saya tidak sempat membacanya tahun lalu, dan terima kasih kepada sahabat baik saya Wan Azreena yang mengingatkan. maka saya mula membacanya hari ini dan insya Allah hari-hari seterusnya. ternyata rayuan ini sangat mengesankan saya, ya saya mahu menjadi hamba-Nya yang berserah diri. terima kasih kepada semua yang meraikan hari lahir saya. semua doa yang dipohon buat saya, kepada Allah saya berserah agar kita dirahmati dan dipelihara-Nya. amin ya rabbal alamin. 
Image
Untuk sekian lama saya jarang sempat menonton televisyen. namun mengambil cuti tambahan dengan menyambung cuti hujung minggu, saya dapat duduk lama untuk menonton drama. ya, semalam saya menangis sungguh-sungguh membaca kisah anak-anak gelandangan Kuala Lumpur menerusi drama Pelarian arahan Azma Aizal Yusoof. kisah tiga beradik yang cuba mencari ibu, akhirnya terperangkap dalam derita anak-anak terbiar di kota besar yang menjadi  pengemis dan barang dagangan. Allahu akhbar. saya teringatkan anak saya.  bersyukur semahu-mahunya, malam ini dia bersama kami di rumah yang selamat. Allahu akhbar, saya jadi malu apabila mabuk dengan masalah kerja saya yang kecil, sedangkan anak-anak yang entah bagaimana wajah kehidupan mereka esok pagi. ya Allah, apa yang mahu saya keluhkan dengan masalah saya berbanding mereka....
Image
Saya cuba untuk tidak lupa mengakhiri setiap mesyuarat yang saya kendalikan dengan bacaan ini. semoga kesilapan pada yang ditutur, buruknya tingkah saya dan jika keputusan yang dibuat ada celanya, saya mohon ampun kepada Allah. malah saya serahkan segalanya kepada  Dia. seperti yang pernah saya catat,  sesungguhnya, Malik al Mulk, Pemilik Kerajaan, dalam keperkasaan dan kehendak yang Kau miliki, kami mohon diberi kedamaian dan keamanan dalam hati kami untuk terus sujud dan mentaati-Mu, wahai Allah .
Image
Siapa antara kita yang lengkap berdoa saat selesai menikmati juadah di meja berbanding waktu mula makan? Alif Matiin adalah tukang baca doa makan kami. biasanya banyak yang kami ceritakan semasa makan (atau dulu saya diasuh agar tidak bercakap-cakap sewaktu makan). tapi itulah ruang terbaik dalam kehidupan hari ini yang singkat. setiap ruang bersama adalah kesempatan yang selalu mahu diraih untuk bercerita tentang apa saja. ya, apa saja. guru bacaan al Quran kami mengingatkan alangkah indahnya selesai enaknya menjamah makanan, kita panjangkan doa. bukan sahaja dengan  segala pujian bagi Allah yang telah memberi makanan dan  minuman kepada kami, dan yang telah menjadikan kami orang-orang muslim. apalagi yang saudara fikir, harus ditambah? o Allah semoga dengan rezeki-Mu ini, kami menjadi hamba yang sihat dan lebih taat, lebih bersyukur. semoga dengan rezeki-Mu ini kami lebih tekun membaca al Quran dan dipelihara solat kami khususnya saat manusia lena dalam tidur yang panjang. Allahu
Image
Saya harus mendapatkan cermin mata baru. ternyata penglihatan saya sudah mula kabur lagi. namun konflik selalu timbul di bilik gelap. bagi mereka yang berkaca mata, memahaminya. saya sering keliru saat diperiksa; mana yang lebih cerah, mana yang kabur.  lebih jelas yang merah atau yang hijau. penggunaan mesin komputer sebelum itu, rupanya belum dapat membantu. ujian manual masih diperlukan. Allahu akhbar, antara nikmat yang banyak, sedikit demi sedikit ada yang Allah ambil haknya kembali...
Image
Bermula semester kedua dan kuliah pertama saya untuk kursus Cerpen Melayu SKMM1043. kali ini ada beberapa pelajar yang mendaftar untuk kertas pilihan bebas. saya tidak pasti mengapa mereka memilih kursus ini. telahan saya yang liar, ia hanya untuk melengkapkan unit. selepas saya menghuraikan peratus penilaian dan projek kursus yang harus dilalui, dua daripada mereka mahu tarik diri, saya bertanya, dan mereka menjawab, ia kerana masalah jadual waktu. saya sedikit meragui. maaf. atau adakah kerja membaca/mengulas cerpen mingguan dan projek menghasilkan video dokumentari tokoh cerpen Melayu itu terlalu membebankan. oh, saya fikir saya sudah cukup membuat mahasiswa teruja untuk semua projek tugasan setiap kali mereka mendaftar kursus saya! mana tidaknya, kali ini mereka harus bereksperimen dengan kamera, perakam video, kerja suntingan dan menghasilkan sebuah iklan sastera.  mungkin saja ia telahan saya untuk sekian kali. kasihannya saya!
