Saya pernah menghadiahkan buku Pak Samad ini kepada sebuah pemilik taska. Saya bilang, asuh anak-anak untuk cintakan puisi. Maksud saya, agar anak-anak cintakan bahasa yang cantik. Salah sebuah puisinya, Kehilangan, saya ulang baca pagi ini. Saya tidak fikir ia nada yang muram untuk anak-anak, sebaliknya biar dia belajar jadi kuat untuk mendepani hidup dan hakikat.

Sesudah warkah pertama
hilang bersama sampulnya,
tiada lagi tertulis
hasratnya walau sebaris.

Warkahnya tetap berkata
batinnya terlalu lara.

Sesudah senandung purba
tercarik lirik asalnya,
tiada irama indah,
juga tiada rentak ria.

Senandung hilang suara
bersama-sana pesannya.

Senandungnya dan warkahnya
seolah tertoreh sudah.
Ke kamar masuklah ia,
mula menutup jendela.

Terlalu payah dilupa
pengalamannya yang luka. 



Comments

Anonymous said…
Selagi kita bernyawa, berupaya berfikir, merenung dan menakkul, kita pasti menemui episod-episod yang pelbagai, antaranya kehilangan. Namun kehilangan adakalanya hanya dimata, dihati tetap ada dan berlegar.
Mawar said…
Sdr Anonymous
Benar Sdr. Dia mengambil kembali milik-Nya.