Posts

Showing posts from May, 2013
Image
Saya percaya semua pelanggan mahu mendapatkan perkhidmatan yang mesra dan baik. ibu saudara saya pernah terlibat dalam bidang perkhidmatan kaunter di Singapura. ceritanya,  ada tiga langkah meraikan pelanggan ~ hello-promosi-terima kasih ~  pelanggan harus selalu disapa; tidak perlu berlebih-lebihan sebaliknya kita rasa disambut. memperkenalkan produk syarikat tidak bermakna harus mendesak pelanggan membeli. dalam banyak situasi urusniaga berlangsung kerana budi bahasa tatausaha syarikat. dan malang sekali di sini, kita jarang menerima salam terima kasih. sebaliknya kita yang membeli ini mengucapkannya. mengapa saya menulis ini? ya, pengalaman awal pagi jumaat yang menjengkelkan apabila saya disergah tatausaha stesen petrol yang bukan rakyat tempatan. perkhidmatan awam kecil yang jarang-jarang  diminta, sebaliknya saya disambut dengan nada separuh angkuh,  "minyak isi sendiri!" ouch! saya tahu akan reaksi Alif Matiin apabila mendengar cerita ini ... oh man... (nada seperti
Image
Sejak meraikan Rejab, peti sejuk kami selalu akan menyimpan semangka... ya, nama lain yang sering saya gunakan untuk tembikai. Zahar sudah pandai memilih isi yang merah dan manis. berbahagi semangkuk semangka bersama Zahar dan Alif Matiin, kami akan bercerita bagaimana saat Rasulullah mensyukuri tiap bilah tembikai yang melepasi dahaga dan perih; antara himpitan bukit gurun dengan azam perjuangan agama Allah. ya, ini antara buah-buahan kegemaran Kekasih Allah.  kami  merindui Rasulullah dalam nyaman sari semangka pada musim panas begini...
Image
Kenangan ini lama bertahan. awal pagi, kami  akan singgah bersarapan di kedai kopi belakang blok 74, rumah pangsa atuk dan nenek. Melati dan saya seperti ditarik dengan tali, akur berjalan dalam dingin pagi dan duduk diam antara keriuhan suasana semua orang mahu mendapatkan air panas sebelum memulakan hari baru. kami akan selalu memesan teh, telur separuh masak yang dicecah dengan roti bakar berinti kaya. nenek akan menuangkan minuman kami yang masih berasap ke ceper yang agak melengkung. sementara menanti teh sedikit reda, kami akan mendengar pesan-pesan dua orang yang tercinta dalam hidup kecil kami itu, supaya berhati-hati dan rajin belajar di sekolah. ya Allah tidak  mungkin Melati dan saya dapat melupakan babak itu, melihat garis garing roti bakar dan asap tipis teh mahupun serbuk lada sulah yang mula larut bersama renjisan kicap dalam mangkuk telur. ya, tidak mungkin kenangan itu akan meninggalkan kami walau atuk dan nenek sudah semakin jauh daripada dua cucunya ini. cangkir d
Image
Beberapa acara sastera yang saya hadiri, tapi baru hari ini sempat dirakam di sini. Sofa Putih di ITBM sempena PBKL pada 2 mei. Mesra 6 Penulis Wanita anjuran SEBUDI di Jeumpa d'Ramo, Bangsar. dalam acara kedua, kesyukuran yang besar saat mendakap kembali adinda Naina @ Yuhastina Naina Sinaro  sahabat dari Balai Melayu , Jogjakarta. datangnya menemani Dr Aris Arif Mundayat, suaminya yang merupakan antropologis, yang juga saya kenali di Balai Melayu.  wah, pasangan pengantin baru rupanya! dalam diam cinta tumbuh dan mekar. selamat ya dik Na dan mas Aris!  
Image
Di mana agaknya, saya pernah membaca, kasihanilah mereka yang diberi puji-pujian . kerana apa? saya fikir antara ujian yang berat dalam perjalanan hidup adalah ketika kita disanjung. ketika itu kita harus  melindungi banyak penjuru dalam hati. serangan kehairanan dengan kehebatan diri sendiri. keangkuhan sangat mengancam keikhlasan.  kerendahan hati yang sekian lama dipelihara, tiba-tiba berkocakan. hanya sandaran kepada Allah menjadi perisai yang kalis daripada apa-apa saja yang datang seperti gelombang. ya Allah, kasihani saya daripada kemabukan ini kerana selain saya adalah debu yang berterbangan, saya tidak tahu takdir saya esok pagi. ampunkan saya Allah! foto: jambangan bunga buat saya dari Zahar, ahad lalu. saya pajangkan di penjuru dapur kami. terima kasih!
Image
Pada suatu masa dahulu, saya adalah seorang yang sangat berkira-kira dalam memberi. sehingga saya menyedari, saya tidak pernah tinggal daripada berdoa selepas solat  yang bunyinya begini:  Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kegundahan hati dan kesedihan, dan aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas, dan aku berlindung kepada-Mu dari sifat penakut dan bakhil, dan aku berlindung kepada-Mu dari bebanan hutang dan penindasan orang. ya, doa yang selalu kita baca.    memberi   siang ini saya dikirim sebaris ayat yang sangat biasa bunyinya. namun kali ini ia datang dengan dentingan yang sangat mengharukan dari seorang yang berjiwa pemurah. katanya: semua yang ada milik Allah. maka berikanlah. ia kian mengasuh saya untuk lebih banyak memberi dengan tulus. ya, saya tidak punya apa-apa, sesungguhnya ia bukan milik saya. maka, berilah apa yang diterima!
Image
Ini antara petikan pada slide penutup tentang SN Abdullah Hussain yang diperaga mahasiswa tahun satu saya dalam kelas tutorial siang tadi. baris-baris yang tajam, menghunus saat kesan pemilihan tempohari masih berbekas... Kemerdekaan yang sudah dicapai  seperti sebuah gelas kosong lalu semua pihak mahu mengisi gelas tersebut dengan minuman yang disukainya...    
Image
Debar memilih calon pemimpin hampir reda. sekali lagi saya mengundi di kawasan parlimen/dun omak mertuo den . ini musim yang keempat. semakin banyak yang aneh. saya melihat bagaimana manusia berubah angkuh. manusia menggantung impian seperti dia tidak akan pernah mati. manusia munafik. manusia berdusta. manusia jadi begitu bila kuasa merupakan raja. ya, ternyata ia sangat menjengkelkan juga,  kali ini melihat kuku jari telunjuk kiri yang kotor. Alif Matiin yang merajuk kerana tidak boleh mengundi, mengejek saya, jari mummy macam hantu! dan menggesa saya membersihkannya segera.
Image
    Dua buah buku, hadiah saya buat si peminat bacaan biografi di rumah kami!