Image
Kesukaan saya memasak sangat disokong oleh kegemaran Zahar membeli dan menambah koleksi buku masakan di penjuru dapur kami. antara buku terkini ialah pelbagai jenis masakan bersumberkan cendawan. saya teringatkan Nikita yang sukakan cendawan. saya pula penggemar sup. maka petang tadi saya mencuba sup cendawan tiram. boleh tahan. saya letak caranya di catatan tanggah.
Image
Kumpulan cerpen terbaru yang harus didapatkan! Tahniah adinda saya, Zaid Akhtar.
Image
Sejak setahun ini, cita-cita Alif Matiin masih sama, menjadi architect n chef (jika diMelayukan jurubina dan tukang masak? juru masak? pemasak [ Kamus Dewan ]). saya percaya melalui kawasan pembinaan rumah setiap hari  untuk ke sekolah, memunculkan minatnya. begitu juga dengan kegemarannya membantu saya memasak. malah dia punya apron sendiri yang digantung di penjuru dapur. sejak rancangan memasak kian masyhur, Mohican saya itu mahu dipanggil sebagai master chef. saya percaya cita-cita anak-anak akan terus tumbuh dengan masa. doa saya Alif Matiin berjaya dalam apa juga lapangan yang dimasuki. saya ingin sekali bercerita kepadanya malam nanti tentang Rasulullah, yang turut membina masjid sewaktu mula tiba di Medinah dan mudahnya  baginda ke dapur membantu Aisyah apabila masakan belum tersedia di meja. Allah, saya mahu Alif Matiin mencintai Rasul-Mu menerusi cita-citanya itu!
Image
Mahasiswa akan kembali semula ke kampus minggu hadapan. ini cuti antara semester yang singkat. sebulan, relatifnya sekarang seperti seminggu. masa terasa begitu cepat berlalu. banyak persiapan masih perlu dibuat untuk semester baru. banyak kerja yang sedang berjalan pula, perlu segera disudahkan. dalam meneruskan semua ini, saya selalu membayangkan, saya sama sekali tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini. dan saya teringat carpe diem dari baris puisi Horace, Odes . semoga saya dapat meraikan hari ini sebagai anugerah atau hadiah, andai kata tiada lagi esok bagi saya. saya mohon keampunan dari Allah untuk sekian kali dan saya terus berjanji dalam hati untuk menumbuhkan kebaikan, seberapa banyak. semoga Allah memberi saya ruang. Allahu akhbar!
Image
Dan sesungguhnya Kami telah mencipta manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan hatinya dan Kami lebih dekat padanya daripada urat lehernya. saya menyambung bacaan Qaaf: 16. kepada semua mahasiswa yang baru memperoleh keputusan ujian, terima hasil usaha yang membahagiakan hati sdr dengan sujud syukur, berterima kasih kepada Allah. dan bukankah kejayaan itu satu ujian? bukankah kerendahan hati itu milik orang bijaksana? atau jangan sesekali mengutuk diri atas kelemahan kali ini. bukankah bisikkan hati kita sangat didengar-Nya? foto ini rakaman daun yang luruh ; selalukah kita mendengar bisikan itu?
Image
Maka apakah mereka tidak melihat akan langit yang ada di atas mereka, bagaimana Kami meninggikannya dan menghiasinya dan langit itu tidak mempunyai retak-retak sedikitpun? Saya membaca permulaan halaman Qaaf: 6. ya Allah saya menjadi sangat sebak dengan segala kejadian dan nikmat. bukankah saya sedang dalam ruang ujian? ya Allah, malunya menjadi hamba-Mu yang tidak beradab untuk berterima kasih. ya Allah, ampunkan saya.
Image
Saya menyediakan juadah untuk tetamu istimewa malam nanti. dari jendela dapur yang terbuka, saya melihat rama-rama yang cantik sedang membuka sayap kecilnya dan sesekali singgah di daun pandan dan limau kasturi di penjuru taman kecil dapur kami. ah, mata kanan yang berkelip sekian minggu dan munculnya si rama-rama yang riang petang ini, membuat saya tidak sabar bertemu sahabat lama  sejak zaman tadika! bonda bersyukur panjang apabila saya khabarkan berita bahagia ini. Allah Maha Besar dan saya memohon keampunan. terlalu banyak kekhilafan yang saya lakukan sedang Allah memberikan saya terlalu banyak nikmat. ampunkan saya ya Rabb!
