
Dua minggu ini nenda ditempatkan di aras 8 Hospital Khoo Teck Puat , yang menurut Zahar hospital terpermai pernah dilawatinya. dengan kehijauan, aliran air yang menghuni bersama para pesakit serta angin yang keras namun seperti mahu meloloskan lara, kepedihan mahupun kesendirian di katil yang hanya bertemankan misi dan ubat. berselang seli kadang kala ada sekumpulan anak muda dengan cello dan biola, datang mengalunkan muzik di tubir kolam aras bawah. getarnya dibawa angin sampai ke paras atas. untuk sebulan ini hilang ingatan nenda dan kami mengandai-andai bahawa ia petaka alzheimer atau dementia . rupanya isyarat Tuhan yang selalu mahu membantu, kami diberitahu nenda berdepan dengan brain tumour . ia sudah lama bersarang dan ternyata nenda begitu dapat bertahan tanpa apa-apa tanda. ya Allah, nenda ternyata sudah tidak dapat menyebut nama saya. namun suatu pagi sewaktu giliran saya mengawasi nenda, saya bacakan ad dhuha berkali-kali tanpa jemu di bahu nenda....