Almarhum Prof Dr Farid Onn. Al fatehah.

Setepatnya waktu dhuha, Jumaat Syawal hampir seminggu, menerima khabar duka  dari ketua saya yang menyentak. Baru juga kami bercakap untuk menziarahi Prof Farid. Langgam cerita yang cliche tapi sangat menghibakan. Sewaktu saya muda sebagai Tutor,  Prof Farid antara guru Stilistika yang kerap saya rujuk. Kami bersahabat dan saya banyak dituntun dalam perihal kesarjanaan. Tulisan awal saya di Jurnal Perisa 1995, menggunakan analisis stilistika. Saya merujuk Prof Farid lagi. Saya dibimbing editor JP yang serius, Syed Jaafar Husin.  Tulisan itu di bawah kursus Stilistika Prof Sahlan Mohd Saman. Dan saya meneliti puisi Dharmawijaya. Masya-Allah. Tulisan itu membuat saya dikelilingi tokoh-tokoh yang luar biasa!  Foto ini saya rakam ketika kami -  Dr Rosnah Baharudin, Dr Misran Rokimin dan saya - diajak Prof Farid ke rumah SN almarhum Pak Abdullah Hussain (yang kemudian baru saya tahu mereka ada hubungan keluarga menerusi isteri masing-masing). Nasihatnya ketika itu, saya harus banyak membawa mahasiswa mengakrabi sasterawan. Saya menyelongkar kepingan foto lebih 30 tahun lampau, dan tidak menemukan sebarang susuk kami berdua. Barangkali kebanyakan foto itu saya atau Prof Farid yang mengetiknya. Barangkali ia tidak mahu menjadi kenangan yang penuh kesedihan. Mungkin juga tanpa bayangan optis, ia menjadi lebih diingati. al Fatihah buat mahaguru saya yang budiman dan akan terus dikenang dalam doa dan ingatan...

Comments

Anonymous said…
Tulisan yang sentiasa menyentuh pembaca apabila sosok yang dibicarakan dikenali sedikit sebanyak. Sesungguhnya almarhum Prof. Farid Onn, seorang mahaguru dalam bidangnya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menerima ilmu yang dicurahkan sebagai amal jariah yang berkekalan.
Mawar said…
Sdr Anonymous
Mengenang guru kita sama juga mengingat orang tua sendiri. Rasa kasihnya selalu sampai ke hujung hiba. Allah merahmati dan mengampuni mereka. Terima kasih masih singgah.
cdzedic said…
Allahu..sedih dgn perkhabaran duka ini. Dia Tuk Guru saya, yang saya hormati dan sanjungi... alfatihah buat Allahyarham Prof Farid M.Onn
Mawar said…
Sdr Cdzedic
Mudah mudahan ilmu almarhum menjadi amal soleh yang memberi kenyamanan di sana...