Image
Wanginya  saat saya mengemas beg sekolah Alif Matiin. rupanya guru membekalkan beberapa uncang comel bunga rampai sempena sambutan maulidur rasul (Allahumma soli ala saiyidina Muhammad) di tadikanya. malam tadi bilik anak bujang saya seperti bilik pengantin baru!  dan saya mula bercerita tentang Rasulullah yang tiada ibu dan ayah, maka Alif Matiin harus selalu bersyukur, berterima kasih kepada Allah.
Image
Saya sangat kurang senang jika saf solat jemaah ada yang renggang di sebelah. ya Allah, ampunkan saya, renggang yang luas. sedang saya tidak dapat berganjak setelah memulakan takbir. ustaz dan  ustazah, apa yang sebaiknya saya lakukan, memenuhkan yang renggang arah ke kanan atau kiri? alangkah saya dapat menyempurnakan saf di masjid yang permai ini. o Allah, benarkan hasrat saya itu. saya sangat menyintai solat jemaah yang dengannya saya lebih berkasih sayang!
Image
Benarkah kata orang (antaranya Freud), mimpi adalah projeksi realiti. apa yang tidak terlaksana di alam nyata, akan kita panjangkan dalam kembara tidur. sering juga saya mengalaminya. termasuk bertemu dengan sahabat lama yang sekian lama saya menanti kemunculannya di pintu rumah. begitu,  mata kanan saya yang bergerak-gerak untuk tiga minggu ini. dua hari sudah, sahabat lama saya dari jauh menelefon, kebetulan dia akan berada di daerah kami pada hujung minggu ini. oh alangkah bahagianya bertemu kembali sahabat lama. ouch, ada orang yang mengerling, katanya, saya tidak sudah sudah dengan nostalgia! dan hujung mata kanan saya terasa bergerak-gerak lagi!
Image
Semalam kami menerima tetamu, anak muda bakal jurubina. Anaf, adalah anak kepada sahabat saya yang juga seorang jurubina. pertama kali melihat anak muda ini, saya sangat bahagia. mendengar hasratnya tentang mengubah dunia, saya seperti melihat dia sedang memegang teropong ajaib. terlalu banyak yang mahu dibaca, ditulis dan dibina. antaranya kami bercakap tentang jendela. saya teringat seusia Anaf, saya melihat kebaikan dalam diri semua orang. saya bayangkan semua orang yang saya jumpa punya hati dan pekerti yang mulia; saya lihat semua itu dari mata seperti menjadi jendela yang terbuka. ya, sekembali Anaf, saya menyambung surah Muhammad: 36 yang saya baca bermula 12 rabiul awal lalu, sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. pada kesempatan catatan ini juga saya merakam kesedihan yang dalam buat Jeet, sahabat maya saya yang baru kehilangan bondanya. saya catat lewat sms, semoga perjalanan kembali bondanya aman dan sejahtera. al fatehah.
Image
Nilai sebuah amal itu tidak ditentukan atas pujian manusia. penilaian Allah itu  jauh lebih bermakna. apabila telah ada saranan untuk melakukan sesebuah amal daripada Allah dan Rasul, maka ia tetap mempunyai nilai yang tinggi. sesungguhnya hati yang ikhlas tidak berganjak daripada amal kebaikan, sebaliknya akan istiqamah. tidak bertambah kerana pujian atau berkurang kerana kejian. dan keikhlasan itu sangat rahsia...ini antara catatan saya dari ruang Genta Rasa.
Image
Sakit kepala saya datang lagi. bagai angin panas yang mengembang dalam kepala. cuba bertahan hingga azan maghrib, saya didatangi Alif Matiin. memujuk kesakitan saya dengan membawakan hadiah kecil. oh, Allah. saya tahu itu hadiah dari ibu gurunya di sekolah sempena hari lahirnya yang lalu. terima kasih guru-guru yang mengasuh anak kami menyayangi orang lain melebihi dirinya sendiri. alhamdulillahi rabbil alamin... ini foto hadiah kecil dari Alif Matiin, namun besar maknanya. ia pengubat marah, geram, kecewa dan kesal yang saya bawa pulang dari pejabat. ya, saya seperti burung yang marah ini siang tadi.
Image
Saya boleh dan masih mencatat dan membaca tulisan jawi . saudara?