Posts

Showing posts from October, 2008
Image
Beberapa hari ini saya bekerja di luar kampus. sesekali memang bagus lari daripada rutin. apalagi tempat pelarian itu berdekatan kawasan pantai. kamar resort yang saya duduki menghadap laut selat melaka. ah... bunyi ombak datang bertamu, angin panas yang dikirim dari jauh... foto ini saya rakam saat matahari kian menghilangkan diri. dan malam itu saya menanti bulan dari balkoni ini...
Image
Tahukah sdr kita sering berhadapan dengan jalan raya yang hodoh? sejak awal minggu saya terpaksa menggunakan jalan bertol untuk mengelak jalan biasa yang terlalu banyak lubang; ada yang seperti kawah gunung berapi! ia setelah kereta saya rosak teruk akibat menjadi mangsa salah satu lubang yang selama ini hanya menunggu nasib mana-mana kereta malang. apa lagi dalam hujan petang; kita tidak pernah tahu air yang memenuhi lopak sebenarnya merupakan sebuah lohong dalam dan mengerikan! aduhai...
Image
Tiga mawar merah dari taman di rumah begitu memujuk hati saya yang sedang menumpang kesedihan orang lain. pagi ini, seperti lazim, sebelum keluar rumah, saya singgah di taman kami. ternyata lebih banyak kudup yang muncul. saya menghitung ada kurang lebih dua puluh! beberapa hari nanti, taman saya pasti merah dan wangi. alhamdulillah!
Image
Setiap saat, Dia mencipta takdir yang tersendiri untuk kita. Ada bahagia dan ada yang sarat gulana. Saat saya meraikan Bunda Profesor Siti Hawa Salleh menerima Hadiah Sastera Mastera terbaru dan ulang tahun anak sulungnya, Kanda Hana pada Oktober 19, sahabat kita, Ku Seman Ku Hussain sedang setia menemani isterinya yang kritikal, Hashimah di wad ICU PPUM. dan takdir itu terus bergerak dengan Iradah-Nya, Hashimah meneruskan perjalanan pulang yang aman (saya menerima panggilan telefon dari suaminya jam 0120, Oktober 20). al fatihah…
Image
Dalam meriah lebaran, saya ke Borders hujung minggu lalu. sedang membelek Other Colors, terbaru dari Orhan Pamuk, saya riang menyapa Pak Samad Said, berkemeja ungu, yang tiba-tiba muncul. Kami bercerita panjang antara rak-rak buku ini. Bapak ghairah sekali berbahgi cerita tentang dunia "baru" yang sekian lama ditinggalkan - kanvas dan warna. Ternyata garis warna di tangan Sasterawan Rakyat ini mahal sekali dan begitu dihargai. "Tahun hadapan pameran lukisan Bapak di Dubai!" wah! Bapak menutup bicara, "... banyak sekali Bapak bercerita kepada Mawar." Ah, Pak. Saya senang sekali dengan inspirasi ini!
Image
Saya lebih senang memilih yang "lama" dari meja juadah raya. Kuih ma'mor, tat atau seperti yang ini, kuih bangkit, menjadi kesukaan. saya teringat lagi waktu kecil "membantu" bunda menerap tepung ulian. akan saya bentukkan pelbagai rupa. selesai dikeluar kuih dari ketuhar, saya akan menunjukkan hasil kreativiti saya. oh kenangan! bagaimana kisah saudara? setulus kemaafan dipinta dan dihulurkan. salam lebaran!